Thursday 26 December 2013

CGC sasar jaminan pembiayaan RM2.7b

Beri tumpuan kepada sektor strategik baru

CREDIT Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC) menyasarkan menjamin pembiayaan berjumlah RM2.7 bilion pada 2014 menerusi pelbagai skim jaminannya, yang dijangka memanfaatkan kira-kira 5,600 syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Pengarah Urusannya, Datuk Wan Azhar Wan Ahmad, berkata bagi mencapai sasaran itu, CGC akan menyediakan lebih banyak penyelesaian pembiayaan terutama kepada syarikat berdaya maju.

“CGC akan memberi tumpuan jaminan pembiayaan untuk syarikat Bumiputera dalam mengembangkan lagi perniagaan mereka selaras dengan agenda pembangunan Bumiputera nasional.

“Kami juga akan terus menyokong pembangunan sektor baru berisiko tinggi tetapi dilihat berpotensi serta menyediakan pelbagai penyelesaian yang berlandaskan syariah yang memenuhi keperluan sektor PKS,” katanya kepada BH di Kuala Lumpur, semalam.

Beliau berkata, tahun ini CGC dijangka menjamin pembiayaan sebanyak RM1.45 bilion yang mana 45 peratus bertumpu kepada sektor pemborongan dan peruncitan, pembuatan (19 peratus) dan pembinaan (lapan peratus).

Katanya, tahun lalu, CGC menjamin pembiayaan berjumlah RM1.1 bilion dan setakat November lalu, sebanyak RM1.2 bilion jaminan telah dikeluarkan.
“Setiap tahun, CGC berusaha membantu sebanyak mungkin syarikat kerana matlamat penubuhan CGC adalah untuk memperkasakan sektor PKS dan menyumbang pelbagai jenis penyelesaian kewangan bagi PKS untuk mendapatkan akses kepada pembiayaan,” katanya.

Wan Azhar berkata, selain memberikan rebat kepada syarikat yang mempunyai rekod pembayaran balik pembiayaan yang baik bermula tahun depan, CGC juga akan memperkenalkan beberapa inisiatif lain bagi memperkukuhkan lagi perniagaan PKS tempatan.

“Ia termasuk mengkaji semula pendekatan ‘satu harga untuk semua' kerana mempercayai bahawa peminjam perlu diadili dan diberi nilai jaminan harga mengikut risiko profil mereka.

“Risk-adjusted-pricing (RAP) atau ‘kadar mengikut laras risiko’, adalah satu mekanisme penetapan harga yang digunakan secara meluas oleh institusi kewangan yang membolehkan kadar ditetapkan mengikut penarafan risiko peminjam. RAP ini membolehkan peminjam yang berisiko rendah untuk menikmati yuran jaminan yang lebih rendah,” katanya.