Saturday, 17 May 2014

MBSB catat untung RM267 juta

Kuala Lumpur: Malaysia Building Society Berhad (MBSB) mencatatkan keuntungan sebelum cukai RM267 juta, meningkat 12.6 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Prestasi berkenaan didorong perniagaan runcit dan peningkatan pertumbuhan aset daripada segmen korporat yang menunjukkan pertumbuhan positif pada suku pertama 2014.

Secara keseluruhannya, pertumbuhan aset (setakat Mac 2014), pinjaman bersih, pendahuluan dan pembiayaan adalah sebanyak RM30.4 bilion, melonjak 14.6 peratus berbanding RM26.6 bilion pada 31 Mac 2013.

Deposit terus menyokong pertumbuhan pinjaman dengan jumlahnya daripada pelanggan korporat dan runcit sebanyak RM29.1 bilion pada 31 Mac 2014, peningkatan sebanyak 17.1 peratus daripada RM24.8 bilion pada 31 Mac 2013.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Ahmad Zaini Othman berkata, perkembangan ini disandarkan pertumbuhan mapan dalam segmen pendeposit korporat serta strategi pengekalan pelanggan yang kukuh.

sumber dari : http://www.hmetro.com.my/

Pertumbuhan KDNK lebih kukuh

Dr Zeti Akhtar Aziz

KELUARAN Dalam Negara Kasar (KDNK) mencatat pertumbuhan lebih kukuh sebanyak 6.2 peratus kepada RM256.9 bilion untuk suku pertama tahun ini, iaitu lebih tinggi berbanding 5.1 peratus pada suku keempat 2013.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz berkata, peningkatan pertumbuhan tersebut didorong oleh permintaan dalam negara yang lebih kukuh dan eksport bersih yang kembali pulih.

“Berdasarkan pertumbuhan KDNK yang menggalakkan bagi suku pertama tahun ini, BNM optimis mengekalkan unjuran pertumbuhan sebanyak 5 hingga 5.5 peratus sepanjang tahun bagi semua sektor.

“Dari segi penawaran, sektor ekonomi utama terus berkembang disokong oleh aktiviti dalam negara dan juga perdagangan," katanya pada sidang media pengumuman Prestasi Ekonomi Suku Pertama 2014 di Kuala Lumpur, semalam.

Beliau berkata, pertumbuhan penggunaan swasta kekal kukuh pada 7.1 peratus manakala penggunaan awam turut meningkat kepada 11.2 peratus mencerminkan perbelanjaan kerajaan yang lebih tinggi untuk bekalan dan perkhidmatan.

Sementara itu, kadar inflasi meningkat pada kadar purata 3.4 peratus pada suku pertama 2014 disebabkan inflasi yang lebih tinggi dalam kategori perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain serta pengangkutan.

Rizab antarabangsa BNM pula berjumlah RM424.6 bilion pada 31 Mac 2014.

Dalam pada itu, Malaysia telah mendefinisikan semula hutang luar negaranya berkuat kuasa pada suku pertama 2014.

Menurut Zeti, langkah itu diambil berikutan kemajuan ketara dalam pasaran kewangan negara yang telah menghasilkan penyertaan pelabur luar bukan pemastautin yang lebih tinggi dalam sekuriti hutang domestik dengan denominasi ringgit sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Susulan definisi semula ini, pemegangan sekuriti hutang dalam denominasi ringgit oleh bukan pemastautin, deposit bukan pemastautin, kredit perdagangan yang diberikan oleh rakan-rakan perdagangan asing dan liabiliti hutang lain, kini dimansuhkan sebagai sebahagian daripada hutang luar negara Malaysia,” katanya.

sumber dari : http://www.sinarharian.com.my/
SITI ZUBAIDAH MAT ISA

Friday, 16 May 2014

Harga Kereta TURUN 30%

Mustapa menerima cenderamata daripada Johan pada kunjungannya ke Balai Berita, semalam. Turut hadir (dari kiri) Hamim, Amrin, Shaharudin, Mohammad Azlan dan Abdul Jalil.

Kerajaan yakin merealisasikan sasaran pengurangan antara 20 hingga 30 peratus harga kenderaan di pasaran tempatan menjelang tahun 2017 berdasarkan pencapaian purata penurunan 4.97 peratus harga kenderaan pada tahun lalu.

Daripada jumlah keseluruhan 576,657 unit kenderaan yang dijual pada tahun lalu, kira-kira 60 peratus dijual pada harga lebih rendah iaitu antara tiga hingga 17 peratus.

sumber dari : http://www.bharian.com.my/
Oleh Mahanum Abdul Aziz

MAS rugi RM443 juta sejak Januari

SENTIMEN negatif terhadap MAS akibat kehilangan pesawat MH370, selain tekanan ke atas hasil dan prestasi kurang memuaskan aktiviti bukan teras menyebabkan syarikat penerbangan negara mencatatkan kerugian bersih RM443 juta bagi tiga bulan pertama berakhir 31 Mac 2014, berbanding kerugian RM279 juta bagi tempoh sama tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAS Ahmad Jauhari Yahya berkata, kebanyakan kos berkaitan MH370 akan ditanggung insurans tetapi operasi syarikat itu menjadi lembab untuk beberapa minggu sejak kehilangan MH370 pada awal Mac lalu.

MH370 ialah penerbangan MAS dari Kuala Lumpur ke Beijing, China yang hilang selepas berlepas pada 8 Mac lalu dan masih tidak ditemui sehingga kini.

Ahmad Jauhari berkata, kebiasaannya, pencapaian bagi separuh pertama dalam setiap tahun sentiasa lebih lemah berbanding separuh kedua kerana tempoh perjalanan yang sibuk pada cuti akhir tahun sebelum itu.

"Kerugian bersih bagi suku pertama ini bukan sesuatu yang tidak dijangka.

"Namun keputusannya lebih teruk kerana impak ke atas perjalanan udara secara amnya akibat kehilangan MH370. Keseluruhan pasaran bertindak balas dengan mengurangkan permintaan," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Beliau berkata, aktiviti pemasaran MAS pada masa itu dihentikan sebagai menghormati keluarga penumpang pesawat Boeing 777 dalam perjalanan ke Beijing itu.

Menurut Ahmad Jauhari, sementara pencarian MH370 diteruskan sehingga kini, iaitu lebih dua bulan sejak kehilangannya, MAS perlu mempercepatkan usaha memperbaiki aliran perolehannya dan menguruskan kos yang semakin meningkat dengan lebih baik.

"Keperluan ini menjadi semakin penting untuk kelangsungan masa depan dan kemampanan MAS dalam pasaran yang tidak menunjukkan sebarang tanda untuk persaingan berkurang," katanya.

Beliau berkata, fokus utama kini ialah untuk kekal sebagai pemain industri relevan dalam pasaran penerbangan.

"Kami telah melalui dua tahun usaha untuk memperbaiki operasi. Masih ada banyak yang perlu dilakukan untuk menghadapi realiti perniagaan dan persaingan sebagai operasi yang dinamik.

"MH370 telah mengeluarkan (ciri-ciri) terbaik pasukan MAS untuk bersatu menghadapi krisis itu. Kami menggunakan semangat pasukan ini untuk berjuang bagi masa depan kami," katanya.

MAS memaklumkan, perolehan teras syarikat meningkat sebanyak lapan peratus bersandarkan peningkatan 19 peratus dalam kapasiti tetapi prestasi keseluruhan kumpulan itu terjejas akibat perolehan lemah kargo dan lain-lain.

"Kapasiti berlebihan industri dan struktur kos tidak menguntungkan menyebabkan pendapatan sebelum faedah, cukai, penyusutan dan pelunasan jatuh negatif RM101 juta berbanding RM30 juta tahun lalu," menurut MAS.

sumber dari : http://www.sinarharian.com.my/
Wartawan Sinar Harian

Thursday, 15 May 2014

Perolehan Celcom cecah RM2 bilion

SYARIKAT telekomunikasi mudah alih negara, Celcom Axiata Bhd (Celcom) merekodkan perolehan sebanyak RM2.01 bilion bagi suku kedua tahun ini, iaitu perolehan sukuan tertinggi pernah dicatatkan sepanjang sejarah operasi syarikat itu.

Dengan rekod terbaru itu, perolehan Celcom bagi separuh pertama tahun ini mencecah RM3.99 bilion, iaitu peningkatan 4.3 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Celcom, Datuk Seri Shazalli Ramly berkata, perolehan suku kedua itu melepasi sasaran awal RM2 bilion yang ditetapkan syarikat itu.

Menurutnya, pencapaian tersebut adalah hasil transformasi yang dilaksanakan dalam menjadikan Celcom lebih berdaya saing menuju 2015.

“Bagi suku kedua berakhir 30 Jun tahun ini, Celcom mencatat keuntungan bersih RM577 juta, naik 5.1 peratus berbanding suku pertama dan peningkatan margin 28.2 peratus.

“Manakala pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan syarikat pula adalah RM900 juta dengan peningkatan margin sebanyak 44.5 peratus, disumbangkan peningkatan produktiviti,” katanya pada majlis pembentangan prestasi kewangan suku kedua Celcom di Kuala Lumpur, semalam.

Katanya, peningkatan margin itu diperkukuh melalui perbelanjaan pintar, pengurusan aset yang baik, peningkatan produktiviti serta program pemasaran dengan kos yang lebih cekap.

Shazalli berkata, Celcom juga kekal sebagai peneraju utama jalur lebar dengan mencatatkan 1.1 juta pelanggan, menyumbang RM521 juta kepada hasil syarikat itu.




sumber dari : http://www.sinarharian.com.my/

PENDAPATAN PETRONAS RM84 BILION

Pendapatan PETRONAS pada suku pertama berakhir 31 Mac 2014 meningkat 10 peratus kepada RM84 bilion berbanding RM76.7 bilion yang dicatatkan pada suku yang sama tahun lalu.

sumber dari :  http://www.bharian.com.my/
Oleh Mahanum Abdul Aziz

Wednesday, 14 May 2014

SimplySiti fokus naikkan jualan 10 peratus

Koleksi Bronze SimplySiti yang dilancarkan, semalam.

SIMPLYSITI Sdn Bhd pengeluar rangkaian produk penjagaan kulit dan kosmetik tempatan, sasar peningkatan jualan sebanyak 10 peratus tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Muhammad Zain Ibrahim berkata, buat masa ini, SimplySiti fokus meningkatkan jualan produknya di pasaran tempatan selain menumpukan perhatian kepada jualan di Sabah dan Sarawak.

Katanya, syarikat itu kini sedang menjalankan kajian produk dan cuba menghasilkan produk mengikuti trend semasa untuk bersaing dengan syarikat kosmetik antarabangsa.

“Syarikat juga merancang menambah outlet bagi menjual produk SimplySiti yang memiliki lebih 200 jenis produk.

“Produk SimplySiti kini dipasarkan melalui 400 outlet melalui rangkaian farmasi dan gedung membeli-belah tempatan yang memberi akses mudah kepada pembeli untuk mendapatkannya,” katanya ketika Majlis Pelancaran Koleksi Bronze, di Putrajaya, baru-baru ini.

Hadir dan merasmikan majlis tersebut ialah pengasas SimplySiti Datuk Siti Nurhaliza Taruddin.

Muhammad Zain berkata, SimplySiti menyasarkan koleksi Bronze menyumbang 15 peratus kepada jualan keseluruhan tahun ini.

Berhubung perancangan syarikat, Muhammad Zain berkata, jenama itu akan memperkenalkan lima produk baharu menjelang akhir tahun ini antaranya penjagaan kulit dan barangan solek.

Sementara itu, Muhammad Zain berkata, syarikat tersebut turut melakukan beberapa kajian dan persiapan rapi untuk memasarkan produk SimplySiti ke pasaran luar negara kerana perlu bersaing dengan produk terkenal di peringkat antarabangsa.

“Produk SimplySiti mendapat permintaan tinggi dari beberapa negara seperti Bangladesh dan Timur Tengah,” katanya.

Tambahnya, kekuatan produk SimplySiti ialah pada status halalnya selain Siti Nurhaliza yang merupakan artis terkenal tempatan terlibat sepenuhnya dalam pembuatan produk ini.

sumber dari : http://www.sinarharian.com.my/
NORSHAHZURA MAT ZUKI

Penguat kuasa minta wang perlindungan antara RM50 hingga RM200.

Gambar Sekadar Hiasan

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenal pasti lebih 20 penguat kuasa dipercayai terbabit dalam melindungi kegiatan pengeluaran dan pengedaran DVD haram di sekitar Pulau Pinang.

Maklumat yang diterima BH, SPRM dijangka mengambil tindakan dalam masa terdekat untuk bertindak ke atas semua individu terbabit.

Sumber memberitahu, ada pengusaha premis DVD mendakwa didatangi lebih 24 individu dari pelbagai agensi penguatkuasaan setiap bulan, meminta suapan bagi melindungi kegiatannya. Ada yang mengaku polis, kastam dan ada juga dari Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS). Disebabkan bimbang perniagaan terganggu, pengusaha mendakwa terpaksa beri suapan antara RM50 hingga RM200.

Mohon kerjasama SPRM

Kerana sudah tidak tahan lagi dengan kerugian yang ditanggung, pengusaha premis ini memohon kerjasama SPRM bagi memantau perbuatan anggota penguat kuasa itu, katanya.

Sumber dalaman SPRM memberitahu BH, pihaknya sememangnya sedang melakukan pemerhatian dan risikan terhadap aktiviti penerimaan rasuah oleh segelintir penguat kuasa di negeri ini...
sumber dari : http://www.bharian.com.my/

Tuesday, 13 May 2014

MIDF Peruntukan dana RM100j Bantu PKS

Mohd Fitri (tengah) menerangkan kelebihan salah satu mesin yang terdapat di AHP kepada Hamim (dua, kanan) dan Mohd Najib (dua, kiri).

MALAYSIAN Industrial Development Finance Bhd (MIDF) memperuntukkan RM100 juta bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan yang mengalami kesan kenaikan kos pekerja akibat pelaksanaan dasar gaji minimum.

Pengarah Urusan Kumpulan MIDF Datuk Mohd Najib Abdullah berkata, MIDF memperuntukkan sebanyak RM5 juta bagi setiap PKS di bawah bantuan itu.

“Ini ialah salah satu usaha kita untuk membantu PKS. Bantuan tersebut bukan untuk membayar gaji pekerja tetapi bertujuan mendorong mereka melakukan penambahbaikan dalam proses komersil dan modenisasi.

“Ia juga diharap membantu meningkatkan produktiviti PKS. Selain itu, pinjaman tersebut membantu pembelian mesin dan peralatan industri,” katanya pada sidang media selepas majlis perasmian dan lawatan ke Azman Hamzah Plastik Sdn Bhd (AHP) dan Industrial Quality Management Sdn Bhd (IQM), di Shah Alam, semalam.

Hadir dan merasmikan bangunan AHP dan IQM ialah Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Hamim Samuri.

Mohd Najib berkata, MIDF juga menyasarkan untuk menyalurkan bantuan pinjaman kerajaan RM600 juta kepada usahawan dan syarikat tempatan pada tahun ini berbanding RM500 juta pada tahun lalu.

Sementara itu, Pengarah Urusan AHP dan IQM , Mohd Fitri Md Aris berkata, syarikat itu dijangka merekodkan pertumbuhan jualan positif pada tahun ini.

Menurutnya, AHP menyasarkan pertumbuhan jualan naik kepada RM70 juta pada 2014 berbanding RM60 juta pada 2013.

sumber dari : http://www.sinarharian.com.my/
NORSHAHZURA MAT ZUKI

Monday, 12 May 2014

SLK sasar lantik 140 ejen utama

Pengasas Guru Niaga, Ahmad Fadhil Zainal Abidin (kiri) bersama Mohd Noorrizan menunjukkan kaedah lipatan yang digunakan bagi perkhidmatan lipat kain.

SYARIKAT peneraju dalam perkhidmatan Servis Lipat Kain (SLK), Guru Niaga Enterprise menyasarkan untuk mengembangkan perniagaan ke seluruh negara menerusi pelantikan lebih banyak ejen.

Pengasasnya, Mohd Mohd Noorrizan Mohamad Shafiee berkata, syarikatnya akan melantik 140 ejen utama di seluruh negara sepanjang tahun ini.

“Setakat ini, kami telah mempunyai ejen di Kuala Lumpur, Selangor, Perak, Kuantan, Terengganu dan Melaka, serta menerima 80 permohonan untuk menjadi ejen SLK.

“Bagaimanapun, kami akan memilih ejen yang mampu memberi komitmen penuh dan modal permulaan hanya RM100. Namun apa yang paling penting kami akan memberi latihan melipat kain mengikut standard ditetapkan serta mengajar ejen teknik berjumpa pelanggan dan sentiasa membuat susulan dengan mereka,” katanya.

Menurutnya, pihaknya juga dalam perancangan untuk mempelbagaikan lagi perkhidmatan yang ditawarkan seperti semburan pewangi supaya pakaian yang dilipat bukan saja kemas tetapi wangi.

Katanya, Guru Niaga buat masa ini akan memberi tumpuan lebih kepada membina jenama dan kepercayaan orang ramai. Kami yakin SLK akan terus berkembang kerana permintaan terhadap perkhidmatan ini dilihat semakin meningkat setiap hari.

"Kami menyasarkan untuk sekurang-kurangnya mempunyai 10 ejen SLK di setiap daerah daripada golongan suri rumah dan lepasan sekolah, serta setiap ejen akan melipat lebih 100 kilogram seminggu menjelang akhir tahun ini," katanya.

Mohd Noorizan berkata, hasil maklum balas daripada ejen sedia ada, mereka mampu menjana pendapatan empat angka sebulan dan menerima tempahan sekurang-kurangnya 250 kilogram (kg) pakaian dalam tempoh dua minggu,” katanya yang turut menyifatkan perkhidmatan SLK mampu berkembang maju berikutan faktor ekonomi serta gaya hidup masyarakat masa kini.

Mengulas berhubung perancangan masa depan syarikatnya, Mohd Noorizan berkata, dalam tempoh tujuh bulan lagi pihaknya merancang untuk menubuhkan syarikat perkongsian liabiliti terhad (PLT) supaya selain daripada memperoleh komisen, ejen juga menerima dividen.

Pada masa akan datang, kami juga mahu melatih ejen untuk memberi tumpuan menjalankan SLK berkonsepkan rumah kecil rumah pejabat (SoHo).

Perkhidmatan SLK mengenakan caj RM2 setiap kg kain dan pengambilan adalah percuma.

Guru Niaga Enterprise beribu pejabat di Station 18, Lahat, Ipoh, Perak dan menggunakan medium sosial termasuk Facebook untuk mempromosikan perkhidmatan kepada pelanggan di seluruh negara.

sumber dari : http://www.sinarharian.com.my/
CONNIE SYLVIE MONICAL

Sunday, 11 May 2014

MH370: waris terima RM14.2 juta

Kuala Lumpur : Syarikat insurans tempatan sudah membayar lebih RM14.2 juta kepada ahli keluarga penumpang pesawat MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu.

Presiden Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM), Vincent Kwo berkata, memandangkan keadaan yang luar biasa selepas kehilangan pesawat MH370, syarikat-syarikat insurans hayat di Malaysia mengambil pendekatan yang proaktif dalam mempercepatkan proses tuntutan iaitu bayaran pampasan kepada ahli-ahli keluarga penumpang yang mempunyai insurans hayat di dalam pesawat itu.

Menurutnya, bayaran sudah dibuat kepada beberapa ahli keluarga dan waris penumpang sejak beberapa minggu tanpa melalui proses tuntutan pampasan mengikut prosedur biasa.

“Sehingga ke hari ini, kira-kira RM14.2 juta sudah dibayar kepada waris daripada jumlah pampasan bernilai RM18.7 juta daripada 184 polisi insurans hayat milik mangsa.

“Baki RM4.5 juta itu masih dalam proses berikutan ahli keluarga mangsa belum membuat tuntutan secara rasmi,” katanya dalam kenyataan.

PKS digesa ubah budaya berfikir, berinovasi

SME Corp Malaysia

KUALA LUMPUR - Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia perlu mengubah budaya berfikir mereka dan segera berinovasi ketika mereka bergelut dengan situasi kenaikan kos menjalankan perniagaan di negara ini.

"Banyak PKS yang takut dengan inovasi, kerana merasakan ia akan melibatkan pelaburan besar dalam teknologi. "Dan, ia tidak semestinya benar," kata Pengarah Kanan Bahagian Ekonomi dan Perancangan Dasar SME Corp, Karunajothi Kandasamy.

SME Corp melihat banyak perniagaan kecil gagal menggunakan komputer mereka sendiri untuk menambah baik proses kerja, yang menyebabkan mereka menjadi kurang cekap, katanya.

Selain mengurangkan pembaziran seperti kos overhed, meningkatkan kemahiran kakitangan dan mencari segmen khusus untuk mengelakkan persaingan amat sengit merupakan antara perkara utama yang PKS perlu pertimbangkan, katanya.

Karunajothi berkata demikian semasa perbincangan panel mengenai: "Kenaikan Kos - Bagaimana Perniagaan Boleh Menanganinya?" yang dianjurkan oleh Unit Pengurusan prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu), di sini, hari ini.

Ahli panel lain, Timbalan Presiden Persatuan IKS Malaysia Michael Kang berkata PKS perlu bekerja keras untuk memikirkan usaha menambah baik perniagaan mereka dan bukannya menyalahkan persekitaran makro dan faktor-faktor luar ekoran landskap perniagaan yang mencabar.

"Mereka perlu merangka pelan bagi tempoh jangka panjang dan menimbang mengembangkan perniagaan di luar Malaysia," katanya.

Satu kaji selidik oleh SME Corporation Malaysia baru-baru ini mendedahkan bahawa PKS menanggung peningkatan kos bahan mentah dan overhed sejak 2010.  - Bernama