Wednesday 14 May 2014

SimplySiti fokus naikkan jualan 10 peratus

Koleksi Bronze SimplySiti yang dilancarkan, semalam.

SIMPLYSITI Sdn Bhd pengeluar rangkaian produk penjagaan kulit dan kosmetik tempatan, sasar peningkatan jualan sebanyak 10 peratus tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Muhammad Zain Ibrahim berkata, buat masa ini, SimplySiti fokus meningkatkan jualan produknya di pasaran tempatan selain menumpukan perhatian kepada jualan di Sabah dan Sarawak.

Katanya, syarikat itu kini sedang menjalankan kajian produk dan cuba menghasilkan produk mengikuti trend semasa untuk bersaing dengan syarikat kosmetik antarabangsa.

“Syarikat juga merancang menambah outlet bagi menjual produk SimplySiti yang memiliki lebih 200 jenis produk.

“Produk SimplySiti kini dipasarkan melalui 400 outlet melalui rangkaian farmasi dan gedung membeli-belah tempatan yang memberi akses mudah kepada pembeli untuk mendapatkannya,” katanya ketika Majlis Pelancaran Koleksi Bronze, di Putrajaya, baru-baru ini.

Hadir dan merasmikan majlis tersebut ialah pengasas SimplySiti Datuk Siti Nurhaliza Taruddin.

Muhammad Zain berkata, SimplySiti menyasarkan koleksi Bronze menyumbang 15 peratus kepada jualan keseluruhan tahun ini.

Berhubung perancangan syarikat, Muhammad Zain berkata, jenama itu akan memperkenalkan lima produk baharu menjelang akhir tahun ini antaranya penjagaan kulit dan barangan solek.

Sementara itu, Muhammad Zain berkata, syarikat tersebut turut melakukan beberapa kajian dan persiapan rapi untuk memasarkan produk SimplySiti ke pasaran luar negara kerana perlu bersaing dengan produk terkenal di peringkat antarabangsa.

“Produk SimplySiti mendapat permintaan tinggi dari beberapa negara seperti Bangladesh dan Timur Tengah,” katanya.

Tambahnya, kekuatan produk SimplySiti ialah pada status halalnya selain Siti Nurhaliza yang merupakan artis terkenal tempatan terlibat sepenuhnya dalam pembuatan produk ini.

sumber dari : http://www.sinarharian.com.my/
NORSHAHZURA MAT ZUKI

No comments: