Tuesday 13 May 2014

MIDF Peruntukan dana RM100j Bantu PKS

Mohd Fitri (tengah) menerangkan kelebihan salah satu mesin yang terdapat di AHP kepada Hamim (dua, kanan) dan Mohd Najib (dua, kiri).

MALAYSIAN Industrial Development Finance Bhd (MIDF) memperuntukkan RM100 juta bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan yang mengalami kesan kenaikan kos pekerja akibat pelaksanaan dasar gaji minimum.

Pengarah Urusan Kumpulan MIDF Datuk Mohd Najib Abdullah berkata, MIDF memperuntukkan sebanyak RM5 juta bagi setiap PKS di bawah bantuan itu.

“Ini ialah salah satu usaha kita untuk membantu PKS. Bantuan tersebut bukan untuk membayar gaji pekerja tetapi bertujuan mendorong mereka melakukan penambahbaikan dalam proses komersil dan modenisasi.

“Ia juga diharap membantu meningkatkan produktiviti PKS. Selain itu, pinjaman tersebut membantu pembelian mesin dan peralatan industri,” katanya pada sidang media selepas majlis perasmian dan lawatan ke Azman Hamzah Plastik Sdn Bhd (AHP) dan Industrial Quality Management Sdn Bhd (IQM), di Shah Alam, semalam.

Hadir dan merasmikan bangunan AHP dan IQM ialah Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Hamim Samuri.

Mohd Najib berkata, MIDF juga menyasarkan untuk menyalurkan bantuan pinjaman kerajaan RM600 juta kepada usahawan dan syarikat tempatan pada tahun ini berbanding RM500 juta pada tahun lalu.

Sementara itu, Pengarah Urusan AHP dan IQM , Mohd Fitri Md Aris berkata, syarikat itu dijangka merekodkan pertumbuhan jualan positif pada tahun ini.

Menurutnya, AHP menyasarkan pertumbuhan jualan naik kepada RM70 juta pada 2014 berbanding RM60 juta pada 2013.

sumber dari : http://www.sinarharian.com.my/
NORSHAHZURA MAT ZUKI

No comments: