Saturday, 1 November 2014

Kamera telefon boleh putar macam robot

Selepas lama spekulasi dan hampir tiada gambar benar terbocor, OPPO hari ini melancarkan telefon dengan kamera boleh putar terbarunya, N3. Sebelum ini, N1 telah diperkenalkan dengan kamera belakang yang boleh diputar ke depan untuk mengambil selfie pada kualiti terbaik.

OPPO N3 dikuasakan CPU Qualcomm Snapdragon 801 4-teras berkelajuan 2.3GHz, 2GB RAM dan 32GB memori dalaman. Ia menampilkan skrin sebesar 5.5-inci HD penuh 1920×1080, dan menggunakan kaca Corning Gorilla Glass 3 yang tahan lasak.

Perkara paling menarik dan unik pada N3 ini, ialah kameranya. Seperti N1 yang lepas, N3 mempunyai kamera belakang yang boleh diputar ke depan. Kali ini, OPPO menjadikan kamera belakang N3 boleh berputar sendiri. Ia boleh diputarkan dari belakang ke depan secara automatik atau manual. Hidupkan aplikasi kamera, pilih kamera hadapan dan ia akan berputar sendiri ke depan.

Gambar panorama kini boleh diambil lebih mudah, tanpa perlu menggerakkan telefon lagi. Pengguna hanya memegang telefon pada satu kedudukan, aktifkan mod panorama dan kamera akan berputar sendiri untuk merakam gambar secara panorama.

OPPO juga melengkapkan lagi kemampuan kamera ini, dengan fokus pengesan sasaran. Video boleh dirakam menggunakan fokus pengesan sasaran dan kamera akan berputar mengikut pergerakan subjek yang difokus, menjadikan video lebih stabil dan subjek kekal fokus di dalam rakaman.

Selain itu, OPPO bekerjasama dengan Schneider Optics dalam menghasilkan lensa kamera N3 ini. Dengan ini, ia membolehkan gambar yang diambil pada 16MP, dinaik taraf kepada kualiti 64MP, bagi yang memerlukan gambar lebih besar berkualiti tinggi serta kekal jelas dan tajam. ia juga dibantu pemproses Pure Image 2.0 Plus, yang membuat tetapan kecerahan, fokus, pengesanan muka dan lain-lain lagi sekelip mata sebelum pengguna habis menekan rakaman gambar.

Terdapat beberapa cara untuk memutarkan kamera belakang ke depan. Pengguna boleh memilih mod kamera depan dari dalam aplikasi kamera sendiri. Cara kedua, dari skrin aplikasi kamera, hanya sapu skrin dari atas ke bawah untuk memutar ke depan, atau sapu dari bawah ke atas untuk memutar ke belakang semula. Cara seterusnya, menggunakan O-touch di belakang dan menyapu sedikit demi sedikit untuk mendapatkan putaran sudut yang dimahukan.

Pengguna juga boleh mengawal kamera pada N3, dari jarak jauh menggunakan O-click 2.0 yang baru. Tekan lama butang pada O-click untuk mengaktifkan kamera, dan menggunakan arah atas, bawah, kiri dan kanan untuk mengawal sudut kamera, kemudian tekan butang sekali lagi untuk mengambil gambar.
Beberapa perkara lain yang baru pada N3 ini ialah seperti pengimbas cap jari yang terletak di belakang, serta OPPO Skyline yang menampilkan lampu notifikasi di bawah telefon dan boleh dilihat dari depan atau belakang.

N3 juga dilengkapi teknologi pengecasan pantas OPPO yang popular, iaitu VOOC mini yang kini tampil lebih kecil, tapi mengekalkan kemampuan mengecas 75% bateri dalam masa 30 minit. Malah, cas selama 5 minit akan membolehkan pengguna membuat panggilan dan bercakap selama 2 jam lamanya.
OPPO N3 dijangka akan mula dijual di pasaran antarabangsa bermula November 2014, dan tiba di pasaran Malaysia pada Disember 2014. Ia boleh didapati dalam warna putih, dengan harga yang diumumkan pada USD649 (~RM2199).

sumber : https://my.news.yahoo.com/

Kad prabayar isi minyak diperkenal

Azman (tengah) bersama B Ravintharan (kiri) dan Malhotra pada sidang media Kad Prabayar Shell easiGO American Express (Kad Prabayar Shell easiGO), semalam.

SHELL Malaysia menjangkakan untuk mencapai 80,000 langganan Kad Prabayar Shell easiGO American Express (Kad Prabayar Shell easiGO) yang dikeluarkan Maybank dengan memperoleh RM50 juta dalam masa enam bulan ia diperkenalkan.

Kad itu hasil kerjasama antara Shell dan dua syarikat kewangan terkemuka, Maybank dan American Express, bertujuan menyediakan cara pembayaran lebih selamat untuk mengisi minyak kenderaan.

Pengarah Urusan Shell Malaysia Trading Sdn Bhd dan Shell Timur Sdn Bhd, Azman Ismail berkata, Shell Malaysia yakin produk baharu itu akan menarik minat pelbagai golongan pengguna terutamanya mereka yang menginginkan cara pembayaran alternatif, melangkaui perkhidmatan kredit dan debit.

Katanya, kad Prabayar Shell easiGO direka bagi mempercepatkan proses mengisi minyak di stesen Shell tanpa melibatkan transaksi tunai, sekali gus membantu pengguna menjimatkan masa.

“Terdapat dua jenis Kad Prabayar Shell easiGO yang direka bagi pemandu kereta dan penunggang motosikal. Kad Prabayar Shell easiGO dilengkapi pelbagai manfaat serta ciri menarik termasuklah Insurans Lumpuh Kekal Keseluruhan percuma bernilai RM15,000 pada tahun pertama.

“Pemegang kad ini juga menikmati diskaun sehingga 10 peratus bagi pembelian produk pelincir di Shell Select,” katanya pada majlis memperkenalkan kad tersebut di Subang, semalam.

Azman berkata, selain membayar untuk produk dan perkhidmatan keluaran Shell, pelanggan juga boleh menggunakan kad tersebut di mana-mana kedai yang menerima Kad American Express di seluruh dunia.

Sementara itu, Ketua Bahagian Kad, Kumpulan Perkhidmatan Kewangan Komuniti Maybank, B Ravintharan berkata, dengan memanfaatkan perkhidmatan elektronik Maybank serta jaringan pengedaran Shell yang luas, Maybank berkeyakinan kad baharu itu akan diterima pelanggan.

“Kami menyasarkan pemegang kad baharu itu akan bertambah dari semasa ke semasa,” katanya.

Ravintharan berkata, pemegang kad dapat menambah nilai Kad Prabayar Shell easiGO di stesen Shell serta lebih 3,000 mesin ATM atau mesin deposit tunai Maybank di seluruh negara, pemindahan dalam talian dan perkhidmatan  GIRO antara bank (IGB).

Bagi Naib Presiden Pemasaran Baru, Perkhidmatan Rangkaian, American Express, Sanjiv Malhotra berkata, pelancaran kad baharu itu satu pencapaian penting perkembangan kad American Express di Malaysia.

“Pengenalan dapat memperkenalkan American Express kepada golongan pengguna baharu serta mkenawarkan lebih banyak pilihan dan kesenangan bagi mereka,” katanya.

sumber : http://www.sinarharian.com.my/

Telefon ternipis di dunia

OPPO R5 menampilkan telefon pintar dengan skrin HD penuh paling nipis di dalam pasaran kini, iaitu hanya setebal 4.85mm sahaja.

Badan kerangka R5 dibina menggunakan besi berkualiti tinggi, dan direka mengikut bentuk micro-arc yang tebal di luar dan tirus ke dalam, bagi memberikan rasa yang selesa dan lembut di dalam tangan ketika dipegang.

Di dalamnya, R5 dikuasakan CPU 64-bit pertama dari Qualcomm, iaitu Snapdragon 615, 8-teras berkelajuan 1.5GHz dan dipadankan dengan 2GB RAM serta 16GB memori dalaman. Disebabkan kenipisannya, ia tidak mmepunyai slot memori mikro-SD. Ia memiliki skrin 5.2-inci AMOLED HD penuh 1080p, yang mempunyai kecerahan dan warna terbaik, selain kurang reflektif di bawah terik mentari.

Walaupun nipis sebegini, R5 tetap dilengkapi dengan kamera berkuasa tinggi. Kamera belakangnya boleh merakam gambar pada 13MP dengan menggunakan sensor IMX 214 dan apertur F2.0. Ia dipertingkatkan lagi dengan teknologi PI 2.0 Plus bagi gambar yang lebih jelas, terang dan tajam. Ia mampu memfokus subjek dalam masa kurang dari 0.18 saat dan memberikan kualiti gambar 50MP dengan teknologi ini. Kamera hadapannya pula merakam gambar sebesar 5 MP.

Seperti N3, OPPO R5 akan mula dipasarkan di Malaysia pada bulan Disember 2014. Harga yang diumumkan ketika pelancaran ialah USD499 (~RM1699). Dua warna akan dihasilkan untuk R5 iaitu warna perak dan emas.

sumber : https://my.news.yahoo.com/

Friday, 31 October 2014

Harga iPhone 6 paling murah RM557

Maxis dan DiGi masing-masing telah mendedahkan pelan iPhone 6 dengan Maxis memperkenalkannya pada harga semurah RM659 manakala DiGi pula menawarkannya pada harga semurah RM557.

Maxis menawarkannya iPhone 6 dan 6 Plus pada pelan MaxisOne (RM158 sebulan), iValue Simple (RM50 sebulan), iValue 1 (RM100 sebulan), iValue 2 (RM155 sebulan) dan iValue 3 (RM250 sebulan).

DiGi pula menawarkannya pada pelan DG SmartPlan 50 (RM50 sebulan), DG SmartPlan 78 (RM78 sebulan), DG SmartPlan 108(RM108 sebulan) dan DG SmartPlan148 (RM148 sebulan).

Manakala Celcom pula dilihat masih belum memberitahu harga pelannya. Pengguna boleh menempah iPhone 6 dan 6 plus daripada syarikat itu bermula hari ini hingga 5 November dan memperoleh atau dihantar ke alamat paling awal sampai ke tangan pelanggan pada 6 November 2014.

Kedua-dua iPhone 6 baru ini dilengkapi paran Retina HD yang baru. iPhone 6 memiliki resolusi 1334 x 750 manakala resolusi untuk iPhone 6 Plus pula ialah 1920 x 1080. Rekabentuk iPhone 6 juga lebih nipis dari iPhone 5S iaitu iPhone 6 hanya senipis 6.8mm manakala iPhone 6 Plus 7.1mm.

Butang kuasa kini terletak pada kanan telefon, berbeza dengan sebelum ini apabila ia terletak di atas. Ini bagi memudahkan capaian menggunakan sebelah tangan, kerana penambahan saiz skrin.

sumber : https://my.news.yahoo.com/

Berhutang dalam Islam

ISLAM tidak melarang umatnya berhutang tetapi perlu melalui kontrak yang berlandaskan syarak

DEWASA ini, manusia berlumba-lumba mengejar kemewahan dan kesempurnaan hidup sehingga memerlukan mereka berhutang.

Golongan ini berpegang kepada prinsip gaya hidup mewah meskipun hutang keliling pinggang. Punca utama mereka berhutang adalah untuk menunjuk-nunjuk dan bermegah-megah kepada rakan-rakan serta memiliki harta yang lebih daripada orang lain.

Sikap pembaziran tanpa keperluan ini adalah dilarang sama sekali oleh Allah SWT sebagaimana disebut dalam surah Al-Isra’ ayat 27: Ertinya: “Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan dan syaitan itu pula adalah mahkluk yang sangat kufur kepada Tuhan-Nya”.

Namun, pada zaman moden yang mencabar ini, kos hidup dan harga barang keperluan semakin mencanak naik. Rentetan itu, kita terpaksa mencari jalan untuk menyelesaikan masalah tersebut.
Ia secara tidak langsung menjadikan berhutang sebagai lumrah dalam kehidupan manusia. Kita terpaksa berhutang untuk membeli kenderaan, rumah, perabot dan untuk memulakan sesuatu perniagaan. Justeru, berhutang sebagai perkara yang tidak dapat dihindarkan pada hari ini.

Konsep berhutang
Jika dilihat dari perspektif syariah, secara umumnya tidak ada halangan untuk berhutang dalam memenuhi keperluan masing-masing.

Antaranya, firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah yang menyebut: Ertinya: “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu, maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menulisnya dengan adil (benar)”. (Al-Baqarah: 282)
Ayat di atas menunjukkan bahawa konsep berhutang adalah dibenarkan dalam kehidupan manusia. Ia juga menggariskan beberapa syarat dalam berhutang seperti mestilah direkodkan bagi mengelakkan pertelingkahan bagi pihak berkontrak pada masa depan.

Bagaimanapun, Allah telah menjelaskan bahawa berhutang mestilah bersandarkan kepada beberapa kontrak yang diiktiraf syariah dan bukannya dengan cara yang tidak diredai Allah seperti riba. Ini dapat dilihat dalam firman Allah tentang pengharusan jual beli dan pengharaman riba dalam ayatnya: Ertinya: “Allah menghalalkan berjual beli dan mengharamkan riba.Allah kurangkan (kebaikan harta yang dijalankan dengan mengambil) riba dan mengembangkan (berkat harta yang dikeluarkan melalui) sedekah. Dan Allah tidak suka kepada orang-orang yang kekal terus dalam kekufuran dan selalu melakukan dosa.” (Al-Baqarah: 275 hingga 276).

Berdasarkan ayat-ayat yang dikemukakan di atas, meskipun Islam membenarkan konsep hutang tetapi Islam telah menggariskan beberapa penekanan utama perlu diperhalusi dalam hal ini. Hutang itu dibolehkan tetapi mestilah melalui mekanisme yang dibenarkan oleh Islam iaitu melalui kontrak yang berlandaskan syarak dan menjauhi elemen riba.

Di samping itu, Islam juga menegaskan supaya kita bersegera dalam membayar hutang untuk mengelakkan hutang berpanjangan dalam kehidupan kita. 

sumber : http://www.kosmo.com.my/

Subsidi petrol: Dilaksana setelah kerajaan puas hati kertas cadangan - PM



DUBAI 30 Okt. - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, subsidi petrol berdasarkan pendapatan hanya akan dilaksanakan setelah kerajaan berpuas hati dengan cadangan yang dikemukakan.
Menurutnya, adalah terlalu awal untuk beliau menjelaskan perkara itu kerana kerajaan belum meneliti kertas cadangan berkaitan.

“Sehingga keputusan dibuat yang pakejnya akan dijelaskan kepada umum kelak, sistem subsidi yang ada sekarang kekal,” katanya yang memberi masa penelitian cadangan tersebut sehingga akhir tahun depan.

Isnin lalu, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadz­lah mengumumkan bahawa rakyat berpendapatan rendah kurang RM5,000 sebulan akan diberi subsidi petrol sepenuhnya, manakala berpendapatan menengah bermula RM5,000 hingga RM10,000 sebulan menerima subsidi pada kadar lebih rendah.

Golongan berpendapat­an tinggi iaitu melebihi RM10,000 sebulan tidak akan menerima subsidi petrol dan perlu membayarnya mengikut harga pasaran.

Semasa pembentangan Bajet 2015, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan kerajaan akan membangunkan satu mekanisme baharu pemberian subsidi petroleum, agar pemberiannya lebih tersasar kepada golongan yang memerlukan. - UTUSAN ONLINE

sumber : http://www.utusan.com.my/

Thursday, 30 October 2014

Bank Rakyat dinobat Bank Islam Terbaik 2014



KUALA LUMPUR 29 Okt. – Bank Rakyat dinobatkan sebagai Bank Islam Terbaik 2014 pada Anugerah Kewangan Islam Dunia (GIFA) yang berlangsung di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) kelmarin.

Pengarah Urusan/Presiden Bank Rakyat, Datuk Mustafha Abd. Razak berkata, GIFA merupakan satu anugerah berprestij dalam perbankan dan kewangan Islam dunia yang diasaskan di atas satu objektif untuk mengiktiraf serta meraikan kejayaan juga sumbangan individu atau institusi dalam perkhidmatan kewangan Islam dari seluruh dunia.

“Ia juga bermatlamat untuk mempromosi tanggungjawab sosial, ketulenan syariah dan komitmen terhadap perbankan dan kewangan Islam.

“Ini merupakan satu lagi pengiktirafan kepada bank, selepas anugerah Program Syariah Terbaik pada Anugerah Forum Inovasi Mastercard yang dianjurkan di Singapura pada 25 September lepas,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Bank Rakyat merupakan bank koperasi Islam terbesar dan institusi kewangan Islam kedua terbesar di Malaysia berdasarkan jumlah aset, dengan keuntungan sebelum cukai dan zakat sebanyak RM2.13 bilion tahun lepas.

Sehingga Jun 2014, Bank Rakyat juga telah merekodkan keuntungan sebelum cukai dan zakat sebanyak RM1.110 bilion, peningkatan 0.22 peratus daripada RM1.107 bilion dalam tempoh yang sama tahun lalu.

sumber : http://www.utusan.com.my/

Malaysia duduki tangga ke-18 ekonomi maju

Gambar sekadar hiasan.

MALAYSIA menduduki tempat ke-18 dalam kalangan 189 ekonomi dunia berdasarkan Laporan Menjalankan Perniagaan 2015 oleh International Finance Corporation (IFC) Bank Dunia.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), Datuk Seri Mustapa Mohamed Malaysia berkata, Malaysia naik dua anak tangga berbanding tahun lepas di tangga ke-20.

“Menerusi laporan tersebut IFC Bank Dunia menukar kaedahnya untuk menilai prestasi setiap negara dengan menggunakan Skor Jarak Kepada Peneraju (DTF) berbanding menggunakan peratus bagi menentukan kedudukan sebelum ini.

“Bank dunia berpendapat kaedah itu memberikan kejelasan terhadap penambahbaikan yang perlu dibuat oleh negara terbabit selain berdaya saing,” katanya.
Menurutnya, kaedah baharu itu turut menunjukkan Malaysia mencatatkan penambahbaikan dalam lima petunjuk.

Kedudukan terbaharu ini meletakkan Malaysia mendahului beberapa ekonomi maju seperti Taiwan yang berada di tempat ke-19, Switzerland (20), Thailand (26), Belanda (27) dan Jepun (29).

sumber : http://www.sinarharian.com.my/

Primadona sasar jualan RM50 juta

Musharuddin (lima, kiri) dan Sarimah (tengah) bersama peserta lawatan Pengarah Majlis Amanah Rakyat (Mara) Indonesia dan India serta media Indonesia ke pejabat Primadona, di Petaling Jaya, semalam.

PRIMADONA Worldwide Sdn Bhd (Primadona), syarikat pengeluar produk penjagaan kesihatan berasaskan ekstrak sel induk tumbuhan, menyasarkan peningkatan sekali ganda bagi jualan produknya kepada RM50 juta pada 2015.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Presidennya, Musharuddin Mohd berkata, sasaran RM25 juta pada tahun ini hampir tercapai berikutan menerima sambutan yang menggalakkan terhadap kesemua produk yang dipasarkan.

Katanya, jualan produk Primadona di seluruh negara dan beberapa negara seperti Singapura, Brunei, Indonesia, Thailand, Jepun dan China menjadi penyumbang kepada pencapaian matlamat tersebut.

“Jualan di luar negara menyumbang kepada RM20 juta. Kami jangka akan memperkenalkan sistem pemasaran jualan langsung pelbagai peringkat (MLM) di beberapa negara tersebut.

“Primadona juga akan meluaskan pasaran produk ke beberapa negara dan sekarang dalam proses perbincangan di peringkat akhir,” katanya.

Beliau ditemui sempena lawatan Pengarah  Majlis Amanah Rakyat (Mara) Indonesia dan India bersama media Indonesia ke pejabat Primadona, di Petaling Jaya, semalam.

Musharuddin berkata, untuk mencapai sasaran tersebut juga, syarikat merancang menarik lebih ramai menjadi wakil jualan produk Primadona menjadi 70,000 orang.

“Setakat ini, jumlah ahli Primadona adalah 40,000 orang. Primadona menghasilkan lima produk iaitu Sari Age Gard, Sari Stem Serum, Sari Stem Shape, Sari StemSenor dan Sari StemSenorita,” katanya.

Sementara itu, Pengasas dan Pengerusi Primadona, Datuk Dr Sarimah Ahmad berkata, makanan kesihatan berasaskan ekstrak sel induk didapati mampu mengekalkan kesihatan dengan mengembalikan keupayaan pemulihan sel induk tubuh.

“Rangkaian produk kami mengandungi gabungan sinergistik ekstrak sel induk tumbuhan iaitu daripada Epal Swiss dan Greengage Plum,” katanya.

Beliau yang juga seniwati terkenal berkata, ilham menghasilkan produk tersebut selepas beliau mengalami masalah kesihatan.

Sarimah berkata, beliau yakin dengan penubuhan syarikat itu dan penjualan produk yang dibangunkan dengan teknologi dwi sel induk ini akan memberikan manfaat kepada semua.

“Saya menganggap dugaan tersebut sebagai rahmat dari ALLAH. Saya menghasilkan produk ini untuk dikongsikan demi kebaikan bersama. Mereka yang terlibat dalam penghasilan produk ini ialah Musharuddin dan  Pengarah Perubatan, Dr Mohd Nizar Zakaria.

“Walaupun produk Primadona masih baru di pasaran, Alhamdulillah, kami menerima sambutan yang baik. Saya sendiri merasai produk ini, dan saya mahu keberkesanan dan manfaat dikongsi dengan masyarakat,” katanya.

Bagi Pengarah Majlis Amanah Rakyat (Mara) Indonesia dan India, Zuliana Haslinda Anhar Zubir berkata, beliau mahu mempromosikan produk perusahaan kecil dan sederhana (SME) Malaysia ke Indonesia.

“Melalui promosi sebegini ia dapat membantu jaringan perniagaan yang lebih luas sekali gus dapat meningkatkan kerjasama dan hubungan antara dua negara,” katanya.

sumber : http://www.sinarharian.com.my/

Wednesday, 29 October 2014

Proton usaha tangani persepsi negatif rakyat

PROTON berusaha untuk menangani persepsi negatif rakyat Malaysia terhadap kereta keluarannya dengan menambah baik dan menaik taraf setiap model baharu, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata kereta Proton hari ini menunjukkan prestasi lebih baik berikutan ia dijana oleh enjin yang cekap.

"Setiap model baharu Proton merupakan penambahbaikan daripada yang sebelumnya. Proton bermula dengan mengeluarkan kereta biasa, seperti Proton Saga, tetapi kereta Proton hari ini sangat sofistikated," katanya dalam ucaptamanya pada Seminar Memperkasa Industri Automotif Negara di Cyberjaya hari ini.

Dr Mahathir, yang juga Pengerusi Proton, berkata rakyat Malaysia masih tidak berkeyakinan bahawa Proton mengeluarkan kereta yang baik berikutan kebanyakan pengguna hanya mengingati generasi awal Proton yang tingkap automatiknya tidak berfungsi.

"Hari ini tingkap automatik kereta Proton turun dan naik dengan cekap," katanya, sambil menambah Proton berusaha untuk mengeluarkan kereta bertaraf dunia.

Beliau berkata kereta Proton hari ini sebaik kereta yang diimport dan lebih murah, seperti Proton Iriz yang baru dilancarkan. - Bernama

RM2 juta lesap dalam van keselamatan


SHAH ALAM – Polis menahan empat orang pengawal sebuah syarikat keselamatan bagi membantu siasatan berhubung kehilangan misteri wang tunai kira-kira RM2 juta dalam van keselamatan yang mereka naiki di Les­tari Perdana, Seri Kembangan, Serdang malam kelmarin.

Mereka yang berusia 20 hingga 40 tahun diberkas selepas membuat laporan kehilangan van keselamatan tersebut pada kira-kira pukul 9.30 malam.


Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Samah Mat memberitahu, sebelum kejadian, tiga daripada pengawal berkenaan mendakwa mereka keluar dari van tersebut untuk berhenti makan di sebuah restoran dekat kawasan Lestari Perdana.

Katanya, seorang lagi rakan mereka yang juga pemandu van itu mendakwa tidak sihat dan tidur di dalam van tersebut.

Bagaimanapun, katanya, 20 minit selepas menjamu selera, mereka mendakwa kenderaan terbabit didapati hilang.

sumber : http://www.kosmo.com.my/
Oleh MUHAMMAD RIDUAN MOHD. HANAFIAH

Harga MSM dijangka naik tahun depan

KUALA LUMPUR 28 Okt. - Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) menjangkakan harga minyak sawit mentah (MSM) meningkat antara RM2,100 dan RM2,500 tahun depan, didorong oleh faktor-faktor seperti peningkatan permintaan bahan api bio dan harga petroleum.

Ketua Pegawai Operasinya, Tan Sri Yusof Basiron berkata, selain faktor bekalan dan permintaan, permintaan terhadap bahan api bio dan peningkatan harga petroleum akan menentukan jumlah bio diesel yang akan diperlukan.

“Pengumuman oleh Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Douglas Uggah Embas, untuk mengenakan syarat penggunaan tujuh peratus minyak sawit dalam bio diesel daripada lima peratus sekarang, merupakan langkah yang akan mengukuhkan harga MSM,” katanya.

Basirom berkata demikian pada Seminar dan Pesta Perdagangan Minyak Sawit Antarabangsa MPOC di sini hari ini.

Uggah Embas dilaporkan berkata, langkah itu bertujuan mengurangkan jumlah stok dan meningkatkan harga tahun ini yang telah menurun sehingga 20 peratus.

Pelaksanaan baharu itu akan bermula secara berperingkat mulai November di Semenanjung Malaysia dan Disember depan untuk Sarawak, Sabah serta Wilayah Persekutuan Labuan, katanya.

Menurut Yusof, kerajaan juga sedang berusaha untuk menghapuskan faktor-faktor yang memberi tekanan ke atas harga melalui pengecualian duti eksport ke atas MSM.

“Ini akan menghapuskan sebarang faktor penurunan yang memberi kesan ke atas harga minyak sawit.
“Langkah ini juga akan merangsang eksport negara ini dan membantu merasionalisasikan paras stok memandangkan pengeluaran minyak sawit sekarang ini telah memasuki kitaran pengeluaran yang rendah,” katanya. – BERNAMA

sumber : http://www.utusan.com.my/