Thursday, 5 May 2016

Kapal tenggelam 100 tahun muncul di Sungai Pahang

Kapal tenggelam 100 tahun muncul di Sungai Pahang. – Foto Sinar Harian

PEKAN - Penemuan bangkai kapal didakwa kapal dagang milik British yang timbul di Sungai  Pahang dekat Kampung Tanjung di sini  sejak sebulan lalu menarik perhatian  penduduk kampung.

Bangkai kapal itu timbul  selepas paras air di sungai itu  semakin cetek susulan cuaca panas berterusan kesan fenomena El Nino yang melanda negara ketika ini.

Seorang penduduk, Ahmad Abdullah, 84,berkata,  Sungai Pahang  pernah menjadi laluan kapal dagang British sekitar awal tahun 1800-an membawa hasil dagang seperti beras, garam dan sebagainya ke Semantan, Temerloh dan Kuala Lipis.

Menurutnya, kisah kewujudan kapal itu pernah diceritakan arwah ayahnya, Abdullah Bidin, ketika dia masih kecil dan ketika itu kapal tersebut dikenali dengan panggilan kapal belangkas.

Katanya, bangkai  kapal yang timbul itu mungkin salah satu yang pernah karam sekitar tahun 1811 atau 1815.

“Kapal itu panjangnya kira-kira 100 meter dan bergerak menggunakan enjin kuasa wap,” katanya.

"Kebanyakan  penduduk mengetahui  kisah kapal dagang yang karam di Sungai Pahang namun tidak pernah melihat  sendiri keadaannya sehinggalah selepas  sungai ini surut,” katanya ketika ditemui di sini.

Ahmad berkata, menurut cerita arwah ayahnya, orang ramai terutama budak-budak dilarang mandi atau menghampiri tapak kapal itu karam kerana paras air yang dalam berbanding bahagian lain di sepanjang sungai terbabit.

"Masa kecil dulu kami pun tidak dibenarkan menghampiri kawasan ini kerana airnya sangat dalam selain ditakutkan kononnya kawasan itu  ‘keras’.

"Ketika  musim kemarau sebelum ini pernah  ternampak tiang kapal itu timbul namun kali ini bangkai kapal itu semakin timbul dan nampak lebih jelas,”katanya. - sinarharian.com.my/

Wednesday, 4 May 2016

Rasuah: Dua pemimpin Umno berdepan hukuman penjara

Nor Azamuddin (kiri) kelihatan menuding jari ke arah pengamal media sambil memberi amaran supaya tidak merakam wajahnya. - Foto Sinar Harian

ALOR SETAR - Dua pemimpin Umno Pulau Pinang berhadapan hukuman penjara selama 20 tahun selepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Alor Setar, hari ini atas tiga pertuduhan berkaitan rasuah.

Mereka adalah Bendahari Umno Bahagian Permatang Pauh, Nor Azamuddin Ahmad dan Naib Ketua Pemuda Umno Bahagian Permatang Pauh, Farid Idris Khan.

Masing-masing dihadapkan ke mahkamah untuk sebutan semula kes selepas diikat jamin RM8,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin pada 9 Mac lalu.

Nor Azamuddin yang hadir mengenakan baju kemeja bercorak petak dan Farid memakai baju kemeja berwarna kelabu kelihatan tenang ketika berada dalam kamar mahkamah.

Bagaimanapun, pengamal media yang membuat liputan kes dimarahi dan diberi amaran oleh mereka agar tidak merakam gambar ketika di luar mahkamah.

Mereka kemudian cuba menyembunyikan diri di satu sudut selama beberapa minit untuk mengelak gambar dirakam.

Berdasarkan kertas pertuduhan, mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Persiaran KTC 4/3, Kulim Techno City Golf View, Kulim Hi-Tech Park, Kulim, pada 2014.

Nor Azamudin Ahmad didakwa melakukan kesalahan pertama pada 4 Mei 2014 dengan menerima suapan wang tunai RM45,000 daripada seorang ahli perniagaan bergelar Datuk sebagai dorongan mendapatkan kuota beras Standard Tempatan dengan 15 peratus hancur (ST15) sebanyak 100 tan metrik untuk perniagaan sebuah syarikat bagi bulan Mei dari Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, Nor Azamuddin didakwa menerima rasuah masing-masing berjumlah RM45,000 daripada individu sama sebagai dorongan mendapatkan bekalan beras ST15 sebanyak 100 tan metrik pada 6 Jun dan 2 Julai 2014.

Nor Azamuddin dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 Akta yang sama.

Sementara itu, Farid dituduh bersubahat dengan Nor Azamuddin yang menerima suapan RM45,000 daripada individu sama pada 4 Mei 2014 sebagai upah untuk mendapatkan kuota beras ST15 sebanyak 100 tan metrik.

Farid didakwa mengulangi kesalahan itu pada 6 Jun dan 2 Julai di lokasi sama.

Kes disebut mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang dibaca bersama Seksyen 28 Akta yang sama dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 Akta yang sama.

Bagi kesalahan itu, masing-masing boleh dipenjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwaraya SPRM, A Hafizh Abu Bakar manakala kedua-duanya diwakili peguam, Ang Chun Pun.

Hakim, Zanol Rashid Hussain menetapkan 2 Jun untuk serahan dokumen dan sebutan semula kes. - sinarharian.com.my/

Tuesday, 3 May 2016

30,000 pekerja diberhentikan jika PGM 2016 berkuatkuasa

Shamsuddin Bardan

KUALA LUMPUR - Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) berharap kerajaan menangguhkan pelaksanaan jadual gaji minimum meskipun Perintah Gaji Minimum 2016 (PGM 2016) akan berkuatkuasa mulai 1 Julai tahun ini.

Pengarah Eksekutifnya, Datuk Shamsuddin Bardan berkata, jika dasar ini terus dilaksanakan, dianggarkan 30,000 pekerja terutama di peringkat bawahan berdepan tindakan pemberhentian kerja oleh majikan sebelum Julai ini.

"Majikan terpaksa menanggung kos yang tinggi jika PGM 2016 berkuatkuasa berikutan cabaran ekonomi semasa.

"Bagi mengurangkan kos operasi, kemungkinan besar mereka akan melakukan 'retrenchment' sebelum Julai kerana jika mereka melakukan selepas Julai, sudah tentu mereka terpaksa menanggung kos lebih tinggi dari segi pembayaran faedah berhenti kerja dan sebagainya," kata beliau kepada pemberita, di sini, hari ini.

Beliau turut menganggarkan 60,000 pekerja akan diberhentikan kerja sepanjang tahun ini berikutan keputusan kerajaan menguatkuasakan PGM 2016 mulai 1 Julai dengan gaji minimum dinaikkan kepada RM1,000 bagi pekerja di Semenanjung manakala RM920 untuk pekerja di Sabah, Sarawak dan Labuan.

Shamsuddin berkata, pekerja yang berisiko diberhentikan kerja ialah dari pelbagai sektor terutama sektor minyak dan gas, perbankan dan kewangan, insurans serta peruncitan.

"Kita tahu sekarang dari segi perolehan sektor peruncitan terutama pasar raya besar, banyak mengalami penurunan dan sesetengah mereka telah menjalankan pemberhentian pekerja walaupun dari segi amalannya mereka masih mengamalkan "voluntary retrenchment," katanya.

Beliau berkata, situasi ini amat membimbangkan dan kerajaan sepatutnya mengambil pendekatan membantu syarikat-syarikat tempatan bertahan dalam masa yang sukar supaya dapat mengekalkan pekerja.

Katanya, sepanjang tahun lepas, banyak syarikat besar merekodkan penurunan perolehan iaitu 30 hingga 40 peratus dan menyebabkan 38,000 pekerja terpaksa diberhentikan. - Bernama/sinarharian.com.my/

Monday, 2 May 2016

Makan Ayam Terapi Al-Quran Boleh Buat Minda Lebih Tajam?

Peniaga kini memasarkan ‘ayam terapi’ yang dibacakan ayat al-Quran.

MEMANG melampau apabila ada peniaga sanggup menjaja nama agama demi mengaut keuntungan apabila menjual ayam yang dibacakan ayat-ayat al-Quran, kononnya boleh menguatkan minda individu yang memakannya.

Produk yang digelar “ayam terapi al-Quran” itu dilaporkan dijual dengan harga kira-kira RM14 untuk satu kg, dua kali ganda mahal berbanding ayam biasa RM7 per kg.

Menurut laporan sebuah akhbar, ia dijual di sekitar ibu kota, selain turut dipromosikan di media sosial dengan mendakwa ayam mereka disahkan halal, mengikut hukum syarak dan telah dibacakan al-Quran.

 

Selepas semua ayam ini siap disembelih dan dibersihkan, kita akan simpan dalam bilik sejuk beku dan ketika ini, ayam berkenaan akan melalui proses terapi dengan alunan bacaan ayat al-Quran dan ruqyah,” kata salah seorang peniaga dilapor akhbar itu.

Ruqyah merupakan ayat al-Quran yang biasa dibacakan dalam perubatan alternatif Islam.

Peniaga ayam ‘terapi’ tersebut turut mendakwa bahawa elemen ruqyah ayam tersebut boleh mencegah bala dan penyakit.

Tujuan kita adalah untuk menyelesaikan masalah umat Islam yang sering berdepan dengan unsur syubhah dalam pemakanan dan kita cuba membantu dengan cara yang lebih Islamik,” dakwa peniaga.

Menurut laporan itu, ayam tersebut juga menggunakan bahan makanan terkawal dan tidak mengandungi sisa haiwan lain.

Selepas ayam disembelih organ dalamannya akan diasingkan sebelum ayam dicelur untuk proses pembersihan.

Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Prof Emiritus Tan Sri Dr Abd Shukor Husin berkata, kaedah penjualan itu diputuskan sebagai salah selepas dibincangkan beberapa kali dalam siri muzakarah dan forum.

Tindakan peniaga yang menggunakan promosi agama semata-mata untuk melariskan perniagaan bertentangan dengan prinsip Islam.

Keadaan ini boleh menimbulkan unsur penipuan serta terdapat pihak yang mengambil kesempatan,” katanya. 

Larangan berkenaan penggunaan ruqyah ini turut diperjelaskan oleh Mufti perlis, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang memberitahu menjual bahan-bahan jampian tidak diamalkan oleh Salaf al-Soleh kerana boleh menimbulkan kekeliruan penyalahgunaan kalimah Allah untuk keuntungan duniawi. – mynewshub.cc/

Sunday, 1 May 2016

John Rambo dan rakan diburu

FOTO PDRM

Kuala Lumpur: Seorang penggali kubur bergelar John Rambo sedang diburu polis manakala rakan sejenayahnya berusia 39 tahun sudah ditahan polis pada jam 9.30 pagi tadi di kawasan kubur Jalan Kuari, Cheras berhubung kes serangan ke atas dua anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Cheras. 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Zainuddin Ahmad berkata, John berusia 44 tahun itu dipercayai masih bersembunyi di kawasan kubur yang sama. 

Menurutnya,kedua-dua suspek diburu polis selepas terbabit dalam kejadian serangan menggunakan parang ke atas dua anggota polis ketika serbuan dijalankan ke atas sebuah stor di Jalan Kuari pada jam 6 petang semalam. 

"Suspek yang diburu itu mempunyai lima rekod kes dadah. 

" Mengenai anggota yang cedera pula, seorang daripadanya sudah dibenarkan pulang semalam, manakala seorang lagi masih dirawat di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) dan dilaporkan dalam keadaan stabil," katanya. - hmetro.com.my/