Saturday, 10 October 2015

Lelaki Mendakwa Temui Bangkai Pesawat MH370 Di Pulau Selatan Filipina



Oleh: RUBEN SARIO 

KOTA KINABALU: Polis Sabah menerima laporan yang mendakwa sebuah bangkai pesawat yang mempunyai bahagian dicat bendera Malaysia ditemui di sebuah pulau di selatan Filipina.

Laporan itu dibuat oleh seorang lelaki yang mengatakan bahawa bangkai yang dikesan terdapat rangka manusia di bahagian dalamnya ditemui oleh anak saudara lelakinya dari kepulauan Tawi Tawi, di Pulau Ubian di selatan Filipina beberapa hari lalu.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, lelaki berkenaan membuat laporan di balai polis Sandakan pada Sabtu.

"Perkara ini sedang disiasat," katanya menerusi satu pesanan teks kepada The Star.Dalam laporan yang dibuat lelaki itu yang merupakan juruteknik audio visual berusia 40-an berkata, anak saudara lelakinya bersama beberapa yang lain sedang memburu burung apabila menemui bangkai pesawat di pulau itu.

Mereka mendekati bangkai pesawat berkenaan yang kemudiannya menemui tulang manusia. Mereka turut menjumpai rangka manusia di kerusi juruterbang dengan tali pinggang keledar yang masih dipasang.

Mereka kemudiannya mengambil sebuah bendera yang ditemui di dalam bangkai pesawat tersebut sebelum meninggalkan kawasan itu.

Lelaki tersebut mengatakan bahawa dia memaklumkan kepada polis mengenai bangkai pesawat itu mungkin milik pesawat yang hilang tahun lalu.

Pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 yang membawa 239 penumpang dan anak kapal hilang pada Mac tahun lalu dalam penerbangannya dari Kuala Lumpur ke Beijing.

Insiden itu mencetuskan salah satu pencarian terbesar untuk sebuah pesawat yang menumpukan selatan Lautan Hindi.

Pada bulan lalu, pihak berkuasa Perancis mengesahkan satu serpihan sayap ditemui di pantai Pulau Reunion di Lautan Hindi yang telah dikenali pasti sebagai sebahagian daripada bangkai pesawat MH370.

sumber : mStar.com.my

Kehilangan Orang Asli SK Tohoi: Dua mangsa, mayat ditemui di bawah akar pokok besar.



Kedua-dua mangsa mendapati mereka hanya makan rumput dan buah-buahan yang ditemui di sekitar kawasan berkenaan. - Foto JBPM 

GUA MUSANG: Dua kanak-kanak perempuan Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi yang hilang sejak Ogos lepas dan ditemui selamat tengah hari tadi, dijumpai di bawah akar pokok besar yang bergayutan di tebing Sungai Perias di sini.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata dua mangsa yang masih hidup itu, Miksudiar Alui, 11, dan Norieen Yaakob, 10, ditemui kira-kira 3.3km dari Pusat Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) pada 12.15 tengah hari, bersama satu mayat perempuan.

"Mayat yang ditemui pula dikenali sebagai Ika Ayel, 9, selepas proses pengecaman yang dilakukan oleh anggota keluarganya petang ini di Hospital Gua Musang (HGM). Mangsa meninggal dunia kira-kira empat hari lepas," katanya pada sidang media di HGM di sini, hari ini.

Mazlan berkata Miksudiar dan Norieen ditemui dalam keadaan lemah kerana dehidrasi dan hasil temu bual awal dengan kedua-dua mangsa mendapati mereka hanya makan rumput dan buah-buahan yang ditemui di sekitar kawasan berkenaan.

Kedua-dua kanak-kanak itu, yang ditemui selepas 48 hari hilang, adalah antara tujuh murid Orang Asli iaitu enam perempuan dan seorang lelaki berusia antara 7 dan 11 tahun dari SK Pos Tohoi, yang melarikan diri dari asrama sekolah itu kerana takut dikenakan tindakan guru selepas didapati mandi di sungai berdekatan tanpa kebenaran pada 23 Ogos lepas.

Sebelum ini, pasukan mencari dan menyelamat pada Rabu lepas menemui satu mayat kanak-kanak perempuan yang telah reput di sungai itu, yang kemudian dikenal pasti sebagai Sasa Sobrie, 8.

Semalam, sebahagian tengkorak dan beberapa batang tulang rusuk kanak-kanak ditemui kira-kira 500 meter dari lokasi penemuan mayat Sasa. Bagaimanapun, identitinya masih belum dikenal pasti.

Berdasarkan penemuan itu, pasukan mencari dan menyelamat menggiatkan usaha untuk mencari baki murid-murid yang masih hilang.

Setakat ini, tiga yang masih belum ditemui dan dikenal pasti adalah Juvina David, 7; Linda Rosli, 8; dan Haikal Yaakob, 8.
 

sumber : astroawani.com/

TPP: Kerajaan berhadapan risiko disaman



KUALA LUMPUR – Kerajaan mungkin berhadapan dengan risiko disaman Amerika Syarikat sebaik sahaja rundingan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) dimuktamadkan.

Ini kerana menurut Ketua Eksekutif Operasi Majlis Tindakan Ekonomi Melayu, Mohd Rizal Jaapar masih banyak dasar negara yang berbeza dengan dasar yang ditetapkan oleh Amerika Syarikat.

“Inilah yang kita cuba sampaikan kepada semua pihak. Bila sampai masanya, kita semua perlu nyatakan penolakan kita terhadap TPP kerana dasar kita berbeza dengan mereka.

“Kita hanya ada masa tiga bulan sahaja lagi. Kita sudah tidak ada masa. Apabila kerajaan bersetuju untuk menjadi sebahagian daripada negara yang bersetuju terhadap rundingan tersebut, kerajaan tidak ada pilihan lainselain terpaksa menyesuaikan kandungan tuntutan TPP mengikut perundangan kita. Jika kita gagal, kita akan rugi dan kerajaan akan disaman,” katanya dalam sidang media Majlis NGO-NGO membantah TPP di sini, hari ini.

Isnin lalu, Malaysia bersama 11 negara lain telah mencapai persetujuan dalam rundingan perdagangan bebas TPP yang akan menghapuskan sekatan dan memudahcarakan prosedur perdagangan di semua negara anggota.

Memetik sumber Reuters, perkara itu sudah dipersetujui oleh semua Menteri-Menteri Perdangan negara Pasifik yang menghadiri mesyuarat Menteri-Menteri TPP di Atlanta, Amerika Syarikat bermula Rabu lalu.

Tambahnya lagi, meskipun kerajaan sudah mempersetujui penyertaan negara dalam kumpulan TPP, pihaknya tidak akan mudah menyerah dan akan terus melakukan kempen untuk menolak rundingan perjanjian tersebut.

“Pihak kami sudah melakukan kajian terhadap TPP dalam tempoh yang agak lama, seiring dengan tempoh masa perbincangan TPP diadakan secara sulit terdahulu.

“Kami sudah drafkan 75 garis merah yang perlu diambil kira semasa kerajaan bersetuju menandatangani TPP. Kalau betul 75 garis merah ini dipenuhi, maka kita boleh benarkan dasar TPP digunapakai di negara ini,” katanya lagi. 

sumber : sinarharian.com.my/

Friday, 9 October 2015

Video kanak-kanak diculik viral di media sosial



Sebuah video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang memaparkan seorang kanak-kanak berusia enam tahun diculik, tersebar luas di laman media sosial hari ini.

KUALA LUMPUR: Sebuah video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang memaparkan seorang kanak-kanak berusia lima tahun diculik, tersebar luas di media sosial hari ini.

Video berdurasi 20 saat itu menunjukkan dua lelaki memakai kemeja hitam bercakap dengan ibu kanak-kanak tersebut dipercayai untuk bertanyakan jalan sebelum salah seorang daripada mereka tiba-tiba mengangkat kanak-kanak itu dan dengan pantas meninggalkan tempat kejadian dengan kereta.

Ibu kanak-kanak itu sempat mengejar kedua-dua lelaki tersebut ke kereta sebelum dilihat terjatuh.

Beliau kemudian memuat naik gambar anaknya ke akaun Facebooknya, atas nama Cammi Lim Ker Shing, dan meminta bantuan orang ramai untuk mencari anaknya.
 

Menurutnya, kejadian berlaku di sebuah tadika di Sungai Chua, Kajang dan anaknya dilarikan di dalam kereta jenis Proton Saga berwarna hitam.

Video serta gambar kanak-kanak yang diculik itu kini dikongsi meluas di Facebook, Twitter dan WhatsApp.
Astro AWANI telah cuba menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang untuk mendapatkan pengesahan berhubung insiden ini namun masih tidak berjaya setakat ini.

sumber : astroawani.com/

Kadar tambang baharu LRT dijangka diumum sebelum 31 Okt - SPAD



KUALA LUMPUR: Penyelarasan kadar tambang baharu bagi perkhidmatan transit aliran ringan (LRT) dan monorel akan diumumkan hujung bulan ini.

Menurut Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Tan Sri Syed Hamid Albar, kertas cadangan penyelarasan kadar baharu itu telah mendapat kelulusan kabinet, baru-baru ini.

Menurut Syed Hamid, SPAD sedang mengadakan perbincangan dengan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) mengenai perkara berkenaan sebelum diumumkan menjelang 31 Oktober ini.

"Kami telah mendapatkan kelulusan kabinet dan pihak SPAD telahpun menulis kepada perdana menteri untuk memastikan ia diluluskan mengikut prosedur ditetapkan.

"Selepas dimuktamadkan, ia akan diumumkan sebelum 31 Oktober," katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan projek sambungan LRT laluan Ampang di stesen LRT Awan Besar di ibu negara.

Fasa satu pembinaan melibatkan empat stesen baharu iaitu Awan Besar, Muhibbah, Alam Sutera dan Kinrara BK5 hampir siap sepenuhnya dan bakal dilancarkan hujung bulan ini.

Dalam pada itu, SPAD katanya, akan berusaha memastikan penyelarasan tambang baharu yang akan dilaksanakan kelak tidak membebankan rakyat.

"Orang ramai ingin mendapatkan khidmat terbaik. dalam usaha menawarkan khidmat terbaik dalam pengangkutan awam pastinya akan wujud elemen kos. Namun kami akan memastikan kadar tambang baharu kelak tidak menjadi beban kepada rakyat."

Kali terakhir semakan kadar tambang dilakukan adalah pada tahun 2002.

sumber : astroawani.com/

Thursday, 8 October 2015

'November Blackout' akan berlaku pada 15 hingga29 November ini.

 

Oleh Muhammad Saufi Hassan

Kuala Lumpur: Agensi Angkasa Negara (ANGKASA) menafikan dakwaan yang ‘viral’ di Internet kononnya bumi akan bergelap selama 15 hari kerana kedudukan dua planet iaitu Musytari dan Zuhrah dalam garis selari.

Berita palsu itu turut menyatakan bahawa fenomena yang dikenali 'November Blackout' akan berlaku pada 15 hingga29 November ini.

Jurucakap Unit Komunikasi Korporat ANGKASA memaklumkan bahawa dakwaan itu sama sekali tidak benar dan sengaja direka-reka untuk tujuan tertentu.

"Berita palsu itu mendakwa bahawa Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA) kononnya mengesahkan bahawa bumi akan bergelap selama 15 hari dan fenomena itu dikenali sebagai 'November Blackout'.

"ANGKASA ingin menegaskan bahawa berita itu adalah palsu dan hasil semakan daripada laman web rasmi NASA turut menafikan perkara itu," katanya dalam satu kenyataan akhbar, di sini, hari ini.

sumber : hmetro.com.my

Jenazah nelayan yang meninggal dunia pada tahun 2009 tidak reput


JENAZAH Ismail yang masih sempurna ketika ditemui oleh Azhar di Tanah Perkuburan Islam Masjid Tuan Husain, Bukit Tukang Jusoh, Jalan Pantai Merdeka, Sungai Petani, baru-baru ini.

SUNGAI PETANI – Seorang penggali kubur dan dua rakannya terkejut apabila menemui satu jenazah lelaki yang telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Tuan Husain di Bukit Tukang Jusoh, Jalan Pantai Merdeka di sini sejak enam tahun lalu masih dalam keadaan baik.

Penggali kubur tersebut, Azhar Zainul Abidin, 37, menceritakan, dia bersama dua rakannya menggali kubur untuk satu jenazah wanita dari Kampung Telok Nipah, Jalan Pantai Merdeka yang meninggal dunia pada Isnin lalu.

“Setelah selesai menggali kami dapati kawasan yang disangka kawasan kosong itu rupa-rupanya kubur satu jenazah lelaki yang telah meninggal dunia pada Jun 2009. 

sumber : kosmo.com.my/

Apa Itu TPPA? Bencana atau Rahmat Bagi malaysia?


Sekarang ini rakyat Malaysia ada yang mula tertanya-tanya apa status dengan perjanjian TPPA Malaysia dengan kuasa dunia ini, Amerika Syarikat.
  • Adakah sudah sign dan tandatangan?
  • Ada juga yang masih baru pertama kali dengar dengan perkataan TPPA, apa itu TPPA, tanya mereka.
  • Ada juga yang tidak kisah dengan TPPA, asalkan mereka boleh makan, pakai, pergi kerja.
  • Jadi macam-macam jenis manusia hari ini.
Berdasarkan kenyataan yang diberikan oleh Khairy Jamaluddin mengenai isu Perjanjian TPPA Malaysia ini seperti yang dikongsikan pada gambar di bawah ini, beliau mengatakan disebalik tandatanya rakyat Malaysia disebalik status perjanjian TPPA Malaysia ini :
  1. kita boleh masukkan klausa
  2. Kita masih boleh tukar apa intipati yang terkandung dalam perjanjian tersebut
  3. Dan apabila kedua-dua pihak telah bersetuju, tinggal tandatangan sahaja
  4. Apabila sudah tandatangan, maka perjanjian itu telah menjadi rasmi dan kedua-dua pihak mestilah bersetuju dengan perjanjian yang telah ditandatangani itu.
  5. Nah…inilah yang cuba Khairy Jamaluddin sampaikan.
Berita Semasa sempat meneliti kenyatan rasmi daripada Rumah Putih aka White House melalui Presiden USA Barack Obama. Apa katanya? Bersama-sama ini Berita Semasa ada kongsikan kenyataan rasmi Barack Obama mengenai TPPA dan kesan TPPA bersamaan dengan kenyataan daripada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia MITI seperti di bawah ini :

Kenyataan Barack Obama dan Menteri MITI : Perjanjian TPPA Malaysia?

Jikalau anda perhatikan Berita Semasa “highlightkan” beberapa intipati penting disebalik kenyataan rasmi Barack Obama itu seperti yang tertera di atas.

Apa yang boleh Berita Semasa katakan setakat ini, nah ketuanan USA bakal datang tidak lama lagi. Perhatikan betul-betul baris perkataan yang kami highlightkan itu.

Pertarungan di antara 2 gergasi ekonomi dunia di mana antara Made in USA dengan Made in China bagi survival dan meluaskan empayar ekonomi masing-masing selepas ini di seantero dunia.


sumber : beritasemasa.com.my