Monday, 5 October 2015

Eksport herba RM1.3b pada 2020


Kuala Lumpur: Malaysia komited mencapai sebanyak RM1.3 bilion jumlah eksport herba meliputi produk terproses menjelang 2020, terutama disumbangkan melalui Dasar Agromakanan Negara.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, setakat 2010, nilai eksport herba adalah sebanyak RM152 juta.

Beliau berkata, walaupun tiada peratusan pencapaian terbaru setakat ini, ia dilihat masih berada pada paras rendah.

“Untuk mencapai jumlah itu memerlukan banyak usaha daripada pelbagai pihak dan masih banyak yang perlu diperbaiki serta dipertingkatkan dalam mencapai sasaran RM1.3 bilion.

“Bagi menggalakkan lagi penyertaan usahawan dalam industri herba ini kerajaan menyediakan Skim Geran Penyelidikan NKEA Herba (NRGS) bernilai RM50 juta tahun ini,” katanya selepas merasmikan Pameran Perdagangan dan Persidangan Herba Asia 2015, di sini, semalam.

Menurutnya, sejak 2010 sebanyak 122 projek penyelidikan dan pembangunan (R&D) diluluskan dan sehingga kini 14 syarikat peneraju dengan 27 jenis barangan berada di fasa pengujian serta geran berkenaan turut ditawarkan kepada syarikat peneraju untuk menjalankan ujian praklinikal dan klinikal.

Tajuddin berkata, banyak potensi yang boleh diteroka dalam industri herba ini berikutan, perdagangan global bagi produk semula jadi mencatatkan hasil sebanyak RM777 bilion pada 2006 dan diunjur meningkat tiga kali ganda menjelang 2020.

“Oleh itu, kami menggesa penggiat industri meningkatkan penyelidikan dan pembangunan selain memperhebat penghasilan barangan herba bagi tujuan eksport,” katanya.

Beliau berkata, kementerian juga akan lebih menumpukan kepada penghasilan produk herba bernilai tinggi seperti barangan farmaseutikal dan nutraseutikal.

Pameran Perdagangan dan Persidangan Herba Asia 2015 selama tiga hari itu (1 hingga 3 Oktober) menghimpunkan lebih 200 pemamer tempatan dan antarabangsa seperti Australia, Korea Selatan dan Indonesia. 

sumber : hmetro.com.my/

No comments: