Datuk Abdul Jalil Ali
PESANAN
yang saya terima menerusi e-mail pagi itu memang amat menggembirakan. Tanpa
hujan, tanpa ribut, fulus tiba-tiba akan masuk. Agaknya ini yang orang kata
tuah datang menggolek.
Pengirimnya ialah Lavia Shafie, seorang wanita rakyat Malaysia yang kini
menetap di UK. Pesanan bahasa Inggeris dalam e-mail itu agak panjang, tetapi
fakta ringkasnya adalah seperti berikut:
Pertama, suaminya – warga British – telah tiga tahun meninggal dunia. Hmmm,
janda mat salih, menarik juga. Kedua, arwah suaminya meninggalkan wang tunai
dalam akaun bank berjumlah 12 juta Pound Sterling.
Ketiga, dia hendak pulang ke Malaysia dan memindahkan peninggalan suaminya itu
ke sebuah bank di KL. Tetapi, dia tidak boleh membuka akaun bank di negara ini.
Keempat, dia mahu menggunakan akaun bank saya untuk memasukkan semua duit arwah
suaminya.
Kelima – ini yang paling menarik dan menggoda – atas kerjasama menggunakan
akaun bank saya itu, saya akan diberi 2 juta Pound Sterling. Katanya pada akhir
e-email: “Sila nyatakan nama penuh anda, alamat terkini, dan nombor akaun
bank.”
Saya akan jadi jutawan segera. Bukan jutawan RM tetapi jutawan Pound Sterling.
Kalau semuanya beres saya akan mendapat 2 juta duit orang putih. Kalau pada
kadar 5.0 pun, saya sudah kaya RM10 juta.
Kadar terkini ketika rencana ini ditulis ialah 6.3. Ertinya saya ada lebih RM12
juta, sekali gus layak – dan isteri tidak boleh melarang! – sekiranya saya
hendak membuka cawangan di mana-mana, malah untuk mencukupkan kuota yang masih
kosong itu.
Tetapi, tidak mudah untuk saya cepat tergoda dengan janda orang putih itu.
Mula-mula saya bertanya diri sendiri, siapakah wanita yang sekian lama menetap
di negara salji, dan kini hendak balik semula ke negeri jerebu?
Seingat saya, sudah menjangkau siri 6 sekarang, saya tidak mempunyai saudara
atau waris yang tinggal di England. Tidak masuk akal Lavia ada hubungan
keluarga, bau-bau bacang pun mustahil. Saya pasti betul janda ini bukan anak
arwah pakcik saya yang bernama Shafie!
Apa yang lebih menghairankan saya ialah bagaimana janda kaya ini boleh
mengenali dan memilih saya untuk berkongsi harta pusaka? Bukan sedikit tetapi
berjuta-juta Pound Sterling.
Saya bukanlah Barack Obama atau Benjamin Netanyahu, Jokowi pun tidak. Orang
Malaysia pun tidak kenal saya, macam mana seorang janda di UK boleh terpikat
dengan saya?
Soalan-soalan ini meyakinkan saya bahawa ‘Lavia & 12 juta Pound Sterling’
adalah auta semata-mata. Lagi pun dulu, kini dan selamanya saya selalu percaya
tidak ada orang, termasuk yang sewel, boleh dengan mudah memberi saya wang
sebanyak itu.
Saya bersyukur sentiasa diberi kewarasan, tidak mudah tergoda dan tertipu.
Tetapi, ramai juga orang kita yang cepat tergoda dan akhirnya ditipu
hidup-hidup oleh sekian banyak kes yang serupa dengan Lavia. Penipuan menerusi
internet bukan benda baru, dan terjadi hampir setiap hari.
Seperti yang semua orang tahu, dari semasa ke semasa media menyiarkan berita
dan gambar mengenai penipuan seperti ini oleh pelbagai sindiket, antaranya
Phone Scam, African Scam, Macau Scam, Love Scam.
Beribu orang, termasuk golongan profesional, telah menjadi mangsa. Polis
memberitahu setakat ini lebih 1,750 individu dilapor menjadi mangsa sindiket
penipuan internet.
Menarik – dan tanpa prejudis jantina – wanita lebih ramai (1,205) tergoda
berbanding lelaki (545). Apakah ini membuktikan kaum Hawa lebih suka bertonyeh
di alam maya, dan cepat tergoda? Saya tidak pasti, dan tidak berani komen.
Apa yang pasti, menurut polis, sindiket terancang ini telah menipu mangsa dan
membabitkan kerugian berjumlah lebih RM68 juta.
Sindiket ini masih berleluasa. Beberapa telah dikesan dan ditangkap, tetapi
banyak lagi sedang mencari mangsa di luar sana. Polis menasihati orang ramai,
khasnya wanita, jangan mudah percaya dan tertipu di internet.
Mengenai e-mail daripada janda orang putih itu, saya tidak memberi apa-apa
butiran yang diminta. Tetapi saya membalas, dengan penuh sopan:
“Mohon banyak maaf, tawaran puan sebanyak 2 juta Pound Sterling itu terlalu
kecil untuk saya. Saya hanya akan tertarik sekiranya tawaran itu dibuat dalam
mata wang Malaysia, dan jumlahnya mesti melebihi RM2.6 bilion.”
Kalau dia tidak membalas e-mail saya pun, saya tidak kisah. Puas hati saya.
sumber : sinarharian.com.my/