Glen Berger akan membersihkan bola sebelum dijual semula.
FLORIDA - AMERIKA SYARIKAT. Siapa sangka, seorang lelaki mampu menjadi jutawan dengan hanya melakukan pekerjaan mengutip bola golf di dalam tasik.
Sejak 14 tahun yang lalu, Glen Berger yang menganggur pada ketika itu memutuskan untuk mengumpul bola golf yang dikutipnya dari kolam dan menjual semula kepada pemilik padang golf.
Dia tidak menyangka, kerjaya peliknya itu menjadikan dia seorang jutawan.
Glen memberitahu Caters TV, dia berjaya mengumpul hingga 1.3 ke 1.5 juta biji bola setiap tahun dan akan menjual semula bola tersebut dengan harga AS$1 (RM 4.31) setiap satu.
"Saya tidak mempunyai pekerjaan dan kemudian mencari bola golf di dalam tasik di padang golf berdekatan dengan tempat tinggal dan kemudian mula menjual setiap bola golf berkenaan," katanya.
Walaupun pekerjaannya ini kelihatan mudah, tetapi sebenarnya, Glen terpaksa berdepan dengan beberapa kesukaran seperti ular dan buaya yang berada di dalam tasik.
Malah dia hampir dibaham buaya ketika menyelam untuk mencari bola golf, namun berjaya meyelamatkan diri dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Glen tidak hanya mencari bola golf di sekitar Florida, malah lebih dari 100 padang golf yang lain di seluruh negara.
sumber : sinarharian.com.my/