Saturday, 1 August 2015

Punca Ringgit Malaysia Jatuh

Contoh

KUALA LUMPUR - Kejatuhan nilai ringgit ketika ini ‎adalah disebabkan faktor-faktor luaran termasuk penyusutan harga komoditi minyak dunia serta tekanan mata wang dolar Amerika Syarikat (AS).
  
Malah, kata Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Chua Tee Yong, harga minyak baru-baru ini turut jatuh sehingga mencecah paras di bawah AS$50 setong pada bulan Julai lepas.‎
  
"Dari segi ringgit, sebenarnya kita harus faham ianya adalah satu fenomena. Kadar pertukaran nilai wang ini bukannya ditentukan oleh kita.
  
"Lihat saja di China, indeks saham mereka telah menjunam sehingga 30 peratus‎ dalam masa yang singkat," katanya.
  
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Suruhanjaya Sekuriti di sini, hari ini.
  
Ringgit susut sebanyak 8.4 peratus daripada paras 3.4965 berbanding dolar AS yang dicatatkan pada akhir tahun lepas.
  
Mengulas lanjut, Tee Yong berkata, penyusutan kadar mata wang itu turut dialami negara-negara lain seperti Australia yang mana peratusan penurunannya adalah lebih tinggi berbanding ringgit.‎
  
"Ini menunjukkan bahawa (mata wang dunia) sekarang turut mengalami kesan penurunan harga komoditi serta kemungkinan Amerika Syarikat (AS) akan menaikkan kadar faedah mereka," katanya.
  
Menurutnya, walaupun ketika ini kerajaan tiada cadangan untuk menambat ringgit‎ pada paras RM3.80 berbanding US$1 dolar, beliau yakin pihak Bank Negara Malaysia akan sentiasa memantau keadaan, khususnya dari segi dasar monetari.
  
Mengenai kemungkinan ringgit terus menjunam atau pulih, Tee Yong menjelaskan, ia bukanlah sesuatu yang mampu diramal sekarang kerana harga komoditi minyak yang merupakan antara sumber pendapatan negara, dijangka terus berdepan ketidaktentuan.‎
  
"Banyak pihak berpendapat apabila nilai ringgit kita turun, ia akan membantu dari segi eksport. Saya yakin, nilai ringgit yang lemah akan menarik lebih banyak pelaburan asing," katanya. - Bernama

Friday, 31 July 2015

Saham Malaysia Jatuh Kepada 1698 – 1,699 Mata Selepas Rombakan Menteri Kabinet

Bursa Saham Malaysia Jatuh Kepada 1698 – 1,699 Mata Selepas Rombakan Menteri Kabinet 2015.

Inilah jadinya kepada negara, apabila politik tidak stabil ditambah dengan skandal 1MDB masih lagi tidak menunjukkan kesungguhan untuk membawa tangan-tangan kotor yang merosakkan negara ke muka pengadilan, masih lagi kelihatan ikan-ikan bilis yang dibawa menghiasi dada-dada akhbar kononnya antara terlibat dalam skandal 1MDB ini.

Apabila politik tidak stabil ditambah dengan skandal 1MDB, pasaran modal juga tidak stabil.
“Politik mempunyai hubungan secara langsung dengan ekonomi”

Punca dan Sebab Bursa Saham Malaysia Jatuh?

Mengapa dan kenapa hari demi hari Ringgit Malaysia terus dicampak dan terapung serta tidak laku di pasaran wang antarabangsa oleh pelabur? Apa sebabnya?

Semalam mencatatkan bursa Malaysia terus menjunam ke bawah 1700 mata selepas sahaja rombakan menteri kabinet sehingga melihatkan individu penting yang menyiasat dan bertanyakan secara terbuka 1MDB disingkirkan, dan diserapkan ke bahagian lain.

Nah…sekarang ini apa yang kerajaan Malaysia mahu lakukan untuk yakinkan pelabur selepas melihat apa yang berlkau kepada Bursa Saham Malaysia hari ini

P/S : Hidup rakyat Malaysia sepatutnya lebih aman tanpa 1MDB. Fokus sahaja membangunkan negara selepas menang PRU13. Tidak perlu buat 1MDB sebaik sahaja ambil alih kerusi Pak Lah. Kalau tiada 1MDB, tiadalah GST sejumlah 6%. Tiadalah pelabur yang melarikan diri. Tiadalah masa depan yang suram dan tidak menentu di bumi Malaysia. Apabila orang tanya dan tegur, terus disingkirkan? Pahlawan apakah ini?

sumber : http://www.beritasemasa.com.my/bursa-saham-malaysia-rombakan-menteri-kabinet


Thursday, 30 July 2015

Diami Rumah Daripada Bahan Terbuang

Zainol Seman, 50, dan isterinya, Norizah Zainol, 36, berdiri di hadapan kediamannya yang daif di Kampung Kubang Jawi 1, Kuala Kedah, dekat sini. - Foto BERNAMA

ALOR SETAR – Tidur beralaskan tikar getah,berbumbungkan atap bocor sudah menjadi perkara biasa bagi enam sekeluarga yang hidup dalam keadaan daif di Kampung Kubang Jawi 1, Kuala Kedah.

Zainol Seman, 50, dan isterinya, Norizah Zainol, 36, serta empat anaknya berumur empat hingga 13 tahun telah tinggal di situ selama tiga tahun setelah merantau di beberapa tempat lain berikutan tidak mempunyai tempat tinggal.

“Sebelum menetap di sini sejak tiga tahun lalu, kami sekeluarga banyak merantau kerana tidak mempunyai tempat tinggal tetap. Saya mengambil tempoh seminggu untuk menyiapkan rumah ini dengan menggunakan bahan-bahan terbuang seperti papan, buluh dan kain.”

“Apabila hujan lebat, pakaian dan barangan dalam rumah akan basah kerana atap dan dinding rumah yang berlubang selain atap akan diterbangkan jika angin kencang. Baru-baru ini juga ular tedung masuk melalui papan di bahagian dapur yang tidak tertutup,” katanya kepada pemberita di rumahnya di sini hari ini.

Beliau berkata dia, isteri dan anak-anaknya juga terpaksa tidur di atas tanah beralaskan tikar getah apabila hujan turun dan sentiasa berada dalam keadaan berjaga-jaga dengan kehadiran binatang berbisa yang mungkin masuk melalui dapur dan tandas yang hanya ditutup menggunakan papan dan kain buruk.

Mereka enam beranak katanya, akan tidur berbaris beralaskan tikar getah di atas tanah apabila hujan dan jikalau cuaca baik baru kami tidur di bahagian atas yang beralaskan buluh.

“Kami sudah biasa dengan keadaan ini kerana tidak mampu untuk membina rumah walaupun tinggal di atas tanah sendiri berikutan tidak mempunyai duit.”

Saya hanya bekerja kampung dan memperoleh RM500 sebulan manakala isteri mengambil upah membuat kuih popia dengan bayaran RM70 sebulan dan ini tidak mencukupi untuk menampung pembiayaan persekolahan tiga orang anak dan keperluan barangan dapur. Duit untuk makan juga kadang-kadang tidak cukup, jadi makan apa yang ada sahaja,” katanya.

Menurut Zainol, beliau membina rumahnya di belakang rumah pusaka peninggalan ibunya yang kini dihuni kakaknya dan terpaksa membayar RM10 hingga RM20 kerana mengambil bekalan air dan elektrik daripada rumah kakaknya.

“Tahun ini tahun pertama kami menerima bantuan daripada Jabatan Zakat Negeri Kedah (JZNK) sebanyak RM600 untuk setahun manakala pemohonan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ditolak kerana tidak cukup syarat,” katanya.

Beliau berharap ada pihak yang boleh membantu dari segi kewangan ataupun membina rumah untuk mereka sekeluarga di atas tanah sendiri.

Mereka yang ingin membantu boleh menghubungi Zainol di talian 013-5902892 atau melalui akaun Bank Simpanan Nasional 02100-29-00066768-5. – BERNAMA

Najib Letak Jawatan?

Najib Letak Jawatan? Puluhan Ribu Rakyat Malaysia Desak dan Kritik di Facebook Najib Dengan hastag #NajibLetakJawatan!

Semakin berani dan tiada selindung-selindung lagi. Semakin hari semakin ramai yang menyampah dengan corak kepimpinan Najib Razak selama tempoh memerintah kerajaan Malaysia.

Berdasarkan semakan Berita Semasa semakin ramai rakyat Malaysia melalui saluran Internet telah melontarkan desakan Najib letak jawatan melalui hashtag yang cukup popular pada ketika ini, #najibletakjawatan di facebook Najib Razak.

Kritikan Najib Letak Jawapan Selepas Ronbakan Menteri Kabinet!

Setiap kali tulisan terbaru Najib Razak di Facebook yang dikeluarkan setiap hari sejak akhir-akhir ini, ribuan sehingga puluhan ribu yang menghantar mesej letak mahukan Najib letak jawatan.

Ini semula berlaku selepas sahaja Najib Razak membuat pengumuman mengejutkan melibatkan rombakan menteri kabinet 2015 apatah lagi kali ini ia membabitkan tokoh nombor duanya, Tan sri Muhyiddin Yaasin yang merupakan tokoh politik negeri Johor dan Shafie Afdal yang juga pemain politik utama negeri Sabah.

http://www.beritasemasa.com.my/

Wednesday, 29 July 2015

Muhyiddin? Digugur Kenapa?....

SHAH ALAM – Pengumuman rombakan barisan Kabinet yang dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang menggugurkan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menimbulkan tanda tanya rakyat meskipun ada yang menjangka perkara itu akan berlaku.

Sinar Online mendapatkan reaksi orang ramai sejurus pengumuman dibuat, hari ini.

Menurut Arman Putera Asmuni, 42, Najib perlu menyatakan alasan menggugurkan Muhyiddin kepada rakyat supaya rakyat dapat menerima keputusannya itu.

“Mudah sahaja. Kenapa (gugur Muhyiddin)? Jika dia (Najib) boleh jawab kenapa, kita boleh terimalah rasionalnya keperluan menukar timbalan perdana menteri. Sebab (Muhyiddin) tidak sakit atau masalah kesihatan dan tidak ada kes besar yang dilaporkan secara rasmi terhadapnya, jadi, soalan saya, kenapa?

“Yang lain-lain juga kenapa ditukar portfolio dan digugurkan? Jika beliau boleh tampil dan jelaskan ‘saya gugurkan pemimpin yang ini kerana alasan ini’, rakyat boleh terima,” katanya kepada Sinar Online, hari ini.

Najib dalam sidang media secara langsung menjelaskan tindakan beliau menggantikan Muhyiddin itu sememangnya 'sukar' namun keputusan dibuat demi memperkuatkan lagi jemaah menteri sebelum menghadapi Pilihan Raya ke-14.

Namun, desas-desus menyebut pengguguran itu ada kaitan dengan kelantangan Timbalan Presiden Umno itu dalam mengkritik skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Namun, Arman Putera dilihat tidak terkejut dengan keputusan itu dan sudah menjangkakan ia akan berlaku susulan beberapa tindakan Muhyiddin sebelum ini yang mengkritik 1MDB.

“Jangkaan itu ada. Saya tidak terkejut, cuma seperti saya kata tadi, mesti ada alasan kenapa gugurkan, kenapa ditukar?,” katanya.

Perkara sama turut disuarakan Vanishree Radha Krishna, 37, yang mengakui tidak terkejut langsung dengan rombakan itu dan sudah pun menjangkakan perkara itu.

Namun katanya, Najib tidak sepatutnya terus ‘menghapuskan’ Muhyiddin apabila pemimpin itu dilihat tidak memihak kepadanya dalam skandal 1MDB.

“Sepatutnya Muhyiddin daripada awal kena bela rakyat bukan hanya pada masa ini sahaja (melibatkan skandal 1MDB). Sebelum ini pun, ada banyak lagi isu lain tapi masih belum terlambat. Mungkin sekarang beliau dah sedar. Terlalu banyak isu timbul dia rasa makin lama rakyat Malaysia dianaktirikan.

“Mungkin suara hati dia merasakan ini semua tak betul dan dia mula bersuara. Sepatutnya beliau diberikan kebebasan, tak bolehlah terus ‘shut him off’. Apa yang Najib buat sekarang ini memang ‘very clear cut’,” katanya.

Vanishree juga kesal apabila isu perkauman dibangkitkan sejak kebelakangan ini yang didakwanya bagi menutup isu atau skandal yang didedahkan.

“Sejak beberapa tahun kebelakangan ini banyak isu perkauman dibangkitkan tapi realitinya ketiga-tiga bangsa utama di negara ini tidak ada gaduh. Saya tak pernah gaduh dengan Melayu atau Cina malah saya tinggal di kawasan yang pelbagai kaum.

“Saya lihat kes-kes perkauman seperti diadakan. Kami sayang negara ini dan nak tinggal di sini dengan menyayangi kaum lain seperti adik-beradik. Boleh dikatakan ahli politik di negara ini... tapi bukan semua, tidak cintakan negara ini. Mereka ‘money minded’. Kalau betul mereka cintakan negara ini, mereka tidak akan rosakkan negara,” katanya.

Sementara, Ahmad Razif, 27 pula memilih untuk menyerahkan semua keputusan rombakan itu kepada pihak yang berkaitan dan menanti keputusan siasatan berhubung 1MDB yang sedang berjalan.

“Isu yang melibatkan 1MDB itu sepatutnya diselesaikan secara dalaman dan tidak didedahkan kepada umum sangat tapi memandangkan dunia sekarang yang menggunakan teknologi yang pelbagai, jadi, maklumat dapat lebih cepat.

“Perkara ini dalam siasatan lagi, saya pun tak tahu nak komen positif atau negatif. Saya serahkan semua kepada Kabinet. Kita tunggulah kata putus selepas siasatan selesai nanti,” katanya.

Tuesday, 28 July 2015

Bekam Hanyalah Rawatan Alternatif Bukan Perubatan Islam

Mahmood Zuhdi

TIADA istilah perubatan Islam seperti yang disebutkan, demikian kenyataan Profesor di Jabatan Fiqh dan Usul Fiqh, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Profesor Emeritus Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid ketika ditanya mengenai rawatan bekam yang didakwa sebagai perubatan Islam.

Menurutnya, rawatan bekam yang dikatakan perubatan Islam hanyalah sebagai rawatan alternatif sama seperti rawatan lain dalam perubatan bagi mengubati penyakit.

“Dari segi agama, berbekam tidak ada sangkut paut dan ia sama seperti kita mengambil ubat biasa dengan pelbagai cara seperti melalui pembedahan atau suntikan.

“Dakwaan yang mengatakan bekam adalah Sunnah Rasulullah SAW pula adalah sama seperti dengan perbuatan lain yang dilakukannya. Kita cintakan baginda jadi kita ikutlah apa yang dilakukannya,” katanya.

Dr Mahmood Zuhdi juga berkata, berbekam merupakan salah satu perubatan tradisional yang dilakukan masyarakat Arab ketika waktu itu dan turut dilakukan di negara lain dengan kaedah yang berlainan mengikut kesesuaian individu dan penyakit tertentu.

“Oleh itu, kita janganlah menganggap berbekam (walau pernah dilakukan Rasulullah) sebagai perubatan cara Islam memandangkan ia merupakan perubatan tradisional masyarakat Arab.

“Baginda merupakan masyarakat Arab ketika itu turut melakukannya memandangkan ia tidak bertentangan dengan syariat Islam,” katanya.

Ditanya mengenai segi kebersihan melakukan rawatan bekam Mahmood Zuhdi berkata setiap individu sama ada yang menerima rawatan dan menyedia rawatan perlu mengambil perhatian mengenai kawalan mutu dan jangkitan kuman.

“Jangan kerana berbekam pernah dilakukan Rasulullah, kita melakukannya tanpa mengambil kira asas-asas kesihatan moden dan kebersihan.

“Kita perlu berhati-hati, melihat dan memerhati kepakaran yang ada pada individu yang menyediakan perkhidmatan bekam,” katanya.

Monday, 27 July 2015

‘Inilah mahligai impian saya’



Kuala Terengganu: “Saya memang nak tinggal di rumah ini,” kata Endon Chik, 47, yang sebelum ini menjadikan rumah usangnya di Kampung Tanah Lot, Manir, di sini, sebagai tempat dia berteduh.

Endon yang mengalami masalah lembam sudah mempunyai rumah sendiri yang dibina menerusi peruntukan Projek Perumahan Rakyat termiskin (PPRT) kira-kira 10 tahun lalu tetapi mengambil keputusan menghuni rumah peninggalan orang tuanya yang terletak bersebelahan. 

Wanita yang tinggal bersendirian itu akan menumpang rumah sepupunya, Aminah Muda, 71, untuk tidur tetapi pulang ke rumah usang berkenaan pada waktu siang.

Menurut Aminah, walaupun mempunyai rumah sendiri, Endon seolah-olah tidak dapat meninggalkan rumah pusaka tempatnya membesar. 

“Rumah pusaka itu diwarisi kakaknya yang kini tinggal di Sungai Tong. Walaupun banyak pihak sebelum ini ingin membantu membaik pulih rumah itu, ia tidak dapat dijalankan kerana memerlukan kebenaran pemilik rumah.

Oleh Helmy Abd Rahman dan Ahmad Rabiul Zulkifli

http://www.hmetro.com.my/

1MDB: Mat Dispatch Ditahan Bantu Siasatan

SELEPAS beberapa siri penahanan individu bergelar ‘Datuk’ dibuat pihak berkuasa dalam siasatan kes penyelewengan 1MDB, kini seorang lelaki yang bertugas sebagai penghantar surat turut menerima nasib sama.

Penahanan tersebut dibuat berhubung akaun SRC International Sdn Bhd iaitu satu entiti yang dikaitkan dengan syarikat pelaburan strategik negara.

Memetik laporan dari portal Ahli Parlimen Barisan Nasional, BNBBC, suspek yang berusia 27 tahun itu ditahan di kediamannya di Bentong, Pahang kira-kira jam 6.30 petang semalam oleh sepasukan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Perintah reman kemudiannya dikeluarkan oleh Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman di Mahkamah Majistret Putrajaya mengikut Seksyen 16 (a) Akta SPRM 2009.

Penahanan tersebut merupakan yang kelima dibuat oleh pihak berkuasa dan dikatakan mempunyai kaitan pemilik syarikat perdagangan yang diberkas Khamis lalu. – MYNEWSHUB.CC

Oleh: IZZAT MOHD ANUAR

Sunday, 26 July 2015

Harga Axia Akan Di Semak Semula

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Aminar Rashid Salleh berkata, buat masa ini terdapat beberapa komponen Axia terutamanya enjin diimport menggunakan dolar.

“Ketika ni kami hanya menerima kesan minimum kejatuhan ringgit bagi import menggunakan dolar di antara satu hingga dua peratus sahaja dan kos tersebut diserap oleh Perodua bagi mengekalkan harga sedia ada.

“Tetapi jika ringgit terus menyusut melebihi RM3.81 berbanding dolar, kami (Perodua) tidak akan teragak-agak untuk menyemak semula harga Axia,” katanya kepada pemberita sempena Majlis Rumah Terbuka Aidifitri anjuran Perodua di Kuala Lumpur, sebentar tadi.

Menurut Aminar, 90 hingga 95 peratus komponen kenderaan Perodua dikeluarkan secara tempatan dan bakinya diimport dari beberapa negera menggunakan nilai Mata Wang berbeza.

“Bagi komponen Axia kami mengimportnya dari Indonesia dengan menggunakan mata wang dolar, manakala komponen Myvi dan Alza pula diimport dari Jepun menggunakan Yen yang kukuh dan stabil.

“Bagi kami yen tidak memberi kesan kepada nilai import Perodua, tetapi import yang menggunakan dolar memberi kesan besar kerana kami tidak menerima keuntungan bersih bagi kedua-duanya,” katanya.

Buat masa ini harga Perodua Axia bermula dari RM24,600 hingga RM42,530 di mana sejak tempahan Axia dibuka pada Ogos 2014, Perodua telah menerima 134,000 tempahan dengan 83,700 daripadanya sudah di hantar kepada pembeli sehingga 9 Julai lalu.

Pada majlis sama Aminar turut menyasarkan bagi meningkatkan perkhidmatan selepas jualan kepada 35 peratus tahun hadapan berbanding 29 hingga 30 peratus ketika ini memandangkan segmen tersebut menyumbang pertumbuhan dua digit dalam tempoh dua tahun berturut-turut kepada pendapatan Perodua.