Saturday, 3 May 2014

MH370: MAS bayar RM163,274 pampasan awal

BEIJING: Penerbangan Malaysia Airlines (MAS) akan memperuntuk sejumlah US$50,000 (RM163,274) kepada setiap waris terdekat penumpang warga China bagi Penerbangan MH370 sebagai bayaran pendahuluan pampasan.

Menurut kenyataan MAS yang ditampal pada pintu dewan Hotel Lido di sini hari ini, bayaran akan dibuat kepada individu yang layak bagi menampung keperluan segera kewangan mereka. Kenyataan itu juga menyebut MAS akan memaklumkan para waris berhubung butiran pembayaran dalam tempoh dua minggu.

"Pemberitahuan butiran pembayaran akan dipapar di platform rasmi MAS dan kami akan turut menghantar notis bertulis kepada waris," katanya.

Semalam, Ketua Pegawai Eksekutif MAS Ahmad Jauhari Yahya berkata, syarikat penerbangan itu akan melunas bayaran pendahuluan pampasan secepat mungkin kepada waris yang berhak bagi memenuhi keperluan kewangan mereka.

Beliau berkata, bayaran itu tidak akan menjejaskan hak para waris untuk menuntut pampasan berdasarkan undang-undang di kemudian hari dan ia akan diambil kira sebagai sebahagian daripada jumlah keseluruhan pampasan yang mereka layak terima. - Bernama

Friday, 2 May 2014

Hanya RM98

HOTEL baru Tune Hotel di KLIA2 akan dibuka secara rasmi 9 Mei ini.

Kuala Lumpur: Selepas lima tahun menyediakan kemudahan mampu milik tetapi berkualiti tinggi kepada pelanggan di Terminal Penerbangan Tambang Rendah (LCCT), Tune Hotel KLIA-LCCT akan ditutup mulai 9 Mei untuk memberi laluan kepada pembukaan Tune Hotel KLIA2 yang baru dengan 400 bilik pada hari yang sama.

Tune Hotel KLIA2 dihubungkan secara terus ke terminal KLIA2 menerusi laluan pejalan kami dan jejantas penghubung. Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tune Hotels, Mark Lankester berkata, pihaknya teruja dengan hotel baru ini kerana Tune Hotel KLIA2 baru itu sememangnya amat ditunggu-tunggu sama seperti lapangan terbang KLIA2 itu sendiri.

“Ia dijangka menjadi yang terbesar dalam platform Tune Hotels dan akan menjadi hartanah utama kami,” katanya dalam kenyataan, semalam. Beliau berkata, tetamu dengan tempahan di Tune Hotel KLIA-LCCT akan secara automatik dipindahkan ke Tune Hotel KLIA2 pada 9 Mei.

“Tune Hotel KLIA-LCCT akan beroperasi sehingga 8 Mei dan bagi semua tempahan dengan tarikh penginapan sehingga 8 Mei, tetamu akan kekal menginap di Tune Hotel KLIA-LCCT sekarang.

“Bagi tetamu dengan tempahan pada 9 Mei dan selepasnya, daftar masuk adalah di Tune Hotel KLIA2,” katanya.

Lankester berkata, bagi memudahkan pemindahan, tetamu hotel akan disediakan kemudahan percuma ke bangunan terminal KLIA2 dan Tune Hotel KLIA2 pada 9 Mei.

Sempena meraikan pembukaan Tune Hotel KLIA2, tetamu akan menikmati kadar terangkum daripada hanya RM98 bagi setiap bilik semalam. Tempahan boleh dibuat mulai 2 Mei hingga 4 Mei 2014 bagi penginapan di Tune Hotel KLIA2 bermula 9 Mei 2014 hingga 31 Januari 2015.

sumber dari : http://www.hmetro.com.my/

AKPK sasar 17,000 individu sertai PPK

Swee Lian (tengah) bersama Pengurus Negara Visa Malaysia, Ng Kong Boon menyampaikan hadiah kepada pemenang utama Pertandingan Bola Sepak Kewangan Visa, Zul Aswad Hamdan (kiri).

AGENSI Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) menyasarkan seramai 17,000 individu yang menghadapi masalah kewangan layak menyertai Program Pengurusan Kredit (PPK) anjurannya sehingga hujung 2014 berbanding 16,769 tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Koid Swee Lian berkata, bagi suku pertama 2014 berakhir 31 Mac, seramai 4,689 individu layak memohon PPK selepas mengikuti sesi kaunseling dan daripada jumlah itu 4,395 permohonan diluluskan mengikut kriteria ditetapkan.

“Setiap hari kami menerima purata 218 individu menghadapi masalah kewangan mengikuti sesi kaunseling AKPK seluruh negara dengan 78 orang layak memohon PPK selepas sesi tersebut, dan daripada jumlah itu hanya 73 orang sahaja layak mengikuti PPK selepas dinilai mengikut kriteria ditetapkan.

“Oleh itu, kami optimis menambah dua ke tiga cawangan AKPK mengikut kawasan yang akan dikenal pasti dalam membantu selesaikan masalah hutang individu di sekitar kawasan tersebut,” katanya selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang Pertandingan Bola Sepak Kewangan Visa di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Swee Lian turut menggesa individu yang menghadapi masalah hutang, mencari pekerjaan sampingan sebagai inisiatif bagi menyelesaikan hutang yang dihadapi.

“Selain itu, individu terbabit juga perlu berkongsi masalah dihadapi dengan ahli keluarga agar mereka dapat membantu serta meringankan beban yang ditanggung bersama,” katanya.

sumber dari : http://www.sinarharian.com.my/
MOHAMAD HAFIZI MOHD SAID

Thursday, 1 May 2014

Kad debit jadi pilihan

Ravintharan (tengah) bersama Pengurus Negara Visa Malaysia Ng Kong Boon (kanan) semasa pelancaran kad debit baharu Maybank Visa Platinum.

MALAYAN Banking Bhd (Maybank) menjangkakan pembelian dan pembayaran menggunakan kad debitnya di Malaysia akan meningkat lebih 20 peratus tahun ini kepada RM7 bilion, didorong oleh pengenalan kad debit baru Maybank Visa Platinum dengan kemudahan Visa payWave.

Ketua Bahagian Kad dan Kekayaan Serantau Maybank, B Ravintharan berkata, kad baharu itu diperkenalkan selari dengan peningkatan kesedaran dalam kalangan pemegang kad Maybank untuk menggunakan transaksi debit.

“Kami telah melihat peningkatan transaksi debit yang amat ketara. Pada 2013, Maybank merekodkan transaksi debit melebihi 25 juta bernilai lebih RM5.7 bilion dan kami jangkakan jumlah ini akan terus meningkat dengan pengenalan kad debit baru Maybank Visa Platinum payWave," katanya dalam kenyataan, semalam.

Menurutnya, Maybank ialah peneraju bagi pasaran kad debit dengan merekodkan 50 peratus jumlah bil debit di Malaysia.

Beliau berkata, pemegang kad Debit Maybank Visa melepasi jumlah enam juta sejak pertama kali kad Visa Debit diperkenalkan pada 2008.

"Ini jelas menunjukkan wujud kesedaran lebih luas terhadap pembayaran tanpa tunai dalam kalangan pengguna dan peniaga di Malaysia," katanya.

Ravintharan berkata, Maybank akan terus mengukuhkan kesedaran dan mendidik masyarakat mengenai pembayaran elektronik bagi meningkatkan penggunaan kad debit.

Visa payWave ialah teknologi baru tanpa perlu meleretkan kad dan membolehkan pemegang kad membuat pembelian dengan hanya melayangkan kad di hadapan meter bacaan Visa payWave.

sumber dari : http://www.sinarharian.com.my/

Kenaikan Elaun, Gaji, Pencen 1.5 Juta Kakitangan Awam! Respon Balas Anda?

Semakan Tuntutan Cuepacs Hari Pekerja 2014 : Kenaikan Elaun, Gaji, Pencen 1.5 Kakitangan Awam : Terbaru menjelangnya Sambutan Hari Pekerja Penjawat Awam 2014 pada 2 Mei 2014 Hari Khamis ini, Presiden Cuepacs dan Datuk Seri Najib ada bertemu mengadakan perbincangan empat mata melibatkan nasib dan kepentingan 1.5 juta kakitangan awam di Malaysia.
Semakan Tuntutan Cuepacs Hari Pekerja 2014
  1. Penambaikan beberapa elaun dan insentif penjawat awam termasuk elaun tetap perumahan, elaun perkhidmatan awam yang sudah lama tidak dikaji walaupun kos sara hidup melambung tinggi ketika ini
  2. Kadar hotel juga perlu dikaji semula kerana kadar hotel sudah banyak kali naik. Realiti hari ini, melibatkan urusan rasmi kakitangan awam terpaksa menanggung sendiri tambahan bayaran hotel.
  3. Kajian terhadap tuntutan perjalanan sedangkan harga petrol banyak kali naik
  4. Bayaran Cola (Elaun Sara Hidup) diselaraskan
  5. Laluan kerjaya hendaklah diubah, laluan kerjaya yang lebih luas harus dibuka kerana realitinya hari ini kerana semakin ramai pekerja awam berkelulusan tinggi yang memilih untuk memegang jawatan yang rendah. Dijangka 5 akan datang, 75 peratus jawatan sektor awam akan diisi mereka yang ada sekurang-kurangnya diploma.
  6. Kajian semula terhadap tempoh pengesahan seseorang penjawat awam yang kini antara satu hingga tiga tahun yang dilihat terlalu lama yang dipendekkan kepada hanya satu hingga enam bulan sahaja bagi mengelakkan kalangan kakitangan awam meminjam Along kerana tidak layak memohon pinjaman bank, dan membeli rumah
  7. Kajian terhadap perkhidmatan tertutup yang melibatkan 154 pihak berkuasa tempatan dan badan berkanun yang termasuk 20 institusi pengajian tinggi awam.
  8. Kerajaan supaya menukar status kuarters kerajaan sebelum merdeka menjadi rumah sewa kerajaan dan dikenakan sewa pada kadar RM124 kerana ketika ini penjawat awam yang menduduki kuarters mereka hilang elaun rumah dan Cola pula diberi pada separuh kadarnya.
  9. Memberikan cuti antara 12 hingga 15 hari kepada penjawat awam untuk menunaikan umrah. “Dalam Perintah Am, setiap pekerja Islam, boleh ambil sekali cuti untuk menunaikan Haji. (Masalahnya) kalau daftar haji hari ini, mereka layak pergi pada 2075. Sebab itu Cuepacs cadangkan cuti untuk menunai umrah sebagai ganti cuti Haji. Sekiranya ada peluang penjawat awam menunai haji, kekurangan 12-15 hari itu boleh ditampung dengan cuti rehat
  10. Mengubah pengiraan ganjaran persaraan daripada 7.5% kepada 10.5%, jumlah pencen dinaikkan daripada 60% kepada 70 % atau daripada 360 bulan kepada 372 bulan. Apabila pencen nanti, penjawat awam dapat nilai pencen yang tinggi sedikit. Pencen minimum sekarang ialah RM820 yang di bawah garis kemiskinan tetapi ada kenaikan dua peratus setahun. Faedah persaraan sekarang juga kecil sangat, walaupun telah berkhidmat 40 tahun pun tak mampu nak beli sebuah rumah
  11. Membantu kumpulan penjawat awam yang gajinya di bawah RM3,000 kerana mereka kini berada dalam keadaan tertekan malah ada yang bergaji di bawah garis kemiskinan iaitu RM880.
Apa responbalas 1.5 juta kakitangan awam di Malaysia senarai senarai semakan Semakan Tuntutan Cuepacs Hari Pekerja 2014 kali ini? Ada yang tertinggal & perlu ditambah? Yang mana satu menjadi keutamaan anda?

Wednesday, 30 April 2014

Mara sasar urus RM2.4b

Muhyiddin (dua, kanan) menerima prospektus pelaburan daripada Pengerusi Pelaburan Mara Datuk Sohaimi Shahadan (dua, kiri), sambil diperhatikan Mohd Shafie (kanan).

PELABURAN Mara Bhd menyasarkan untuk menguruskan dana bernilai RM2.4 bilion menjelang akhir tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pelaburan Mara, Nazim Rahman berkata, setakat April 2014, Pelaburan Mara sudah pun mengurus dana bernilai RM1.7 bilion.

“Berdasarkan pencapaian ini, kami yakin untuk mengurus dana bernilai RM2.4 bilion menjelang akhir 2014 menerusi pengenalan beberapa dana ekuiti persendirian yang akan dilancarkan tahun ini,” katanya dalam sidang media Majlis Penjenamaan Semula Pelaburan Mara dan Pelancaran PMB Tijari Bhd di Putrajaya, semalam.

Penjenamaan semula Pelaburan Mara, dahulu dikenali sebagai Amanah Saham Mara, yang merupakan anak syarikat milik penuh Majlis Amanah Rakyat (Mara) bertujuan memberi nafas baharu kepada keseluruhan imej kumpulan itu, selaras dengan fokus dalam tiga kegiatan utama iaitu pelaburan portfolio dan aset, perkhidmatan kewangan Islam dan khidmat nasihat korporat.

Sementara itu, menurut Nazim, dengan suntikan modal RM100 juta, PMB Tijari Bhd akan menawarkan pembiayaan kewangan dengan menyasarkan sektor komersil antaranya dalam industri pembuatan, infrastruktur serta minyak dan gas.

“Selain menguruskan kegiatan pembiayaan kewangan Pelaburan Mara, PMB Tijari Bhd turut menawarkan perkhidmatan kewangan berunsurkan syariah di pasaran domestik dan global bagi memenuhi keperluan dan objektif kewangan pelanggan,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang merasmikan majlis berkenaan turut mengumumkan kerajaan bersetuju menyalurkan Dana Pendidikan bernilai RM500 juta secara berperingkat dalam tempoh tiga tahun kepada Pelaburan Mara, manakala baki RM500 juta akan disediakan oleh Mara.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Selain itu, dalam majlis sama, Pelaburan Mara turut menandatangani Perjanjian Pemegang Saham PMB Tijari Bhd dengan Kerjasama Islam bagi Pembangunan Sektor Swasta (ICD), syarikat Kumpulan  Bank Pembangunan Islam (IDB) yang berpangkalan di Jeddah, Arab Saudi.

Menurut Muhyiddin, perjanjian tersebut membolehkan ICD memegang lebih kurang satu pertiga daripada ekuiti PMB Tijari sekali gus menunjukkan tahap keyakinan ICD untuk terus melabur di negara ini selaras dengan dasar ICD untuk membantu dalam pembangunan pasaran kewangan dan modal Islam di negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Pelaburan Mara yang ditubuhkan pada 24 Jun 1967 merupakan syarikat pelaburan milik Mara dan peneraju dalam bidang pelaburan saham amanah bumiputera negara.

sumber dari : http://www.sinarharian.com.my/

Senarai Ranking Tentera Terkuat di Dunia 2014. Indonesia Kalahkan Malaysia. Singapore Tumbang Ditangan Malaysia?

Senarai Ranking Tentera Terkuat di Dunia 2014. Indonesia Kalahkan Malaysia. Singapore Tumbang Ditangan Malaysia : Jikalau ditanya persoalan ranking kepada RajaGopal, apa kata beliau? Ranking tidak penting. Tetapi bukan ranking bola sepak Malaysia ingin dikupas Berita Semasa hari ini tetapi melibatkan senarai ranking kekutaan tentara di dunia 2014 yang menjadi hangat sejak semalam. Apakah kredibiliti…..

Apakah kredibiliti yang ada pada GlobalFirePower yang diangkat faktanya melalui laporan berita The Star sehinggalah diwarwar di saluran media-media elektronik utama negara termasuklah Astro Awani semalam. Bagi Berita Semasa sendiri….

Globalfirepower tidak boleh dijadikan indikator bagi kekuatan tentera di seluruh dunia. Nasihat Berita Semasa hentikan pembohongan ini.

GlobalFirepower ini cuma portal peribadi sahaja untuk  ”entertainment” semata, jangan percaya. Anda semua boleh baca disclaimer mereka di sini :
Melihatkan senarai ranking yang kekuatan tentera di dunia 2014 membuatkan Berita Semasa terpinga-pinga dan tersenyum seketika.

Di antara negara jiran, Negara Indonesia, Thailand, Filipina berjaya mengalahkan Malaysia. Manakala Singapore “tumpas” kepada kekuatan ketenteraan Malaysia. Begitulah gambaran senarai ranking kekuatan tentera di dunia 2014 yang dikeluarkan oleh GlobalFirePower seperti di bawah ini :

Senarai Ranking Tentera Terkuat di Dunia 2014

Dengan bajet sejumlah RM13 bilion untuk perbelanjaan besar melibatkan sumber ketenteraan Singapore, Berita Semasa boleh mengatakan teknologi ketenteraan Singapore lebih hebat berbanding negara kita Malaysia. Tetapi apabila melibatkan aspek strategi taktikal, kekuatan skuad elit dan tentera Malaysia daripada aspek fizikal dan mental, Malaysia sebenarnya berada di kelas tersendiri.
  • Contohnya sejarah telah membuktikan, bagaimana dalam episod black Hawk Down, pengorbanan tentera Malaysia di Mogadishu, Somalia walaupun cuba dipadamkan catatan sejarah tersbeut dalam filem Black Hawk Down.
  • Walaubagaiamanapun baru-baru Pemangku Penolong Setiausaha Negara Biro Hal Ehwal Politik Tentera AS, Tom Kelly mengakui dan mengucapkan terima kasih dengan jasa dan pengorbanan tentera Malaysia yang begitu berani mempertaruhkan nyawa demi menyelamatkan tentera elit AS yang ketika itu terperangkap dalam serangan militan Somalia.
P/S : Berita Semasa yakin, dengan bajet Kementerian Pertahanan yang besar sepertimana yang diumumkan dalam Bajet kerajaan Malaysia, kita mampu melakukan pembelian senjata dan kelengkapan ketenteraan yang lebih berkualiti pada harga yang munasabah jika diuruskan dana dengan lebih cekap, penuh amanah & bertanggungjawab serta dijauhkan oleh kelompok yang lebih mengutamakan keuntungan poket mereka sendiri berbanding kepentingan keselamatan negara.

Tuesday, 29 April 2014

AirAsia X beli enjin GE RM4.9b

Najib (kiri) dan Obama (kanan) menyaksikan Fernandes (duduk, kiri) dan Naib Pengerusi GE, John Rice menandatangani perjanjian itu di Kuala Lumpur, semalam.

SYARIKAT penerbangan tambang murah jarak jauh AirAsia X menandatangani perjanjian persefahaman untuk membeli enjin CF6-80E1 keluaran syarikat Amerika Syarikat (AS), GE Aviation (GE) bagi 25 pesawat Airbus A330 miliknya.

Perjanjian bernilai AS$1.5 bilion (RM4.89 bilion) itu turut datang dengan pilihan bekalan enjin untuk tambahan tiga pesawat lagi.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes berkata, enjin GE dipilih berdasarkan kebolehpercayaan teknikal dan prestasi kecekapan minyak serta harga yang kompetitif.

"Dengan tempahan ini, GE akan menjadi pembekal enjin kedua utama AirAsia X.

"Hubungan lama terjalin antara GE dengan Kumpulan AirAsia dan rekod prestasinya memberikan kami keyakinan untuk membuat pilihan ini," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Majlis menandatangani perjanjian itu di Kuala Lumpur, semalam, disaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden AS Barack Obama yang membuat lawatan ke Malaysia dari 26 April hingga 28 April.

Sementara itu, Pengurus Besar Jualan Global dan Pemasaran GE Aviation Kevin McAllister berkata, enjin CF6-80E1 itu akan menyokong kedudukan AirAsia X dari segi kos yang kompetitif di peringkat antarabangsa.

Enjin itu antara paling banyak digunakan dan paling dipercayai dalam industri penerbangan, digunakan pada lebih 10 model pesawat berbadan lebar.

sumber dari :  http://www.sinarharian.com.my/

Harga Rumah di Malaysia Naik Lagi. Kapitalis Hartanah Untung RM9.53 Bilion. Maknanya?

Ada yang menanti di sini dengan penuh sabar bila masa dan ketika “property bubble” akan berlaku di Malaysia? Hakikatnya sekarang ini harga rumah di Malaysia dilihat terus meningkat naik. Buktinya….
Walaupun terdapat langkah-langkah untuk mengurangkan momentum kenaikan harga rumah di Malaysia, tetapi berdasarkan semakan Berita Semasa terhadap Laporan Pasaran Harta 2013 yang dikeluarkan oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta yang terbaru :

Laporan Pasaran Harta 2013 : Trend Statistik Harga Rumah & Hartanah di Malaysia?

  1. Ya…memang transaksi telah mula menurun sebanyak 10.9% berbanding pada 2012 (bersamaan 427,520 transaksi pada tahun 2013 VS 381,130 transaksi pada tahun 2012)
  2. Malangnya nilai transaksi terus melonjak (RM142.84 bilion – pada tahun 2012 VS RM152.37 bilion pada tahun 2013)
  3. Nilai purata harga rumah di Malaysia rata-rata serendah RM266,304 (tahun 2013) VS RM241,591 (tahun 2012) yang mana indeks harga rumah di Malaysia meningkat kepada 192.9 (tahun 2013) berbanding 172.8 (tahun 2012)
Apa maknanya di sini? Ya…..benarnya nilai transaksi penjualan unit rumah di Malaysia telah mula menunjukkan nilai yang menurun. Walaubagaimanapun terima kasih kepada lonjakan harga rumah di Malaysia yang tidak lagi menoleh ke belakang untuk memacu kenaikan harga rumah yang tidak mampu dikejar kalangan rakyat marhaen.

Perbandingan Harga Rumah di Malaysia (Kuala Lumpur VS Selangor Vs Penang)

  1. Nilai hartanah kediaman di Selangor meningkat 19.91% kepada RM405,895 (tahun 2013) berbanding RM338,508 (tahun 2012)
  2. Nilai hartanah kediaman di Kuala Lumpur meningkat 37.66% kepada RM673,249 (tahun 2013) berbanding RM489,052 (tahun 2012)
  3. Nilai hartanah kediaman di Pulau Pinang meningkat 31.45% kepada RM400,738 (tahun 2013) berbanding RM304,858 (tahun 2012)

Statistik Pinjaman Perumahan di Malaysia

  • Kelulusan pinjaman perumahan telah berkurang sejumlah 22.5 % pada tahun 2013 berbanding lonjakan sekitar 47.4 % pada tahun 2012
  • Walau bagaimanapun jumlah pinjaman yang dikeluarkan untuk pembelian hartanah di Malaysia meningkat kepada RM74.4 bilion pada tahun 2013 berbanding RM64.1 bilion pada tahun 2012.
P/S : Pada masa sekarang dengan modal sekitar RM200,000 untuk tinggal dan memiliki rumah sendiri di bandar besar sesuai untuk unit servis apartmen RM200,000 ++ untuk keluasan sekitar 800 kaki persegi.

PP/S : Bagaimana pula harga rumah di tempat anda? Masih lagi mampu milik?

sumber dari : http://www.beritasemasa.com.my/

Monday, 28 April 2014

35,000 peluang kerja menerusi syarikat multinasional

Kuala Lumpur: Syarikat multinasional yang beroperasi di Cyberjaya membuka sehingga 35,000 peluang pekerjaan untuk pekerja berkemahiran tinggi atau Knowledge Worker (K-Worker) dengan 15 peratus daripadanya berkhidmat dengan syarikat berpangkalan di Amerika Syarikat.

Pengarah Urusan Cyberview Faris Yahaya berkata, sehingga April tahun ini, terdapat sehingga 43 syarikat dan organisasi multinasional menjalankan operasi di Cyberjaya dengan 21 daripadanya dari Amerika Syarikat.

“Pelaburan dibuat syarikat ini yang sebahagian besarnya dari sektor teknologi mencatatkan jumlah pelaburan mencecah RM3.52 bilion. “Kami giat menarik pelaburan berasaskan teknologi, berkemahiran-intensif, memerlukan pengetahuan tinggi dan boleh menyumbang kepada harta intelek negara,” katanyakepada Bisnes Metro, semalam.

Daripada 21 syarikat berkenaan, 75 peratus mewakili syarikat berasaskan teknologi maklumat, perkongsian dan penyumberan luar (SSO) (14 peratus) dan kreatif multimedia (11 peratus).

Menurutnya, dengan pertambahan syarikat yang terus melabur di Malaysia khususnya Cyberjaya, ia secara tidak langsung membawa nilai tambahan kepada ekosistem di Cyberjaya.
“Faedah diterima berlipat ganda dan saling melengkapi dengan ekosistem mikro lain yang sedia ada di sini. Contoh paling baik adalah usahawan tempatan yang terdapat di Pusat Inovasi dan Kreatif Global Malaysia (MaGIC).

“Selain menambah pelaburan dalam negara, kemasukan syarikat ini juga dapat memberi kelebihan lain kepada rakyat tempatan khususnya pemindahan kemahiran teknologi tinggi, merapatkan jurang digital, menaik taraf status ekonomi dan sosial rakyat serta pewujudan pekerjaan berpendapatan tinggi,” katanya.

sumber dari : http://www.hmetro.com.my/myMetro/

Najib, Obama lancar Magic di Cyberjaya

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama melihat go-kart elektrik hasil syarikat Dream Edge Racing sempena pelancaran Pusat Inovasi dan Kreatif Global Malaysia (Magic) di Cyberjaya hari ini. - Foto Bernama

CYBERJAYA - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Amerika Syarikat Barack Obama hari ini melancarkan secara rasmi Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (Magic) di sini.

Obama, yang dalam lawatan tiga hari ke Malaysia, singgah di Cyberjaya bagi mendengar taklimat mengenai Magic, yang beliau sifatkan sebagai bukti kepada kerjasama penting Malaysia-AS.

Pemimpin Amerika Syarikat itu meluangkan masa kira-kira 30 minit bertemu dan berbual dengan pelajar dan usahawan muda terpilih.

Dalam ucapannya, Obama berkata Malaysia dan AS mempunyai komitmen bersama untuk menggalakkan keusahawanan terutamanya dalam kalangan golongan muda.

"Kami mahu anda dapat mewujudkan benda-benda dan memulakan syarikat anda sendiri dan perniagaan, dan menghasilkan produk dan perkhidmatan anda sendiri kerana itulah cara masyarakat kita berkembang.

"Impian dan bakat anak-anak muda ini membantu menjana ekonomi kita dan mewujudkan peluang pekerjaan dan mereka juga merapat negara-negara," kata Obama.

Beliau berkata, di seluruh dunia, Amerika Syarikat telah membantu usahawan muda menghubung dan bekerjasama dan memulakan perniagaan mereka sendiri, berkhidmat kepada masyarakat mereka, menangani cabaran global seperti pendidikan dan perubahan iklim dan Magic boleh mengubah idea-idea menjadi realiti.

Penubuhan MaGIC diumumkan Najib pada Sidang Kemuncak Keusahawanan Global (GES) tahun lepas di Kuala Lumpur.

GES diilhamkan oleh Obama sendiri tetapi Presiden itu tidak dapat menghadiri sidang kemuncak berkenaan pada Oktober lepas kerana beliau perlu menangani isu penutupan sebahagian operasi kerajaan persekutuan AS.

"Saya bangga menjadi tuan rumah GES pertama di Washington. GES keempat diadakan di Kuala Lumpur tahun lepas dan kesan yang diterima adalah luar biasa. Pusat ini merupakan hasil secara langsung sidang kemuncak itu yang dihoskan Perdana Menteri Najib," kata Obama.

Beliau berkata kerjasama dan perkongsian idea antara AS dan Malaysia terutamanya dalam kalangan golongan anak muda akan diteruskan kuasa internet.

"Saya berharap untuk melihat banyak lagi perkara hebat oada masa depan," kata beliau.

Sementara itu, Najib mengumumkan perkarangan di hadapan bangunan MaGIC akan dikenali sebagai "Obama Oval".

MaGIC bertujuan untuk mengubah Malaysia menjadi sebuah negara keusahawanan dinamik dengan membolehkan pengusaha tempatan dan antarabangsa memulakan dan mengembangkan perniagaan mereka.

Pusat ini direka untuk menjadi pusat sehenti untuk usahawan, yang akan menyediakan setiap kemudahan yang diperlukan oleh seorang usahawan, daripada mendapatkan pembiayaan dari bank-bank atau pemodal teroka untuk menyediakan inkubator bagi membangunkan syarikat permulaan untuk memperbaiki produk atau perkhidmatan mereka.

Dengan peruntukkan RM50 juta, pusat itu akan membantu dalam pendaftaran harta intelek dan menawarkan kemudahan untuk latihan dan mentor.

Tambahan RM20 juta juga disalurkan untuk menyokong pembangunan perusahaan sosial.

Sebagai inkubator untuk usahawan muda, MaGIC juga bekerjasama dengan organisasi dan universiti Amerika Syarikat seperti Stanford University dan UP Global untuk memperluaskan rangkaian perniagaan mereka.  - Bernama

Sunday, 27 April 2014

LKIM sasar RM200j sempena MISE 2014

Irmohizam Ibrahim

LEMBAGA Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) menyasarkan jualan sebanyak RM200 juta sempena penganjuran Malaysia International Seafood Exposition 2014 (MISE 2014) yang akan diadakan di Pusat Perdagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur pada 19 hingga 21 Jun ini.

Pengerusinya, Datuk Irmohizam Ibrahim berkata, penganjuran kali ketiga dan pertama kali diadakan di negara ini melibatkan 300 peserta dalam dan luar negara seperti negara-negara Asia, Pakistan dan China.

Menurutnya, MISE 2014 melibatkan pameran produk perikanan, padanan perniagaan, demonstrasi masakan, pensampelan produk kepada pengunjung dan Persidangan Perdagangan dan Akuakultur (ATC).

“Program ini memberi impak yang baik kerana membuka ruang dan peluang perdagangan makanan laut dan mempromosikan Malaysia sebagai hab makanan laut dan akuakultur di rantau ini dan global.

“Program ini juga membuka peluang kepada peserta khususnya nelayan mengambil inisiatif untuk berubah kepada bidang akuakultur dan pemprosesan makanan laut,” katanya pada sidang media Majlis Prapelancaran MISE 2014, di Kuala Lumpur.

Hadir dan merasmikan program itu ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah.

Irmohizam berkata, program itu memberikan pelbagai manfaat kepada negara iaitu mempromosi produk perikanan Malaysia ke pasaran antarabangsa dan menggalakkan peluang pelaburan dalam sektor perikanan kepada para pelabur dalam dan luar negara.

“Ia juga memperluas jaringan hubungan di kalangan pengusaha industri perikanan, penyelidik dan pelabur di peringkat antarabangsa,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai bekalan ikan pada masa depan, Irmohizam berkata, Pusat Penyimpanan Ikan Basah Negara diwujudkan untuk memastikan bekalan ikan mencukupi di pasaran pada musim hujan dan monsun.

“LKIM dan kementerian menyasarkan bekalan 200 tan metrik ikan setahun dan Persatuan Nelayan Kebangsaan disaran mempunyai 100 tan metrik bekalan ikan setahun berbanding hanya 50 tan metrik sedia ada.
“Kita tidak mahu menghadapi situasi bekalan ikan yang dihadapi seperti Disember lalu, kekurangan bekalan ikan menyebabkan harga ikan tinggi dan rakyat menyalahkan Kerajaan meningkatkan harga barang. Sekarang kita membuat persediaan sekiranya stok bekalan ikan tidak mencukupi,” katanya.
Irmohizam berkata, LKIM juga akan menambah bilangan pasar nelayan baharu sebanyak 100 buah dan ia dijangka meliputi seluruh Malaysia menjelang akhir 2015. Sehingga kini LKIM mempunyai 38 buah sahaja.
“LKIM memperuntukkan RM200,000 bagi setiap pembinaan pasar nelayan baharu. Harga ikan yang dijual di Pasar Nelayan adalah 20 peratus lebih murah berbanding harga di pasaran luar,” katanya.

sumber dari : http://www.sinarharian.com.my/