Sunday, 27 April 2014

LKIM sasar RM200j sempena MISE 2014

Irmohizam Ibrahim

LEMBAGA Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) menyasarkan jualan sebanyak RM200 juta sempena penganjuran Malaysia International Seafood Exposition 2014 (MISE 2014) yang akan diadakan di Pusat Perdagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur pada 19 hingga 21 Jun ini.

Pengerusinya, Datuk Irmohizam Ibrahim berkata, penganjuran kali ketiga dan pertama kali diadakan di negara ini melibatkan 300 peserta dalam dan luar negara seperti negara-negara Asia, Pakistan dan China.

Menurutnya, MISE 2014 melibatkan pameran produk perikanan, padanan perniagaan, demonstrasi masakan, pensampelan produk kepada pengunjung dan Persidangan Perdagangan dan Akuakultur (ATC).

“Program ini memberi impak yang baik kerana membuka ruang dan peluang perdagangan makanan laut dan mempromosikan Malaysia sebagai hab makanan laut dan akuakultur di rantau ini dan global.

“Program ini juga membuka peluang kepada peserta khususnya nelayan mengambil inisiatif untuk berubah kepada bidang akuakultur dan pemprosesan makanan laut,” katanya pada sidang media Majlis Prapelancaran MISE 2014, di Kuala Lumpur.

Hadir dan merasmikan program itu ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah.

Irmohizam berkata, program itu memberikan pelbagai manfaat kepada negara iaitu mempromosi produk perikanan Malaysia ke pasaran antarabangsa dan menggalakkan peluang pelaburan dalam sektor perikanan kepada para pelabur dalam dan luar negara.

“Ia juga memperluas jaringan hubungan di kalangan pengusaha industri perikanan, penyelidik dan pelabur di peringkat antarabangsa,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai bekalan ikan pada masa depan, Irmohizam berkata, Pusat Penyimpanan Ikan Basah Negara diwujudkan untuk memastikan bekalan ikan mencukupi di pasaran pada musim hujan dan monsun.

“LKIM dan kementerian menyasarkan bekalan 200 tan metrik ikan setahun dan Persatuan Nelayan Kebangsaan disaran mempunyai 100 tan metrik bekalan ikan setahun berbanding hanya 50 tan metrik sedia ada.
“Kita tidak mahu menghadapi situasi bekalan ikan yang dihadapi seperti Disember lalu, kekurangan bekalan ikan menyebabkan harga ikan tinggi dan rakyat menyalahkan Kerajaan meningkatkan harga barang. Sekarang kita membuat persediaan sekiranya stok bekalan ikan tidak mencukupi,” katanya.
Irmohizam berkata, LKIM juga akan menambah bilangan pasar nelayan baharu sebanyak 100 buah dan ia dijangka meliputi seluruh Malaysia menjelang akhir 2015. Sehingga kini LKIM mempunyai 38 buah sahaja.
“LKIM memperuntukkan RM200,000 bagi setiap pembinaan pasar nelayan baharu. Harga ikan yang dijual di Pasar Nelayan adalah 20 peratus lebih murah berbanding harga di pasaran luar,” katanya.

sumber dari : http://www.sinarharian.com.my/

No comments: