Saturday, 10 May 2014

Huawei lancar telefon pintar hanya berharga RM499

Huawei lancar telefon pintar hanya berharga RM499

Syarikat telekomunikasi Huawei Technologies Co. Ltd menerusi Huawei Malaysia telah mengumumkan secara rasmi bahawa Malaysia akan menjadi negara pertama di Asia Tenggara yang melancarkan telefon pintar terbaru minggu lepas iaitu Huawei Honor 3C.

Apa yang menarik mengenai telefon pintar Huawei ini adalah ia murah dari kebanyakan telefon pintar yang berada di pasaran sekarang ini iaitu hanya berharga RM499, namun mempunyai spesifikasi yang baik berbanding telefon pintar sedia ada.

Telefon pintar Huawei Honor 3C menggunakan cip pemprosesan empat-teras 1.3GHz Mediatek, dan dilengkapi dengan memori 2GB RAM, skrin bersaiz 5 inci, serta mempunyai kamera belakang 8 megapixel manakala kamera hadapan pula 5 megapixel sekaligus ia lebih baik daripada telefon-telefon pintar sedia ada di pasaran yang rata-ratanya mempunyai kamera hadapan 2 megapixel sahaja.

Selain itu, ia juga mempunyai sokongan dwi-sim dan kad MikroSD.

Bagi anda yang berminat untuk membeli telefon pintar Huawei Honor 3C ini juga boleh dibeli menerusi dalam talian di VMall Malaysia iaitu www.vmall.my.

sumber dari : https://my.entertainment.yahoo.com/

Tesco kurangkan harga 300 produk

TESCO  Stores (Malaysia) Sdn Bhd melaburkan RM40 juta untuk mengurangkan harga 300 barangan terpilih di 49 buah cawangannya seluruh negara bagi tempoh setahun, bermula Februari lalu.
Pengurangan harga sehingga 30 peratus itu melibatkan barangan segar dan runcit melalui Kempen Harga Rendah Setiap Hari termasuk musim perayaan, dan kempen itu dijadual berakhir pada Februari 2015.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Georg Fischer berkata, Tesco Malaysia sentiasa melihat sentimen pelanggan mengenai kenaikan kos sara hidup dan menyahut seruan kerajaan dalam membantu meringankan beban pelanggan mereka.

“Pelaburan itu kami bahagikan untuk mengurangkan harga barang yang  kerap digunakan oleh pelanggan.

“Sebagai peneraju peruncitan kami bekerjasama dengan pembekal untuk mencari penyelesaian bersama selain mencari peluang melalui penjimatan kos melalui rantaian bekalan, inisiatif tenaga, kebolehkesanan dan sistem teknologi maklumat dengan akhirnya kami mampu
memberi harga rendah kepada pelanggan,” katanya selepas merasmikan Kempen Harga Rendah Setiap Hari di Tesco Extra Klang, semalam.

Fischer berkata, jenis barangan yang dikurangkan harga dipilih melalui maklum balas lebih sejuta pelanggan Tesco berdasarkan barangan segar dan runcit yang kerap digunakan.

"Ada juga yang memberi maklum balas bahawa pengurangan harga barang di musim perayaan sahaja tidak memadai dalam membantu mereka menjimatkan perbelanjaan harian," katanya.

Menurut Fischer, antara barangan segar dan runcit yang dikurangkan harga ialah ikan tilapia dan cencaru iaitu daripada RM8.99 sekilogram kepada RM5.99 sekilogram dan roti putih ekonomi daripada RM1.79 sebungkus kepada RM1.29.

sumber dari : http://www.sinarharian.com.my/
Wartawan Sinar Harian

Friday, 9 May 2014

7-Eleven sasar raih RM731 juta

Tan (kiri) dan Hasan semasa pelancaran prospektus 7-Eleven di Kuala Lumpur, semalam.

SYARIKAT  rangkaian kedai serbaneka 7-Eleven Malaysia Holdings Bhd (7-Eleven) yang dimiliki Kumpulan Berjaya menyasarkan untuk meraih dana RM731.85 juta daripada tawaran awam awalnya (IPO) sempena penyenaraian syarikat itu di Bursa Malaysia, dijadualkan pada akhir bulan ini.
Sebanyak 530.32 juta saham akan ditawarkan di bawah IPO itu.

Pengasas Kumpulan Berjaya, Tan Sri Vincent Tan semasa pelancaran prospektus 7-Eleven semalam berkata, beliau yakin terdapat peluang besar untuk 7-Eleven berkembang maju dan gambaran pasaran untuk industri itu amat cerah.

Pelancaran itu disaksikan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek.

"Menurut kajian (pasaran dikendalikan Vital Factor Consulting Sdn Bhd), segmen kedai serbaneka dijangka berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan tergabung sembilan peratus dari segi jumlah kedai antara 2013 dan 2018," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Menurut kenyataan itu, sebahagian besar daripada dana tersebut akan digunakan bagi menambah aset 7-Eleven dengan membuka 200 kedai serbaneka baharu dan membantu mengubahsuai kedai sedia ada.

Dana itu juga akan digunakan untuk menaik taraf sistem teknologi maklumat syarikat itu serta pembinaan Pusat Pengedaran Gabungan.

Menurut Tan, 7-Eleven telah membangun menjadi peneraju dominan pasaran tetapi masih banyak yang perlu dilakukan bagi merealisasikan potensi sebenar syarikat itu.

"Penyenaraian ini menandakan bab seterusnya dalam pertumbuhan dan pembangunan syarikat," katanya.

7-Eleven dan anak-anak syarikatnya ialah rangkaian kedai serbaneka terbesar di Malaysia dengan 1,583 outlet di seluruh negara setakat 10 April 2014.

sumber dari :  http://www.sinarharian.com.my/

Thursday, 8 May 2014

RM1.1b tingkat kualiti

DARI kiri, Morten, Nasution dan Dushyan ketika sidang akhbar MAXIS.

Kuala Lumpur: Maxis Berhad (MAXIS) memperuntukkan RM1.1 bilion bagi perbelanjaan modalnya (Capex) tahun ini yang sebahagian adalah untuk pelaburan rangkaian sokongan di seluruh negara. Ketua Pegawai Eksekutifnya Morten Lundal berkata, MAXIS terus melabur dalam rangkaiannya dan bagi suku pertama ini saja RM118 juta Capex disediakan untuk pemodenan rangkaian, kapasiti dan peningkatan kualiti.

Katanya, selain itu pihaknya juga akan memfokus peningkatan liputan 4G secara tertumpu terutama untuk memastikan MAXIS mempunyai platform IT dan rangkaian yang dibina terus menyediakan pengalaman terbaik pelanggan.

“Suku pertama tahun ini adalah usaha untuk memberi akses Internet tanpa rasa bimbang dan peluang menggunakan data dengan cara yang diingini pelanggan. MAXIS juga sudah memperkenalkan Hotlink 4G, talian tambahan data untuk keluarga, Hot Tiket tambahan dan Activ10 untuk Hotlink.

“Seperti yang dijangka, suku pertama ini juga dipenuhi dengan inisiatif transformasi yang juga menjadikan fokus utama kami sepanjang 2014,” katanya di pengumuman keputusan kewangan suku pertama MAXIS, semalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Kewangan dan Strategi Maxis Nasution Mohamed dan Ketua Perniagaan Konsumernya Dushyan Vaithiyanathan.

MAXIS merekodkan keuntungan selepas cukai RM488 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2014, peningkatan 2.5 peratus dari RM476 juta yang dicatatkan bagi tempoh yang sama tahun lalu.

Syarikat merekodkan hasil sebanyak RM2.11 bilion bagi suku pertama dan Internet mudah alih kekal sebagai penyumbang utama serta menyumbang sebanyak 27 peratus.

Margin perolehan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (Ebitda) direkodkan lebih baik daripada yang dijangka iaitu 50.6 peratus berbanding suku pertama 2013, manakala Ebitda keseluruhan adalah RM1.07 bilion.

“Kami berpuas hati meningkatkan untung bagi suku pertama ini dan pada masa sama, kami terus memberi fokus sepenuhnya untuk meningkatkan lagi keupayaan dan memberi pelanggan pengalaman terhebat,” katanya.

Sumber dari : http://www.hmetro.com.my/
Oleh Sri Ayu Kartika Amri

Angkasa sasar bina 500 rumah mampu milik

Abdul Fattah Abdullah

ANGKATAN Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd (Angkasa) mula menceburi sektor pembangunan hartanah dan menyasarkan pembinaan 500 unit rumah mampu milik menjelang 2016.

Presidennya, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, rumah berharga di bawah RM250,000 itu boleh dibangunkan dengan kerjasama koperasi yang mempunyai tanah.

“Lebih 3,000 hektar tanah kepunyaan koperasi boleh dibangunkan dan Angkasa mempelawa kerjasama pembangunan dengan pembiayaan oleh Angkasa,” katanya selepas majlis menandatangani perjanjian usaha sama Angkasa dengan Koperasi Pembangunan Daerah Alor Gajah Melaka Bhd untuk membina rumah mampu milik.

Dalam projek perintis itu, Angkasa melalui anak syarikatnya, MyAngkasa Bina Sdn Bhd akan membina 47 unit rumah teres di atas tanah seluas 1.6 hektar di Alor Gajah.

Projek RM5.8 juta itu akan dimulakan pada September dan dijangka siap dalam tempoh dua tahun.

Rumah untuk anggota koperasi itu dijual dengan harga bermula RM140,000.

Abdul Fattah berkata, lima lagi koperasi sedia bekerjasama dengan Angkasa untuk membangunkan rumah mampu milik di Selangor, Perak, Johor dan Kelantan.

Selain memenuhi permintaan, katanya, penglibatan Angkasa dalam sektor hartanah selaras dengan Dasar Koperasi Negara yang ingin melihat koperasi terlibat dalam perniagaan berimpak tinggi.

Menurutnya, pembangunan hartanah ialah sektor paling stabil dengan kadar pertumbuhan enam peratus dan nilai pembangunan kasar sehingga RM100 bilion setahun.

Namun penglibatan koperasi dalam sektor itu amat kecil berbanding suatu ketika dahulu semasa koperasi aktif bangunkan hartanah seperti Taman Kosas, Taman Shamelin dan Taman Kobena. - Bernama

Sumber dari : http://www.sinarharian.com.my/

Wednesday, 7 May 2014

Sasar dana RM2.2 bilion

JEAN bercakap pada sidang media sempena penerbitan Laporan Tahunan PIDM 2013.

Kuala Lumpur: Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) menyasarkan peningkatan dana perlindungan sebanyak RM2.2 bilion pada tahun ini iaitu 14.5 peratus lebih daripada RM1.92 bilion yang direkodkan tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Jean Pierre Sabourin berkata, pihaknya percaya jumlah itu dapat dicapai menerusi prestasi yang direkodkan tahun lalu terutama menerusi pelaksanaan Sistem Levi Berbeza. Menurutnya, tahun lalu dana insurans deposit berjumlah RM768.3 juta direkod terdiri daripada dana insurans depositkonvensional RM660.9 juta dan dana insurans deposit Islam RM107.4 juta.

“Selain itu, kadar premium yang disemak juga membolehkan PIDM mencapai tahap sasaran dana perlindungan memandangkan saiz pasaran di Malaysia bagi segmen itu dianggarkan RM1.4 trilion. “Kami juga akan terus mengawasi dan melapirkan mengenai kemajuan dalam mencapai sasaran tahap dana itu setiap tahun,” katanya pada sidang media sempena penerbitan Laporan Tahunan PIDM 2013, di sini, semalam.

Menurutnya, tahap masa untuk dana sudah dijangka dan sensitif kepada beberapa faktor seperti jumlah pertumbuhan deposit diinsurans, pendapatan pelaburan dan perbelanjaan operasi.

Sabourin berkata, PIDM juga meneruskan usaha meningkatkan kesedaran awam dan pemahaman dalam kalangan konsumer kewangan mengenai sistem perlindungan PIDM bertujuan menggalakkan keyakinan awam terhadap sistem kewangan di Malaysia.

Sementara itu, menurut laporan berkenaan, jumlah dana perlindungan manfaat takaful dan insurans (DPMTI) akhir tahun lalu ialah RM1.15 bilion, peningkatan 6.2 peratus daripada tahun sebelumnya.

Dana perlindungan insurans am pula meningkat 3.1 peratus manakala dana perlindungan insurans hayat naik 40.3 peratus. Dana perlindungan takaful am dan dana perlindungan takaful keluarga pula masing-masing meningkat 58.5 dan 55.8 peratus.

Pertumbuhan lebih rendah untuk dana perlindungan insurans am berbanding DPMTI lain disebabkan asas dana lebih besar hasil daripada pemindahan dana skim jaminan insurans kepada PIDM pada 2011.

Sebagai sebahagian sistem jaring keselamatan kewangan negara, PIDM menguruskan Sistem Insurans Deposit dan Sistem Perlindungan Manfaat Takaful dan Insurans.

sumber dari : http://www.hmetro.com.my/

Wang RM43,000 dalam akaun lesap

Mohd Baki menunjukkan laporan polis yang dibuatnya pada 15 April lalu di Balai polis Bahau.

JEMPOL - Seorang bapa yang juga orang kurang upaya (OKU) terkejut apabila mendapati wang sebanyak RM43,000 dalam akaunnya lesap dikeluarkan tanpa pengetahuannya.

Mangsa, Mohd Baki Meon, 59, berkata, dia hanya menyedari wang berkenaan 'hilang' apabila dia ingin mengeluarkan simpanan tersebut untuk membaiki kereta, tiga minggu lalu, namun mendapati baki akaunnya hanya RM21 sahaja.

“Sebelum kejadian, saya sempat mengeluarkan RM20,000 untuk dipindahkan ke dalam akaun isteri pada November lalu dan hanya mengeluarkan RM500 setiap bulan, bermula November untuk pembayaran bil kerana mempunyai pendapatan daripada Felda sebanyak RM1,200 sebulan.

“Sepanjang tempoh itu, saya tidak menyemak baki simpanan berikutan percaya wang dalam akuan bank itu selamat,” katanya yang menetap di Felda Serting Hilir, dekat sini.

Menurut Mohd Baki, menerusi penyata akaun, dia mendapati wangnya dikeluarkan hampir setiap hari dengan jumlah berbeza tanpa pengetahuannya bermula Oktober tahun lalu.

Menceritakan perkara itu, bapa kepada lima anak ini berkata, sebulan selepas terlibat dalam kemalangan Julai lalu, ada dua individu mendakwa sebagai pegawai bank datang ke rumah untuk menguruskan kad bank baharu.

"Disebabkan kemalangan itu saya kini lumpuh seumur hidup dan saya meminta pegawai bank datang ke rumah untuk membuat kad bank baharu.

"Mereka datang untuk menetapkan nombor pin baharu dengan menggunakan nombor kad pengenalan. Ketika itu saya tidak mengesyaki apa-apa sehinggalah berlaku perkara ini.

"Kehilangan wang itu memang menimbulkan tanda tanya kerana kad bank dipegang sepanjang masa oleh isteri dan akan meminta anak mengeluarkan wang sekiranya perlu,” katanya.

Katanya, dia berasa sangat terkilan kerana duit itu merupakan hasil simpanan gajinya sebagai pemandu lori, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KSWP) dan pampasan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Tambah Mohd Baki, satu laporan polis telah dibuat pada 15 April lalu dan perkara itu telah dimaklumkan kepada pihak bank.

"Saya mahu pihak tersebut telus dalam penyiasatan termasuk melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV). Namun apa yang saya kesalkan pihak terbabit bagaikan membisu tanpa memberi sebarang maklumat mengenai kehilangan itu," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis daerah Jempol, Superintenden Hamzah Alias ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan polis yang dibuat oleh mangsa.

Tuesday, 6 May 2014

MyFranchise sasar bantu ekonomi generasi muda

Taiping: MyFranchise Sdn Bhd, anak syarikat Perbadanan Nasional Berhad (PNS), mengunjurkan generasi muda berusia 30 hingga 40 tahun adalah golongan sasar dalam meneruskan empayar francais di bawahnya.

Ia selari dengan matlamat membina budaya perniagaan dalam golongan Gen Y, sekali gus membantu ekonomi kumpulan berkenaan.

Pengerusinya Datuk Ahmad Shalimin Ahmad Shaffie berkata, setakat ini lebih 30 francaisi bagi jenama tunggal di bawahnya Gloria Jean’s Cofees Malaysia berada dalam lingkungan usia berkenaan dan latar belakang terbabit memberikan persaingan sihat dalam perniagaan.

“Kita mempunyai matlamat bagi setiap jenama yang dibawa iaitu produk yang bersesuaian bagi ekosistem perniagaan di Malaysia dan boleh memberikan keuntungan jangka panjang.“Kriteria seterusnya adalah dengan mencari konsep bisnes yang tidak memerlukan modal permulaan terlalu tinggi selain diklasifikasikan sebagai segmen tahan saingan,” katanya kepada Bisnes Metro ketika majlis penyampaian sijil kepada peserta ‘Mount Kinabalu Barista Challenge 2014’, di sini, baru-baru ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif MyFranchise Sdn Bhd Fauzi Awang. Ahmad Shalimin berkata, faktor modal yang tidak membebankan adalah cara bersesuaian bagi membantu Gen Y membina empayar perniagaan sendiri khususnya dalam industri francais.

Menurutnya, ramai yang berdepan dengan masalah modal dan PNS sendiri hanya memberikan 60 peratus peruntukan perniagaan. “Ada juga francaisi berada di bawah lingkungan 30 tahun, tetapi secara amnya mereka berusia 30 hingga 40 atau 45 tahun adalah kumpulan yang sesuai dan matang untuk berdepan risiko perniagaan.

Kita tidak meletakkan sasaran jumlah individu yang akan dilahirkan sebagai usahawan kerana perincian perlu dilakukan dengan teliti “katanya. Ahmad Shalimin berkata, syarikat percaya pada kualiti perniagaan dan mahu empat jenama yang dirancang dibawa masuk tahun ini akan memberi peluang kepada rakyat khususnya bakal pemilik perniagaan.

sumber dari : http://www.hmetro.com.my/
Oleh Sharifah Norfaezah Wan Ahmad Makki Mashor

Produk dari penjara jana jutaan ringgit

JABATAN Penjara Malaysia mencatat kira-kira RM21.5 juta jualan tahun lalu melalui penghasilan produk penjara, sekali gus meningkatkan keyakinan jabatan itu untuk sasarkan peningkatan sehingga RM25 juta tahun ini.

Timbalan Komisioner Penjara, Ketua Seksyen Vokasional dan Industri Jabatan Penjara Malaysia, Datuk Mohd Sakeri Dollah berkata, usaha promosi akan dilipat gandakan selain menambah baik jualan dalam talian.

“Produk penjara turut dijual menerusi Koperasi Penjara, selain dalam ekspo dan pameran seperti sambutan hari Keluarga Kementerian Dalam Negeri atau Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade).

“Tahun lalu sahaja, jabatan ini mencatat jualan RM2 juta hasil jualan produk fabrik dan RM1 juta menerusi jualan kuih raya sahaja,” katanya.

Katanya, berdasarkan peningkatan positif ini, Jabatan Penjara Malaysia berhasrat menghasilkan produk berskala besar menerusi segmen fabrik, makanan dan perkhidmatan sara diri seperti penternakan ikan dan tanaman sayuran.

Latihan untuk banduan sara diri

Jabatan Penjara Malaysia mempunyai visi dan misi memastikan banduan yang bebas memiliki masa depan lebih cerah.

Program latihan berkemahiran bagi penghuni penjara ialah asas pembinaan kerjaya dan antara fasa yang perlu dilalui penghuni tirai besi sebelum dibebaskan.

Menurut Mohd Sakeri, terdapat empat fasa perlu dilalui penghuni.

Pertama, fasa orientasi yang menekankan aspek pembinaan fizikal dan spiritual, diikuti fasa pengukuhan sahsiah, latihan kemahiran dan terakhir fasa penyesuaian diri penghuni dengan masyarakat luar.

“Dalam membentuk peluang kerjaya, program pemulihan fasa ketiga sebelum ini berkonsepkan latihan sahaja, tetapi sebaik bebas, menjadi kebijaksanaan bekas banduan mencari kerjaya sendiri.

“Bagaimanapun, apabila diwujudkan Pelan Pembangunan Insan, ia lebih tersusun dan sistematik. Latihan kemahiran diperkemas dengan matlamat untuk melahirkan banduan berkemahiran tinggi dan memiliki sijil yang diiktiraf Kementerian Sumber Manusia,” katanya.

Dalam fasa ketiga, Jabatan Penjara Malaysia menyasarkan 70 peratus banduan memiliki kemahiran bersijil sama ada sijil Jabatan Pembangunan Kemahiran atau Kemahiran Kecekapan di bawah Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia.

“Hasil daripada latihan ialah pengeluaran dan pemasaran produk. Namun ia bukanlah matlamat utama latihan, tetapi lebih kepada menyediakan penghuni dengan latihan kerjaya.

“Mereka mungkin ‘keluar’ dan menjadi usahawan berjaya atau dapat bekerja dengan majikan,” katanya.

Stigma semakin berkurangan

Sebut sahaja penjara pasti terlintas di fikiran perkara negatif, sedikit sebanyak memberi kesan kepada produk dihasilkan.

Namun menurut Mohd Sakeri, stigma masyarakat terhadap banduan mahupun produk penjara semakin berkurangan kerana sambutan produk penjara yang menggalakkan.
“Ia mungkin didorong penglibatan banduan dalam aktiviti kemasyarakatan yang kami sediakan sebelum mereka dilepaskan.

“Jadi masyarakat dapat melihat kesan positif sekali gus menambah kepercayaan mereka untuk membeli produk penjara,” katanya.

sumber dari : http://www.sinarharian.com.my/
SITI ZUBAIDAH MAT ISA, MOHAMAD HAFIZI MOHD SAID Foto: AZMI ARYANTO

Monday, 5 May 2014

Dipenjara, denda RM534j gelap dana awam

Abu Dhabi: Sebuah mahkamah di sini semalam menjatuhkan hukuman tiga tahun penjara dan denda berjumlah Dh600 juta (RM534 juta) terhadap seorang lelaki selepas disabitkan dengan kesalahan menggelapkan dana awam dan memalsukan dokumen ketika menjadi penjawat awam.

Hukuman dijatuhkan berdasarkan beberapa pertuduhan termasuk menggelapkan, penyalahgunaan dana awam, pemalsuan dokumen kerajaan, membahayakan kepentingan jabatan awam dan mendapatkan komisen secara haram.

Mahkamah itu turut menjatuhkan hukuman enam bulan penjara ke atas tiga rakannya kerana bersubahat dan memerintahkan mereka diusir keluar dari UAE selepas menjalani hukuman.

“Dua lagi tertuduh yang bersekongkol turut dijatuhi hukuman penjara tiga bulan dan akan di usir dari negara itu,” lapor sumber, semalam.

- Agensi

WANG PUSAKA BAWA PUAKA

Gambar hanya sekadar hiasan

Teruja bakal memperoleh wang wasiat berjumlah RM10 juta mengakibatkan seorang jururawat kini menanggung hutang hampir RM1 juta selepas diperdaya dengan kisah ‘barah payudara’ dihantar sindiket penipuan Internet.

Kes jururawat itu satu daripada 91 kes penipuan Internet dikesan polis Perak. Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Azrina, 38, ketika ditemui wartawan berkata, dia kelabu mata apabila ‘digula-gulakan’ dengan wasiat itu dan sanggup meminjam wang daripada bank dan ceti haram (along) hanya kerana yakin bakal ‘dihujani duit’ seperti dijanjikan.

Azrina yang bertugas di sebuah klinik di sini, mendakwa mula berkenalan dengan wanita bernama Siti Zaleha di laman sosial Facebook sekitar penghujung 2012. Menurutnya, wanita itu mendakwa seorang ahli perniagaan di United Kingdom mulanya hanya mahu berkenalan sambil saling bertukar gambar dan kisah hidup dilalui.

“Mulanya saya langsung tidak berasa syak berikutan persahabatan kami berlangsung dalam tempoh masa agak lama. Pada masa sama wanita itu mendakwa menderita penyakit barah payudara dan berkemungkinan menemui ajal dalam masa terdekat.

“Saya percaya sepenuhnya dengan kisah itu apatah lagi tugas harian saya berhadapan dengan pelbagai pesakit di hospital.

sumber dari : http://www.hmetro.com.my/

Sunday, 4 May 2014

Sasar 500,000 Kopi Pak Belalang terjual

Kopi Pak Belalang akan menembusi pasaran Indonesia dalam masa terdekat. - Foto Sinar Harian oleh ZULFADHLI ZAKI



CLASSIC Worldwide Corporation (M) Sdn Bhd (Classic Worldwide) menyasarkan sebanyak 500,000 kotak produk minuman kesihatan terbaharunya, Kopi Pak Belalang akan terjual sehingga hujung tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Zaini Hassan berkata, bagi mencapai sasaran jualan tersebut, syarikat itu akan menghasilkan 100,000 hingga 150,000 kotak Kopi Pak Belalang setiap tiga bulan.

“Kami telah menjalankan penyelidikan dan pembangunan selama setahun dengan jumlah pelaburan mencecah RM150,000 dalam menghasilkan kopi asli dan klasik ini,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan produk tersebut di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Zaini berkata, bagi permulaan pelancaran produk itu, Classic Worldwide telah mengeluarkan 60,000 kotak Kopi Pak Belalang dan kesemuanya sudah habis ditempah.

“Kami juga menjangkakan Kopi Pak Belalang akan menembusi pasaran Indonesia dalam masa terdekat melalui pejabat kami di sana,” katanya.

Menurut beliau, Kopi Pak Belalang keluaran syarikatnya itu boleh didapati oleh pengguna melalui ejen di bawah Classic Worldwide.

Sementara itu, Classic Worldwide turut meraikan 100 orang anak yatim sekitar Kedah dan Selangor serta memberi sumbangan kepada tiga badan amal dalam majlis tersebut.

sumber dari :  http://www.sinarharian.com.my/
MOHAMAD HAFIZI MOHD SAID