Wednesday, 7 May 2014

Sasar dana RM2.2 bilion

JEAN bercakap pada sidang media sempena penerbitan Laporan Tahunan PIDM 2013.

Kuala Lumpur: Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) menyasarkan peningkatan dana perlindungan sebanyak RM2.2 bilion pada tahun ini iaitu 14.5 peratus lebih daripada RM1.92 bilion yang direkodkan tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Jean Pierre Sabourin berkata, pihaknya percaya jumlah itu dapat dicapai menerusi prestasi yang direkodkan tahun lalu terutama menerusi pelaksanaan Sistem Levi Berbeza. Menurutnya, tahun lalu dana insurans deposit berjumlah RM768.3 juta direkod terdiri daripada dana insurans depositkonvensional RM660.9 juta dan dana insurans deposit Islam RM107.4 juta.

“Selain itu, kadar premium yang disemak juga membolehkan PIDM mencapai tahap sasaran dana perlindungan memandangkan saiz pasaran di Malaysia bagi segmen itu dianggarkan RM1.4 trilion. “Kami juga akan terus mengawasi dan melapirkan mengenai kemajuan dalam mencapai sasaran tahap dana itu setiap tahun,” katanya pada sidang media sempena penerbitan Laporan Tahunan PIDM 2013, di sini, semalam.

Menurutnya, tahap masa untuk dana sudah dijangka dan sensitif kepada beberapa faktor seperti jumlah pertumbuhan deposit diinsurans, pendapatan pelaburan dan perbelanjaan operasi.

Sabourin berkata, PIDM juga meneruskan usaha meningkatkan kesedaran awam dan pemahaman dalam kalangan konsumer kewangan mengenai sistem perlindungan PIDM bertujuan menggalakkan keyakinan awam terhadap sistem kewangan di Malaysia.

Sementara itu, menurut laporan berkenaan, jumlah dana perlindungan manfaat takaful dan insurans (DPMTI) akhir tahun lalu ialah RM1.15 bilion, peningkatan 6.2 peratus daripada tahun sebelumnya.

Dana perlindungan insurans am pula meningkat 3.1 peratus manakala dana perlindungan insurans hayat naik 40.3 peratus. Dana perlindungan takaful am dan dana perlindungan takaful keluarga pula masing-masing meningkat 58.5 dan 55.8 peratus.

Pertumbuhan lebih rendah untuk dana perlindungan insurans am berbanding DPMTI lain disebabkan asas dana lebih besar hasil daripada pemindahan dana skim jaminan insurans kepada PIDM pada 2011.

Sebagai sebahagian sistem jaring keselamatan kewangan negara, PIDM menguruskan Sistem Insurans Deposit dan Sistem Perlindungan Manfaat Takaful dan Insurans.

sumber dari : http://www.hmetro.com.my/

No comments: