Thursday, 8 May 2014

Angkasa sasar bina 500 rumah mampu milik

Abdul Fattah Abdullah

ANGKATAN Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd (Angkasa) mula menceburi sektor pembangunan hartanah dan menyasarkan pembinaan 500 unit rumah mampu milik menjelang 2016.

Presidennya, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, rumah berharga di bawah RM250,000 itu boleh dibangunkan dengan kerjasama koperasi yang mempunyai tanah.

“Lebih 3,000 hektar tanah kepunyaan koperasi boleh dibangunkan dan Angkasa mempelawa kerjasama pembangunan dengan pembiayaan oleh Angkasa,” katanya selepas majlis menandatangani perjanjian usaha sama Angkasa dengan Koperasi Pembangunan Daerah Alor Gajah Melaka Bhd untuk membina rumah mampu milik.

Dalam projek perintis itu, Angkasa melalui anak syarikatnya, MyAngkasa Bina Sdn Bhd akan membina 47 unit rumah teres di atas tanah seluas 1.6 hektar di Alor Gajah.

Projek RM5.8 juta itu akan dimulakan pada September dan dijangka siap dalam tempoh dua tahun.

Rumah untuk anggota koperasi itu dijual dengan harga bermula RM140,000.

Abdul Fattah berkata, lima lagi koperasi sedia bekerjasama dengan Angkasa untuk membangunkan rumah mampu milik di Selangor, Perak, Johor dan Kelantan.

Selain memenuhi permintaan, katanya, penglibatan Angkasa dalam sektor hartanah selaras dengan Dasar Koperasi Negara yang ingin melihat koperasi terlibat dalam perniagaan berimpak tinggi.

Menurutnya, pembangunan hartanah ialah sektor paling stabil dengan kadar pertumbuhan enam peratus dan nilai pembangunan kasar sehingga RM100 bilion setahun.

Namun penglibatan koperasi dalam sektor itu amat kecil berbanding suatu ketika dahulu semasa koperasi aktif bangunkan hartanah seperti Taman Kosas, Taman Shamelin dan Taman Kobena. - Bernama

Sumber dari : http://www.sinarharian.com.my/

No comments: