Saturday 10 May 2014

Tesco kurangkan harga 300 produk

TESCO  Stores (Malaysia) Sdn Bhd melaburkan RM40 juta untuk mengurangkan harga 300 barangan terpilih di 49 buah cawangannya seluruh negara bagi tempoh setahun, bermula Februari lalu.
Pengurangan harga sehingga 30 peratus itu melibatkan barangan segar dan runcit melalui Kempen Harga Rendah Setiap Hari termasuk musim perayaan, dan kempen itu dijadual berakhir pada Februari 2015.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Georg Fischer berkata, Tesco Malaysia sentiasa melihat sentimen pelanggan mengenai kenaikan kos sara hidup dan menyahut seruan kerajaan dalam membantu meringankan beban pelanggan mereka.

“Pelaburan itu kami bahagikan untuk mengurangkan harga barang yang  kerap digunakan oleh pelanggan.

“Sebagai peneraju peruncitan kami bekerjasama dengan pembekal untuk mencari penyelesaian bersama selain mencari peluang melalui penjimatan kos melalui rantaian bekalan, inisiatif tenaga, kebolehkesanan dan sistem teknologi maklumat dengan akhirnya kami mampu
memberi harga rendah kepada pelanggan,” katanya selepas merasmikan Kempen Harga Rendah Setiap Hari di Tesco Extra Klang, semalam.

Fischer berkata, jenis barangan yang dikurangkan harga dipilih melalui maklum balas lebih sejuta pelanggan Tesco berdasarkan barangan segar dan runcit yang kerap digunakan.

"Ada juga yang memberi maklum balas bahawa pengurangan harga barang di musim perayaan sahaja tidak memadai dalam membantu mereka menjimatkan perbelanjaan harian," katanya.

Menurut Fischer, antara barangan segar dan runcit yang dikurangkan harga ialah ikan tilapia dan cencaru iaitu daripada RM8.99 sekilogram kepada RM5.99 sekilogram dan roti putih ekonomi daripada RM1.79 sebungkus kepada RM1.29.

sumber dari : http://www.sinarharian.com.my/
Wartawan Sinar Harian

No comments: