TRAGEDI yang menimpa MH17 pada 17 Julai lalu secara tidak langsung memberi impak besar kepada MAS secara keseluruhannya.
Jumaat lalu, saham MAS turut dilaporkan jatuh sebanyak 13.33 peratus
dalam dagangan awal Jumaat selepas pesawat penumpang milik syarikat
penerbangan itu terhempas di sempadan Ukraine-Rusia.
Pakar Ekonomi Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan,
Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Datuk Dr Amir Hussin Baharuddin
berkata, MAS perlu menggunapakai model syarikat penerbangan Delta
Airlines dan Jepun Airlines (JAL) yang pernah berhadapan dengan krisis
kewangan dalam usaha untuk membangunkan semula MAS.
Semasa Japan Airlines (JAL) menghadapi masalah kewangan seperti MAS,
pekerjanya berdiri teguh di belakang pihak pengurusan dan hasilnya ia
muncul lebih kukuh dan lebih menguntungkan.
Begitu juga dengan Delta Airlines, sebuah syarikat Amerika, yang boleh
dijadikan contoh MAS. Ketika syarikat penerbangan itu mengalami krisis
seperti MAS, langkah pertama yang diambil oleh pekerjanya, termasuk juru
terbang, adalah dengan merelakan gaji mereka dipotong.
Manakala, gaji ketua pegawai eksekutifnya dikurangkan sebanyak 35 peratus.
Katanya, jika MAS dapat mengaplikasikan model itu, MAS dijangka dapat
bangun semula dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.
"Namun, dengan syarat tidak ada lagi kejadian-kejadian seperti MH370
atau MH17 yang berlaku," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di Kuala
Lumpur, semalam.
Menurutnya, insiden MH17 sememangnya memberi impak yang memang cukup besar kepada MAS, walaupun bukan disebabkan oleh MAS.
"Oleh itu, kerajaan perlu mengambil tindakan yang tegas dan perlu ada kecekapan pengurusan.
"Saya yakin MAS mampu bangun semula walaupun berhadapan dengan situasi
ini dengan melakukan beberapa tindakan berkaitan dengan wang, strategi
dan kakitangan," katanya.
Amir berkata, Malaysia hanya mempunyai satu syarikat penerbangan
nasional, jika negara tidak tahu untuk mengekalkannya itu sememangnya
menjadi situasi yang memalukan buat negara.
Beliau juga berpendapat bahawa penswastaan bukanlah jalan penyelesaian untuk mengatasi kemelut yang melanda MAS.
Katanya, sebelum ini, MAS pernah diswastakan tetapi diambil semula oleh kerajaan selepas mengalami masalah.
"Situasi itu sudah cukup membuktikan bahawa syarikat swasta sendiri pun tidak mampu untuk menguruskan MAS," katanya.
Penjenamaan semula bantu kukuh MAS
Penganalisis Ekonomi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Baayah Baba
berkata, walaupun tragedi MH17 bukan disebabkan MAS, namun secara tidak
langsung ia akan memberi kesan kepada jualan tiket syarikat penerbangan
itu.
"Orang ramai akan menjadi semakin kurang yakin dan takut menaiki kapal
terbang milik MAS. Apatah lagi kejadian yang menimpa MH370 dan MH17
hanya dalam tempoh lima bulan," katanya.
Menurutnya, antara langkah yang perlu dilakukan untuk bangkit semula
adalah dengan memberikan penjenamaan semula perkhidmatan sedia ada MAS,
dalam usaha menarik dan menyakinkan lebih ramai pelanggan.
Katanya, seperti yang orang ramai sedia maklum, MAS adalah syarikat
penerbangan yang menawarkan perkhidmatan terbaik dan untuk mengukuhkan
kedudukan itu semula, MAS perlu meningkatkan semula kepercayaan orang
ramai.
"Mungkin ia memakan masa enam hingga satu tahun untuk kembali stabil dan ia bukanlah satu kerja yang mudah dilakukan.
"Tetapi saya yakin MAS hanya mengambil masa enam bulan untuk
mengkukuhkan kedudukan dan saham syarikat itu untuk kembali normal,"
katanya.
Baayah berkata, MAS juga boleh melakukan penjenamaan semula jenama
syarikat penerbangan itu selepas ini dengan nama penerbangan yang baru
untuk memberikan nafas baru kepada syarikat penerbangan itu.
"Namun, hanya jika MAS betul-betul terdesak sahaja barulah MAS dijual
kepada mana-mana syarikat swasta yang mampu untuk menguruskan syarikat
penerbangan itu.
Mungkin itu boleh membantu menyelesaikan masalah berkenaan," katanya.
Sementara itu, Baayah berkata, seperti orang ramai sedia maklum, MAS
menawarkan harga tiket yang lebih mahal berbanding syarikat penerbangan
lain.
"Oleh itu, sebagai cadangan mungkin, MAS perlu mengurangkan harga tiket
penerbangannya pada masa akan datang untuk menarik lebih ramai
pelanggan untuk memilih penerbangan mereka," katanya.
Mengulas Tahun Melawat Malaysia 2014, Baayah berkata, insiden MH17
turut mempengaruhi sedikit sebanyak kepada jumlah kedatangan pelancong
ke negara ini.
sumber dari : http://www.sinarharian.com.my/
CONNIE S MONICAL