Saturday, 3 October 2015

Kapal Selam Tentera Australia Berlabuh Di Butterworth



 

KUALA LUMPUR: Penumpang feri Pulau Pinang hari ini dikejutkan dengan kemunculan sebuah kapal selam tentera Australia di perairan negeri itu, pagi tadi.

Kemunculan kapal selam HMAS Sheean itu menarik perhatian orang ramai dan banyak foto kapal itu tersebar di media sosial.

Kapal selam berkuasa diesel-elektrik itu muncul pada 11 pagi dan difahamkan akan berlabuh di Pulau Pinang sehingga 2 Oktober ini.

Wakil tentera laut (RNO) Pulau Pinang dipetik berkata, HMAS Sheean akan berada di Pulau Pinang bermula hari ini sehingga 2 Oktober ini dan dijadualkan melakukan kunjungan hormat kepada RNO Pulau Pinang hari ini.

Selepas Pulau Pinang, HMAS Sheean akan meneruskan pelayaran ke Kota Kinabalu, Sabah serta akan menjalani latihan dengan KD TAR pada 12 dan 13 Oktober ini.
Difahamkan, selepas selesai latihan kapal selam berkenaan akan berlayar pulang ke pengkalan laut mereka di barat Australia.

sumber : astroawani.com/

Harga Barang Elektrik Dijangka Naik


Pengunjung mencuba sofa di Pameran Kediaman dan Gaya Hidup Perfect Livin' 15 di Stadium Indera Mulia, Ipoh.

IPOH: Harga barangan elektrik dijangka meningkat sebanyak 20 peratus dalam tempoh beberapa minggu akan datang.

Pengarah Urusan i.Star Ideas Factory Sdn Bhd Datuk Adriana Law berkata kebanyakan syarikat peralatan elektrik akan melaraskan harga produk mereka sejajar dengan kadar pertukaran semasa.

"Antara syarikat yang akan meningkatkan harga mereka adalah syarikat dari Jepun dan Amerika Syarikat," katanya kepada wartawan pada Pameran Kediaman dan Gaya Hidup Perfect Livin' 15 di Stadium Indera Mulia di sini, Jumaat.

Law berkata walaupun terdapat kenaikan itu, harga baru itu juga dijangka berlaku adil.
"Margin untuk syarikat-syarikat ini biasanya agak tetap. Jika terdapat perubahan dalam kadar pertukaran mata wang, mereka perlu membuat perubahan," kata beliau.

Law juga berkata kuasa perbelanjaan pengguna telah meningkat pada bulan Ogos berbanding April ketika cukai barangan dan perkhidmatan dilaksanakan.

"Kuasa perbelanjaan keseluruhan di pameran kami pada bulan April menurun sebanyak 35 peratus. Ia bertambah baik pada bulan Ogos apabila orang ramai sudah mula sesuaikan diri dengan GST," katanya.

Beliau juga berkata banyak syarikat telah bekerja keras untuk menarik pelanggan.

"Terdapat banyak promosi untuk menarik pelanggan supaya terus berbelanja walaupun ketika ekonomi tidak baik. Saya agak yakin dalam tempoh dua bulan akan datang. Saya menjangkakan jualan akan meningkat sebanyak 30 peratus," katanya.

sumber : mstar.com.my/


Nenek pakar segala macam jala


FARIDAH tekun menyiapkan tempahan jala pelanggannya.

Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi 

Bagan Serai: Kemas, berkualiti dan murah. Itulah buah mulut masyarakat setempat terutama nelayan mengenai hasil kerja seorang wanita yang mahir menghasilkan pelbagai jenis peralatan menangkap ikan seperti jala, jaring dan bubu.

Lebih membanggakan apabila hasil kerja tangan nenek kepada dua cucu ini mendapat sambutan memberangsangkan daripada nelayan dalam dan luar Perak, termasuk Pulau Pinang, Kedah dan Perlis. 

Dikenali sebagai pakar membuat jala, Faridah Osman, 54, mengusahakan kedai peralatan menangkap ikan seperti jala, jaring serta bubu sejak lebih 25 tahun lalu.

Sentuhannya sememangnya dikenali ramai berikutan hasil kerjanya yang kemas, berkualiti dan murah. Menurut Faridah, selain menghasilkan pelbagai peralatan menangkap ikan, dia yang mengusahakan perniagaan terbabit bersama ahli keluarganya juga menawarkan perkhidmatan membaiki jala dan jaring yang koyak dengan harga serendah dan bergantung pada saiz kerosakannya.

sumber : hmetro.com.my/

Friday, 2 October 2015

Sistem “beg sembilan bulan” untuk hadapi banjir


Ketua Pengarah Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Datuk Zaitun Ab Samad (lima dari kanan) bersama bot sumbangan Tanah Aina di Bentong, hari ini. Turut hadir pemilik Tanah Aina Puan Seri Shariffa Sabrina Syed Akil (tiga dari kanan). - Foto BERNAMA

Bentong: Melihat situasi mangsa banjir yang kebiasaannya sehelai sepinggang dan terpaksa kelaparan sebelum bantuan tiba di pusat pemindahan, Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) memperkenalkan 'sistem beg sembilan bulan'. 

Ketua Pengarah JPAM Datuk Zaitun Ab Samah berkata, inisiatif itu antara langkah diatur jabatan menghadapi banjir tahun ini selaku agensi yang diamanahkan untuk menerajui pengurusan bencana.

"Lazimnya kita dapati mangsa banjir mudah panik apabila air naik mendadak menyebabkan mereka tidak sempat menyelamatkan barangan termasuk dokumen penting dan datang ke pusat pemindahan hanya sehelai sepinggang. 

“Jadi kita perkenalkan sistem ini dengan mengambil konsep persiapan orang hendak bersalin yang beg dipersiapkan dengan barangan diperlukan dan hanya perlu dicapai bila tiba masanya," katanya selepas majlis penyampaian pangkat dan watikah Pegawai Bersekutu Pertahanan Awam kepada Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia yang juga pemilik eco-resort Tanah Aina Resort Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil di sini.

Pada majlis itu, Tanah Aina Resort turut menyumbangkan sebuah bot penyelamat untuk kegunaan JPAM.
Zaitun berkata bagi mempromosikan inisiatif itu, anggota JPAM turun padang bertemu penduduk serta ketua kampung di kawasan yang berisiko dinaiki air untuk menerangkan tentang kepentingan persiapan awal. 

“Dalam beg berkenaan kita minta mereka letak sepersalinan pakaian, makanan ringan yang boleh mengalas perut sebelum bantuan tiba seperti biskut, lampin pakai buang khusus untuk bayi dan wanita serta dokumen penting," katanya. - BERNAMA

sumber : hmetro.com.my/

Pendidikan Percuma di Malaysia Permintaan Mahasiswa. Syaratnya Cukai Pendapatan Tinggi. Setuju?


Dengan bebanan kos dan yuran pengajian yang tinggi sekarang ini, ada kalangan mahasiswa yang mahukan kerajaan tawarkan pendidikan percuma di Malaysia. Totally free education katanya. Bukan ada bayar itu ini.

Itu hasrat dan pandangan mereka untuk dimasukkan dalam intipati menjelang Pembentangan Bajet 2016 Malaysia kelak.


Sebelum mendengar respon balas Najib Razak, Berita Semasa sudah boleh katakan, usah bermimpi di siang hari. Kerajaan Malaysia pada ketika ini, sama sekali tidak berminat dengan menerapkan sistem pendidikan percuma di Malaysia.

Nah….tanggapan Berita Semasa ada benarnya apabila Najib Razak respon balas isu pendidikan percuma di Malaysia di hadapan pelajar Malaysia diluar negara baru-baru ini dengan memberikan satu syarat untuk ia dilaksanakan :

Pendidikan Percuma di Malaysia : Syarat Najib Kepada Rakyat Malaysia

  1. Pengumuman kenaikan cukai pendapatan sehingga 65%. Sanggupkah anda?
  2. Tanya Najib kepada anda semua rakyat Malaysia…
  3. Contoh yang najib Razak berikan adalah sepertimana yang diamalkan di negara-negara Scandinavia seperti di Sweden dan Norway
  4. cukai pendapatan di Malaysia antara 10 hingga 25 peratus
  5. manakala cukai pendapatan di Sweden adalah antara 39 peratus hingga 56.9 peratus.
  6. Ini semua kenyataan yang diberikan Najib dalam perjumpaan dengan pelajar Malaysia di luar negara
Bagi Berita Semasa perbandingan yang diberikan Najib Razak cukup berat sebelah.

Norway dan sweden antara yang menerima gaji yang tertinggi di dunia. Gaji yang mereka terima sejajar dengan kos sara hidup yang mereka nikmati. Malaysia? Cukup sahaja bandingkan harga rumah sahaja, berapa kali ganda gaji? 

Sumber : beritasemasa.com.my

Thursday, 1 October 2015

"Saya tidak belanja satu sen pun untuk majlis perkahwinan anak saya"


KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau tidak membelanjakan satu sen pun untuk majlis perkahwinan anak lelakinya yang berlangsung di Jakarta pada bulan lepas.

Beliau berkata sebaliknya, kos majlis itu ditanggung oleh besan Indonesianya, yang diadakan semasa lawatan rasmi Ahmad Zahidi ke negara itu.

“Lawatan saya pada tarikh 18 hingga 21 bulan lepas, adalah lawatan rasmi. Dan anak saya berkahwin dengan seorang gadis Indonesia di Kuala Lumpur sebelum itu. Besan saya adalah seorang ahli perniagaan Indonesia.

“Selepas mendapat tahu bahawa lawatan rasmi saya dijadualkan dari 18 hingga 21, beliau (besan saya) telah mengaturkan supaya majlis perkahwinan untuk anaknya diadakan pada 19 September.

“Saya tidak membelanjakan sesen pun wang dalam menganjurkan majlis perkahwinan. Kerana itu adalah sebelah perempuan. Saya tidak membelanjakan sesen pun wang untuk menteri dan tetamu dari Malaysia untuk menghadiri majlis perkahwinan itu.

“Saya tidak membelanjakan satu sen pun wang untuk melayan sesiapa kerana majlis tersebut bukan saya yang punya. Ia kepunyaan besan saya,” katanya semasa satu sidang media selepas melancarkan Majlis Sambutan Hari Pendaftaran Negara dan Hari Inovasi 2015 oleh  Jabatan Pendaftaran Negara.

Ahmad Zahidi berkata demikian sebagai reaksi kepada tindakan blogger Shahbudin Husin, yang mempersoalkan masa lawatannya ke Indonesia yang sama dengan majlis perkahwinan anaknya.

Beliau berkata Shahbudin Husin telah mengenalinya sejak tahun 1987 dan seharusnya berjumpa dengannya sekiranya hendakkan penjelasan mengenai perkara tersebut.


“Jangan bermain dengan kata-kata dengan mempersoalkan dan meminta saya untuk menjelaskan.  Dia harus berjumpa dengan saya untuk penjelasan. Mengapa dia meminta saya menjelaskan kepada umum. Saya tidak menyalahgunakan dana awam.

“Saya berharap Tuhan akan menghukumnya apabila anak lelaki atau anak perempuannya berkahwin satu hari,” katanya.

sumber : astroawani.com/