Sunday 27 September 2015

Ringgit Malaysia Nazak perlu “oksigen”



SHAH ALAM – Nilai mata wang ringgit Malaysia kini disifatkan berada pada tahap nazak dan perlu diberi ‘oksigen’.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata, sehubungan itu kerajaan perlu memandang serius gesaan Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz agar isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) diselesaikan segera bagi memulihkan kembali nilai ringgit.

“Keberanian Zeti meletakkan 1MDB antara punca masalah, menunjukkan hasil siasatan Bank Negara bahawa 1MDB mempunyai kes yang perlu menyeret pihak tertentu ke mahkamah. Laporan siasatan Bank Negara berkaitan kes 1MDB telah diserahkan kepada Peguam Negara sebulan lalu tetapi masih tiada apa-apa tindakan yang diambil,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Menurut beliau, gesaan Zeti yang tidak dipedulikan oleh kerajaan menunjukkan Gabenor Bank Negara dan Bank Negara sendiri telah diketepikan peranannya untuk bertanggungjawab terhadap kawalan, pertumbuhan nilai mata wang dan ekonomi Malaysia.

“Institusi ini sudah tidak mendapat kepercayaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Kerajaan Malaysia,” katanya.

Selain itu, katanya, hanya pendakwaan segera terhadap mereka yang terlibat dalam skandal 1MDB seperti dicadangkan dalam kertas laporan siasatan oleh Bank Negara akan mengembalikan keyakinan masyarakat antarabangsa, khususnya pelabur, terhadap Malaysia.

“Ini sekali gus akan dapat membantu memulihkan ekonomi dan meningkatkan nilai ringgit,” katanya.

Sebaliknya, menurut Mahfuz, apa yang berlaku ialah tindakan kerajaan, melalui polis, menahan bekas Naib Ketua Umno Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau Sosma.

“Langkah ini tidak membantu memulihkan nilai ringgit, sebaliknya menambahkan lagi ketidakpercayaan masyarakat antarabangsa kepada Malaysia.

“Kejatuhan nilai ringgit berpunca daripada krisis keyakinan masyarakat dalam dan luar negara terhadap pengurusan dan kes penyalahgunaan kuasa bagi melindungi skandal kewangan negara 1MDB yang melibatkan Najib dan kini dilindungi Sosma,” katanya.

sumber : sinarharian.com.my/

No comments: