Saturday, 19 December 2015

Kepala Dijumpai Di Jolo Sah Milik Bernard Then


Bernard Then

PUTRAJAYA – Pihak berkuasa Filipina mengesahkan kepala yang dijumpai di Kepulauan Jolo di selatan negara itu adalah milik mangsa culik rakyat Malaysia, Bernard Then Ted Fen, susulan ujian asid deoksiribonukleik (DNA). 

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, pihaknya dimaklumkan secara lisan mengenai perkara itu baru-baru ini, dan masih lagi menunggu laporan bertulis daripada pihak berkuasa Filipina. 

“DNA kepala yang dijumpai di Jolo sah sebagai padan dengan Bernard Then… saya ucap takziah kepada keluarga mendiang,” katanya ketika ditemui pemberita. 

Beliau menyatakan demikian selepas majlis penerimaan anugerah Doktor Kehormat dalam Kepimpinan daripada Universiti Limkokwing di sini, pada Sabtu. 

Khalid berkata, pihaknya akan mengambil semua langkah perlu termasuk mengekstradisi pihak bertanggungjawab ke negara ini untuk memastikan Then mendapat pembelaan. 

Justeru, katanya Polis DiRaja Malaysia (PDRM) akan bekerjasama dengan Jabatan Peguam Negara bagi menyusun proses perundangan sewajarnya dengan secepat mungkin. 

“Kita akan akan ambil segala langkah perlu untuk membawa mereka yang melakukannya kepada Bernard Then menghadapi undang-undang negara kita. 

“Sekurang-kurangnya, (kita) nak ekstradisi dua orang tetapi untuk itu, kena melalui proses perundangan di Filipina,” katanya. 

Pada 15 Disember lalu, Timbalan Menteri Luar, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, pasukan keselamatan Filipina telah menjumpai satu mayat tanpa kepala yang disyaki sebagai Then. 

Then, yang berasal dari Sarawak, diculik sekumpulan lelaki bersenjata di sebuah restoran makanan laut di Sandakan, Sabah pada 14 Mei lepas bersama-sama pengurus restoran itu, Thein Nyuk Fun, 50. 

Tebusan wanita warga Malaysia itu kemudian selamat dibebaskan pada 8 November. 

Namun Then, 39; dipenggal kepalanya di lokasi terpencil di Kepulauan Jolo pada 11 November lepas. Kepalanya dikatakan ditemui kira-kira seminggu kemudian. – BERNAMA 

sumber : mynewshub.cc/

Jumpa Ketulan Emas Bernilai RM 15.8 Juta



Australia – Ketulan emas seberat 10.7 kilogram ditemui semula selepas emas yang bernilai AS$3.7 juta (RM15.8 juta) itu tersimpan di dalam sebuah kotak wiket; kota yang digunakan untuk menyimpan permainan kriket; selama bertahun-tahun.

Ketua Menteri New South Wales, Mike Baird menjelaskan bagaimana emas sebesar buku roti yang diamanahkan kepada Perbendaharaan New South Wales itu boleh tersimpan di situ. 

Seseorang secara teliti menyimpan emas itu dalam sebuah kotak. Masalahnya, mereka lupa untuk memberitahu sesiapa dan kotak itu menjadi peralatan untuk menyimpan alatan sukan kriket amatur,” jelas Baird.

Emas yang digali di bandar Maitland pada 1887 itu ditemui oleh seorang kakitangan jabatan berkenaan yang mengambil keputusan untuk membuka kotak tersebut.

Ketulan emas itu dipinjamkan kepada Muzium Australia di Sydney pada Selasa lalu selama empat hari untuk tujuan pameran. 

Ketulan emas terbabit pada asalnya dibeli oleh Jabatan Perlombongan New South Wales pada 1887 dan disimpan untuk memperingati kemuncak kegemilangna perlombongan emas pada abad ke-19.

sumber - Siakapkeli.my

Sultan Ibrahim ajak makan



Muar: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sekali lagi mencemar duli untuk bersantap pagi, di sini, hari ini. 

Kali ini di Restoran Muar Soup House di Jalan Sisi dan baginda tiba menaiki kenderaan rasmi, kira-kira 7 pagi. 

Baginda kemudian menegur beberapa pengunjung dan menjemput mereka makan. 

Baginda yang memakai baju kemeja dan bersongkok, menikmati roti canai garing, samosa, kari kambing dan teh tarik ais kurang manis.

Sultan Ibrahim ditemani Pegawai Daerah Muar, Ramlee A Rahman, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Muar (MPM), Jamaluddin A Hamid dan beberapa rakannya. 

Baginda meluangkan masa kira-kira 40 minit dan beramah mesra dengan pengunjung serta bergambar bersama mereka sebelum berangkat pulang ke Istana Tanjung.


sumber : hmetro.com.my/