Saturday, 18 July 2015

Tawaran Terbaru Aprilia SR Max 300

Oleh AFANDI CHE MUHAMAD

LAMBAKAN komuter ringan seperti skuter menyusur di atas jalan raya kini dilihat sebagai trend terkini di Malaysia.

Trend tersebut memberi gambaran bahawa rata-rata penunggang motosikal di tanah air mula lelah berdepan kesesakan lalu lintas yang semakin buruk hari demi hari.

Skuter boleh menjadi pengangkut urban yang impresif berbanding jentera dua roda konvensional lain. Penggunaan transmisi automatik CVT memudahkan penunggang memecut dengan lebih konsisten.

Pengedar rasmi motosikal jenama Aprilia di Malaysia, Naza Premira Sdn. Bhd. (Naza Premira) baru-baru ini tampil dengan pelancaran skuter terbaharunya, Aprilia SR Max 300.

Penawaran komuter ringan terbaharu daripada jenama dari Itali ini merancakkan lagi saingan dalam segmen skuter tempatan.

Bahagian hadapan skuter Aprilia SR Max 300 ini memiliki rekaan yang agak garang, ia ditonjolkan pada pemasangan lampu hadapan jenis berkembar.

Tindakan memasangkan skuter ini dengan komponen penghadang angin di bahagian hadapan ternyata banyak memberi kelebihan, ia didakwa impresif mengurangkan impak rempuhan angin di bahagian muka dan tubuh penunggang ketika menunggang.

Panel meter kelajuan jenis analog pula disuntik dengan reka bentuk ringkas dan masih berupaya menjalankan fungsi mempamerkan maklumat semasa tunggangan dengan baik.

Skuter baharu ini dikuasakan enjin 278cc dan didakwa memiliki daya untuk menghamburkan puncak kuasa tertinggi sehingga 22Hp pada kelajuan 7,250rpm serta merekodkan puncak tork maksimum mencecah 23Nm pada putaran enjin 6,000rpm.


Jika dilihat dengan teliti, nyata motosikal ini tetap membawa prinsip kejuruteraan perlumbaan Aprilia biarpun ia hanya sekadar sebuah skuter.

Binaan kerangka skuter ini dicorakkan bagi disesuaikan dengan kegunaan harian atau tunggangan jarak jauh. Platform penghasilan model ini berjaya menggandingkan elemen tepat bagi menyediakan sebuah skuter yang versatil dan praktikal.

Bersaiz sederhana, ia memudahkan penunggang mengendalikannya apabila terperangkap dalam kesesakan trafik.

Keselesaan tunggangan dapat dirasai ketika penunggang melabuhkan punggung di atas pelana lebar model ini, rekaannya memposisikan tubuh penunggang dalam kedudukan tegak.

Selain itu, penyediaan tempat penyimpanan barang di bawah pelana dicipta lebih luas, ia boleh memuatkan seunit topi keledar penuh dan kelengkapan lain.

Tangki minyaknya pula dikatakan boleh membekalkan sebanyak 15.5 liter bahan api bagi memberi keyakinan kepada penunggang untuk perjalanan jauh.

Turut diaplikasikan pada motosikal tersebut ialah soket pengecas alat elektronik.
Menggunakan suspensi jenis fork teleskopik hidraulik bersaiz 35 milimeter (mm) pada roda hadapan dan penyerap hentak berkembar hidraulik dengan tiga talaan prabeban untuk roda belakang, ia menjanjikan pengalaman tunggangan lancar tanpa impak hentakan kuat.
PENYERAP hentak hidraulik dengan tiga talaan prabeban diaplikasikan di bahagian roda belakang .


Mempunyai berat kering sebanyak 161 kilogram, ia memudahkan golongan wanita atau penunggang bertubuh kecil untuk mengendalikannya.

Aprilia SR Max 300 disediakan dengan pilihan warna Nero Aprilia (merah) dan Bianco Glam (putih). Aprilia meletakkan harga jualan asas serendah RM28,800 (termasuk Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), tanpa insurans) khusus bagi 50 pembeli terawal sahaja. Ia merupakan sebahagian daripada langkah Aprilia mempromosikan produk terbaharunya ini.

Bagaimanapun, harga jualan asal sebanyak RM31,800 tanpa insurans (harga lengkap dengan perkiraan GST) akan mula dikuatkuasakan setelah kuota 50 pembelian terawal dicapai. Aprilia memberikan jaminan selama dua tahun atau 20,000 kilometer (mana-mana tiba dahulu).

Lama menyepi sejak penawaran skuter berprestasi tinggi SRV 850 mengambil tempat pada tahun 2013 iaitu kira-kira dua tahun lalu, model SR MAX 300 kini menjadi tanda aras baharu dalam segmen skuter Aprilia.

Memiliki gaya sporty, ia bakal menjanjikan keterujaan khusus buat penunggang tempatan melalui penawaran sifat dinamik dan kuasa tanpa kompromi miliknya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/



Friday, 17 July 2015

Berebut tapak perniagaan bazar Ramadan



Orang ramai cuba meleraikan pergelutan antara Mohd Fazall Ahi (bawah, kiri) dan Dzullirusdi (bawah, tengah).

KHAIRULKHEIZA MOHD NAJIB 11 Jun 2015


Orang ramai cuba meleraikan pergelutan antara Mohd Fazall Ahi (bawah, kiri) dan Dzullirusdi (bawah, tengah).

SEREMBAN - Bantahan secara aman dirancang Persatuan Penjaja Uptown Dataran Senawang (PUDS) di depan pejabat Majlis Perbandaran Seremban (MPS), di sini, semalam, berhubung pengurusan bazar Ramadan tidak kesampaian apabila berakhir dengan kekecohan.

Insiden tidak diduga itu berlaku sekitar jam 2.15 petang di pekarangan Dewan MPS, di sini, tatkala penganjur dan peserta piket sedang berteduh ekoran hujan lebat yang menyebabkan aktiviti tersebut terpaksa ditangguhkan seketika.

Sementara menantikan hujan reda, pihak media mengambil keputusan untuk menemu bual Pengerusinya, Mejar (B) Razali Zakaria bagi mengetahui lebih lanjut bantahan yang dirancang.

Namun tidak sampai 10 minit temu bual dijalankan, muncul sekumpulan individu entah dari mana lantas meluahkan ketidakpuasan hati mereka terhadap tindakan Razali dan peserta terlibat.

Bagaimanapun, Razali dilihat tetap tenang dan kekal di tempat duduknya walaupun menerima asakan bertubi-tubi secara lisan dari beberapa arah, sambil cuba dipertahankan Dzullirusdi Razali, 25, yang tidak senang melihat bapanya diperlakukan sedemikian rupa.

Ketika pertikaman lidah semakin rancak, tiba-tiba sahaja berlaku pergelutan antara Dzullirusdi dengan Mohd Fazall Ahi Mohd Yusof, 36, sehingga terpaksa dileraikan oleh semua yang ada di situ.

Bagi mengelakkan keadaan menjadi bertambah buruk, Razali mengambil keputusan untuk beredar kerana mahu membuat laporan di Balai Polis Rahang, di sini.

Selepas keadaan kembali tenang, Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Perpaduan Ummah Malaysia (Prima Malaysia), Paduka Ayahanda Mohd Yusof Mohammad Din, 73, tampil memberi penjelasan.

“Sejak 1.30 petang lagi, kami dah ada di sekitar kawasan ni. Masa tu, kami nak dengar dulu apa yang bakal dikatakan Razali pada media.

“Bila dah tahu biji butirnya yang jelas tipu belaka, kami pun serbu dia,” katanya kepada pemberita, di sini, semalam.

Menurutnya, Razali tidak sepatutnya berbuat sebegitu memandangkan MPS sudah membuka peluang kepada semua untuk berniaga di Senawang pada Ramadan kali ini dengan adil dan saksama.

“Masalahnya sekarang, dia sendiri yang tak mahu ikut serta pengundian di dewan ni pada 8 Jun lepas untuk mendapatkan lot atau tempat bagi peniaga-peniaga bawah kendaliannya.

“Tak dinafikan, Razali memang ada datang masa tu. Tapi dia balik sekitar jam 2.45 petang, sebelum pengundian lot dijalankan,” katanya yang turut disahkan Pengerusi Persatuan Peniaga Bersatu Negeri Sembilan, Nor Hafiz Mohamed Razali, 34, dan Setiausahanya, Zaimiliah Misran, 40.

Pada masa sama, Mohd Fazall Ahi pula menafikan dirinya yang mencetuskan pergaduhan dengan anak Razali.

“Dia yang tolak dulu di bahagian dada. Terpaksalah saya pertahankan diri. Mujur tak cedera, cuma melecet sikit dan baju terkoyak bahagian belakang,” katanya yang akan turut membuat laporan polis bersama bapanya, Mohd Yusof.

Tak tahu diajak berpiket

Dalam pada itu, ahli jawatankuasa (AJK) Pemuda Umno Bahagian Seremban, Mohd Yusmasdi Mohd Yusof, 38, mempunyai sebab tersendiri untuk tidak berpuas hati dengan Razali.

“Razali merupakan AJK Umno bahagian Rembau. Secara tak langsung, perbuatan dia membuat piket akan mencemarkan reputasi parti dan menjatuhkan air muka Menteri Besar.

“Kalau macam ni, bukannya membela peniaga. Sebaliknya menyusahkan peniaga yang dia kelolakan. Nampak sangat dah lari dari tujuan asal Umno yang sepatutnya menolong orang Melayu,” katanya.

Siti Mariam Matzihi, 27, yang bernaung bawah PUDS sejak dua tahun lalu pula rasa tertipu dengan Razali.

“Sedih sangat bila jadi macam ni. Sampai semalam, saya diberikan harapan palsu rupanya. Bila tanya semalam (kelmarin), dia kata tapak niaga dah confirm dapat. Tiba-tiba, hari ni ajak buat bantahan pula.

“Apa akan jadi pada kami semua. Stok jualan untuk puasa pun dah ambil. Bila jadi macam ni, di mana kami nak meniaga. Lepas ni tak kisahlah dengan siapa pun kami bernaung (penganjur), asalkan dapat berniaga di situ nanti,” katanya.

Untuk rekod, sebanyak 360 lot niaga disediakan untuk Ramadan kali ini oleh MPS di Senawang, yang dibahagi kepada Tapak A hingga I.

Seramai sembilan penganjur terpilih dari pelbagai persatuan dipanggil untuk mencabut undi bagi menetapkan kedudukan gerai atau booth bakal diterima.

Setiap penganjur diperuntukkan 40 tapak yang seterusnya akan diagihkan kepada peniaga yang mendaftar sebagai ahli mereka.


Thursday, 16 July 2015

Isytihar bankrap! Kerana 50 Cent



Posted by : Ashraf Nasser

Selepas kalah dalam kes saman jutaan dollar, rapper popular 50 Cent telah mengisthiyarkan dirinya telah muflis.

Menurut laporan dari TMZ, 50 Cent telah memfailkan kebankrapan tiga hari selepas seorang wanita Lavonia Leviston menang kes saman terhadapnya USD5 juta selepas 50 Cent dengan sengaja menyebarkan video seks wanita tersebut untuk memalukan rapper Rick Ross.

Menurut fail kebankrapan yang difailkan oleh 50 Cent menyatakan dia mempunyai aset yang dianggar bernilai antara USD10 dan USD50 juta tetapi liabiliti-liabiliti juga diantara USD10 ke USD50 juta.

Terdahulu, 50 Cent turut kalah dalam satu kes mahkamah yang mana dia diperintah untuk membayar USD17.2 juta kerana menciplak rekaan fon telinga.

Menariknya, pada bulan Mei lalu, Forbes telah menganggarkan 50 Cent mempunyai kekayaan sebanyak USD155 juta.

[Sumber foto: liveforlivemusic.com]

http://koperasi-online2u.blogspot.com/

Wednesday, 15 July 2015

Beri kenyataan palsu 23 jurujual didakwa



KUALA LUMPUR - Seramai 23 jurujual dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan memberikan kenyataan palsu kepada seorang suri rumah menerusi peraduan cabutan bertuah bulan lepas.

Tertuduh yang terdiri daripada 19 lelaki dan empat perempuan itu didakwa secara berasingan. Kesemuanya mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Zulqarnain Hassan.

Antara yang dituduh ialah Lim Chee Ping, 24, Yusuf Awang, 25, Choo Eng Ket, 38, Lee Kong Hoo, 19, dan Chee Juen Hoe, 26.

Mereka yang berusia antara 15 dan 46 tahun itu didakwa memberikan kenyataan palsu terhadap Kok Wai Fun, 59, berhubung peraduan cabutan bertuah untuk memenangi hadiah wang berganda atau setara dengannya menyebabkan Kok menyerahkan wang tunai RM100,000. Namun sebenarnya tiada hadiah yang setara ditawarkan.

Kesemua jurujual itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di pasar raya NSK Kuchai Lama, Brickfields di sini, pada 2 petang, 29 Jun lepas mengikut Seksyen 20(b) Akta Perihal Dagangan 2011 (Akta 730) yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda maksimum RM250,000 atau kedua-duanya.

Zulqarnain membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 18 Ogos depan untuk sebutan semula.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Norazlin Mohamad Yusoff dan 23 tertuduh berkenaan diwakili peguam Paul Krishnaraja. - Bernama