Saturday 18 July 2015

Tawaran Terbaru Aprilia SR Max 300

Oleh AFANDI CHE MUHAMAD

LAMBAKAN komuter ringan seperti skuter menyusur di atas jalan raya kini dilihat sebagai trend terkini di Malaysia.

Trend tersebut memberi gambaran bahawa rata-rata penunggang motosikal di tanah air mula lelah berdepan kesesakan lalu lintas yang semakin buruk hari demi hari.

Skuter boleh menjadi pengangkut urban yang impresif berbanding jentera dua roda konvensional lain. Penggunaan transmisi automatik CVT memudahkan penunggang memecut dengan lebih konsisten.

Pengedar rasmi motosikal jenama Aprilia di Malaysia, Naza Premira Sdn. Bhd. (Naza Premira) baru-baru ini tampil dengan pelancaran skuter terbaharunya, Aprilia SR Max 300.

Penawaran komuter ringan terbaharu daripada jenama dari Itali ini merancakkan lagi saingan dalam segmen skuter tempatan.

Bahagian hadapan skuter Aprilia SR Max 300 ini memiliki rekaan yang agak garang, ia ditonjolkan pada pemasangan lampu hadapan jenis berkembar.

Tindakan memasangkan skuter ini dengan komponen penghadang angin di bahagian hadapan ternyata banyak memberi kelebihan, ia didakwa impresif mengurangkan impak rempuhan angin di bahagian muka dan tubuh penunggang ketika menunggang.

Panel meter kelajuan jenis analog pula disuntik dengan reka bentuk ringkas dan masih berupaya menjalankan fungsi mempamerkan maklumat semasa tunggangan dengan baik.

Skuter baharu ini dikuasakan enjin 278cc dan didakwa memiliki daya untuk menghamburkan puncak kuasa tertinggi sehingga 22Hp pada kelajuan 7,250rpm serta merekodkan puncak tork maksimum mencecah 23Nm pada putaran enjin 6,000rpm.


Jika dilihat dengan teliti, nyata motosikal ini tetap membawa prinsip kejuruteraan perlumbaan Aprilia biarpun ia hanya sekadar sebuah skuter.

Binaan kerangka skuter ini dicorakkan bagi disesuaikan dengan kegunaan harian atau tunggangan jarak jauh. Platform penghasilan model ini berjaya menggandingkan elemen tepat bagi menyediakan sebuah skuter yang versatil dan praktikal.

Bersaiz sederhana, ia memudahkan penunggang mengendalikannya apabila terperangkap dalam kesesakan trafik.

Keselesaan tunggangan dapat dirasai ketika penunggang melabuhkan punggung di atas pelana lebar model ini, rekaannya memposisikan tubuh penunggang dalam kedudukan tegak.

Selain itu, penyediaan tempat penyimpanan barang di bawah pelana dicipta lebih luas, ia boleh memuatkan seunit topi keledar penuh dan kelengkapan lain.

Tangki minyaknya pula dikatakan boleh membekalkan sebanyak 15.5 liter bahan api bagi memberi keyakinan kepada penunggang untuk perjalanan jauh.

Turut diaplikasikan pada motosikal tersebut ialah soket pengecas alat elektronik.
Menggunakan suspensi jenis fork teleskopik hidraulik bersaiz 35 milimeter (mm) pada roda hadapan dan penyerap hentak berkembar hidraulik dengan tiga talaan prabeban untuk roda belakang, ia menjanjikan pengalaman tunggangan lancar tanpa impak hentakan kuat.
PENYERAP hentak hidraulik dengan tiga talaan prabeban diaplikasikan di bahagian roda belakang .


Mempunyai berat kering sebanyak 161 kilogram, ia memudahkan golongan wanita atau penunggang bertubuh kecil untuk mengendalikannya.

Aprilia SR Max 300 disediakan dengan pilihan warna Nero Aprilia (merah) dan Bianco Glam (putih). Aprilia meletakkan harga jualan asas serendah RM28,800 (termasuk Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), tanpa insurans) khusus bagi 50 pembeli terawal sahaja. Ia merupakan sebahagian daripada langkah Aprilia mempromosikan produk terbaharunya ini.

Bagaimanapun, harga jualan asal sebanyak RM31,800 tanpa insurans (harga lengkap dengan perkiraan GST) akan mula dikuatkuasakan setelah kuota 50 pembelian terawal dicapai. Aprilia memberikan jaminan selama dua tahun atau 20,000 kilometer (mana-mana tiba dahulu).

Lama menyepi sejak penawaran skuter berprestasi tinggi SRV 850 mengambil tempat pada tahun 2013 iaitu kira-kira dua tahun lalu, model SR MAX 300 kini menjadi tanda aras baharu dalam segmen skuter Aprilia.

Memiliki gaya sporty, ia bakal menjanjikan keterujaan khusus buat penunggang tempatan melalui penawaran sifat dinamik dan kuasa tanpa kompromi miliknya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/



No comments: