Orang ramai cuba meleraikan pergelutan antara Mohd Fazall
Ahi (bawah, kiri) dan Dzullirusdi (bawah, tengah).
KHAIRULKHEIZA MOHD NAJIB 11 Jun 2015
Orang ramai cuba meleraikan pergelutan antara Mohd Fazall
Ahi (bawah, kiri) dan Dzullirusdi (bawah, tengah).
SEREMBAN - Bantahan secara aman dirancang Persatuan Penjaja
Uptown Dataran Senawang (PUDS) di depan pejabat Majlis Perbandaran Seremban
(MPS), di sini, semalam, berhubung pengurusan bazar Ramadan tidak kesampaian
apabila berakhir dengan kekecohan.
Insiden tidak diduga itu berlaku sekitar jam 2.15 petang di pekarangan Dewan
MPS, di sini, tatkala penganjur dan peserta piket sedang berteduh ekoran hujan
lebat yang menyebabkan aktiviti tersebut terpaksa ditangguhkan seketika.
Sementara menantikan hujan reda, pihak media mengambil keputusan untuk menemu
bual Pengerusinya, Mejar (B) Razali Zakaria bagi mengetahui lebih lanjut
bantahan yang dirancang.
Namun tidak sampai 10 minit temu bual dijalankan, muncul sekumpulan individu
entah dari mana lantas meluahkan ketidakpuasan hati mereka terhadap tindakan
Razali dan peserta terlibat.
Bagaimanapun, Razali dilihat tetap tenang dan kekal di tempat duduknya walaupun
menerima asakan bertubi-tubi secara lisan dari beberapa arah, sambil cuba
dipertahankan Dzullirusdi Razali, 25, yang tidak senang melihat bapanya
diperlakukan sedemikian rupa.
Ketika pertikaman lidah semakin rancak, tiba-tiba sahaja berlaku pergelutan
antara Dzullirusdi dengan Mohd Fazall Ahi Mohd Yusof, 36, sehingga terpaksa
dileraikan oleh semua yang ada di situ.
Bagi mengelakkan keadaan menjadi bertambah buruk, Razali mengambil keputusan
untuk beredar kerana mahu membuat laporan di Balai Polis Rahang, di sini.
Selepas keadaan kembali tenang, Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Perpaduan Ummah
Malaysia (Prima Malaysia), Paduka Ayahanda Mohd Yusof Mohammad Din, 73, tampil
memberi penjelasan.
“Sejak 1.30 petang lagi, kami dah ada di sekitar kawasan ni. Masa tu, kami nak
dengar dulu apa yang bakal dikatakan Razali pada media.
“Bila dah tahu biji butirnya yang jelas tipu belaka, kami pun serbu dia,”
katanya kepada pemberita, di sini, semalam.
Menurutnya, Razali tidak sepatutnya berbuat sebegitu memandangkan MPS sudah
membuka peluang kepada semua untuk berniaga di Senawang pada Ramadan kali ini
dengan adil dan saksama.
“Masalahnya sekarang, dia sendiri yang tak mahu ikut serta pengundian di dewan
ni pada 8 Jun lepas untuk mendapatkan lot atau tempat bagi peniaga-peniaga
bawah kendaliannya.
“Tak dinafikan, Razali memang ada datang masa tu. Tapi dia balik sekitar jam
2.45 petang, sebelum pengundian lot dijalankan,” katanya yang turut disahkan
Pengerusi Persatuan Peniaga Bersatu Negeri Sembilan, Nor Hafiz Mohamed Razali,
34, dan Setiausahanya, Zaimiliah Misran, 40.
Pada masa sama, Mohd Fazall Ahi pula menafikan dirinya yang mencetuskan
pergaduhan dengan anak Razali.
“Dia yang tolak dulu di bahagian dada. Terpaksalah saya pertahankan diri. Mujur
tak cedera, cuma melecet sikit dan baju terkoyak bahagian belakang,” katanya
yang akan turut membuat laporan polis bersama bapanya, Mohd Yusof.
Tak tahu diajak berpiket
Dalam pada itu, ahli jawatankuasa (AJK) Pemuda Umno Bahagian Seremban, Mohd Yusmasdi Mohd Yusof, 38, mempunyai sebab tersendiri untuk tidak berpuas hati dengan Razali.
“Razali merupakan AJK Umno bahagian Rembau. Secara tak langsung, perbuatan dia
membuat piket akan mencemarkan reputasi parti dan menjatuhkan air muka Menteri
Besar.
“Kalau macam ni, bukannya membela peniaga. Sebaliknya menyusahkan peniaga yang
dia kelolakan. Nampak sangat dah lari dari tujuan asal Umno yang sepatutnya
menolong orang Melayu,” katanya.
Siti Mariam Matzihi, 27, yang bernaung bawah PUDS sejak dua tahun lalu pula
rasa tertipu dengan Razali.
“Sedih sangat bila jadi macam ni. Sampai semalam, saya diberikan harapan palsu
rupanya. Bila tanya semalam (kelmarin), dia kata tapak niaga dah confirm dapat.
Tiba-tiba, hari ni ajak buat bantahan pula.
“Apa akan jadi pada kami semua. Stok jualan untuk puasa pun dah ambil. Bila
jadi macam ni, di mana kami nak meniaga. Lepas ni tak kisahlah dengan siapa pun
kami bernaung (penganjur), asalkan dapat berniaga di situ nanti,” katanya.
Untuk rekod, sebanyak 360 lot niaga disediakan untuk Ramadan kali ini oleh MPS
di Senawang, yang dibahagi kepada Tapak A hingga I.
Seramai sembilan penganjur terpilih dari pelbagai persatuan dipanggil untuk
mencabut undi bagi menetapkan kedudukan gerai atau booth bakal diterima.
Setiap penganjur diperuntukkan 40 tapak yang seterusnya akan diagihkan kepada
peniaga yang mendaftar sebagai ahli mereka.
No comments:
Post a Comment