The Malaysian Insider
Seorang wanita rakyat Malaysia yang baru pulang daripada menunaikan
ibadah umrah di tanah suci Mekah mendakwa melihat bangkai sebuah pesawat
yang besar berwarna perak di perairan Laut Andaman, dipercayai
penerbangan Malaysia Airlines MH370 yang hilang pada 8 Mac, ketika
pesawat yang dinaikinya melintasi kawasan berkenaan pada pagi hari sama.
Raja Dalelah Raja Latife, 53, berkata ketika dia menyaksikan objek
besar yang sebahagian daripada badan yang didakwa sebagai pesawat itu
tenggelam dan sebahagian lagi timbul, beliau memaklumkan kepada ramai
pihak di dalam penerbangan berkenaan tetapi tidak diendahkan.
Raja Dalelah berkata dia menaiki pesawat Penerbangan Saudi SV2058 yang
berlepas dari Jeddah pada jam 3.30 pagi waktu Arab Saudi (8.30 pagi
waktu Malaysia) dan ketika pesawat itu melintasi bandar Chennai di India
dan memasuki ruang udara Laut Andaman, dia melihat menerusi tingkap
pesawatnya satu objek besar menyerupai pesawat terdampar di atas laut.
“Saya nampak macam kapal terbang.Sepanjang perjalanan pulang saya
sentiasa melihat ke luar kerana saya tidak dapat tidur langsung dan
ketika lawatan saya ke Beijing dua tahun lalu juga tidak dapat tidur di
dalam pesawat dan sentiasa berjaga," kata ibu kepada 10 orang anak itu
dipetik daripada portal Mstar Online.
Raja Dalelah, yang berasal dari Kota Tinggi, Johor menambah, sewaktu
dia terlihat objek besar berwarna perak yang seakan-akan sebuah pesawat
di atas lautan itu, skrin televisyen di hadapannya menunjukkan yang
mereka sedang melintasi Laut Andaman.
“Sebelum itu saya nampak beberapa buah kapal dan kemudian pulau-pulau
kecil dan selepas itulah saya ternampak objek berwarna perak di atas
air. Saya mengejutkan rakan saya di sebelah untuk melihat apa yang saya
saksikan tetapi malangnya mereka mentertawakan saya," katanya.
Raja Dalelah, bagaimanapun yakin apa yang disaksikannya itu adalah bangkai sebuah pesawat yang besar.
"Buat apa saya hendak bercakap bohong saya baru sahaja balik dari umrah," katanya. Hanya pada 14 Mac lalu dia membuat laporan polis akan apa yang didakwa
disaksikannya itu dengan harapan akan ada pihak yang mengambil apa yang
dikatakannya itu secara serius.
Malah Raja Dalelah masih boleh menjelaskan apa yang disaksikannya itu secara terperinci.
Katanya, pesawat yang dilihatnya itu separuh terapung dan sebahagian
besar lagi badan pesawat itu berada di dalam air dengan keadaannya yang
senget sebelah.
“Saya melihat jam pada waktu itu menunjukkan pukul 9.30 pagi (2.30 petang waktu Malaysia),” kata beliau.
Raja Dalelah berkata, apabila tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa
Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 4 petang dia menceritakan apa yang
disaksikannya itu kepada anaknya.
“Pada waktu itulah mereka memberitahu saya yang pesawat MAS MH370 hilang dan sedang dicari.
"Menantu saya seorang pegawai polis yakin yang saya menyaksikan sebuah
pesawat yang terhempas dan meminta saya supaya membuat laporan polis,"
katanya sambil menambah "anak-anak saya yang lain khuatir yang saya
mungkin akan ditahan kerana membuat laporan palsu kerana pada awalnya
semua orang berkata yang pesawat itu kali terakhir dilihat di Laut China
Selatan."
Tetapi katanya, sekarang sesiapa yang mendengar ceritanya sudah mula
percaya selepas pesawat itu disahkan berpatah balik dan hilang di
sebelah barat dan bukannya Laut China Selatan.
Bagaimanapun seorang juruterbang berkata, dalam penerbangan jarak jauh
seperti dari Jeddah dan Kuala Lumpur, paras ketinggian sesebuah pesawat
adalah pada 35,000 kaki.
"Ini bermakna kedudukan pesawat dari permukaan bumi adalah pada jarak
lebih kurang tujuh batu. Pada jarak sejauh ini tidak ada siapa pun dapat
melihat dengan jelas apa-apa objek di permukaan bumi atau pun di atas
air," kata juruterbang itu yang enggan namanya disiarkan, seperti
dilaporkan Mstar.
Pesawat Boeing 777-200 ER ketika hilang membawa 239 penumpang termasuk anak kapal dalam perjalanan ke Beijing, China.
Hari ini masuk hari ke 14 pesawat MH370 itu dicari dengan bantuan daripada 26 negara. – 21 Mac, 2014.