Saturday, 22 March 2014

Siapa penulis 'sajak buat Kapten Zaharie'?

SHAH ALAM - "Kapten Zaharie... Saya mungkin tidak kenal tuan, tetapi saya tahu, tuan sudah lakukan yang terbaik," demikian antara bait permulaan sajak yang tersiar di Sinar Harian Online sejak dua minggu lalu.

Sebaik disiarkan, sambutan yang diterima pembaca amat luar biasa sehingga ia menjadi artikel pilihan top 5 tiga hari berturut-turut.

Namun, di sebalik penghayatan pembaca terhadap sajak yang ringkas ditulis itu, namun terpalit sedikit kontroversi mengenai siapa penulis sebenar sajak tersebut.

Terpanggil merungkai 'misteri' itu, akhirnya Sinar Harian Online berjaya menjejak penulis sebenar sajak, "Sajak buat Kapten Zaharie".

Hanya mahu dikenali sebagai Pnut Syafinaz, beliau berkata, dirinya terpanggil menulis sajak itu sebaik menonton laporan kehilangan MH370 di televisyen.

"Sehari selepas kehilangan pesawat berkenaan, terlalu banyak spekulasi dan cakap-cakap yang kurang elok mula 'bertebaran' di media sosial mengenai insiden itu.

[Artikel Berkaitan: Sajak buat Kapten Zaharie]

"Kesal dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab itu, maka terus sahaja saya mengemaskini 'wall' Facebook (FB) saya..secara spontan.

"Saya tulis apa yang jiwa saya rasa kerana letih dengan 'manusia-manusia aneh' di ruang maya dan saya tahu betapa ramai jiwa tengah sengsara, trauma mereka lalui hanya mereka yang rasa," katanya ketika dihubungi Sinar Harian Online.

Ketika diminta mengulas mengenai kontroversi mengenai nama penulis sajak itu yang didakwa diplagiat, Syafinaz berkata, beliau sebenarnya tidak kisah jika nukilannya itu dikongsi.

"Saya tidak kisah kalau tiada kredit diberikan atas puisi itu, sebab saya menulisnya dari hati.

"Saya tidak perlukan kredit atas sebuah kejujuran, tetapi orang lain yang mengaku itu tulisannya kurang beretika, kalau ada yang mahu jadi penulis, jujurlah pada diri sendiri, bila kita jujur, penghargaan itu datang dengan sendiri.

"Saya sedang laluinya kini, bila semua orang menyukai apa kita tulis walau tidak sehebat mana, itulah pulangan paling manis," jelas beliau.

Tambah Syafinaz, sejak sajak tersebut dimuat naik, pelbagai pihak memberikan maklum balas positif kepada beliau.

"Saya sendiri tidak menyangka, aktivis sosial, Datin Paduka Marina Mahathir ada minta kebenaran untuk membacanya pada umum.

"Ia amat menyentuh hati saya," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut tidak menyangka, komposer, pengarah dan pelakon terkenal, Khir Rahman turut mengubah lagu untuk sajak itu.

"Beliau menggubah lagu dan menghasilkan melodi yang sedap dari nukilan itu.

"Ramai orang menyukainya. Lagu itu boleh didengar di 'wall' FB saya," tambahnya lagi.

sumber dipetik dari:-http://www.sinarharian.com.my/

No comments: