Saturday, 26 April 2014

Malaysia kukuh industri halal

MALAYSIA mengambil peluang membangunkan lagi industri halal dalam Komuniti Ekonomi Asean (AEC) yang bakal direalisasikan tahun depan serentak dengan peranan Malaysia sebagai pengerusi Asean, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) Datuk Hamim Samuri.

AEC bertujuan mengumpul 10 anggota Asean sebagai pasaran tunggal dan pangkalan pengeluaran, wilayah ekonomi yang kompetitif dengan pembangunan ekonomi yang saksama yang diintegrasikan sepenuhnya ke dalam ekonomi global.

Hamim berkata, setakat ini langkah-langkah awal telah diwujudkan untuk membangunkan industri halal, antaranya melalui Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (Mihas) yang telah diadakan baru-baru ini.

“Berbeza dengan tahun sebelum ini, Mihas 2014 telah diselitkan dengan pelbagai akitivi sampingan dengan tujuan menarik lebih banyak negara yang mahu terlibat.

“Halal kini bukan sahaja relevan kepada negara Islam, bahkan kepada negara bukan Islam. Ia dilihat satu sumber untuk menjana ekonomi sesebuah negara,” katanya.

Hamim berkata Malaysia berharap untuk meningkatkan industri halal bukan sahaja sebagai pengeluar produk halal yang utama, tetapi sebagai sebuah pusat pensijilan halal dunia.

Ini berikutan ekosistem halalnya yang lengkap yang tidak boleh didapati di mana-mana negara di dunia, katanya.

Ekosistem tersebut lengkap dari segi bahan mentah, penghasilan, pembungkusan, pengilangan, logistik, pensijilan dan perbankan Islam. - Bernama

Friday, 25 April 2014

PNB agih RM116 bilion kepada pelabur

Wan Mohd Zahid (kanan) diiringi wakil CCM bersama pelajar SMK Dato’ Mahmud Paduka Raja (1) pada majlis penyampaian hadiah MSAM 2014, semalam.

PERMODALAN Nasional Berhad (PNB) mengagihkan RM116 bilion kepada pelaburnya sejak 1981 yang sehingga kini hasil keuntungan urus niaga pengurus dana PNB di pasaran saham.

Ahli Lembaga Pengarah Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), Tan Sri Dr Wan Mohd Zahid Mohd Noordin, berkata, peranan dimainkan pengurus dana terlatih yang menjalankan tugas dengan amanah, jujur dan berkaliber membolehkan pelabur menikmati pulangan pada kadar memberangsangkan.

“Pengurus-pengurus dana ini menggunakan kebijaksanaan dan kemahiran dimiliki untuk memilih saham, sektor atau industri yang boleh diceburi atau dilaburkan, dan menjana keuntungan syarikat.

“Pulangan atau keuntungan pelaburan juga diperoleh melalui pengagihan dividen oleh syarikat yang dimiliki PNB,” katanya ketika berucap pada majlis penyampaian hadiah Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2014 CCM Interschool Showdown di Tapak Pameran MSAM, semalam.

Pada program itu, sebanyak 12 sekolah bertanding di peringkat akhir yang menobatkan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Mahmud Paduka Raja (1), Tanah Merah sebagai johan, manakala naib johan disandang SMK Kota Bharu dan SMK Badang, Kota Bharu di tempat ketiga.

Thursday, 24 April 2014

TPM yakin bangunkan 60 usahawan IVM

TECHNOLOGY Park Malaysia Corporation Sdn Bhd (TPM) yakin akan membangunkan 60 usahawan menerusi program Model Inkubator Maya (IVM) menjelang akhir tahun ini.

Pengurus Besar Inkubator dan Pembangunan Teknoprenur Bahagian Pengurusan dan Perkhidmatan TPM Azrai Shu'ib berkata, program ini akan memberikan ruang kepada usahawan untuk memulakan perniagaan dengan mendapatkan bimbingan secara maya.

"Selain itu, ia juga memberi sokongan seperti membantu mereka membangunkan produk daripada mula hingga akhir, yang akan menjimatkan waktu dan kos usahawan di mana sahaja," katanya selepas majlis pelancaran Program Keusahawanaan IVM dan Galeri Pengkomersilan Produk di Kuala Lumpur, semalam.

Menurut Azrai, program IVM dibuka kepada usahawan berasaskan teknologi seperti ICT, kejuruteraan, bioteknologi dan teknologi hijau.

Program Keusahawanan IVM dibuka kepada umum pada Julai tahun lalu dan telah menerima sebanyak 22 pendaftaran inkubator baru.

Turut dipamerkan dalam majlis pelancaran itu 255 produk daripada 41 syarikat yang terdiri daripada 32 produk teknologi maklumat (ICT), 61 produk kejuruteraan, 155 bioteknologi dan tujuh produk teknologi baru.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif TPM Datuk Azman Shahidin berkata, IVM pada asasnya disasarkan kepada generasi Y, penyelidik dan syarikat baru yang membolehkan mereka mendapat akses kepada rangkaian penuh perkhidmatan maya dan program daripada peringkat penjanaan idea sehingga ke peringkat pengkomersilan.

"Kami yakin penjimatan kos dan harga yang berpatutan (untuk program IVM) akan menjadi penyelesaian kepada syarikat baru yang mempunyai kekangan pelaburan," katanya.

Perkhidmatan IVM boleh didapati menerusi dua pakej iaitu pejabat maya dan perkhidmatan maya sokongan dengan caj bulanan masing-masing RM295 dan RM135.

sumber dari : http://www.sinarharian.com.my/

Wednesday, 23 April 2014

Penipuan jual beli tanah

SAYA bukan tertipu sekali tetapi dua kali. Lebih memalukan saya ditipu oleh orang yang sama!” kata seorang pemandu bas sekolah yang hanya mahu dikenali sebagai Yusof, 60.

Dia berkata, walaupun sudah 15 tahun berlalu, pengalaman hitam itu tak mungkin dilupakan kerana dia kerugian sebanyak RM28,000 selepas ditipu seorang ejen hartanah yang kononnya boleh menguruskan pembelian dua lot tanah di kawasan Jeram, Kuala Selangor.

Yusof berkata, ketika itu dia berhasrat membeli tanah-tanah itu untuk kedua-dua anak perempuannya. Menurutnya, pada 1999, dia pergi ke pejabat ejen terbabit di Sungai Sembilang yang terletak berdekatan Jeram.

Ketika itu dia langsung tidak berasa ragu atau bimbang kerana yakin ejen terbabit adalah ejen sah, tambah lagi di pejabat terbabit mempunyai kelengkapan komputer, selain terdapat seorang kerani.

“Perwatakan serta tutur kata lelaki itu (ejen) sangat mesra dan meyakinkan. Dia meminta saya mengisi beberapa dokumen berkaitan pembelian dua lot tanah berjumlah RM25,000.

“Pembayaran saya buat secara ansuran menerusi akaun bank selama tiga tahun. Sebelum itu, ejen terbabit turut membawa saya ke tapak tanah yang kononnya bakal menjadi milik saya dan ketika itu tanah-tanah berkenaan masih dipenuhi dengan semak samun,” katanya.

Yusof berkata, selepas semua bayaran tanah selesai, dia menghubungi ejen itu untuk mendapatkan geran serta menukar nama, namun lelaki terbabit  gagal dihubungi. Katanya, pejabat ejen itu di Sungai Sembilang juga sudah tidak wujud. Ketika itu dia sedar sudah ditipu.

“Pada 2003, saya  terserempak dengan ejen terbabit ketika menghadiri kenduri kahwin di Klang, dia hanya berlagak biasa dan memberitahu akan ke rumah saya untuk berbincang soal penukaran nama tanah yang dibeli saya sebelum ini.

“Saya sendiri pelik kenapa saya langsung tidak berasa marah, malah ketika dia meminta duit tunai sebanyak RM3,000, kononnya untuk proses penukaran nama, saya serahkan kepadanya tanpa ragu,” katanya.

Yusof berkata, ejen itu sekali lagi menghilangkan diri dan apabila dia pergi ke tapak tanah tersebut, tanah itu sudah ditanam kelapa sawit. Katanya, setelah diperiksa mendapati tanah itu sebenarnya milik orang lain. Dia terpaksa menerima hakikat bahawa dirinya tertipu untuk kali kedua.

Pernahkah anda mengalami situasi seperti Yusof? Ini hanya satu contoh daripada ribuan kes berkaitan penipuan jual beli tanah. Ikuti kupasan lanjut berhubung tajuk modus operandi kali ini.

Faktor mangsa ditipu

Mudah terpengaruh dengan tawaran harga tanah yang jauh lebih murah berbanding harga pasaran.

Tidak mengetahui prosedur sebenar urusan jual beli tanah.

Tidak merujuk atau mendapatkan pandangan daripada pihak ketiga.

Terlalu mempercayai suspek.

Modus operandi

Terdapat beberapa modus operandi yang lazim digunakan:

  1. Mangsa beli tanah daripada suspek dan buat pembayaran penuh. Namun setelah melihat tanah tersebut mendapati tanah itu milik orang lain.
  2. Suspek akan berpura-pura hendak jual tanah dan tawarkan harga lebih murah berbanding harga pasaran kepada mangsa.
  3. Suspek kemukakan geran tanah sebagai bukti dan minta mangsa buat pembayaran tunai.
  4. Mangsa sedar ditipu apabila geran tanah diberi sebenarnya palsu apabila diperiksa di pejabat tanah.
  5. Suspek akan jumpa mangsa untuk bincang tentang peluang-peluang perniagaan dan tender, sebelum ajak berkongsi beli tanah yang kononnya boleh dijual dengan harga lebih tinggi dan seterusnya berkongsi keuntungan.
  6. Setelah mangsa serahkan wang, suspek menghilangkan diri dan gagal dihubungi.
  7. Suspek berpura-pura untuk beli tanah dan minta mangsa keluarkan wang simpanan kononnya untuk mengelakkan cukai.
  8. Suspek kemudiannya melarikan wang pengadu.
  9. Suspek buat perjanjian untuk jual tanah kepada mangsa dan minta bayar wang pendahuluan. Namun apabila mangsa hendak selesaikan semua bayaran, suspek jual tanah itu kepada orang lain.
  10. Tukar hak milik tanah secara tidak sah dengan menggunakan identiti pihak ketiga serta memalsukan maklumat peribadi.
  11. Mangsa beli tanah dari suspek dan buat pembayaran penuh, sebelum dapati keluasan tanah tidak sama seperti yang dikemukakan dalam geran.
Tip elak jadi mangsa

Jangan terpedaya dengan harga murah yang ditawarkan.

Bersikap lebih hati-hati ketika menjalankan urus niaga tanah kerana penipuan seperti ini tidak menyasarkan golongan tertentu.

Orang ramai khususnya masyarakat luar bandar perlu meningkatkan pengetahuan dan maklumat mereka bagi mengelak menjadi mangsa tipu.

Jika berasa ragu-ragu jangan teruskan urus niaga. Rujuk pihak yang berkaitan atau dapatkan nasihat daripada pihak ketiga.

Siasat terlebih dahulu latar belakang penjual atau individu yang menguruskan penjualan termasuk tanah yang hendak dibeli.

Jangan menandatangani sebarang perjanjian/dokumen  sebelum membuat semakan atau menyerahkan wang mahupun harta sebagai cagaran/deposit.

Tip ketika berurusan jual beli tanah

Jangan percaya kepada seseorang berdasarkan penampilan mereka. Layan mereka seperti penjual dan anda sebagai pembeli. Kedua-dua hak perlu dinyatakan dengan jelas dalam perjanjian.

Pastikan anda mempunyai keterangan terperinci penjual seperti nama penuh, alamat tempat tinggal, salinan MyKad

Kaji tempoh masa yang diambil dalam urusan jual beli tanah untuk dimasukkan dalam perjanjian jual beli (S&P).

Pastikan anda mendapat resit yang perlu ditandatangani oleh penjual dan pembeli semasa membuat bayaran. Resit tersebut perlu ada butiran nama pembayar dan penerima, nombor Mykad, jumlah bayaran dan butiran maklumat tanah.

Sentiasa peka dengan janji pihak penjual yang terkandung dalam S&P. Disarankan buat follow-up dari semasa ke semasa.

Jika berurusan dengan kakitangan pejabat tanah atau pejabat daerah,anda perlu dapatkan khidmat peguam kerana pelbagai perkara yang tidak dijangkakan boleh berlaku.

Jika berurusan dengan orang luar, anda boleh buat S&P yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak.

Buat semakan harga pasaran tanah termasuk selidik ketulenan maklumat serta butir geran tanah yang hendak dibeli.

Sumber: www.yahoo.com, www.google.com, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), Polis Diraja Malaysia (PDRM)

Bilangan individu bankrap bertambah 37 peratus

Nancy Shukri

PUTRAJAYA - Bilangan individu bankrap yang menghadirkan diri ke Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) pada tahun lepas meningkat 37 peratus kepada 50,912 orang berbanding 37,265 pada tahun sebelumnya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri berkata peningkatan itu mencerminkan keberkesanan program-program kesedaran yang dijalankan MdI di seluruh negara untuk menggalakkan orang ramai mendapatkan khidmat nasihat mereka.

"Kita galakkan mereka yang bankrap supaya datang kepada kita supaya mereka dapat discaj seberapa segera. Kalau boleh kita tidak mahu jumlah bankrap ini meningkat meskipun kita tahu ia sukar dielakkan akibat adanya pinjaman kewangan untuk perniagaan, perumahan dan sebagainya," katanya ketika berucap dalam majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang MdI 2013, di sini hari ini.

Bercakap kepada pemberita kemudian, Nancy menyarankan agar MdI mempertimbang peruntukan tidak melelong rumah pertama individu yang bankrap dalam pindaan Akta Kebankrapan 1967 yang sedang dibuat oleh institusi itu.

"Saya rasa ini antara perkara yang boleh menyebabkan orang kita tertekan dari segi kehidupan kerana kalau itu sahaja rumah yang mereka ada, kalau dilelong ke mana mereka nak pergi," katanya.

Menurutnya pindaan akta itu bagi memudahkan individu yang diisytihar bankrap mendapat pelepasan kebankrapan.

Ketika ini individu yang bankrap boleh keluar daripada kebankrapan melalui tiga kaedah iaitu pembatalan melalui mahkamah, pelepasan melalui mahkamah dan pelepasan sijil Ketua Pengarah Insolvensi.

Mengenai cadangan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) baru-baru ini berhubung penubuhan khidmat guaman percuma bagi membantu golongan muflis berdaftar, Nancy berkata terpulang kepada PPIM jika mahu membantu menyediakan perkhidmatan itu.

"Kita tak melarang PPIM  nak buat perkhidmatan itu, kita hargai. Tetapi kalau mengatakan MdI tidak membantu langsung, itu tidak betul. Ini kerana MdI memang tidak memberi perkhidmatan guaman tetapi Jabatan Bantuan Guaman ada," katanya. - Bernama

Tuesday, 22 April 2014

Senarai Menteri Besar Malaysia 2014 Yang Digugurkan?

Senarai Menteri Besar Malaysia 2014 Yang Digugurkan : Selepas berlabuhnya Pilihanraya Umum ke 13 yang cukup panas dalam sejarah politik di Malaysia selama ini, Datuk Seri Najib telah mengumumkan senarai menteri besar Malaysia seperti yang anda saksikan hari ini.

Hakikatnya yang sebenarnya terdapat beberapa negeri Barisan Nasional yang diletakkan calon menteri besar sebagai tujuan strategi politik bagi negeri dianggap “agak panas” dengan harapan sedikit sebanyak dapat meredakan perbalahan dikalangan pemimpin peringkat tertinggi dan kem-kem politik di peringkat negeri. Tetapi….

Tetapi selepas 11 bulan lamanya, kalangan senarai menteri besar Malaysia 2014 seperti yang ada sekarang mula seperti “cacing kepanasan” apabila meletusnya spekulasi di mana Datuk Seri Najib Razak tidak lama lagi akan mengambil tindakan drastik menggugurkan dua menteri besar UMNO dan digantikkan calon lain. Siapakah gerangannya itu? Adakah………..?

Ketua Menteri Melaka (Idris Haron) dan Ketua Menteri Sabah (Musa Aman) dikecualikan kerana mereka adalah Ketua Menteri.

Senarai Calon Menteri Besar Malaysia 2014 Yang Akan Gigugurkan?

  1. Menteri Besar Johor (Khaled Nordin)
  2. Menteri Besar Negeri Sembilan (Mohamad Hasan)
  3. Menteri Besar Perak (Zambry Kadir)
  4. Menteri Besar Terengganu (Ahmad Said)
  5. Menteri Besar Pahang (Adnan Yaakob)
  6. Menteri Besar Perlis (Azlan Man)
  7. Menteri Besar Kedah (Mukhriz Mahathir)
Berdasarkan sumber yang Berita Semasa perolehi, Datuk Ahmad Said akan digugurkan sebagai Menteri Besar Terengganu. Tetapi persoalannya “beranikah” Datuk Seri Najib Razak  mengambil tindakan drastik sebegini rupa? Apatah lagi memandangkan situasi di Terengganu cukup genting kerana kerusi Barisan Nasional di Terengganu cukup kritikal dengan hanya berkelebihan 2 kerusi sahaja berbanding Pakatan Rakyat di Terengganu. Sebarang kemungkinan boleh berlaku…Sekarang ini di Terengganu ada 2 kem bagi politik Barisan Nasional di Terengganu.
  • Kem Mat Said
  • Kem Idris Jusoh yang tidak disenangi Sultan Terengganu
Walaubagaimanapun Berita Semasa dikhabarkan Mat Said akan diberikan “jawatan baru”…..

Senarai Menteri Besar Malaysia 2014 Yang Digugurkan? Punca Ahmad Said Digugurkan?

  • “Geng Idris Jusoh” menemplak tindakan kem Ahmad Said yang telah membentuk kroni dan menyingkir lawannya secara halus disemua peringkat.
  • Kem Ahmad Said juga dikatakan tidak menghormati perjanjian perdamaian antara dua puak yang diusahakan oleh UMNO Pusat sebelum ini.
  • Ahmad Said membantu pembangkang untuk menjadi lebih kuat
  • Ahmad Said secara terang-terang mencabar beberapa arahan pimpinan atasan UMNO
Dan seorang lagi yang Berita Semasa difahamkan adalah Datuk Seri Mukhriz Mahathir akan digugurkan sebagai Menteri Besar Kedah dan akan ditarik masuk ke dalam Kabinet Persekutuan. Walauapapun, berdasarkan pemerhatian Berita Semasa dalam banyak-banyak daripada senarai menteri besar Malaysia 2014 dan ketua menteri Barisan Nasional, Mohd Hassan antara pemimpin Barisan Nasional yang cerdik dan “think out of the box“.

Tetapi, disebabkan pemikiran Mohd Hassan macam itulah, Mohd Hassan mempunyai “musuh dalam berselimut” yang tidak gemar dengan caranya. Banyak masalah dan “sisa-sisa kotor” terpaksa bersihkan oleh Mohd Hassan.

P/S : Sama-sama kita nantikan pembaharuan yang bakal diumumkan oleh Datuk Seri Najib Razak bagi senarai Menteri Besar Malaysia 2014 yang terbaru ini!

PP/S : Berdasarkan pemerhatian anda, mana satu baik Ketua Menteri mahupun menteri besar di Malaysia yang berjaya mencatatkan prestasi membanggakan setakat ini? Mengapa? Buktinya?

sumber dari : http://www.beritasemasa.com.my/

Monday, 21 April 2014

Tayar Kapal Terbang MH192 Meletup! Punca?

Berita Terkini Pesawat MH192 MAS : Kronologi Tayar Kapal Terbang MH192 Meletup. Punca? : Sekitar awal pagi tadi, Berita Semasa dimaklumkan yang mana tayar pesawat MH192 MAS bagi penerbangan KLIA to Bangalore yang membawa 166 orang (159 penumpang MH192 dan 7 anak kapal terbang MH192 MAS) telah meletup dan mengalami kerosakan gear kanan pesawat semasa berlepas sekitar pukul 10:09 malam 20 April 2014 sehingga telah menimbulkan masalah mendarat semula di KLIA tanpa satu daripada “landing gear” pesawat MH192 MAS.

Semakan Berita Semasa semasa detik-detik cemas kejadian melalui kemudahan aplikasi di FLightRadar24, boleh saksikan pesawat MH192 MAS kelihatan berlegar-legar an berpusing beberapa kali di sekitar kawasan perairan berdekatan Pelabuhan Klang.

Gambar Berita Terkini Pesawat MH192 MAS : Kronologi Tayar Kapal Terbang MH192 Meletup!

Inilah gambaran yang sempat Berita Semasa rakam bermula sekitar pukul 12:36 pagi tadi selepas 2 jam pesawat MH192 berlepas…

Berita Semasa difahamkan, kapten pesawat MH192 MAS telah bertindak untuk berlegar-legar di ruang selat Melaka untuk terus membakar dan mengurangkan kapasiti minyak pesawat MH192 MAS. Untuk apa? Sebenarnya untuk mengurangkan risiko kebakaran dan letupan akibat pergeseran dengan apa yang dipanggil istilah “tarmac” landasan akibat ketiadaan tayar.

Semasa kejadian awal pagi, Berita Semasa hanya doakan yang terbaik kepada kapal terbang MH192 MAS. Rakyat Malaysia tidak larat & snaggup lagi untuk menghadapi satu lagi nahas dan tragedi penerbangan Malaysia Airlines selepas tragedi MH370. Dan sekitar pukul 1:30 pagi tadi, Berita Semasa perhatikan pesawat MH192 sudah mula menukar haluannya seperti menghala ke arah KLIA. Adakah mungkin bersedia untuk mendarat semula?

Sebenarnya juruterbang pesawat MH192 MAS tidak sedar perkara ini sehinggalah KLIA yang menghantar notis selepas mengesan debris di landasan Kronologi Berita Terkini Pesawat MH192 MAS. Tayar Kapal Terbang MH192 Meletup
  • pesawat Mh192
    Pada pukul 10:09 malam : Penerbangan Pesawat Malaysia Airlines MH192 MAS telah berlepas. Kapten dimaklumkan tayar pesawat MH192 MAS telah pecah
  • Pada pukul 10:25 malam : Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur memaklumkan kepada kapten pesawat MH192 MAS tentang penemuan serpihan tayar di landasan kapal terbang dan serta merta menghubungi OCC
  • Pada pukul 1:35 pagi : Malaysia Airlines (MAS) menjangkakan kapal terbang MH192 MAS akan melakukan pendaratan cemas pada pukul 2 pagi
  • Pada pukul 1:40 pagi : Pesawat MH192 MAS berada pada ketinggian 1075 kaki
  • Pada pukul 1:44 pagi : Secara tiba-tiba pesawat MH192 MAS Malaysia Airlines kelihatan berada pada ketinggian lebih 2000 kaki selepas berada pada ketinggian 500 kaki sahaja sebelum ini
  • Pada pukul 1:47 pagi : Kapal terbang MH192 MAS dilihat melakukan pusingan semula sebagai cubaan kali kedua untuk mendarat
  • Pada pukul 1:53 pagi : Kapal terbang MH192 MAS dikesan berada di sekitar kampung Nipah Port Dickson Negeri Sembilan
  • Pada pukul 1:56 pagi : Alhamdulillah, sah pesawat MH192 MAS telah mendarat dengan selamat di Runaway 32L. Tahniah kepada kapten pesawat MH192 MAS, krew kapal dan juga penumpang yang terus cekal menghadapi ujian besar seperti ini. Nice landing.
berita MH192
Sebenarnya juruterbang pesawat Mh192 MAS Malaysia Airlines tidak sedar perkara ini sehinggalah KLIA yang menghantar notis selepas mengesan debris di landasan KLIA.

Semua 159 penumpang dan 7 anak kapal di atas kapal terbang MH192 MAS telah diarahkan keluar dari pesawat MH192 MAS dan kapal terbang MH192 MAS akan akan dijadualkan berlepas semula dari KLIA pada pukul 3.30 petang pada 21 April 2014 ini.

sumber dari: http://www.beritasemasa.com.my/

Urus pelaburan RM268 bilion

Hamad Kama Piah (tengah) menyampaikan replika sumbangan komputer untuk kegunaan SMK Tok Janggut kepada Iberahim pada Program Bersama PNB, semalam.

PERMODALAN Nasional Berhad (PNB) bukan sahaja menguruskan pelaburan, malah mendidik masyarakat merancang kewangan menerusi program penerangan yang dilaksanakan setiap hari.

Presiden dan Ketua Eksekutif PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman berkata, sehingga kini, PNB menguruskan pelaburan berjumlah RM268 bilion termasuk wang rakyat negara ini berjumlah RM180 bilion.

Dengan pelaburan serendah RM10, rakyat dilihat semakin rapat serta mempercayai kewibawaan PNB yang kini mampu membeli syarikat-syarikat besar bagi menjana ekonomi lebih baik dan berterusan.

Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2014 yang bermula semalam, bukan semata-mata untuk menarik lebih ramai pelabur, malah sebagai menghargai sokongan pelabur selama ini.

“Sebab itulah MSAM yang diadakan di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) di Tunjung, Kota Bharu menawarkan pelbagai hadiah menarik kepada pengunjung seperti seperti kereta Toyota Vios pada hari pembukaan, Perodua Myvi pada hari penutup, 14 motosikal dan banyak lagi berupa gajet terkini seperti MacBook Pro, Ipad Air dam Samsung Galaxy Tab.

“Banyak aktiviti akan diadakan termasuk sukan, pameran, interaktif, ruang beli-belah dan pelbagai pertandingan untuk semua lapisan masyarakat seperti peraduan video dan peraduan foto,” katanya selepas merasmikan Program Bersama PNB di Sekolah

Menengah Kebangsaan Tok Janggut (SMKTJ) di Pasir Puteh, turut hadir Ketua Eksekutif Kumpulan Prolintas, Ir Zainudin Abdul Kadir; Pengetua SMKTJ, Iberahim Mat dan Pengetua Persatuan Ibu Bapa dan Guru SMKTJ, Datuk Dr Mohd Kaisan Abdul Rahman.
PNB turut  menyumbangkan empat komputer peribadi kepada SMKTJ sebagai usaha membantu pembelajaran dan pengajaran sekolah itu.

MSAM dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak manakala perasmian penutupnya pada 27 April nanti akan disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

sumber dari: http://www.sinarharian.com.my/

Sunday, 20 April 2014

Usahawan muda rumpai laut

MOHD. SAIFULLAH menunjukkan rumpai laut yang diternaknya di Pulau Mabul, Semporna, Sabah.

MENYEDARI potensi perusahaan pengkulturan rumpai laut yang dianggap ‘ibu kolagen’ dalam pasaran semasa, mendorong anak muda, Mohd. Saifullah Mohd. Minggu menceburi bidang itu seawal umur 18 tahun.

Semuanya berikutan pemerhatian dan pengalamannya ketika mengikuti sukarelawan bantuan kemanusiaan selama dua bulan di Tanzania melalui program diatur Japanese International Corperation (Jaika) kira-kira lima tahun lalu.

Menariknya, sepanjang berada negara benua Afrika itu, pendedahan bantuan lebih bersifat kepada meningkatkan sumber ekonomi berteraskan rumpai laut. “Apabila pulang ke Malaysia, terfikir mengapa saya tidak bangunkan perusahaan rumpai laut sedangkan daerah Semporna di Sabah adalah pusat pengkulturan khazanah laut itu terbesar di negara ini.

“Cuma yang perlu dipraktikkan dan diperbaharui adalah daripada segi pengurusan dan teknikal agar rumpai yang dihasilkan benar-benar bermutu dan berkualiti memenuhi kehendak pasaran,” ujarnya. Selaku Pengurus Syarikat Dermaga Juta Sdn. Bhd., Mohd. Saifullah berkata, langkah awal penubuhan perusahaannya dimulakan dengan peruntukan dana sebanyak RM1 juta oleh Jaika selain mendapatkan kelulusan pembukaan ladang ternakan rumpai laut seluas 161 hektar daripada Jabatan Tanah dan Ukur Sabah.

Bagaimanapun kata anak muda itu, permulaan perusahaannya hanya dimulakan dengan 20 hektar sahaja berikutan kekurangan tenaga pekerja.
PERUSAHAAN rumpai laut mampu menjana pendapatan lumayan.


Sehubungan itu, beliau mula mengambil inisiatif dan pendekatan sendiri dengan membuka Seeweed Bank iaitu gabungan kesemua penanam baharu atau lama.Melalui pendekatan itu, ia lebih bersifat serampang dua mata dalam mengekalkan harga pasaran selain membantu penduduk Semporna untuk menjadi penanam rumpai laut bagi meningkatkan ekonomi mereka.

“Kebiasaannya harga bagi rumpai laut adalah tidak menentu iaitu sekitar RM1.80 hingga RM3 sekilogram tanpa mengikut gred ditetapkan.“Dengan Seeweed Bank, saya menjadi peneraju dengan membeli pada harga dari RM5 sekilogram untuk gred terbaik, manakala RM2.90 bagi gred paling rendah,” katanya yang memperoleh pendapatan kasar sebulan kira-kira RM400,000.

Beliau yang kini mempunyai 350 penanam dengan keluasan pengkulturan 141 hektar memberitahu, terdapat beberapa cara bagi memastikan sesuatu rumpai laut itu berkualiti.Antaranya adalah dengan  tempoh penanamannya tidak melebihi 45 hari iaitu terutamanya daripada spesies Cotoni, cara pengeringan, sukatan gel dalam rumpai diternak dan bebas daripada penyakit bakteria epipite dan sereng.

“Gel rumpai laut yang berkualiti tidak boleh dikeringkan melalui pancaran matahari yang terlampau terik sebaliknya harus dibantu dengan cuaca berangin,” katanya.Katanya, cabaran paling besar dialami adalah kesan daripada pencerobohan pengganas Sulu di Kampung Simunul, Semporna bulan Mac tahun lalu. Terangnya, akibat kejadian tersebut beliau dan penanam lain tidak dapat turun ke kawasan ternakan selama tiga bulan sehingga menyebabkan kerugian hampir RM1 juta.

Dalam memastikan kesinambungan perniagaannya, Mohd. Saifullah berkata, pihaknya berterima kasih kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani yang membantunya dalam memberi khidmat nasihat, teknikal dari segi peralatan operasi dan bantuan pasaran.

“Dalam memastikan pengembangan pasaran, sudah tentunya saya memerlukan lebih bantuan melalui Unit Agroprenuer Muda yang memberikan suntikan dana sebanyak RM300,000,” katanya. 

Artikel Penuh: Hakcipta terpelihara http://www.kosmo.com.my/