Thursday 24 April 2014

TPM yakin bangunkan 60 usahawan IVM

TECHNOLOGY Park Malaysia Corporation Sdn Bhd (TPM) yakin akan membangunkan 60 usahawan menerusi program Model Inkubator Maya (IVM) menjelang akhir tahun ini.

Pengurus Besar Inkubator dan Pembangunan Teknoprenur Bahagian Pengurusan dan Perkhidmatan TPM Azrai Shu'ib berkata, program ini akan memberikan ruang kepada usahawan untuk memulakan perniagaan dengan mendapatkan bimbingan secara maya.

"Selain itu, ia juga memberi sokongan seperti membantu mereka membangunkan produk daripada mula hingga akhir, yang akan menjimatkan waktu dan kos usahawan di mana sahaja," katanya selepas majlis pelancaran Program Keusahawanaan IVM dan Galeri Pengkomersilan Produk di Kuala Lumpur, semalam.

Menurut Azrai, program IVM dibuka kepada usahawan berasaskan teknologi seperti ICT, kejuruteraan, bioteknologi dan teknologi hijau.

Program Keusahawanan IVM dibuka kepada umum pada Julai tahun lalu dan telah menerima sebanyak 22 pendaftaran inkubator baru.

Turut dipamerkan dalam majlis pelancaran itu 255 produk daripada 41 syarikat yang terdiri daripada 32 produk teknologi maklumat (ICT), 61 produk kejuruteraan, 155 bioteknologi dan tujuh produk teknologi baru.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif TPM Datuk Azman Shahidin berkata, IVM pada asasnya disasarkan kepada generasi Y, penyelidik dan syarikat baru yang membolehkan mereka mendapat akses kepada rangkaian penuh perkhidmatan maya dan program daripada peringkat penjanaan idea sehingga ke peringkat pengkomersilan.

"Kami yakin penjimatan kos dan harga yang berpatutan (untuk program IVM) akan menjadi penyelesaian kepada syarikat baru yang mempunyai kekangan pelaburan," katanya.

Perkhidmatan IVM boleh didapati menerusi dua pakej iaitu pejabat maya dan perkhidmatan maya sokongan dengan caj bulanan masing-masing RM295 dan RM135.

sumber dari : http://www.sinarharian.com.my/

No comments: