Saturday 26 April 2014

Malaysia kukuh industri halal

MALAYSIA mengambil peluang membangunkan lagi industri halal dalam Komuniti Ekonomi Asean (AEC) yang bakal direalisasikan tahun depan serentak dengan peranan Malaysia sebagai pengerusi Asean, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) Datuk Hamim Samuri.

AEC bertujuan mengumpul 10 anggota Asean sebagai pasaran tunggal dan pangkalan pengeluaran, wilayah ekonomi yang kompetitif dengan pembangunan ekonomi yang saksama yang diintegrasikan sepenuhnya ke dalam ekonomi global.

Hamim berkata, setakat ini langkah-langkah awal telah diwujudkan untuk membangunkan industri halal, antaranya melalui Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (Mihas) yang telah diadakan baru-baru ini.

“Berbeza dengan tahun sebelum ini, Mihas 2014 telah diselitkan dengan pelbagai akitivi sampingan dengan tujuan menarik lebih banyak negara yang mahu terlibat.

“Halal kini bukan sahaja relevan kepada negara Islam, bahkan kepada negara bukan Islam. Ia dilihat satu sumber untuk menjana ekonomi sesebuah negara,” katanya.

Hamim berkata Malaysia berharap untuk meningkatkan industri halal bukan sahaja sebagai pengeluar produk halal yang utama, tetapi sebagai sebuah pusat pensijilan halal dunia.

Ini berikutan ekosistem halalnya yang lengkap yang tidak boleh didapati di mana-mana negara di dunia, katanya.

Ekosistem tersebut lengkap dari segi bahan mentah, penghasilan, pembungkusan, pengilangan, logistik, pensijilan dan perbankan Islam. - Bernama

No comments: