Saturday, 23 August 2014

Komited jadi pelabur jangka panjang di Malaysia

PEKAN 22 Ogos - Mercedes-Benz Malaysia Sdn. Bhd. yang telah melabur lebih RM250 juta di Malaysia, memperkukuhkan komitmennya sebagai pelabur jangka panjang bukan sahaja di kilang pemasangan tempatannya (CKD) di sini tetapi juga perniagaan keseluruhan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Roland Folger berkata, langkah Mercedes-Benz Malaysia adalah gambaran terhadap permintaan menggalakkan yang pihaknya terus nikmati dalam pasaran automotif negara ini.

Beliau berkata, pihaknya memandang masa depan yang sangat positif, ditambah lagi dengan perkembangan terkini dalam sektor automotif Malaysia. "Malaysia adalah pasaran penting bagi Mercedes-Benz dan kami sentiasa mencari peluang-peluang untuk meningkatkan lagi pasaran,'' katanya kepada pemberita pada majlis ulang tahun ke-10 kilang Mercedes-Benz di sini hari ini.

Acara tersebut dirasmikan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Lee Chee Leong. Yang turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), Datuk Jebasingam Issace John.

Folger berkata, kilang Mercedes-Benz di Pekan itu merupakan satu daripada enam kilang CKD miliknya di seluruh dunia dan dilengkapi teknologi canggih dan mengeluarkan tiga kereta penumpang iaitu C, E dan S-Class, serta kenderaan komersial Mercedes-Benz dan Mitsubishi Fuso.

Menurutnya, model terbaharu yang dipasang di situ ialah S400L Hybrid dengan 264 unit telah dikeluarkan setakat Julai lalu, mendorong pihaknya bekerjasama erat dengan syarikat induknya di Jerman untuk menambah bekalan kereta tersebut.

Pada masa ini, kilang Mercedes-Benz di Pekan mempunyai 1,079 kakitangan tempatan dan dua pakar luar negara, dan mengeluarkan 4,083 kereta penumpang dan 2,892 kenderaan komersial tahun lalu. Beliau berkata, Mercedes-Benz Malaysia mencatatkan pertumbuhan jualan sebanyak 11 peratus dalam kategori kereta penumpang dan naik 14 peratus bagi kenderaan komersial.

sumber : http://utusan.com.my/
Oleh JOHARDY IBRAHIM

Friday, 22 August 2014

RM2j buka pusat Clic pertama negara

YTL Land & Development Berhad (YTL) melalui anak syarikatnya Sentul Raya Sdn Bhd melabur lebih RM2 juta bagi membuka Pusat Pembelajaran Kreatif & IT (Clic) pertama di Malaysia.

Pengarah Eksekutif Sentul Raya , Datuk Hamidah Maktar berkata, pemilihan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Sentul sebagai lokasi pembukaan Clic adalah bagi memenuhi keperluan penduduk sekitar.

“Clic dibina untuk menyediakan peluang pembelajaran sama rata dalam satu ekosistem yang kondusif di samping mengurangkan jurang digital dalam masyarakat dan menyokong pencapaian akademik pelajar.

“Dengan adanya Clic, ia dapat memberi manfaat kepada lebih 5,400 buah keluarga yang kurang bernasib baik dan 25,000 pelajar dar 34 buah sekolah sekitar Sentul dan Kuala Lumpur,” katanya ketika ditemui media pada Majlis Perasmian Clic di UTC Sentul, semalam.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Senator Datuk Dr Loga Bala Mohan dan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Tan Sri Dr Madinah Mohamad.

Sementara itu, Pengerusi YTL Land dan Sentul Raya, Datuk Suleiman Abdul Manan melalui ucapannya berkata, Clic merupakan usaha sama dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta kolaborasi bersama Kementerian Pendidikan.

“Melalui teknologi serta kemudahan yang bertaraf antarabangsa, pihak kami menjangkakan dapat menyumbang kepada pengurangan jurang digital di kalangan masyarakat setempat.

“Fasa pertama akan menumpukan kepada pengukuhan kemahiran Bahasa Inggeris yang akan ditunjuk ajar oleh guru-guru yang berkualiti kerana ia merupakan satu keperluan penting di dalam dunia globalisasi ini,” katanya.

Menurutnya, program tersebut akan turut dibantu oleh rakan-rakan Sentul Raya yang terdiri daripada Frog Asia, Brainbytes, Asia Youth Ambassadors, Edunation, Leadereconomics, TheLearningClub dan banyak lagi.

sumber : http://www.sinarharian.com.my/
oleh :

Thursday, 21 August 2014

Dividen RM1.115 bilion

AHMAD Sarji (kiri) bersama Hamad Kama Piah menunjukkan pengagihan pendapatan sebanyak 6.60 sen seunit bagi ASW 2020 bagi tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2014.

Kuala Lumpur: Permodalan Nasional Berhad (PNB) melalui anak syarikatnya, Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) mengumumkan agihan pendapatan sebanyak 6.60 sen seunit bagi Amanah Saham Wawasan 2020 (ASW 2020) bagi tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2014.
Agihan pendapatan itu membabitkan pembayaran berjumlah RM1.115 bilion iaitu 5.8 peratus lebih tinggi berbanding jumlah bagi tahun sebelumnya iaitu RM1.053 bilion dengan agihan itu dijangka dapat dimanfaatkan oleh 891,446 pemegang unit yang melanggan 16.892 bilion unit ASW 2020.

Pengerusinya, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata, kadar agihan pendapatan itu adalah berpatutan jika dibandingkan dengan instrumen pelaburan lain terutama dalam suasana ekonomi yang masih dalam proses pemulihan buat masa ini.

“Tabung ini akan terus merangka strategi pelaburan berhemat melalui perumpukan aset bersesuaian dan mampu menjana pendapatan dividen memuaskan didorong keputusan pelaburan berasaskan fundamental serta prestasi di samping prestasi baik oleh syarikat pelaburan utama,” katanya pada majlis pengumuman agihan pendapatan ASW 2020 di sini, semalam. Sehingga 18 Ogos lalu, ASW 2020 memperoleh pendapatan kasar sebanyak RM1.329 bilion di mana sebanyak 48.8 peratus atau RM648.7 juta adalah keuntungan daripada penjualan saham.

Pendapatan dividen daripada pelaburan dalam syarikat adalah berjumlah RM460.02 juta atau 34.6 peratus dan baki RM219.81 juta atau 16.6 peratus pula diperoleh melalui pendapatan daripada pelaburan dalam instrumen jangka pendek dan lain-lain pendapatan.

Dalam perkembangan sama, Presiden dan Ketua Eksekutif PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman berkata, penurunan kadar agihan pendapatan ASW 2020 daripada 6.70 sen seunit pada tahun kewangan sebelumnya kepada 6.60 sen seunit pada kali ini dilakukan selepas mengambil kira keperluan pelabur dan pengurusan dana terbabit untuk tempoh jangka panjang.

“Jika berdasarkan kemampuan, kami boleh menawarkan agihan pendapatan sebanyak 9.30 sen seunit, namun kami mengambil langkah untuk menyimpan baki 2.50 sen seunit itu untuk pengurusan dana lebih baik yang menjamin prestasi lebih kukuh pada masa akan datang,” katanya.

Ketika diminta mengulas mengenai perkembangan pembangunan Menara Warisan Merdeka, beliau berkata, projek terbabit sudah memasuki fasa pembinaan paip yang kini siap kira-kira 30 peratus dan pihaknya masih lagi dalam fasa untuk menentukan kontraktor dan lain-lain.

sumber : http://www.hmetro.com.my/

Wednesday, 20 August 2014

Kenaikan Gaji & Gred Menjelang Bajet 2015?

Semakan Skim Kakitangan Awam : Kenaikan Gaji & Gred Menjelang Bajet 2015 : Berita Semasa mendapat aduan, yang mana mereka ini kalangan pembaca Berita Semasa yang terdiri daripada kalangan kakitangan awam di Malaysia merasakan di zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi (pak lah) skim penjawat awam dan gaji dikemas dengan elok. Tetapi itu dahulu, kata mereka….

Sekarang ini mereka agakpening kepala“, apabila orang baru lebih untung daripada “kelompok senior“. Yang mana….Contohnya, kenaikan pangkat kakitangan awam tidak sama mengikut jabatan, ada yang 8 tahun dan ada yang 13 tahun. Selepas melihat skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dikecam teruk dan dikritik (SEPERTI SEJARAH SBPA DI SINI), yang akhirnya ditarik balik, kakitangan  awam mahukan satu skim yang lebih baik daripada itu.

Menjelang Bajet 2015 : SBPA VS Semakan Skim Kakitangan Awam 2014

“Lebih adil dan efisien”
Ditambah dengan gesaan yang berterusan daripada Cuepacs Malaysia, dijangka akan ada berita gembira untuk kalangan penjawat awam melibatkan semakan skim kakitangan awam bagi sejumlah 17 skim menjelang pembentangan Bajet 2015 Malaysia pada 10 Oktober 2014 termasuklah kelayakan masuk ke sektor awam bermula daripada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hingga ke peringkat ijazah. Setakat ini, semakan skim kakitangan awam dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah berada pada peringkat akhir.

P/S : Berdasarkan maklumat yang Berita Semasa terima setakat ini, semua skim mengikut time base, 8 tahun naik. Mungkin? Walaubagaimanapun, sama-sama kita nantikan berita gembira ini pada pembentangan Bajet 2015 Malaysia kelak…

sumber : http://www.beritasemasa.com.my/

'Finger Nap' elak jari kotor

Jari kotor selepas makan adakalanya merimaskan, lebih-lebih lagi apabila anda tidak mempunyai tisu atau tiada air untuk membasuh tangan.

Namun di Korea, 'Finger Nap' adalah jalan penyelesaiannya. Sarung plastik kecil dipakai pada jari anda ini digunakan bagi mengelak ia kotor apabila makan makanan berminyak dan sebagainya.

Dipetik daripada laporan The Huffington Post, beberapa restoran di Korea turut meletakkan dispensari 'Finger Nap' bagi memudahkan pelanggan mereka dan ia dianggap sebagai salah satu benda biasa seperti tisu dan perkakas lain.

'Finger Nap' dikatakan menyerupai produk 'Trongs' yang telah diperkenalkan di Amerika Syarikat.
'Finger Nap' juga dikatakan satu bantuan terbaik buat kanak-kanak dan juga orang tua (kami tidak tahu mengapa orang pertengahan usia tidak dimasukkan).

Ia dikatakan menyerupai 'Trongs' iaitu penyepit makanan yang telah diperkenalkan di Amerika Syarikat.

Mungkin satu perkara baik jika ia diperkenalkan di Malaysia kerana produk mesra alam ini pasti akan menjimatkan penggunaan tisu di mana-mana restoran.

sumber : https://my.entertainment.yahoo.com/

Tuesday, 19 August 2014

BMW perkenal SAV siri X3 baharu

KUMPULAN BMW Malaysia memperkenalkan siri model terbaharu BMW X3 xDrive20i dan BMW X3 xDrive20d bagi memenuhi permintaan pasaran melibatkan kenderaan aktiviti sukan (SAV).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Gerhard Pils berkata beliau yakin model terbaharu yang dipasang di Kulim, Kedah itu memberi pilihan lebih variasi kepada pengguna.

“BMW X3 telah mengukuhkan kedudukannya dalam pilihan kenderaan SAV sebagai kereta dengan kombinasi serba boleh, keselesaan, kemewahan dan dinamik untuk pelanggan di Malaysia.

“Sebanyak 500 unit disediakan untuk kedua-dua model itu bagi memenuhi pasaran di seluruh negara,” katanya menerusi satu kenyataan.

Menurutnya, BMW X3 mempunyai kelasnya tersendiri yang meneruskan legasi baharu BMW iaitu enjin diesel turbo twinpower yang memberikan lebih kuasa tetapi jimat minyak.

Kedua-dua model itu didatangkan dengan warna Alpine White, Black Sapphire and Mineral Grey While. Manakala terdapat dua  pilihan warna eksklusif bagi BMW X3 xDrive20i iaitu Space Grey dan Sparkling Brown.

Kenderaan SAV itu boleh didapati melalui pengedar seluruh negara bermula 23 dan 24 Ogos ini dengan harga permulaan bagi BMW X3 xDrive20i RM328,800.00 dan BMW X3xDrive20d RM348,800.00.

sumber : http://www.sinarharian.com.my/

Kisah Benar Modus Operandi Upline Elken Untuk Jadi “Jutawan Segera” Jerat Pelanggan Baru!

Anti MLM Business di Malaysia : Sekarang boleh dikatakan kos sara hidup terus melonjak tinggi meinggalkan  skala kenaikan gaji rakyat Malaysia hanya suam-suam kuku sahaja. Itu sebablah boleh kita lihat ada sahaja MLM business di Malaysia yang tumbuh bagaikan cendawan bagi “memerangkap ahli dan pelanggan baru dengan kaedah yang cukup tidak beretika” contohnya kes (DI SINI)

Yang menjalankan pernigaan dan MLM business di Malaysia dengan penuh beretika dan tidak menipu orang ramai, Berita Semasa ucapkan tahniah. Anda sememangnya peniaga yang unik. Ehem…..
Tetapi dengan lambakan MLM Business dan lambakan peniaga MLm baru yang tiada latar belakang pengurusan kewangan dan ilmu berniaga yang kuat, menyebabkan mereka mudah goyang dek kerana digoncang dengan cabaran dan liku-liku dalam perniagaan sehingga timbulnya perasaan ingin cepat kaya dengan cara pintas walaupun terpaksa memperdayakan orang lain atas nama “mengejar kekayaan dan pangkat dengan cepat“.

Anti MLM Business di Malaysia : Ramai Yang Mahu Jadi Jutawan Segera Dengan Jalan Pintas

Timbullah, modus operandi kalangan yang mendesak pelanggan untuk buat pinjaman peribadi dengan Bank Rakyat terutamanya kakitangan kerajaan, pinjaman peribadi Easy RHB, memperdaya golongan pelajar yang masih terpakai-kapai mencari identiti dan pengalaman hidup.
Bersama-sama ini Berita Semasa ingin kongsikan kisah benar yang pernah terjerat dengan kalangan upline MLM Business yang sanggup bebruat apa sahaja, asalkan mencapai sasaran yang ditetapkan oleh pihak atasan mereka. Semoga menjadi pengajaran kepada adik-adik di kolej, universiti, IPTA, kalangan kakitangan kerajaan dan cikgu-cikgu supaya lebih berhati-hati jika mahu terjebak dengan MLM business di Malaysia.
Samada mahu masuk MLM business atau tidak, terpulang. Itu pilihan dan kehendaka nda. Tetapi saranan Berita Semasa, berhati-hatilah.
Assalamualaikum,
Adakah anda anti MLM? Saya yakin ramai yang menjawab YA! Jikalau anda bertanya kepada saya? Saya akan jawab YA!!! Kerana itulah saya tidak hairan kalau ramai yang anti MLM business di Malaysia kerana pendekatan beberapa jenis MLM di Malaysia yang sangat agresif dan tidak bertimbang rasa. Kenapa?
Ini adalah kerana saya ada banyak kenangan pahit tentang rakan-rakan atau orang asing yang mengajak saya join MLM pada waktu dahulu. Paling parah orang yang kenakan saya ini dari Kuantan Pahang. Minta maaf saya sebut nama MLM business ni iaitu Elken. Saya dan Juli di ajak datang ke Kuantan oleh seorang caller ni dengan alasan mahu join bisnes kami.
Berbekalkan harapan yang tinggi kerana makcik ini beriya sangat katanya nak join bisnes, kami pergi juga ke Kuantan tumpang Dr. Juhari. Kami bermalam 1 malam di Kuantan. Semuanya menggunakan perbelanjaan sendiri. Masa tu duit belum mahsyuk lagi so, bagi kami yang merupakan pelajar dan baru je nak mula bisnes memang agak sempitlah keadaan masa tu. (masa itu kami belum ada kenderaan dan baru sangat dalam hal bisnes ini).
So, kami berjumpalah makcik tersebut dan suaminya yang menjemput kami di tempat kami menginap. Dalam kereta bukan main beriya bertanya hal bisnes kami dan katanya nak bawa kami sembang-sembang di suatu tempat yang lebih aman. Tapi anda tahu tak ke mana dia bawa kami? Ke bangunan Elken! Tapi kami ok lagilah walaupun agak terkejut kerana makcik langsung tak beritahu kami apa-apa tentang Elken ni. So, mula-mula sembang di meja bulat, masa tu orang-orang di sana senyum-senyum pada kami dan tanya pada makcik ‘orang baru ke’? Makcik jawab ‘ya dari KL’ (sambil sengih-sengih). (owh tolonglah masa tu kami sangat mentah nak tahu trick macam ni. Makcik ni pulak macam bangga betul dapat perangkap orang dari ‘KL’).
Tiba-tiba datang seorang lelaki yang dikenali sebagai ‘cikgu’ alih-alih dia tunjuk cek komisen dia pada kami. Eh apahal pulak ni? Kami datang bukan nak tengok duit/ cek dia. Saya ingat lagi cek tersebut nilainya RM3000 tapi saya tak hairan pun sebab dah mula rasa ‘tertipu’. So, slow-slow makcik ni mula cucuk jarum. Ok sabar-sabar…..
Setelah beberapa lama kami dengar cerita makcik ni dia ajak kami masuk dewan. Masyaallah, rupa-rupanya tengah ada ceramah Elken lah. Saya dan Juli berpandangan sebab kenapa pulakkami kena dengar ceramah Elken! Patutnya makcik tu yang dengar penerangan kami tentang bisnes yang kami buat! Saya mula panas punggung dan ajak Juli keluar. Kami keluar dan makcik tu ikut. Kami diajak duduk lagi di meja bulat dan tiba-tiba anda tahu tak apa berlaku!
Aduhhhhhh. Tiba-tiba kami didatangi beberapa orang upline makcik yang berbangsa Cina dan bawa borang ahli. Owh, kami dikerumuni macam gula dan dipaksa-paksa sign atas borang tu. Makcik senyum-senyum kerana dah dapat perangkap saya dan Juli. Kami pun tak nak lah sign sebab bukan tujuan kami nak masuk Elken. Keadaan bertambah panas apabilasuami makcik tu pulak macam mula nak naik angin. Muka makcik juga dah berubah jadi sedih. Kami disuruh keluarkan I/C pulak tapi kami mestilah tak nak. Kami tetap tak mahu sign. Bukan kerana kami kata Elken tak bagus tetapi adalah kerana makcik dan suami dah TIPU kami yang datang jauh dari Bangi! Tergamaknya makcik ni!!
Akhirnya setelah kami puas dipujuk dan tak mahu sign kami pun pulang. Dah sampai di tempat kami menginap makcik tu pujuk lagi supaya join Elken. Kami pun buka cerita pasal bisnes yang kami jalankan (at least kami share juga tentang our bisnes kan) walaupun badan dah mula longlai dan geram juga lah dengan makcik dan suaminya tu. Tetapi, as what has been expected ? makcik memang tak mahu join bisnes kami dengan alasan tak ada duit. Kami tak hairan pun dengan kata makcik tu sebab dia memang pandai buat trick kan.
Begitulah salah satu (baru satu ? ada banyak lagi) pengalaman saya yang di tipu oleh orang MLM. Sebab itulah ramai yang anti MLM dengan adanya orang seperti makcik ni yang menipu macam tu.
Saya tahu perasaan orang yang tertipu gara-gara MLM ni dan tak mahu orang lain terkena juga. Saya lihat sekarang ini ada beberapa jenis MLM yang ‘malu-malu’ nak nyatakan mereka tu MLM apa dalam brochure dan sms yang dihantar (kenapa malu kalau anda memang syarikat dan MLM yang bagus?).
Umpan mereka :
  1. MENJANA PENDAPATAN 4-5 ANGKA SEBULAN lah
  2. UBAH NASIB KELUARGA ANDA lah
  3. JADI JUTAWAN KERJA DARI RUMAH lah
  4. TAK PAYAH JUAL BARANG lah dan macam-macam lagi yang berunsurkan WANG dan KESENANGAN tetapi tidak sebut sikit pun apa bisnes yang dijalankan.
Kalau kita call pula, si penjawab akan kata”Datang lah dahulu ke ceramah ni, lain dari yang lain” tetapi tak cakap pun dia tu bisnes Syarikat Cap A etc. Aduhai.
Ok kesimpulannya, untuk berniaga MLM buatlah dengan cara yang betul jangan memburukkan lagi status MLM yang sebenarnya bagus dan eksklusif! Buktinya saya TAK PERNAH buat ‘trick’ macam makcik tadi dan tak buat sms atau iklan yang samar-samar tetapi masih boleh memperoleh pendapatan 5 angka sebulan. Kejujuran itu asas kejayaan. Anda mampu mengubahnya. Wassalam.
p/s: Saya tidak kata produk Elken tidak bagus. Ada juga pengedar Elken yang saya kenali bagus dan bermoral. Cuma makcik dari Kuantan itu je yang menjejaskan imej Elken dalam hati saya. Itu adalah pandangan dan pengalaman peribadi sahaja. Harap maklum.

Anti MLM Business di Malaysia : Jual Konsep Vs Jual Produk?

Bagi Berita Semasa sendiri, kita perlu faham MLM ini sebenarnya menjual konsep dan yang ingin dijual itu hanyalah sebagai salah satu daripada alat pendekatan sahaja. Dan apabila anda sudah menceburkan diri dalam MLm business tersebut, anda perlu buat kerja :
  1. cari downline
  2. tidak semua upline MLm business di Malaysia ini menipu, tetapi ramai yang menipu sekarang
  3. Yang tidak menipu dalam meniaga di mana percaya kepada konsep dan sanggup tebal muka, mereka-mereka ini yang akan berjaya
  4. Cuma bagi yang hanya memikirkan ia cara cara mudah untuk senang, mereka-mereka inilah yang akan terkandas
  5. MLM perlukan modal, jaringan dan paling penting masa
Hanya MLM business sahaja sibuk mencanang satu dunia,  duit mudah dapat. Tanyalah yang berniaga apa sahaja bentuk perniagaan servis dan perkhidmatan, produk fizikal dan macam-macam lagi di luar sana, beli kereta pun ikat perut ikat perbelanjaan sebab mahukan bisnes maju. Tetapi lain pula, kalangan yang sertai MLM business, baru join tidak menunggu lama untuk pergi ke showroom “Auto Bavaria” setelah dikelilingi persekitaran dan kelompok yang telah meracuni pemikiran mereka.
“ilmu di dada tidak cukup lagi, sibuk menambah hutang. Inilah BALA MLM jikalau tidak “berhati-hati”

Anti MLM Business di Malaysia : Gambar Jutawan & Orang Kaya Elken

P/S : MLM business di Malaysia terkandas sebab sistem pyramid. Barang yang  MAHAL bukan semua orang mampu beli, di mana barang pula perlu beli tiap-tiap bulan untuk “maintain point”.

PP/S : Duit boleh cari, TETAPI hancurkan hidup orang Tuhan akan balas berlipat kali ganda. Jadi lebih baik cari rezeki berniaga benda lain. Cari benda HALAL dan BERKAH.

sumber : http://www.beritasemasa.com.my/

Monday, 18 August 2014

Ikan kerapu gergasi dijual RM9,120

Kong Yoong (kanan) bergambar dengan ikan kerapu gergasi.

ALOR SETAR - Sekumpulan nelayan di perairan Kuala Kedah gempar apabila pertama kali berjaya menangkap ikan kerapu harimau gergasi sepanjang 2.1 meter seberat 152 kilogram (kg).

Ikan yang dikenali sebagai ‘loong tan’ dalam kalangan masyarakat Cina ditangkap nelayan Khamis lalu.

Pemborong ikan, Ng Kong Yoong, 37, tidak menyangka akan mendapat hasil tangkapan seperti itu kerana kebiasaannya hanya memperolehi ikan kecil.

“Biasanya ikan yang kami tangkap adalah lebih kecil dan mempunyai berat kurang dari 100 kg. Tetapi, sejak tiga tahun berniaga, inilah kali pertama saya mendapat hasil tangkapan terbesar,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau menjual ikan itu kepada sebuah restoran makanan laut di sini dengan harga RM9,120.

sumber : http://www.sinarharian.com.my/
oleh :

Sunday, 17 August 2014

Janda rugi RM250,000

KOTA KINABALU 16 Ogos - Seorang janda anak lima kerugian RM250,000 akibat terpedaya dengan kata-kata manis kenalan Facebook yang memperdaya mangsa kononnya untuk mengahwininya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Supritendan Saiman Kasran berkata, mangsa berusia 48 tahun dan bekerja sendiri berkenalan dengan rakannya itu dikenali 'Hendry John', sejak Mei lalu seterusnya jatuh cinta.

Katanya, suspek berjanji akan tinggal di negara ini dan mengahwini mangsa sekiranya mendapat kontrak perniagaan yang besar. "Tidak lama selepas itu, seorang wanita yang mendakwa dari Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Kuala Lumpur menghubungi mangsa dan memaklumkan kononnya terdapat sekeping cek atas nama kekasihnya (Hendry John) bernilai AS$7.5 juta (RM236 juta) yang disediakan sebuah kementerian.

"Namun bagi menunaikan cek tersebut, mangsa perlu menjelaskan pelbagai bayaran termasuk bagi pelepasan cukai dan duti setem. Disebabkan percaya, mangsa menurut kemahuan wanita itu dan melakukan transaksi di tujuh bank tempatan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. Saiman berkata, kekasihnya itu bagaimanapun tidak muncul-muncul sedangkan wanita yang mendakwa dari LHDN tersebut terus menghubungi mangsa untuk meminta lagi sejumlah bayaran.

sumber : http://www.utusan.com.my/