Thursday 21 August 2014

Dividen RM1.115 bilion

AHMAD Sarji (kiri) bersama Hamad Kama Piah menunjukkan pengagihan pendapatan sebanyak 6.60 sen seunit bagi ASW 2020 bagi tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2014.

Kuala Lumpur: Permodalan Nasional Berhad (PNB) melalui anak syarikatnya, Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) mengumumkan agihan pendapatan sebanyak 6.60 sen seunit bagi Amanah Saham Wawasan 2020 (ASW 2020) bagi tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2014.
Agihan pendapatan itu membabitkan pembayaran berjumlah RM1.115 bilion iaitu 5.8 peratus lebih tinggi berbanding jumlah bagi tahun sebelumnya iaitu RM1.053 bilion dengan agihan itu dijangka dapat dimanfaatkan oleh 891,446 pemegang unit yang melanggan 16.892 bilion unit ASW 2020.

Pengerusinya, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata, kadar agihan pendapatan itu adalah berpatutan jika dibandingkan dengan instrumen pelaburan lain terutama dalam suasana ekonomi yang masih dalam proses pemulihan buat masa ini.

“Tabung ini akan terus merangka strategi pelaburan berhemat melalui perumpukan aset bersesuaian dan mampu menjana pendapatan dividen memuaskan didorong keputusan pelaburan berasaskan fundamental serta prestasi di samping prestasi baik oleh syarikat pelaburan utama,” katanya pada majlis pengumuman agihan pendapatan ASW 2020 di sini, semalam. Sehingga 18 Ogos lalu, ASW 2020 memperoleh pendapatan kasar sebanyak RM1.329 bilion di mana sebanyak 48.8 peratus atau RM648.7 juta adalah keuntungan daripada penjualan saham.

Pendapatan dividen daripada pelaburan dalam syarikat adalah berjumlah RM460.02 juta atau 34.6 peratus dan baki RM219.81 juta atau 16.6 peratus pula diperoleh melalui pendapatan daripada pelaburan dalam instrumen jangka pendek dan lain-lain pendapatan.

Dalam perkembangan sama, Presiden dan Ketua Eksekutif PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman berkata, penurunan kadar agihan pendapatan ASW 2020 daripada 6.70 sen seunit pada tahun kewangan sebelumnya kepada 6.60 sen seunit pada kali ini dilakukan selepas mengambil kira keperluan pelabur dan pengurusan dana terbabit untuk tempoh jangka panjang.

“Jika berdasarkan kemampuan, kami boleh menawarkan agihan pendapatan sebanyak 9.30 sen seunit, namun kami mengambil langkah untuk menyimpan baki 2.50 sen seunit itu untuk pengurusan dana lebih baik yang menjamin prestasi lebih kukuh pada masa akan datang,” katanya.

Ketika diminta mengulas mengenai perkembangan pembangunan Menara Warisan Merdeka, beliau berkata, projek terbabit sudah memasuki fasa pembinaan paip yang kini siap kira-kira 30 peratus dan pihaknya masih lagi dalam fasa untuk menentukan kontraktor dan lain-lain.

sumber : http://www.hmetro.com.my/

No comments: