Saturday 12 September 2015

Pakej Umrah dan Haji Palsu Menawar harga tidak masuk akal


KUALA LUMPUR – Agensi yang menawarkan pakej umrah dan haji palsu kini dipercayai giat memperdaya orang ramai terutama penduduk kampung dengan menawarkan pakej serendah RM3,000 bagi ibadah umrah dan ziarah.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, pihaknya menerima beratus-ratus aduan mengenai kegiatan sedemikian pada harga tidak masuk akal.

“Mereka menggunakan orang yang dipercayai di sesebuah kampung bagi mempengaruhi penduduk dengan tawaran (umrah) pada harga yang murah, malah adakalanya diberikan percuma.

“Kebanyakan mangsanya pula orang-orang tua yang percaya harga pakej lebih murah selain kekangan maklumat walaupun berita penipuan seperti itu kerap didedahkan pihak media,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

sumber : kosmo.com.my

Video Kes Pembunuhan Altantuya Shaariibuu di Malaysia.

Inilah satu-satu kes pembunuhan yang paling berprofil tinggi yang menjadi perhatian bukan sahaja di Malaysia tetapi wartawan di seluruh dunia. Kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu ini cukup terkenal kerana sarat dengan drama yang terdapatnya elemen seks, rasuah, penyalahgunaan kuasa dan juga pembunuhan yang cukup-cukup kejam dalam kes bunuh ini. Sama sekali tidak terjangkau dek akal, begini sekali tahapnya cara pembunuhan di Malaysia.

Dan hanya manusia yang bertopengkan syaitan sahaja mampu memberikan arahan dan melunaskan arahan yang diterimanya.

Nah….yang bertambah menarik kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu ini apabila ia meninggalkan rakyat Malaysia dan masyarakat seluruh dunia apatah lagi bapanya Altantuya sendiri terkontang-kanting mencari jawapan dan persoalan yang masih lagi tergantung, termasuklah :

Isu dan Persoalan Serta Misteri Kes Pembunuhan Altantuya Shaariibuu?

  • Mengapa Altantuya kena bunuh sebegitu rupa? Motif?
  • Siapa pula yang arah Sirul dan Azilah untuk bunuh wanita Mongolia ini?
  • Bagaimana bom C4 boleh digunakan sewenang-wenangnya?
  • Ada yang anda mahu tambah?
Inilah antara persoalan yang masih lagi berlegar dan menari-nari dalam kotak fikiran rakyat Malaysia. Persoalannya sampai bila?

P/S : Pertama kali Berita Semasa dapat melihat wajah Altantuya Shaariibuu tanpa mekap dengan paparan yang lebih jelas melalui Video Kes Pembunuhan Altantuya Shaariibuu di Malaysia dari Al Jazeera ini.

PP/S : Mengejutkan apabila Sirul meminta RM2 juta untuk “si dia” berjumpa di Australia demi survival anak-anaknya, dan RM15 juta lagi jikalau tidak mahu………………….Anda boleh sambung tonton video di atas.


sumber : beritasemasa.com.my

Friday 11 September 2015

Sheila Ramlee Trading Tawar Pulangan pelaburan 200%


SHEILA bersama produk keluarannya, Gloxina17”.

Oleh Hafiz Ithnin

Kuala Lumpur: Sheila Ramlee Trading (Sheila Ramlee), pengeluar produk jus kesihatan wanita, Gloxina17” menyasarkan untuk menjual 20,000 kotak sehingga akhir tahun ini menerusi pelaksanaan kempen promosi dan penyertaan lebih ramai ejen.

Gloxina17” ialah jus minuman kesihatan yang membantu mengatasi masalah wanita khususnya keputihan yang kritikal, menderita senggugut dan haid tidak teratur, bau badan yang tidak menyenangkan, melancarkan pembuangan najis, menyuburkan sistem produktif wanita serta memberi kecergasan kepada wanita yang mempunyai gaya hidup aktif.

Pengasasnya, Sheila Ramlee berkata, Gloxina17” diformulasi dengan teknologi baru yang mengandungi sel stem ramuan epal yang memperbaiki dan memperbaharui sel kulit, malah mendapat sambutan memberangsangkan daripada pengguna dengan mencatatkan jualan sehingga lebih 1,000 kotak dalam tempoh tiga bulan sejak diperkenalkan, Jun lalu.

Beliau berkata, setakat ini, syarikat telah melantik 50 ejen dengan menawarkan pulangan pelaburan sebanyak 200 peratus bagi setiap kotak yang berjaya dijual.

“Kita menyasarkan 30 ejen baru dilantik sehingga akhir tahun ini bagi meluaskan lagi pemasaran di Malaysia, Singapura dan Brunei, sekali gus dapat membantu orang ramai khususnya suri rumah melalui perniagaan atas talian bagi menjana pendapatan tambahan.

“Selain itu, produk kami juga boleh didapati di pasaraya besar Giant, TESCO, Mydin dan AeonBig menerusi RY Saloon di seluruh negara dan juga secara atas talian bagi memudahkan orang ramai membeli Gloxina 17”,” katanya kepada Bisnes Metro di sini, baru-baru ini.

Gloxina 17” dijual pada harga promosi RM84 sekotak yang mengandungi 15 sachet. Produk itu juga sesuai digunakan wanita seawal usia 17 tahun dan ia mengandungi ramuan makanan sunah seperti delima, habbatussaudah dan kurma yang patuh syariah.

Ramuan lain ialah ekstrak strawberi, kacip fatimah, manjakani, pegaga, kolagen, pueraria mirifica, acai beri, pueraria lobata dan guarana.

Sheila berkata, ketika ini, syarikatnya mengadakan Kempen Beli dan Menang bermula 1 Ogos hingga 31 September ini yang menawarkan hadiah utama wang tunai RM3,000.

“Selain itu, bagi pembeli atas talian mereka boleh mendapat potongan harga sehingga 30 peratus sehingga 30 September ini. Untuk maklumat lanjut boleh melayari www.gojess17.com atau Instagram gloxina17” dan Facebook Gloxina17”, katanya.

sember : hmetro.com.my

Mahkamah memerintahkan Dr Nazri membayar RM312,500

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi hari ini memerintahkan seorang doktor hospital swasta membayar ganti rugi berjumlah RM312,500 kepada seorang wanita berhubung saman yang dikemukakan akibat kecuaian perubatan.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Mohd Zaki Abdul Wahab membuat keputusan itu selepas membenarkan tuntutan saman yang difailkan V. Prabakhari, 46, seorang pekerja Tenaga Nasional Berhad terhadap pakar perunding anestiologi, Dr Nazri Bhupalan selaku defendan pertama dalam kes saman berkenaan.

Mohd Zaki dalam penghakiman ringkasnya berkata, Prabakhari selaku plaintif berjaya membuktikan defendan pertama (Dr Nazri) mempunyai "duty of care" terhadap plaintif ketika memberi anestetik (bius) kepada wanita itu.

Bagaimanapun, Mohd Zaki berkata defendan pertama telah melanggar "duty of care" berkenaan kerana gagal memberi penerangan bermaklumat sebelum mendapatkan persetujuan daripada Prabakhari ketika proses bius dilakukan.

"Akibat pelanggaran 'duty of care' itu, plaintif mengalami kecederaan dan kesakitan," kata Mohd Zaki.

Mahkamah memerintahkan Dr Nazri membayar RM300,000 kepada Prabakhari sebagai ganti rugi am, kehilangan kemudahan hidup, tekanan mental, kesakitan dan penderitaan yang dialami.

Mahkamah turut memerintahkan Dr Nazri membayar ganti rugi khas berjumlah RM12,500 kepada plaintif dan mengarahkan doktor itu membayar kos sebanyak RM100,000 kepada plaintif.

Sementara itu, mahkamah menolak tuntutan saman Prabakhari terhadap Pantai Medical Centre Sdn Bhd, yang dinamakan sebagai defendan kedua dalam saman berkenaan selepas mendapati ia tidak mendatangkan kecuaian kepada plaintif.

Pada 13 Jun tahun lepas, Prabakhari memfailkan saman terhadap Dr Nazri dan Pantai Medical Centre selepas mendakwa Dr Nazri telah cuai dalam menjalankan tugas ketika memberi anestetik kepadanya sebelum pembedahan dijalankan.

Dalam pernyataan tuntutan itu, Prabakhari berkata, beliau yang mengalami bengkak pada kaki kanan sekitar September 2011 telah mendapatkan rawatan di hospital berkenaan dan disaran untuk menjalani pembedahan pada kakinya itu.

Prabakhari mendakwa pada 21 November 2011, Dr Nazri telah merosakkan esofagusnya (saluran makanan) ketika melakukan proses memasukkan tiub sebelum beliau menjalani pembedahan.

Akibat perbuatan itu, Prabakhari mendakwa beliau mengalami kesakitan pada bahagian belakang dan mudah terdedah kepada jangkitan paru-paru. - Bernama

sumber : sinarharian.com.my

Thursday 10 September 2015

Imbasan 15 Tahun Kisah Sedih, Pembunuhan Along (Spoon)



TANGGAL 6 Januari 2000 iaitu kira-kira 15 tahun lalu terjadinya satu tragedi apabila penyanyi Spoon - Along ditemui mati dibunuh. mStar Online menyingkap peristiwa sedih itu.

Along atau nama sebenarnya Sabi'ul Malik Shafie yang ketika itu berusia 19 tahun popular dengan lagu Rindu Serindu-Rindunya telah dibunuh dengan keadaan mayatnya dimasukkan ke dalam guni, diikat lalu dicampak ke dalam gaung sedalam kira-kira 400 meter iaitu di kawasan sunyi, Jalan Kuala Klawang, Negeri Sembilan.

Peristiwa berdarah itu hanya disedari lebih 10 hari selepas Allahyarham dilaporkan hilang iaitu pada 25 Disember 1999.

Penemuan mayat Allahyarham diketahui selepas seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal telah ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Tontoni imbasan kisah sedih ini dalam bentuk video selepas 15 tahun ia berlalu. Al-Fatihah buat Allahyarham.

sumber : mystar.com.my

iPhone, iPad terbaru di perkenalkan.


Oleh Afiq Hanif

Ketua Pegawai Eksekutif Apple, Tim Cook memperkenalkan model baru iPhone di San Francisco, California, semalam. FOTO AFP

San Francisco (Amerika Syarikat): Berdasarkan spesifikasi sama dengan model sebelum ini, Apple memperkenalkan iPhone terbaru, 6s dan 6s plus yang mengekalkan reka bentuk bulat di bucu.

Hanya satu warna tambahan iaitu merah jambu yang ditambah pada model kali ini berbanding hitam, kelabu dan emas pada iPhone 6 terdahulu.

Dalam pelancaran di San Francisco, California, semalam, iPhone 6s dan 6s plus yang diperkenalkan akan dipasarkan pada 25 September ini di beberapa negara, namun Malaysia tidak termasuk dalam senarai penerima awal.

Apple lebih banyak menumpukan aspek perisian bagi iPhone baru termasuk rakaman 4K dan resolusi 12MP.

Paling menyerlah, fungsi Force Touch yang membolehkan sentuhan lebih peka bagi fungsi seperti zum dan membuka ikon Selain iPhone, Apple turut memperkenalkan model baru tablet, iPad Pro yang bersaiz 12.9 inci.

Ia boleh dipasangkan bersama dua aksesori baru, Apple Pencil dan Smart Keyboard yang dijual berasingan.
iPad Pro mempunyai tahap kenipisan 6.9mm dengan empat pembesar suara yang pertama kali diperkenalkan berbanding hanya satu sebelum ini.

Berdasarkan cip pemprosesan A9X 64 bit generasi ketiga, pengguna boleh mengharapkan operasi pantas untuk kerja atau hiburan.

Ia mempunyai jangka hayat bateri yang mampu bertahan selama 10 jam dan mempunyai dua versi setoran iaitu 32GB dan 128GB.

Tablet ini dijual pada harga USD799 (RM3,462.87).

hmetro.com.my

Padah mengundang

FAM bakal berdepan hukuman berat ekoran tindakan penyokong skuad Harimau Malaya yang mencetuskan kekecohan di Stadium Shah Alam malam kelmarin.


PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) mungkin berdepan hukuman yang berat daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) ekoran kekecohan yang berlaku ketika aksi kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 antara Harimau Malaya dengan Arab Saudi di Stadium Shah Alam malam kelmarin.
Pada perlawanan tersebut, tindakan segelintir penyokong Malaysia yang menggelarkan diri mereka sebagai ‘Ultras Malaya’, membaling suar serta membakar mercun di dalam stadium sehingga memaksa pengadil perlawanan, Liu Kwok Man dari Hong Kong menangguhkan perlawanan tersebut.

Bekas Setiausaha Agung Persekutuan Bola Sepak Asia (AFC), Datuk Peter Velappan membidas kelakuan yang dipamerkan ‘Ultras Malaya’ sehingga mencetuskan suasana huru-hara di dalam stadium selain menegaskan FAM akan berdepan hukuman berat daripada FIFA.

“Insiden itu merupakan perkara yang sangat serius dalam bola sepak. Saya faham, rata-rata penyokong negara tidak berpuas hati dengan prestasi yang dipamerkan Harimau Malaya sejak kebelakangan ini, namun bukan itu caranya.

“Mereka (penyokong) membawa imej negara pada peringkat antarabangsa, jadi tindakan mereka membaling bom asap serta mercun ke dalam padang telah menyebabkan imej negara tercemar.

“Saya menyeru agar FAM mengambil serius perkara ini kerana ia merupakan kesalahan yang sangat berat,” katanya kepada Kosmo! ketika dihubungi semalam.

Menurutnya lagi, denda yang sering dikenakan FIFA selalunya memberi kemenangan 3-0 kepada pasukan lawan selain denda yang berat turut dikenakan terhadap FAM. Jika di Eropah, kebiasaannya FIFA akan mengenakan denda sebanyak AS$400,000 (RM1.73 juta) terhadap persatuan.

“Selain itu, pasukan negara berdepan kemungkinan untuk bermain dua atau tiga perlawanan dalam stadium kosong tanpa penonton sekiranya perlawanan tersebut diadakan di Malaysia pada masa akan datang,” tegasnya lagi.

sumber : kosmo.com.my

Wednesday 9 September 2015

Kuasa Belanja Bernilai Berjuta-juta Ringgit Akan Hilang?

Kalau ikut kata dan pemerhatian Mahathir ditambah dengan pengalamannya menguruskan ekonomi Malaysia sebelum ini, beliau lebih memilih hapuskan GST Malaysia atas nama tidak mahu membebankan rakyat malaysia yang sudah mula terbeban dengan kelembapan ekonomi Malaysia dan kenaikan kos sara hidup di Malaysia.

Tapi Berita Semasa selepas selesa jikalau kerajaan mulakan GST dengan 3% tetapi jikalau mereka campakkan beban cukai GST 6% kepada rakyat Malaysia ini kejam namanya. Hanya kurangkan sedikit cukai pendapatan, kemudian canang satu dunia, mereka prihatin dengan kesempitan rakyat
  • Cukai GST 6% ambil tinggi 6%
  • Cukai pendapatan masih lagi tinggi
  • Kiri-kanan ambil, perbelanjaan boleh guna rakyat Malaysia semakin bertambah?
Nah…..bahang semakin dirasakan. Selepas kakitangan CIMB seramai 3,599 atau bersamaan 11% daripada jumlah kakitangan CIMB di Malaysia dan Indonesia telah mengambil skim berhenti VSS secara sukarela, berita terkini yang Berita Semasa terima berdasarkan laporan yang disiapkan sendiri oleh Reuters mendedahkan :

Laporan Berita reuters : Skim VSS Kakitangan RHB dan CIMB

  • Aabar Investments adalah pemgang saham terbesar
  • Kakitangan RHB ada 18,000 kesemuanya
  • RHB mula tawarkan skim berhenti secara sukarela VSS sehingga 23 September 2015 ini
  • Antara bulan April hingga Jun 2015 adalah sangat mencabar
Kejap….di mana ya Ahmad Maslan sekarang ini?
  • Jikalau 10% mengambil skim berhenti secara sukarela RHB tersebut? Apa kesannya kepada Malaysia? Hakikatnya sekarang ini…
    3,600 kakitangan CIMB sudah berhenti
    Secara puratanya jikalau mereka berpendapatan RM2,000 sebulan
  • Bermakna sekitar RM7.6 juta sebulan dan RM86 juta kuasa membeli sudah hilang sekarang ini
  • Bagaimana jikalau 20% kakitangan RHb mengambil skim berhenti sukarela, bermakna 3,600 sudah kehilangan kerja?dengan gaji dan pendapatan bulanan secara purata Rm2,000 sebulan bermakna malaysia akan kehilangan RM7.2 juta sebulan dan RM86.4 juta setahun kuasa membeli
  • Bermakna lebih banyak kedai-kedai dan penjual akan terkesan jualan mereka selepas ini
Adakah mereka-mereka ini apabila berhenti kerja akan terus mendapat kerja baru serta merta? Dan dengan duit simpanan yang mereka ada, adakah mereka-mereka daripada kumpulan ini akan berbelanja di pasaran, termasuklah beli kereta baru, beli rumah baru, melancong dalam negara, beli perabot baru dan sebagainya?

sumber : beritasemasa.com.my

Mengejutkan WSJ Guna Maklumat Sulit Dalam Laporannya

PETALING JAYA: 1Malaysia Development Bhd mengkritik Wall Street Journal (WSJ) kerana menggunakan maklumat sulit daripada siasatan jawatankuasa parlimen, yang masih belum dibentangkan di Parlimen.

"Kami terkejut apabila penerbit ternama seperti Wall Street Journal dengan jelas akan menggunakan maklumat sulit dalam laporan mereka.

"Kami secara khusus merujuk kepada WSJ yang mengesahkan bahawa ia telah mengkaji 'transkrip prosiding', daripada satu jawatankuasa parlimen yang menyiasat 1MDB, di mana satu-satunya sumber yang mungkin adalah pendengaran Jawatankuasa Kira-Kira (PAC) terhadap 1MDB.

"Peraturan Mesyuarat Parlimen Malaysia dengan jelas menyatakan bahawa 'bukti yang diambil sebelum sebarang Jawatankuasa Pilihan dan sebarang dokumen yang dikemukakan kepada Jawatankuasa itu tidak boleh disiarkan oleh mana-mana ahli Jawatankuasa, atau oleh mana-mana orang lain, sebelum Jawatankuasa membentangkan laporannya kepada Dewan," kata 1MDB dalam satu kenyataan pada Rabu.

Ia berkata tindakan WSJ adalah sesuatu yang mungkin melanggar undang-undang Malaysia yang dibuat oleh sebuah penerbitan asing yang sepatutnya dihormati.

"Kami lebih bimbang mengenai siapa yang terlibat dalam perbicaraan PAC yang mungkin telah membocorkan transkrip ini, yang jelas ia merupakan satu percubaan untuk menjejaskan siasatan PAC dan menafikan hak 1MDB untuk melalui proses sebagaimana yang diperuntukkan oleh undang-undang Malaysia.

"1MDB menggesa pihak berkuasa berkaitan untuk menyiasat perkara ini dengan teliti dan mengambil segala tindakan yang perlu untuk mengekalkan integriti proses dan Peraturan Mesyuarat," katanya Rabu.

sumber : mstar.com.my