Thursday 10 September 2015

Padah mengundang

FAM bakal berdepan hukuman berat ekoran tindakan penyokong skuad Harimau Malaya yang mencetuskan kekecohan di Stadium Shah Alam malam kelmarin.


PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) mungkin berdepan hukuman yang berat daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) ekoran kekecohan yang berlaku ketika aksi kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 antara Harimau Malaya dengan Arab Saudi di Stadium Shah Alam malam kelmarin.
Pada perlawanan tersebut, tindakan segelintir penyokong Malaysia yang menggelarkan diri mereka sebagai ‘Ultras Malaya’, membaling suar serta membakar mercun di dalam stadium sehingga memaksa pengadil perlawanan, Liu Kwok Man dari Hong Kong menangguhkan perlawanan tersebut.

Bekas Setiausaha Agung Persekutuan Bola Sepak Asia (AFC), Datuk Peter Velappan membidas kelakuan yang dipamerkan ‘Ultras Malaya’ sehingga mencetuskan suasana huru-hara di dalam stadium selain menegaskan FAM akan berdepan hukuman berat daripada FIFA.

“Insiden itu merupakan perkara yang sangat serius dalam bola sepak. Saya faham, rata-rata penyokong negara tidak berpuas hati dengan prestasi yang dipamerkan Harimau Malaya sejak kebelakangan ini, namun bukan itu caranya.

“Mereka (penyokong) membawa imej negara pada peringkat antarabangsa, jadi tindakan mereka membaling bom asap serta mercun ke dalam padang telah menyebabkan imej negara tercemar.

“Saya menyeru agar FAM mengambil serius perkara ini kerana ia merupakan kesalahan yang sangat berat,” katanya kepada Kosmo! ketika dihubungi semalam.

Menurutnya lagi, denda yang sering dikenakan FIFA selalunya memberi kemenangan 3-0 kepada pasukan lawan selain denda yang berat turut dikenakan terhadap FAM. Jika di Eropah, kebiasaannya FIFA akan mengenakan denda sebanyak AS$400,000 (RM1.73 juta) terhadap persatuan.

“Selain itu, pasukan negara berdepan kemungkinan untuk bermain dua atau tiga perlawanan dalam stadium kosong tanpa penonton sekiranya perlawanan tersebut diadakan di Malaysia pada masa akan datang,” tegasnya lagi.

sumber : kosmo.com.my

No comments: