Saturday 21 December 2013

Untung RM4b masih tak cukup?

Rafizi Ramli
KUALA LUMPUR – PKR mencadangkan supaya Tenaga Nasional Berhad (TNB) membuat rundingan semula dengan Penjana Tenaga Bebas (IPP) untuk mengurangkan kos ditanggungnya sekali gus berupaya menurunkan tarif elektrik yang dikenakan ke atas pengguna.

Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli berkata, TNB banyak mengeluarkan belanja untuk membeli tenaga elektrik daripada IPP pada kadar yang tinggi sehingga terpaksa menanggung kos berlebihan.

“Ini satu faktor mengapa TNB selalu tidak cukup wang kerana mereka terpaksa bergantung kepada IPP untuk mengekalkan bekalan elektrik yang mencukupi.

“Jadi saya rasa lebih baik jika TNB berunding dengan IPP supaya kadar itu dapat dikurangkan daripada menaikkan tarif elektrik sedia ada yang membebankan pengguna,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Katanya, kenyataan bahawa kenaikan tarif yang berkuat kuasa 2014 masih tidak mencukupi untuk menampung kos dan perbelanjaan TNB sukar diterima kerana syarikat itu mengaut keuntungan lebih RM4 bilion.

Pada 30 Oktober lalu, TNB mengumumkan keuntungan bersih berjumlah RM4.61 bilion dicatatkannya keseluruhan tahun kewangan berakhir pada 31 Ogos 2013.

Ini mewakili peningkatan sebanyak 4.6 peratus berbanding RM4.41 bilion yang dicatatkan dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya.

“Kalau mereka kata tidak cukup, maknanya mereka tidak ada keuntungan dan kita faham kenapa mereka naikkan tarif. Tapi macam mana boleh kata tidak cukup padahal mereka untung RM4 bilion.

“Saya kurang faham mengenai perkara ini. Sepatutnya keuntungan itu mereka boleh gunakan untuk perbelanjaan yang diperlukan,” katanya.
Kelmarin, Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Tenaga, Datuk Ir Ahmad Fauzi Hasan berkata, kenaikan tarif elektrik baru yang berkuat kuasa Januari 2014 masih tidak mencukupi untuk menampung kos dan perbelanjaan syarikat tersebut.

sumber dipetik dari:- http://www.sinarharian.com.my/nasional/untung-rm4b-masih-tak-cukup-1.232687

Thursday 19 December 2013

Isu tol: Kerajaan patut lebih prihatin

Isu tol: Kerajaan patut lebih prihatin
 SHAH ALAM - Kerajaan seharusnya lebih prihatin dengan bebanan yang dihadapi rakyat kerana banyak kenaikan berlaku dalam tempoh terdekat.

Ahli Parlimen Masjid Tanah, Mas Ermieyati Samsudin berkata, jika kerajaan terus bertegas menaikkan kadar tol, sudah pasti ia lebih menekan rakyat.

“Saya berharap kerajaan mengkaji semula kenaikan itu, kerana kita (BN) perlu berpegang kepada janji yang telah dibuat sebelum ini.

“Saya percaya ada ruang untuk kerajaan berbuat (mengkaji) demikian, jika diteruskan juga rakyat akan melabel kerajaan s tidak prihatin,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Mas Ermieyati yang juga Ketua Puteri Umno berkata, sebagai wakil rakyat, beliau mendapat banyak keluhan daripada rakyat bawahan apabila berlaku kenaikan barangan dan perkhidmatan dalam masa singkat.

“Dalam tempoh dua ke tiga hari ini ramai mengadu mengenai bebanan dihadapi dan terbaru mengenai kenaikan tol, sehubungan itu saya harap kerajaan menimbang semula,” katanya.

Menurutnya, sebagai kerajaan yang prihatin seharusnya memberi fokus dalam usaha meningkatkan pendapatan rakyat bagi membolehkan golongan bawahan dan pertengahan menampung kos sara hidup masa kini.

Sementara itu, Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata, beliau bimbang kenaikan tol akan membuatkan rakyat beranggapan kerajaan BN tidak menepati janji.

"Sebab itu harga sebuah janji dan sokongan rakyat adalah penting daripada segala-galanya.

"Justeru, melihat kepada respons negatif rakyat terhadap cadangan ini, saya menuntut kerajaan mengkaji semula cadangan ini kerana ia membebankan apatah lagi kenaikan kos sara hidup warga kota amat tidak mengembirakan," katanya.

Sementara itu menerusi laporan sebuah portal, Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Johari Abdul Ghani berkata, ia bukan masa yang sesuai untuk menaikkan kadar tol ekoran pengumuman kenaikan harga petrol, gula dan elektrik baru sahaja dibuat.

Menurut beliau, rakyat memerlukan masa untuk menyesuaikan keadaan ini sebelum mereka terus dibebani dengan kenaikan yang diumumkan dalam masa yang sama.

Terdahulu, Menteri Kerja Raya, Datuk Fadillah Yusof mengatakan terdapat semakan semula struktur kadar tol pada tahun depan.

Walau bagaimanapun, beliau berkata, keputusan sama ada keperluan menaikkan kadar tol itu adalah bergantung kepada keputusan Jemaah Menteri.

sumber dipetik dari:- http://www.sinarharian.com.my/nasional/isu-tol-kerajaan-patut-lebih-prihatin-1.232100

Tuesday 17 December 2013

Kenaikan harga tol: Pengguna boleh guna jalan biasa, kata menteri

Kenaikan harga tol: Pengguna boleh guna jalan biasa, kata menteri 
Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata pengguna jalan raya boleh memilih untuk menggunakan jalan biasa lain sekiranya mengganggap kenaikan tol terlalu tinggi, walaupun konsesi lebuh raya akan menyemak kadar selari dengan jumlah penggunaan untuk projek pada masa depan.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu, kenaikan tol yang bakal berlaku tahun hadapan adalah munasabah.

"Kami sediakan jalan alternatif kepada mereka sedia bayar dengan kadar premium.
"Bagi mereka yang fikirkannya ia terlalu mahal, mereka ada pilihan untuk tidak gunakan jalan tersebut," kata Abdul Wahid di Putrajaya hari ini.

Sementara itu, Abdul Wahid berkata, pihak konsesi perlu menjalankan kajian daya saing untuk memastikan sama ada pengguna dapat menerima kadar tol baru yang dicadangkan sebelum ia dilaksanakan.
"Bagi projek pada masa depan, apa yang kami akan lakukan adalah membuat kajian daya saing projek.
"Kami minta penyelenggara projek untuk turut jalankan kajian mengenai penerimaan pengguna terhadap kadar tol yang mereka sanggup bayar. Ini adalah untuk masa depan kelak. Ia bagi memastikan kadar dipersetujui adalah kadar yang orang ramai sanggup bayar," katanya.

"Projek ini dicadangkan dan dilaksanakan oleh sektor swasta dan kerajaan kerajaan akan tentukannya berdasarkan keperluan memandangkan kita perlu pertimbangkan memperbaiki infrastruktur pada kos lebih rendah," terang beliau lagi.

Beliau bagaimanapun mengakui dalam kes dengan pengendali terbesar lebuh raya negara, PLUS, kerajaan mempunyai perjanjian dengan mereka untuk mengekalkan kadar tol hingga tahun 2015.

"Sebagai contoh dengan PLUS, terdapat peluang untuk memanjangkan tempoh konsesi dan mengekalkan kadar tol sehingga tahun 2015 dan kami telah lakukannya," kata Abdul Wahid.

Hujung minggu lalu, Abdul Wahid berkata enaikan kadar tol yang dijangka berlaku tahun hadapan tidak dapat dielakkan memandangkan perkara itu terkandung dalam perjanjian konsesi antara kerajaan dan syarikat konsesi lebuh raya.

Beliau berkata telah tiba masanya untuk kadar tol dinaikkan, memandangkan perjanjian konsesi menyatakan kadar itu perlu disemak dan dinaikkan pada 2011.

Desas-desus mengenai kenaikan tol bermula ekoran kenyataan Menteri Kerja Raya Datuk Fadillah Yusof bahawa terdapat semakan semula kadar tol pada tahun hadapan dari segi perjanjian antara kerajaan dengan syarikat konsesi lebuh raya.

Sebuah akhbar pula melaporkan kenaikan kadar itu dijangka berlaku antara 30 sen sehingga RM1, tetapi tidak menyatakan untuk jarak perjalanan sejauh mana.

Terdapat 13 lebuh raya yang terlibat dalam semakan semula kadar tol itu.
Pakatan Rakyat menentang cadangan tersebut kerana langkah itu hanya memberi keuntungan kepada syarikat konsesi dan tidak kepada pengguna. – 16 Disember, 2013.