Thursday 19 December 2013

Isu tol: Kerajaan patut lebih prihatin

Isu tol: Kerajaan patut lebih prihatin
 SHAH ALAM - Kerajaan seharusnya lebih prihatin dengan bebanan yang dihadapi rakyat kerana banyak kenaikan berlaku dalam tempoh terdekat.

Ahli Parlimen Masjid Tanah, Mas Ermieyati Samsudin berkata, jika kerajaan terus bertegas menaikkan kadar tol, sudah pasti ia lebih menekan rakyat.

“Saya berharap kerajaan mengkaji semula kenaikan itu, kerana kita (BN) perlu berpegang kepada janji yang telah dibuat sebelum ini.

“Saya percaya ada ruang untuk kerajaan berbuat (mengkaji) demikian, jika diteruskan juga rakyat akan melabel kerajaan s tidak prihatin,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Mas Ermieyati yang juga Ketua Puteri Umno berkata, sebagai wakil rakyat, beliau mendapat banyak keluhan daripada rakyat bawahan apabila berlaku kenaikan barangan dan perkhidmatan dalam masa singkat.

“Dalam tempoh dua ke tiga hari ini ramai mengadu mengenai bebanan dihadapi dan terbaru mengenai kenaikan tol, sehubungan itu saya harap kerajaan menimbang semula,” katanya.

Menurutnya, sebagai kerajaan yang prihatin seharusnya memberi fokus dalam usaha meningkatkan pendapatan rakyat bagi membolehkan golongan bawahan dan pertengahan menampung kos sara hidup masa kini.

Sementara itu, Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata, beliau bimbang kenaikan tol akan membuatkan rakyat beranggapan kerajaan BN tidak menepati janji.

"Sebab itu harga sebuah janji dan sokongan rakyat adalah penting daripada segala-galanya.

"Justeru, melihat kepada respons negatif rakyat terhadap cadangan ini, saya menuntut kerajaan mengkaji semula cadangan ini kerana ia membebankan apatah lagi kenaikan kos sara hidup warga kota amat tidak mengembirakan," katanya.

Sementara itu menerusi laporan sebuah portal, Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Johari Abdul Ghani berkata, ia bukan masa yang sesuai untuk menaikkan kadar tol ekoran pengumuman kenaikan harga petrol, gula dan elektrik baru sahaja dibuat.

Menurut beliau, rakyat memerlukan masa untuk menyesuaikan keadaan ini sebelum mereka terus dibebani dengan kenaikan yang diumumkan dalam masa yang sama.

Terdahulu, Menteri Kerja Raya, Datuk Fadillah Yusof mengatakan terdapat semakan semula struktur kadar tol pada tahun depan.

Walau bagaimanapun, beliau berkata, keputusan sama ada keperluan menaikkan kadar tol itu adalah bergantung kepada keputusan Jemaah Menteri.

sumber dipetik dari:- http://www.sinarharian.com.my/nasional/isu-tol-kerajaan-patut-lebih-prihatin-1.232100

No comments: