Saturday, 16 April 2016

Kenaikan Gaji Untuk Kakitangan Awam [Video]


PUTRAJAYA – Kakitangan awam akan menerima gaji permulaan minima sebanyak RM1,200, melebihi paras gaji minimum kebangsaan di bawah langkah rasionalisasi skim perkhidmatan awam.

Skim tersebut yang akan berkuat kuasa pada 1 Julai ini akan memperlihatkan kakitangan Gred 11 akan mendapat gaji permulaan sebanyak RM1,200 berbanding RM837 sebelum ini.

Digabungkan dengan elaun sedia ada, kakitangan gred ini akan menikmati gaji bulanan kira-kira RM1,500.

Gaji minimum kebangsaan adalah RM900 hingga RM1,000 sebulan di Semenanjung Malaysia manakala RM800 hingga RM920 untuk Sabah dan Sarawak.

Pekeliling yang diedarkan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal pada Khamis turut menyatakan Gred 17 dan Gred 27 akan dihentikan dan kakitangan bagi kedua-dua gred itu masing-masing akan dinaikkan ke Gred 19 dan 29.

Gred 17 diberikan kepada pekerja yang memiliki kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) manakala Gred 27 kepada mereka yang mempunyai Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Diploma.

Mereka yang berada di Gred 17 dengan gaji semasa RM935 akan menikmati kadar gaji minimum RM1,350 sebulan selepas dinaikkan ke Gred 19.

Bagi penjawat awam dengan Gred 27 yang menerima gaji permulaan sebanyak RM1,362 akan memperolehi sekurang-kurangnya RM1,493 selepas naik ke Gred 29.

“Langkah rasionalisasi skim perkhidmatan awam bertujuan untuk memastikan perkhidmatan tersebut mempunyai tenaga kerja yang kompeten selain mampu membantu merealisasikan visi dan agenda negara.

“Ini juga bertujuan untuk memperkemas pengurusan skim perkhidmatan tersebut dalam usaha untuk menarik dan mengekalkan bakat terbaik, untuk mewujudkan beberapa fleksibiliti dalam pengurusan perkhidmatan awam dan juga menyediakan peluang dalam kemajuan kerjaya,” kata Mohamad Zabidi dalam pekeliling tersebut.

Skim saraan baharu itu juga memperlihatkan 252 skim perkhidmatan awam sedia ada di naik taraf.

Beliau berkata langkah merasionalkan skim itu akan memberi manfaat bukan sahaja kepada pekerja sedia ada tetapi juga mereka yang akan menyertai perkhidmatan awam pada masa akan datang dengan gred dan gaji permulaan lebih tinggi.

Langkah rasionalisasi itu juga melihat pengiktirafan yang lebih baik terhadap pelatih Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

Di bawah skim baru, mereka yang mempunyai sijil politeknik akan diiktiraf setanding dengan mereka yang mempunyai kelulusan Diploma atau STPM.

Sebelum ini, mereka yang mempunyai sijil politeknik diletakkan pada tahap yang sama dengan lepasan SPM.

“Kami mahu memberi peluang lebih besar kepada mereka yang mempunyai kelayakan dalam bidang kemahiran untuk menyertai perkhidmatan awam dengan memasukkan TVET dalam skim perkhidmatan tertentu,” kata Mohamad Zabidi. – The Star/mStar Online


Friday, 15 April 2016

Gadis Kristian Peluk Islam Di Ceramah Dr Zakir

Gadis Kristian telah memeluk agama Islam ketika mengikuti syarahan Dr Zakir di Padang Astaka di sini, malam tadi.

KEMAMAN – Seorang gadis Kristian telah memeluk agama Islam ketika  mengikuti syarahan penceramah terkenal antarabangsa Dr Zakir Naik di Padang Astaka di sini, malam tadi.

Wu Nina Grace, 19 dari Johor keturunan Filipina adalah seorang penuntut di sebuah kolej tempatan di sini.

Gadis itu mengucap syahadah di hadapan lebih 30,000 hadirin dan kelihatan sedikit sebak. Nina yang ditemui berkata dia mula mengenali Islam sejak berusia 13 tahun.

Nina dengan rela hati bersetuju mengucap dua kalimah syahadah selepas berpuashati mendengar penjelasan Dr Zakir mengenai konsep ketuhanan dan kenabian Muhammad.SAW.

Dr Zakir bertanyakan soalan adakah dia percayakan ALLAH SWT dan Rasul sebelum diakui oleh gadis berkenaan.

Pendakwah itu kemudiannya berkata, sekiranya sudah percaya dengan dua perkara itu mengapa dia tidak mengucap dua kalimah syahadah.

Sejurus kemudian, gadis itu terus mengikut Dr Zakir mengucap dua kalimah syahadah.

Sementara itu, mengenai perjalanan ceramah Dr Zakir selama enam hari di negeri ini, Menteri Besar berkata, beliau bersyukur ia mendapat sambutan luar jangkaan dan telah menawarkan pulau di Tasik Kenyir untuk dijadikan pangkalan Islamic Research Foundation bagi Asia Tenggara.

"Dr Zakir Naik menunjukkan minat yang tinggi dan perbincangan terperinci akan berlangsung nanti" katanya yang dipetik laporan Bernama.

Katanya, kerajaan negeri juga bercadang mengundang Dr Zakir ke negeri ini tahun depan dengan turut disertai penceramah terkenal lain di dunia.

Ahmad Razif ketika ditanya sama ada beliau mempunyai perancangan untuk mengambil Nina sebagai anak angkat, menjawab: "InsyaAllah. Alhamdulillah." - - sinarharian.com.my/

Thursday, 14 April 2016

Gambar dan Video: Ngeri… Mayat Terdampar Di Pantai Dungun


SEKUJUR mayat seorang lelaki yang telah reput ditemui terdampar di pantai Pantai Batu Payung, Seberang Pintasan di sini oleh seorang pemancing kira-kira jam 11 pagi tadi.

Mayat berkenaan ditemui dalam keadaan sudah hancur di bahagian lutut ke perut dan berbau tanpa sebarang pengenalan diri oleh pemancing berkenaan yang kebetulan melalui kawasan tersebut.

Berdasarkan keadaan mayat, mangsa dipercayai telah meninggal sejak seminggu lalu sebelum dihanyutkan ombak dan terdampar di pantai berkenaan.

Ketua Polis Daerah Dungun, Supt Ahmad Zailani Yaacob berkata hasil siasatan awal mendapati mayat berkenaan adalah rakyat tempatan berdasarkan terdapat kesan suntikan BCG pada bahu mangsa.

“Kita percaya mayat tanpa pakaian itu dihanyutkan arus sebelum terdampar di pantai berkenaan. Pihak kami juga terpaksa meminta bantuan Jabatan Pertahan Awam (JPAM) untuk membawa mayat tersebut ke darat menggunakan bot,” katanya seperti yang dipetik Harian Metro.

Menurutnya mayat berkenaan dihantar ke Hospital Dungun untuk dibedah siasat. – mynewshub.cc/


Wednesday, 13 April 2016

Majlis Perkahwinan Diserang Harimau 4 Pengsan Termasuk Pengantin Lelaki


Sebuah majis pengantin huru hara apabila majlis tersebut di hadiri oleh seekor harimau yang mengamuk Yang datang dari kawasan berhampiran mencari anaknya yang hilang.

Kejadian yang berlaku di lahat datu kira kira jam 11 pagi dini hari,harimau yang datang di sedari oleh salah seorang penduduk dan memberitahunya kepada warga yang hadir di majlis tersebut.

Akibat dari pada panik keseluruhan yang hadir dalam majlis tersebut cuba menyelamatkan diri.tidak lama selepas itu beberapa orang cuba mengawal keadaan dan berjaya menangkap harimau tersebut.

Difahamkan dalam kejadian 4 orang perngsan dan tiada kecideraan serius berlaku,manakala majlis terpaksa dibatalkan karena Salah seorang yang pengsan adalah pengantin lelaki. - eberita.org/


11 Tip Ajar Anak Rajin Solat


Mendidik kanak-kanak  melakukan ibadat solat hukumnya adalah wajib. Kewajipan mendidik kanak-kanak melakukan ibadat solat ketika mereka mencapai usia tujuh tahun dan dibolehkan memukul dengan pukulan yang tidak mencederakan mereka jika enggan mengerjakan solat apabila mencapai usia sepuluh tahun. Ini ada disebutkan dalam sebuah hadis Nabi SAW yang bermaksud:-

"Perintahkanlah anak-anak kamu mengerjakan sembahyang sewaktu mereka itu berumur tujuh tahun dan pukullah mereka kerana meninggalkannya sewaktu mereka itu berumur sepuluh tahun. (Hadis riwayat Abu Daud)

Semoga panduan berikut boleh dipraktiskan oleh semua ibu bapa dalam mendidik anak-anak tentang kewajipan mengerjakan solat.

1.Biasakan anak mendengar laungan azan

Sejak usia bayi lagi biasakan anak mendengar laungan azan yang berkumandang di masjid berhampiran rumah atau dari televisyen. Berhenti bercakap atau melakukan aktiviti lain sebaliknya beri tumpuan kepada suara azan. Secara tidak langsung anda menunjukkan contoh kepada si kecil bahawa mereka mesti menghormati laungan azan.

2.Ajar anak doa selepas azan

Anak kecil sangat cepat mengingati apa yang diajar setiap hari. Mereka berupaya untuk menghafal doa yang anda bacakan setiap hari. Oleh itu rajinlah membaca doa selepas azan setiap kali selesai mendengar laungan azan. Anda pasti terkejut apabila satu hari kelak anak boleh lancar membaca doa tersebut yang hanya didengari daripada anda setiap hari.

3.Didik solat sejak bayi

Siapa kata bayi tidak boleh diajak solat bersama. Anda boleh mula mengajak si comel bersolat bersama keluarga. Bawa sekali anak dalam solat dengan cara mendukungnya. Ia boleh dilakukan sama ada oleh ibu atau ayah. Rutin ini akan mendedahkan anak tentang waktu bersolat dan dia pasti akan bersedia untuk solat bersama. Jika dia sudah semakin besar, letakkan anak di sebelah anda ketika bersolat. Percayalah, anak tidak akan mengganggu anda sebaliknya akan mengikut pergerakan anda bersolat.

4.Ajar anak mengambil wuduk

Jika si kecil suka mengikut anda mengambil wuduk, biarkan sahaja. Jangan marahkannya sebaliknya anggap ia sebagai satu proses pembelajaran anak. Bahkan lebih berkesan sekiranya anda boleh menampal cara-cara mengambil wuduk secara bergambar di pintu bilik air supaya ia memudahkan anak mengikutnya.

5.Dengarkan anak bacaan dalam solat

Biasakan anak mendengar bacaaan dalam solat anda dengan membacanya kuat sedikit ketika bersolat. Anda juga boleh membacanya ketika di luar waktu solat. Jika selalu mendengarnya tidak mustahil anak anda cepat menghafalnya.

6.Solat berjemaah

Amalan solat berjemaah dengan keluarga diakui petua berkesan mengukuhkan ikatan kekeluargaan. Oleh itu ajak anak solat bersama  jika boleh pada setiap waktu solat. Kebiasaan ini akan menjadi benteng tarbiah terkuat dalam diri anak akan keutamaan mengerjakan solat berjemaah terutama bagi anak lelaki. 

7.Ajar anak berwirid

Biasakan anak anda mendengar bacaan wirid, tasbih dan tahmid selepas bersolat. Awalnya dia mungkin tidak memberikan sebarang respon tetapi lama kelamaan anak akan seronok berwirid sama.

8.Berdoa untuk anak

Berdoalah untuk kebaikan anak anda. Sebut namanya dan mohonlah doa supaya dia menjadi anak yang baik, anak yang soleh/solehah, rajin belajar, rajin menolong ibu dan ayah. Tentu sahaja mereka akan berasa gembira kerana ayah menyebut namanya dalam doa tersebut. 

9.Berikan anak pujian 

Kanak-kanak memang suka dipuji. Oleh itu jangan lupa memuji kelakuan baik mereka yang rajin bersolat dan dapat mengerjakan solat dengan betul tanpa bermain. Ia dapat menyuntik semangat mereka untuk terus bersolat dengan tertib.

10.Tegur kesilapan solat anak

Sekiranya anak melakukan kesilapan ketika bersolat, tegur kesilapan tersebut selepas selesai berdoa. Teguran biarlah secara berhemah iaitu meminta anak jangan mengulangi kesilapan tersebut sambil diiringi dengan sedikit pujian. 

11.Amalkan doa surah Ibrahim ayat 40 

Amalkan doa dari surah Ibrahim ayat 40 setiap kali selepas solat dan sebelum tidur.  Minta daripada Allah agar menjadikan diri kita dan anak-anak kita sebagai hamba yang sentiasa mengerjakan solat. 

Maksud ayat 40 surah Ibrahim:  Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikian juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. - majalahpama.my/