KUALA LUMPUR: Petroliam Nasional Bhd (Petronas)
bersedia untuk menghadapi tempoh mencabar berikutan keuntungan sebelum
cukainya bagi suku kedua (Q2) tahun ini susut sebanyak 47 peratus dengan
tanda-tanda pemulihan harga minyak terus suram dalam masa terdekat ini.
Bagi Q2 berakhir 30 Jun, 2015, ia mencatatkan keuntungan sebelum
cukai sebanyak RM14.61 bilion berbanding RM28.06 bilion bagi tempoh
sama, tahun lepas.
Namun, amalan pengurusan tunai Petronas secara berhemah ternyata
menyediakan rizab kewangan yang mencukupi bagi membolehkan syarikat itu
menempuh impak penurunan harga minyak mentah.
"Petronas bagaimanapun perlu bersiap sedia untuk berdepan lebih
banyak cabaran pada masa depan selagi penurunan harga minyak terus
berlaku," kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Datuk Wan
Zulkiflee Wan Ariffin, pada satu sidang media di sini, Jumaat.
Pendapatan Petronas turut susut sebanyak 28 peratus kepada RM61.30
bilion daripada RM85.36 billon berikutan harga purata sebenar semua
produknya yang ternyata lebih rendah.
Malah penyusutan pendapatannya itu seiring aliran penurunan ketara
harga penanda aras utama iaitu minyak mentah Brent dan Japan Crude
Cocktail (JCC) beserta impak jumlah jualan minyak mentah dan gas cecair
asli (LNG) yang berkurangan.
Tempoh purata tiga bulan itu turut mencatatkan penurunan harga LNG
sebanyak 14 peratus yang mana purata harganya pada Q2 adalah AS$57
setong berbanding AS$66 setong pada suku sebelumnya.
"Secara keseluruhannya, ia adalah tempoh-tempoh yang sukar," katanya.
Mengulas lanjut, Wan Zulkiflee berkata, penyusutan keuntungan dan
pendapatan itu mampu ditampung oleh kecekapan operasi yang lebih baik,
peningkatan harga purata Brent sebanyak 15 peratus kepada US$62 setong
pada Q2 berbanding tempoh sebelumnya dan margin penapisan yang lebih
kukuh.
Pada suku pertama (Q1), purata harganya adalah AS$54 setong.
Kumpulan itu bagaimanapun berjaya mencatat beberapa pencapaian
operasi dan projek pada Q2 termasuk pengeluaran hidrokarbon pertama
daripada tiga telaga (dua di Malaysia dan satu di Bukit Tua, Indonesia),
kemudahan LNG Terapung Petronas - 2 (Korea Selatan) pada Jun dan Projek
Bersepadu LNG PNW di Kanada.
Bagi segmen perniagaan hilirannya, Wan Zulkiflee berkata Petronas
telah memulakan pembinaan Kompleks Bersepadu Pengerang pada suku sebelum
ini.
Menurutnya, Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan dan Petrokimia
berkenaan dijadual siap menjelang Q1 2019 dengan operasi komersialnya
akan dimulakan pada Q2 2019 seperti dirancang.
Operasi kilang penapis minyak dan petrokimia tempatan Petronas juga
terus meraih tahap cemerlang dengan aspek Kecekapan Peralatan Secara
Keseluruhan masing-masing pada kadar 94.1 peratus dan 89.5 peratus.
Mengulas prospek industri itu, Wan Zulkiflee mengakui Petronas tidak
melihat sebarang pemulihan daripada penurunan harga minyak mentah pada
masa terdekat ini.
Sehubungan itu, beliau menggesa industri minyak dan gas Malaysia
untuk saling bekerjasama bagi berdepan persekitaran harga minyak yang
rendah.
"Ada banyak peluang di pasaran bagi tujuan pengukuhan bersama yang
pada akhirnya meningkatkan kecekapan kos serta persaingan dalam indstri
ini," katanya.
Untung sebelum cukai Petronas bagi tempoh enam bulan pertama 2015
susut kepada RM31.56 bilion berbanding RM55.28 bilion bagi tempoh sama,
setahun lepas.
Pendapatannya turut merosot kepada RM127.50 bilion berbanding RM169.41 bilion.-- Bernama
sumber : mstar.com.my