Saturday, 12 April 2014

MH370 Dirampas Bukannya Terhempas Di Lautan Hindi?

Berita Terkini Pesawat MH370 Dirampas Bukannya Terhempas Di Lautan Hindi : Berdasarkan sumber perisikan tertinggi Rusia, mereka mendakwa pesawat MH370 dirampas bukannya kapal terbang MH370 terhempas di Lautan Hindi (SEPERTI DIDAKWA DI SINI).

Malah bertambah teruk lagi apabila sumber perisikan tertinggi Rusia mengatakan..pesawat MH370 telah dilarikan ke Afghanistan berhampiran sempadan tertinggi. Laporan Badan Perisikan Rusia : Berita Terkini Pesawat MH370 Dirampas?

Sumber laporan risikan tertinggi Rusia (badan perisikan Rusia) yang dilaporkan oleh portal berita The Sun mengatakan :
  1. Semua penumpang pesawat MH370 masih hidup
  2. Penumpang MH370 telah dibahagikan kepada 7 kumpulan dan hidup dalam pondok tanah dengan hampir tiada makanan
  3. 20 penumpang Asia yang merupakan ” kumpulan pakar” telah diseludup ke kubu di Pakistan.
  4. Laporan rasmi akan menyusul…
  5. Kehilangan MH370 sejak 8 Mac bulan lalu adalah misteri terbesar dunia
MH370 Hijacked Malaysia
Sumber : The Daily Star

Berapa ramai di sini yang masih lagi di sini yang percaya kapal terbang MH370 dirampas oleh satu konspirasi terbesar dalam sejarah penerbangan dunia? Dan berapa ramai yang senada dengan Perdana Menteri Malaysia, Perdana Australia dan lain-lain mengatakan pesawat MH370 telah terhempas di lautan Hindi? Mengapa?

dipetik dari: http://www.beritasemasa.com.my/berita-terkini-pesawat-mh370-dirampas

Friday, 11 April 2014

Pelaburan RM1.5 bilion

NAJIB mencuba wangian ketika Majlis Pecah Tanah Kompleks Aroma Bersepadu BASF Petronas Chemicals di Kawasan Perindustrian Gebeng, semalam. Turut kelihatan, Shamsul (kanan).

Kuantan: Kawasan Perindustrian Gebeng bakal muncul sebagai pusat tumpuan utama pengeluaran bahan petrokimia bernilai tinggi di rantau Asia Pasifik apabila Kompleks Bahan Aroma Bersepadu BASF PETRONAS Chemicals beroperasi sepenuhnya pada 2016.

Dengan nilai pelaburan sebanyak RM1.5 bilion, projek berkenaan adalah satu lagi pencapaian penting PETRONAS dalam memajukan industri minyak dan gas Malaysia khususnya di Pahang.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, pembinaan kompleks bersepadu dijangka siap dalam tempoh dua tahun itu adalah perkongsian strategik antara BASF iaitu syarikat kimia utama dunia dari Jerman dan PETRONAS yang mampu menarik lebih banyak pelabur, industri sokongan berkaitan selain mewujudkan banyak peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan dan memacu pertumbuhan ekonomi negara.

Beliau berkata, mereka yang terpilih berpeluang menceburi industri petrokimia berteknologi tinggi yang akan meningkatkan tahap kemahiran dan kepakaran teknikal mereka.

“Latihan kemahiran serta pemindahan pengetahuan dan kepakaran teknologi yang diterima akan menjadi pemangkin kepada pembangunan tenaga kerja berkemahiran tinggi negara khususnya dalam bidang minyak, gas dan petrokimia,” katanya ketika berucap dalam Majlis Pecah Tanah Kompleks Aroma Bersepadu BASF PETRONAS Chemicals di Kawasan Perindustrian Gebeng, semalam.

Selain itu, pembinaan kompleks berkenaan akan mewujudkan 120 peluang pekerjaan bagi tenaga pakar teknikal tempatan dan 1,500 peluang pekerjaan lain.

Turut hadir Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS Tan Sri Shamsul Azhar Abbas, Pengerusi BASF PETRONAS Chemicals Sdn Bhd Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin dan Naib Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah BASF SE Asia Pasifik Dr Martin Brudermuller.

Najib berkata, beliau berharap aktiviti pembangunan perindustrian di kompleks berkenaan akan mendorong lebih ramai anak watan Pahang khususnya dan Malaysia amnya untuk menceburi bidang minyak, gas dan petrokimia.

“Negara kita amat memerlukan tenaga kerja tempatan berkemahiran tinggi untuk berkhidmat di dalam industri ini, yang juga adalah penyumbang tertinggi kepada pendapatan negara,” katanya.

Katanya, kerjasama penuh sektor korporat diterajui PETRONAS melalui pembangunan industri petrokimia yang terancang di Malaysia bakal menjana pelaburan swasta positif serta mewujudkan pelbagai peluang perniagaan dan pekerjaan di kalangan penduduk tempatan.

“Saya yakin projek dengan kecanggihan teknologi dan inovasi Jerman di BASF PETRONAS Chemicals ini mampu menghasilkan kimia khusus dalam bentuk bahan beraroma yang memenuhi strategi kita untuk menjadi industri berasaskan pengetahuan dan negara berpendapatan tinggi,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, namun kejayaan PETRONAS dan negara amat bergantung kepada sokongan rakyat diberikan terhadap projek seperti Kompleks Bahan Aroma Bersepadu di BASF PETRONAS Chemicals serta projek PETRONAS lain yang bertujuan memacu pertumbuhan ekonomi Malaysia seperti Loji Penapisan dan Pembangunan Petrokimia Bersepadu (RAPID) di Pengerang, Johor dan Ammonia Urea Urea Sabah (SAMUR) di Sipitang, Sabah.

“Saya berharap anda akan terus menyokong PETRONAS dalam usahanya mendorong kepesatan pembangunan ekonomi Malaysia ke arah negara berpendapatan tinggi,” katanya.

Sementara itu, Najib berkata, ekonomi negara bukan saja berkembang, malah mengatasi pertumbuhan global dan Bank Dunia juga memaklumkan purata pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi tempoh lima tahun lalu lebih tinggi berbanding Amerika Syarikat dan Jepun.

dipetik dari: http://www.hmetro.com.my/articles/PelaburanRM1_5bilion/Article

RM250j dana biaya kemudahan untuk PKS

OCBC Al-Amin Bank Berhad menyediakan pembiayaan sebanyak RM250 juta kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di bawah kemudahan pembiayaan borong (WG-i).

Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Syed Abdull Aziz Syed Kechik berkata, kemudahan WG-i itu membabitkan jumlah awal sebanyak RM250 juta daripada portfolio pembiayaan PKS tidak bercagar sedia ada OCBC Al-Amin Bank.

“WG-i disusun sejajar dengan kecenderungan PKS yang kian meningkat untuk mendapat pembiayaan bertempoh tidak bercagar bagi memenuhi keperluan pembiayaan jangka pendek hingga pertengahan.

“Kemudahan ini disediakan bagi penambahbaikan modal dan pelaburan modal seperti mesin dan bahan mentah serta untuk menyokong pertumbuhan perniagaan di mana modal kerja tambahan diperlukan,” katanya pada sidang media Majlis Menandatangani Perjanjian Jaminan WG-i bersama Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC), di Kuala Lumpur, semalam.

Perjanjian tersebut menyaksikan risiko yang wujud dalam pembiayaan perniagaan dikongsi bersama CGC dan OCBC Al-Amin bagi tempoh jaminan lima tahun.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif CGC, Datuk Wan Azhar Wan Ahmad berkata, pihaknya menyasarkan untuk mewujudkan tambahan dana WG-i sehingga RM400 juta tahun ini.

“Bagi memastikan sasaran ini tercapai, CGC bakal mengadakan perbincangan bersama beberapa institusi kewangan (konvensional atau islamik bank) bagi tujuan itu.

“Kami yakin akan lebih banyak bank menerokai pembiayaan tidak bercagar memandangkan ia mampu mengurangkan risiko dihadapi institusi kewangan dan membebaskan modal untuk meningkatkan kapasiti pembiayaan PKS sekali gus mengembangkan trend positif ini dalam industri,”katanya.

Menurutnya, pihak bank harus mempertimbangkan keperluan menyediakan pilihan pembiayaan inovatif kerana ia membolehkan mereka untuk terus memberikan pembiayaan kepada PKS bersandarkan jaminan CGC.

dipetik dari: http://www.sinarharian.com.my/

Thursday, 10 April 2014

'Saya terdesak, tuan'

Tertuduh tenang ketika diiring anggota polis untuk dibawa keluar dari mahkamah selepas hukuman dijatuhkan, semalam.

AYER KEROH - “Saya terdesak tuan, saya dah minta kerja di kilang tetapi mereka tidak mahu ambil kerana faktor usia," kata Mohd Zahar Basiron, 43, yang dijatuhi hukuman penjara 3 tahun 6 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Beliau menerima hukuman berkenaan selepas mengaku bersalah atas tuduhan cuba merompak sebuah kedai runcit, bulan lalu.

Hukuman diputuskan Majistret Mohd Firdaus Saleh terhadap pertuduhan yang disabitkan ke atasnya.

Berdasarkan pertuduhan, Mohd Zahar didakwa cuba melakukan rompakan ke atas kedai milik Lim Terk Loong, 29, di kedai runcit Star Biz Mini Market di Jalan Rambai Jaya 2, Taman Rambai Jaya, kira-kira 8.30 malam pada 6 Mac lalu.

Dia didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 7 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam ketika rayuan memohon supaya dikenakan hukuman ringan terhadapnya yang tidak mempunyai pekerjaan dan perlu menyara dua anak, selain isteri dan ibu.

"Sewa rumah pula sudah empat bulan tertunggak. Isteri saya kena tanggung dua anak, salah seorang kurang upaya (OKU) dan ibu saya berusia 70 tahun. Saya benar-benar insaf dan berjanji tidak akan ulang kesalahan ini,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Norshazwani Ishak yang mengendalikan kes meminta tertuduh dikenakan hukuman berat sebagai pengajaran dan tidak mengulangi kesalahan sama.

“Walaupun disebabkan desakan hidup, tindakan dilakukan tertuduh itu salah. Tambahan pula tertuduh menggunakan parang yang bukan hanya mengundang bahaya kepada pemilik kedai tetapi juga pelanggannya,” katanya.

Selepas meneliti fakta kes, mendengar rayuan tertuduh dan faktor pemberat oleh pihak pendakwaan, Mohd Firdaus kemudian menjatuhkan hukuman dipenjara tiga tahun enam bulan dari tarikh ditangkap pada 28 Mac lalu.

Beliau turut memerintahkan tertuduh membayar denda RM2,000 atau penjara dua bulan jika gagal membayar denda tersebut.

dipetik dari:- http://www.sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/saya-terdesak-tuan-1.269001

SME Bank luluskan pembiayaan pinjaman RM2.7 bilion

Skim Pembangunan PKS antara pembiayaan ditawarkan SME Bank untuk PKS.

SEMENTERA itu, bagi SME Bank Malaysia Bhd (SME Bank), pada tahun lalu sahaja mereka menerima 2,781 permohonan pinjaman pembiayaan daripada syarikat PKS di seluruh negara berbanding tahun sebelumnya sebanyak 2,630.

Pengarah Urusan Kumpulan SME Bank Datuk Mohd Radzif Mohd Yunus ketika ditemui berkata, daripada jumlah permohonan pada 2013, 2,621 diluluskan dengan pembiayaan RM2.7 bilion.

“Portfolio pinjaman SME Bank meningkat kepada RM4.9 bilion sehingga Disember 2013 berbanding RM4.1 bilion bagi 2012.

“Kadar permohonan pinjaman ditolak bagi 2013 hanya 5.8 peratus berbanding lapan peratus pada 2012. Ini menunjukkan jumlah usahawan yang menerima bantuan pinjaman daripada SME Bank meningkat dari tahun ke tahun,” katanya.

Menurutnya, sebagai contoh, skim pembangunan PKS (SDS) dengan peruntukan RM1 bilion melebihi jangkaan dengan jumlah pinjaman diluluskan di bawah skim itu mencapai RM1.6 bilion.

Ada sebab pinjaman ditolak

Ditanya mengenai penyebab utama permohonan pinjaman pembiayaan selalu ditolak, Mohd Radzif berkata, dalam setiap proses penilaian pinjaman, perkara utama yang dinilai adalah tahap daya maju sesuatu projek yang akan menjana aliran tunai bagi membiayai operasi projek serta syarikat terbabit.

“Aliran tunai adalah perkara pokok yang mesti diambil kira dalam permohonan pinjaman. Kekurangan aliran tunai untuk membiayai operasi projek serta syarikat di samping lebihan untuk membayar balik tanggungan pinjaman antara sebab pinjaman mungkin ditolak.

“Di samping itu, pihak bank juga dalam situasi tertentu memerlukan komitmen daripada usahawan atau pemilik syarikat untuk sama-sama berkongsi risiko perniagaan dengan sumbangan modal untuk membiayai sesuatu projek,” katanya.

Beliau turut menambah tanpa komitmen yang berpatutan, penilaian pinjaman mungkin menjadi lemah dan juga menyebabkan permohonan pinjaman ditolak.

“Selain itu, permohonan yang diterima daripada syarikat yang sedang atau telah diambil tindakan undangundang oleh institusi kewangan lain atau dikategorikan sebagai pinjaman tidak berbayar (NPL) dengan institusi lain juga akan ditolak.

“Bagi isu borang permohonan tidak lengkap atau maklumat serta dokumen tidak mencukupi, kebiasaannya kami akan tangani pada peringkat awal dengan pegawai-pegawai bank kami akan membimbing pemohon dalam memastikan semua maklumat diperlukan dapat disediakan sebelum penilaian sepenuhnya dilaksanakan,” katanya.

Fahami risiko

Bagi membantu dan memudahkan usahawan PKS yang memohon untuk pinjaman pembiayaan daripada SME Bank, Mohd Radzif berkongsi beberapa garis panduan dan nasihat. "Untuk memastikan proses pinjaman berjalan lancar dan dipercepatkan, usahawan harus mengambil kira beberapa perkara seperti memastikan borong permohonan diisi dengan lengkap dan telus dalam memberikan maklumat yang diminta oleh pihak bank.

“Maklumat tambahan dan dokumen sokongan yang lengkap serta secukupnya harus disediakan agar proses penilaian dapat dijalankan dengan lancar selain rancangan perniagaan yang dikemukakan perlulah realistik dan berdaya maju,” katanya.

Beliau turut menambah pemohon juga perlu memahami dan jelas berkenaan model serta risiko perniagaan yang bakal dihadapi serta bersedia dengan langkah-langkah sesuai untuk menguruskan risiko tersebut.

dipetik dari:-http://www.sinarharian.com.my/

Wednesday, 9 April 2014

MH370: Ocean Shield kesan dua lagi isyarat

PERTH, Australia - Kapal Pertahanan Australia Ocean Shield yang terlibat dalam operasi pencarian pesawat Penerbangan Malaysia MH370 berjaya mengesan dua lagi isyarat denyut, kata Ketua Koordinasi Agensi Bersama, Ketua Marsyal Udara (B) Angus Houston hari ini.

“Isyarat denyut itu di kesan lewat petang dan malam tadi,” kata Houston. - AFP

Artikel dipetik: http://www.kosmo.com.my/

Tuesday, 8 April 2014

Alatan Ghaib

PENGERUSI Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Datuk Nur Jazlan Mohamed (kiri) dan Ambrin menunjukkan Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2013, semalam.

Kuala Lumpur: Laporan Ketua Audit Negara 2013 Siri 1 mendedahkan sebanyak 482 peralatan bernilai RM2.58 juta di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang, dan Hospital Tunku Fauziah (HTF) Kangar, dikategorikan sebagai ‘aset hantu’ atau peralatan tiada di lokasi (V4L).

Menerusi pembentangan laporan itu di Dewan Rakyat semalam, sehingga 31 Ogos 2013 sejumlah RM9,346 yuran masih dibayar bagi 26 peralatan V4L di HTAR sementara baki 419 peralatan lagi tidak dapat disahkan status yurannya, sebaliknya yuran untuk peralatan berstatus sama di HTF sudah dihentikan.

Semakan lanjut terhadap 26 peralatan V4L berkenaan mendapati Notis Untuk Mula/Tamat Perkhidmatan (SNF) sudah dikeluarkan bagi 12 peralatan, manakala 14 lagi tidak dapat disahkan kerana tiada salinan SNF dikemukakan untuk semakan.

Bagaimanapun, bayaran yuran bagi peralatan itu masih diteruskan dan jumlah lebih dibayar bagi peralatan berkenaan untuk tempoh antara lapan hingga 38 bulan ialah RM4,497.

Berdasarkan maklum balas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang disertakan dalam laporan audit itu, 31 aset dijumpai semula di HTF, manakala di HTAR sebanyak 218 peralatan dikenal pasti tiada di lokasi dan laporan polis dibuat, 218 peralatan dilupuskan, tiga peralatan dipindah keluar dan enam peralatan dijumpai dan masih digunakan.

dipetik dari:-http://www.hmetro.com.my/articles/AlatanGhaib//Article?BeritaUtama

Monday, 7 April 2014

Hai-O Marketing Penipu & SCAM?

Hai-O Marketing Penipu & SCAM? Rahsia Jana Untung Lebih RM1 Bilion Untuk 3 Tahun Berturut-turut : Apabila keadaan perkembangan ekonomi yang dikhabarkan di media arus perdana terus berkembang pesat tetapi realitinya masih belum benar-benar dirasai “impak” oleh sebahagian besar rakyat Malaysia ditambah dek lonjakan kenaikan kos sara hidup di Malaysia, ramai yang sudah mula tercari-cari peluang pendapatan tambahan. Cumanya….

Cumanya nasihat Berita Semasa. Berhatilah-hatilah jangan menjadi mangsa “mereka”. Doktor pakar pun ada pernah nasihatkannya secara ringkat tetapi cukup padat (DI SINI)

Baru-baru ini Berita Semasa ada membuat semakan laporan berita terhadap satu perniagaan & bisnes MLM yang telah membuatkan ramai rakyat Malaysia termasuk kakitangan kerajaan, pelajar IPTA “terjerat” sehingga menjadi mangsa dan pelanggan setia Bank Rakyat (Bank Pilihan Anda, Saya Mesti Pilih).

Prestasi Bisnes MLM Syarikat Hai-O Marketing Terkini?

  • Hai-O Enterprise Bhd sebagai syarikat terbaik Asia Pasifik oleh Forbes Asia bagi kategori jualan di bawah AS$1 bilion (RM3.29 bilion) selama tiga tahun berturut-turut
  • Dikatakan anak syarikatnya, Hai-O Marketing Sdn Bhd terus mencatat pelbagai kejayaan hasil gabungan produk yang bagus serta corak pemasaran yang berkesan, menawarkan peluang perniagaan terbuka kepada semua lapisan masyarakat dengan risiko dan kos permulaan rendah serta pelan pemasaran adil, di samping pemberian insentif menarik kepada rakan kongsi yang menjadi pendorong untuk mereka bekerja lebih gigih
  • Walaupun Hai-O Marketing diasaskan oleh usahawan berbangsa Cina & adalah syarikat Cina, penyumbang utama kejayaan syarikat itu ialah pembabitan usahawan Bumiputera yang mewakili 90 peratus daripada keseluruhan rangkaian pengedarnya
  • Antara produk yang dipasarkan termasuk penapis air, pakaian dalam wanita, baja semburan, makanan dan minuman kesihatan, barangan kegunaan harian serta pelbagai produk lain
  • Hai-O Marketing yang ditubuhkan pada tahun 1992 adalah anak syarikat Kumpulan Hai-O yang tersenarai di Papan Utama Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) sejak 1996
  • Ramai yang mempunyai jawatan tinggi seperti doktor dan pensyarah sanggup meletak jawatan dan menjadi usahawan MLM Hai-O Marketing
Sumber : Berita Harian Online
Hebat bukan? Hanya dengan menjual beberapa produk seperti penapis air dan korset mampu menjana jualan sehingga lebih RM1 Bilion selama 3 tahun berturut-turut.

Rahsia Kejayaan Syarikat Hai-O Marketing + Teamwork Jutawan Hai-O, Upline & Upline “Hebat”!

Hai-O
Dan Berita Semasa tentunya percaya syarikat Hai-O ini berjaya untung berlipat kali ganda. Apa rahsianya?
  • Malam-malam orang-orang atas Hai-O Marketing akan mencari mangsa dan prospek mengajak keluar
  • Sekali prospek datang seorang di kedai mamak, tukang racun sampai 10 orang. Semua naik kereta mewah aka kereta syarikat
  • Akhirnya dek kerana prospek “lemah & tiada ilmu serta pengalaman” selepas diserang bertalu-talu oleh kalangan ahli Hai-O Marketing, esoknya prospek buat loan
  • Keuntungan yang melampau dek kerana prospek mesti beli 10 biji sekaligus dari HQ Hai-O dengan harga RM21,000 contohnya
  • Hakikatnya harga produk di`mark-up’ sehingga 4 bahkan 8 kali ganda dari harga yang sepatutnya. Penapis air made in Taiwan berharga RM2,100? Jauh lebih baik lagi Philips Water Purifier dengan harga RM700++ tidak silap Berita Semasa
  • Sedangkan harga sebenar penapis air Hai-O adalah sekitar……….Ehemmmmm….
  • Tetapi terpaksa jual pada harga yang tinggi semata-mata mahu menampung pembayaran komisen kepada agen-agennya
Andaikata anda berjaya jual 10 biji penapis air sekaligus? Berapa keuntungan yang anda perolehi?
  • Hai-O Marketing akan bayar RM3,000 kepada anda bonus
  • Anda akan perolehi semula modal yang telah anda laburkan untuk membeli 10 penapis air tersebut
  • Modal RM21,000 hanya dapat RM3,000? Itupun anda tidak dapat mengawal produk tersebut kerana ianya bukan milik anda sendiri, anda hanya agen sahaja.
  • Oleh sebab itulah proses yang anda perlu lakukan adalah berulang-ulang seperti di atas ini
  • Jual goreng pisang lebih senang dapat pelanggan dan hati lebih “tenang” dan “bahagia”
Bio Aura Hai-OAnda berjaya dapat RM3,000 untuk setiap 10 penapis air yang terjual, Hai-O Marketing berapa pula keuntungan mereka jikalau tidak……

Mustahil atau tidak untuk mereka menjana RM1 bilion setahun? Tidak….mereka telah buktikan. Terima kasih kepada kalangan downline Hai-O Marketing yang terus “berkerja keras” untuk kalangan mereka yang di atas sana. Tetapi jangan dilupa RM3,000 masih belum dikira sebagai keuntungan bersih. Anda perlu membayar kadar faedah pinjaman Bank Rakyat yang telah anda sanggup lakukan semata-mata mahu “menyertai” keluarga besar Hai-O. Kos perjalanan anda, kos makan santai andai di restoran dan kedai. Jadi berapa yang tinggal untuk anda?
  1. Orang-orang atas DCM bagai dan pelbagai pangkat lain senyum melihatkan orang bawah (downline) untuk menanggung makan pakai mereka, cara hidup mereka untuk terus kaya
  2. Yang downline pula yang baru nak berjinak-jinak untuk berniaga tetapi mahu cepat kaya terus teperangkap dan menanggung “personal loan”. Sekali lagi “Bank Rakyat” terus tersenyum lebar….
  3. Hebat….

Nasihat Berita Semasa Jangan Mula Berniaga Bisnes MLM Hai-O Marketing Dengan Pinjaman!

Teringat kata-kata Mark Cuban (Pernah menjual Broadcast.com kepada Yahoo dengan nilai US$5.9 Bilion pada 1999). Apa kata beliau?
“Only Morons start a business on a loan”
Kafirkan Mark Cuban ini, Berita Semasa? Ya…kenapa? Kasar bahasanya? Tetapi betul tidak apa yang beliau cakapkan itu? Dalam bahasa lembutnya, jikalau anda baru nak bermula buat bisnes, syaratnya jangan sesekali buat pinjaman.

Kesimpulan bagi Berita Semasa sendiri produk Hai-O Marketing ini front loading MLM. Front loading MLM ini money game sahaja. Barang itu hanya dijadikan sebagai wayang sahaja. Dan satu lagi Berita Semasa tidak mengatakan bisnes MLM ini tidak bagus. Bagus cumanya kadang-kadang terdapat ramai sekarang ini yang sudah menjadi ahli terlalu taksub nak naik dan berjaya cepat :
  • Cara mendekati kawan-kawan, saudara-mara sehingga ramai yang terperangkap
  • Produk yang dijual bukan tidak elok, kebanyakkannya elok cuma harga itu tidak masuk akal, harga asal murah tetapi dijual berlipat ganda untuk menampung sistem-sistem bonus…..
P/S : Tiada jalan mudah untuk meniaga. Tiada istilah berjaya jika ingin cepat kaya hanya dengan beli pangkat dan “hanya menjerat orang lain“. Berniaga dengan cara yang betul. Tiru seperti RAMLY BURGER, boleh berjaya dan kaya-raya tanpa MLM.

PP/S : Banyak cara lain boleh jadi kaya raya selain MLM Hai-O Marketing contohnya dan (JUGA BISNES MLM YANG INI). Yang pentingnya carilah seberapa banyak ilmu dan pengalaman.

PPP/S : Pernah lihat sekarang ini, lambakan penapis air BioAura dijual pada harga RM500, RM600 di Internet. Sebab apa kalau bukan kerana…..?

sumber dipetik dari:-http://www.beritasemasa.com.my/hai-o-marketing-penipu-scam

Sunday, 6 April 2014

MH370: Harapan untuk hidup masih ada

KUALA LUMPUR - Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menegaskan kebarangkalian bagi penumpang untuk terus hidup masih ada.

Menurutnya selagi pesawat MH370 tidak ditemui, masyarakat dunia harus terus berharap bahawa kemungkinan penumpang dan krew pesawat tersebut untuk hidup masih ada.

"Ini adalah harapan buat keluarga penumpang dan pesawat tersebut, walau apa jua keadaan kita perlu terus mengandaikan bahawa mereka masih hidup, walau pun kemungkinan tersebut tipis," katanya.

Justeru, beliau merayu kepada orang ramai supaya tidak menyebarkan sebarang andaian berhubung dengan kenyataan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengatakan pesawat MH370 hilang di Lautan Hindi.

"Perdana Menteri telah mengeluarkan kenyataan bahawa MH370 telah hilang di Lautan Hindi, bukannya terhempas di Lautan Hindi.

"Saya merayu kepada orang ramai supaya jangan cepat mempercayai sebarang khabar angin berhubung dengan kenyataan beliau," katanya lagi.

sumber dipetik dari:-http://www.sinarharian.com.my/

Genap 30 hari hilang tanpa jejak

DUA anggota Tentera Udara Diraja New Zealand melihat kawasan
pencarian dari dalam kokpit pesawat P3 Orion ketika melakukan operasi mencari pesawat MH370 di Lautan Hindi semalam.

KUALA LUMPUR - Hari ini genap 30 hari pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 ghaib tanpa jejak sejak ia hilang daripada radar pada 8 Mac lalu walaupun sebanyak 26 negara termasuk lima kuasa besar dunia mencari pesawat tersebut di Lautan Hindi.

Tragedi yang dianggarkan menelan belanja sebanyak RM161 juta dalam usaha mencari dan menyelamat (SAR) itu dikatakan kejadian paling misteri pernah berlaku dalam sejarah penerbangan antarabangsa.

Pengerusi Persatuan Penerbangan Malaysia, Kapten Ab. Manan Mansor berkata, walaupun pelbagai kelengkapan canggih digunakan oleh pasukan SAR, namun sehingga kini tiada sebarang petunjuk dan serpihan dijumpai.

"Saya sangat setuju jika peristiwa kehilangan pesawat MH370 ini adalah kejadian yang paling misteri pernah berlaku di dalam sejarah penerbangan dunia.

Artikel dipetik dari:- http://www.kosmo.com.my/kosmo/