Skim Pembangunan PKS antara pembiayaan ditawarkan SME Bank untuk PKS.
SEMENTERA itu, bagi SME Bank Malaysia Bhd (SME Bank), pada tahun lalu sahaja mereka menerima 2,781 permohonan pinjaman pembiayaan daripada syarikat PKS di seluruh negara berbanding tahun sebelumnya sebanyak 2,630.
Pengarah Urusan Kumpulan SME Bank Datuk Mohd Radzif Mohd Yunus ketika ditemui berkata, daripada jumlah permohonan pada 2013, 2,621 diluluskan dengan pembiayaan RM2.7 bilion.
“Portfolio pinjaman SME Bank meningkat kepada RM4.9 bilion sehingga Disember 2013 berbanding RM4.1 bilion bagi 2012.
“Kadar permohonan pinjaman ditolak bagi 2013 hanya 5.8 peratus berbanding lapan peratus pada 2012. Ini menunjukkan jumlah usahawan yang menerima bantuan pinjaman daripada SME Bank meningkat dari tahun ke tahun,” katanya.
Menurutnya, sebagai contoh, skim pembangunan PKS (SDS) dengan peruntukan RM1 bilion melebihi jangkaan dengan jumlah pinjaman diluluskan di bawah skim itu mencapai RM1.6 bilion.
Ada sebab pinjaman ditolak
Ditanya mengenai penyebab utama permohonan pinjaman pembiayaan selalu ditolak, Mohd Radzif berkata, dalam setiap proses penilaian pinjaman, perkara utama yang dinilai adalah tahap daya maju sesuatu projek yang akan menjana aliran tunai bagi membiayai operasi projek serta syarikat terbabit.
“Aliran tunai adalah perkara pokok yang mesti diambil kira dalam permohonan pinjaman. Kekurangan aliran tunai untuk membiayai operasi projek serta syarikat di samping lebihan untuk membayar balik tanggungan pinjaman antara sebab pinjaman mungkin ditolak.
“Di samping itu, pihak bank juga dalam situasi tertentu memerlukan komitmen daripada usahawan atau pemilik syarikat untuk sama-sama berkongsi risiko perniagaan dengan sumbangan modal untuk membiayai sesuatu projek,” katanya.
Beliau turut menambah tanpa komitmen yang berpatutan, penilaian pinjaman mungkin menjadi lemah dan juga menyebabkan permohonan pinjaman ditolak.
“Selain itu, permohonan yang diterima daripada syarikat yang sedang atau telah diambil tindakan undangundang oleh institusi kewangan lain atau dikategorikan sebagai pinjaman tidak berbayar (NPL) dengan institusi lain juga akan ditolak.
“Bagi isu borang permohonan tidak lengkap atau maklumat serta dokumen tidak mencukupi, kebiasaannya kami akan tangani pada peringkat awal dengan pegawai-pegawai bank kami akan membimbing pemohon dalam memastikan semua maklumat diperlukan dapat disediakan sebelum penilaian sepenuhnya dilaksanakan,” katanya.
Fahami risiko
Bagi membantu dan memudahkan usahawan PKS yang memohon untuk pinjaman pembiayaan daripada SME Bank, Mohd Radzif berkongsi beberapa garis panduan dan nasihat. "Untuk memastikan proses pinjaman berjalan lancar dan dipercepatkan, usahawan harus mengambil kira beberapa perkara seperti memastikan borong permohonan diisi dengan lengkap dan telus dalam memberikan maklumat yang diminta oleh pihak bank.
“Maklumat tambahan dan dokumen sokongan yang lengkap serta secukupnya harus disediakan agar proses penilaian dapat dijalankan dengan lancar selain rancangan perniagaan yang dikemukakan perlulah realistik dan berdaya maju,” katanya.
Beliau turut menambah pemohon juga perlu memahami dan jelas berkenaan model serta risiko perniagaan yang bakal dihadapi serta bersedia dengan langkah-langkah sesuai untuk menguruskan risiko tersebut.
dipetik dari:-http://www.sinarharian.com.my/
No comments:
Post a Comment