Friday 11 April 2014

RM250j dana biaya kemudahan untuk PKS

OCBC Al-Amin Bank Berhad menyediakan pembiayaan sebanyak RM250 juta kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di bawah kemudahan pembiayaan borong (WG-i).

Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Syed Abdull Aziz Syed Kechik berkata, kemudahan WG-i itu membabitkan jumlah awal sebanyak RM250 juta daripada portfolio pembiayaan PKS tidak bercagar sedia ada OCBC Al-Amin Bank.

“WG-i disusun sejajar dengan kecenderungan PKS yang kian meningkat untuk mendapat pembiayaan bertempoh tidak bercagar bagi memenuhi keperluan pembiayaan jangka pendek hingga pertengahan.

“Kemudahan ini disediakan bagi penambahbaikan modal dan pelaburan modal seperti mesin dan bahan mentah serta untuk menyokong pertumbuhan perniagaan di mana modal kerja tambahan diperlukan,” katanya pada sidang media Majlis Menandatangani Perjanjian Jaminan WG-i bersama Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC), di Kuala Lumpur, semalam.

Perjanjian tersebut menyaksikan risiko yang wujud dalam pembiayaan perniagaan dikongsi bersama CGC dan OCBC Al-Amin bagi tempoh jaminan lima tahun.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif CGC, Datuk Wan Azhar Wan Ahmad berkata, pihaknya menyasarkan untuk mewujudkan tambahan dana WG-i sehingga RM400 juta tahun ini.

“Bagi memastikan sasaran ini tercapai, CGC bakal mengadakan perbincangan bersama beberapa institusi kewangan (konvensional atau islamik bank) bagi tujuan itu.

“Kami yakin akan lebih banyak bank menerokai pembiayaan tidak bercagar memandangkan ia mampu mengurangkan risiko dihadapi institusi kewangan dan membebaskan modal untuk meningkatkan kapasiti pembiayaan PKS sekali gus mengembangkan trend positif ini dalam industri,”katanya.

Menurutnya, pihak bank harus mempertimbangkan keperluan menyediakan pilihan pembiayaan inovatif kerana ia membolehkan mereka untuk terus memberikan pembiayaan kepada PKS bersandarkan jaminan CGC.

dipetik dari: http://www.sinarharian.com.my/

No comments: