Friday 11 April 2014

Pelaburan RM1.5 bilion

NAJIB mencuba wangian ketika Majlis Pecah Tanah Kompleks Aroma Bersepadu BASF Petronas Chemicals di Kawasan Perindustrian Gebeng, semalam. Turut kelihatan, Shamsul (kanan).

Kuantan: Kawasan Perindustrian Gebeng bakal muncul sebagai pusat tumpuan utama pengeluaran bahan petrokimia bernilai tinggi di rantau Asia Pasifik apabila Kompleks Bahan Aroma Bersepadu BASF PETRONAS Chemicals beroperasi sepenuhnya pada 2016.

Dengan nilai pelaburan sebanyak RM1.5 bilion, projek berkenaan adalah satu lagi pencapaian penting PETRONAS dalam memajukan industri minyak dan gas Malaysia khususnya di Pahang.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, pembinaan kompleks bersepadu dijangka siap dalam tempoh dua tahun itu adalah perkongsian strategik antara BASF iaitu syarikat kimia utama dunia dari Jerman dan PETRONAS yang mampu menarik lebih banyak pelabur, industri sokongan berkaitan selain mewujudkan banyak peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan dan memacu pertumbuhan ekonomi negara.

Beliau berkata, mereka yang terpilih berpeluang menceburi industri petrokimia berteknologi tinggi yang akan meningkatkan tahap kemahiran dan kepakaran teknikal mereka.

“Latihan kemahiran serta pemindahan pengetahuan dan kepakaran teknologi yang diterima akan menjadi pemangkin kepada pembangunan tenaga kerja berkemahiran tinggi negara khususnya dalam bidang minyak, gas dan petrokimia,” katanya ketika berucap dalam Majlis Pecah Tanah Kompleks Aroma Bersepadu BASF PETRONAS Chemicals di Kawasan Perindustrian Gebeng, semalam.

Selain itu, pembinaan kompleks berkenaan akan mewujudkan 120 peluang pekerjaan bagi tenaga pakar teknikal tempatan dan 1,500 peluang pekerjaan lain.

Turut hadir Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS Tan Sri Shamsul Azhar Abbas, Pengerusi BASF PETRONAS Chemicals Sdn Bhd Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin dan Naib Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah BASF SE Asia Pasifik Dr Martin Brudermuller.

Najib berkata, beliau berharap aktiviti pembangunan perindustrian di kompleks berkenaan akan mendorong lebih ramai anak watan Pahang khususnya dan Malaysia amnya untuk menceburi bidang minyak, gas dan petrokimia.

“Negara kita amat memerlukan tenaga kerja tempatan berkemahiran tinggi untuk berkhidmat di dalam industri ini, yang juga adalah penyumbang tertinggi kepada pendapatan negara,” katanya.

Katanya, kerjasama penuh sektor korporat diterajui PETRONAS melalui pembangunan industri petrokimia yang terancang di Malaysia bakal menjana pelaburan swasta positif serta mewujudkan pelbagai peluang perniagaan dan pekerjaan di kalangan penduduk tempatan.

“Saya yakin projek dengan kecanggihan teknologi dan inovasi Jerman di BASF PETRONAS Chemicals ini mampu menghasilkan kimia khusus dalam bentuk bahan beraroma yang memenuhi strategi kita untuk menjadi industri berasaskan pengetahuan dan negara berpendapatan tinggi,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, namun kejayaan PETRONAS dan negara amat bergantung kepada sokongan rakyat diberikan terhadap projek seperti Kompleks Bahan Aroma Bersepadu di BASF PETRONAS Chemicals serta projek PETRONAS lain yang bertujuan memacu pertumbuhan ekonomi Malaysia seperti Loji Penapisan dan Pembangunan Petrokimia Bersepadu (RAPID) di Pengerang, Johor dan Ammonia Urea Urea Sabah (SAMUR) di Sipitang, Sabah.

“Saya berharap anda akan terus menyokong PETRONAS dalam usahanya mendorong kepesatan pembangunan ekonomi Malaysia ke arah negara berpendapatan tinggi,” katanya.

Sementara itu, Najib berkata, ekonomi negara bukan saja berkembang, malah mengatasi pertumbuhan global dan Bank Dunia juga memaklumkan purata pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi tempoh lima tahun lalu lebih tinggi berbanding Amerika Syarikat dan Jepun.

dipetik dari: http://www.hmetro.com.my/articles/PelaburanRM1_5bilion/Article

No comments: