TANJONG
KARANG: Seorang guru dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Harun
maut setelah disambar petir semalam ketika menjalani sesi latihan bola
sepak di SMK Seksyen 11 Shah Alam.
Mengenangkan perilaku suaminya sebelum itu, Nor Faizun Habib, 32, menceritakan kepada portal Sinar Harian, suaminya menyatakan hati berat untuk keluar daripada rumah.
“Suami berat hati nak tinggalkan rumah dan renung muka anak lama
sangat…tak sangka rupa-rupanya dia nak tinggalkan kami buat
selama-lamanya.”
"Beberapa minggu sebelum kejadian suami sempat mengadu dadanya
berdebar dan sentiasa tertanya-tanya seolah-olah ada sesuatu yang akan
berlaku namun dipendamkan sahaja."
“Suami pun tak banyak cakap beberapa minggu sebelum ke latihan bola
tu tapi saya diamkan sebab tak mahu fikir bukan-bukan. Tapi hati terusik
bila Allahyarham ada berbual jika dia meninggal dulu.
“Katanya jika dia pergi dulu, dia tak nak saya susah dan bagi tahu
sudah langsaikan hutang kereta. Dia cakap dia tak nak saya terbeban
dengan hutang,” katanya penuh sebak.
Nor Faizun yang kini sedang mengandung empat bulan dan mempunyai dua
anak orang anak itu memberitahu Allahyarham suaminya sangat baik dan
sayangkan anak sulung lelaki yang baru berusia lima tahun dan anak kedua
perempuan yang berusia dua tahun.
“Allahyarham banyak tolong uruskan anak-anak sebelum ini dan sempat
balut buku sekolah anak sampai lewat malam dan tak sangka itulah
kenangan terakhir buat kami.
“Saya tak dapat gambarkan perasaan ini bila dapat berita sedih itu
selepas dimaklumkan rakan suami jam 5.40 petang dan masa itu sedang
mengajar di Sekolah Kebangsaan Dato Manan.
“Hanya ALLAH saja tahu perasaan saya ketika itu dan walaupun perit, saya tetap reda dengan ketentuan ILLAHI.
“Saya tengok anak sulung lelaki macam boleh terima tapi saya sebak
bila anak perempuan asyik panggil dan mencari-cari ayah dia,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Jalan Persatuan, Kampung Seri Tiram Jaya hari ini.
Jenazah Mohd Farhan Masudi dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung
Seri Tiram Jaya pada jam 10.30 pagi dan dihadiri lebih 50 ahli
keluarga, rakan guru dan pelajar SMK Dato Harun serta penduduk setempat.
Sementara itu, kebajikan anak sulung mangsa yang juga murid Pusat Asuhan
Tunas Islam (Pasti) Al Badar Kampung Sungai Tengi Kanan, Muhammad Fahim
Zahin Mohd Farhan, 5, dijaga sebaik mungkin.
Pengerusi Pasti Kawasan Tanjong Karang, Mohamad Faizal Mohamed Barja
berkata, pihaknya bersimpati dengan musibah yang tak disangka itu dan
kehilangan insan tersayang.
“Semoga adik Fahmi dan sekeluarga tabah menghadapi ujian ALLAH dan
insya-ALLAH, Pasti Al Badar akan mengurusakan tabung kebajikan murid dan
takaful untuk membantu,” katanya. - Siakapkeli.my