JAKARTA: Polis sedang menyiasat satu sindiket
jual-beli organ manusia terutamanya buah pinggang yang beroperasi di
tiga buah hospital termasuk sebuah hospital kerajaan di sini.
Menurut laporan akhbar-akhbar tempatan, polis mengesahkan terdapat
sindiket membeli dan menjual buah pinggang secara haram dikendalikan
oleh beberapa orang awam yang menjadi orang tengah dan diuruskan oleh
pegawai perubatan di hospital-hospital tertentu.
Jurucakap Bahagian Siasatan Jenayah Polis Republik Indonesia Umar
Surya Fana dipetik sebagai berkata, setakat ini polis telah menahan tiga
individu bagi membantu siasatan selain menyiasat pengurusan hospital
yang dipercayai terbabit dalam sindiket membeli dan menjual organ
manusia itu.
Polis juga sedang menyiasat seorang bekas banduan dipercayai menjadi antara peniaga organ manusia.
Beliau berkata, siasatan dilakukan di bawah kesalahan perdagangan manusia iaitu membeli dan menjual organ manusia.
Modus operandi sindiket itu ialah orang tengah akan menerima pesanan
organ manusia dari hospital, kemudian orang tengah itu akan mencari
individu daripada golongan miskin yang sanggup menjual organ dalam tubuh
mereka demi mendapatkan wang.
Umar berkata, penjual organ itu akan menjalani pemeriksaan kesihatan
di hospital-hospital tertentu sebelum melakukan pemindahan organ kepada
pesakit yang memerlukannya.
Hasil siasatan awal mendapati individu yang menjual buah pinggang itu
dibayar kira-kira RM15,000 dan organ itu kemudian dijual sehingga
mencecah harga RM100,000 kepada pesakit yang memerlukannya.
Katanya, perbuatan mengambil organ manusia secara sembarangan adalah
satu kesalahan kerana terdapat undang-undang yang melarang golongan
pekerja kasar seperti buruh dan sebagainya menjadi penderma organ.
sumber : mstar.com.my/
No comments:
Post a Comment