LONGHUA parah selepas terjatuh ke dalam tong sisa buangan.
Beijing – Seorang pekerja kilang di Yunnan yang mengalami
lecuran pada 99 peratus badannya selepas terjatuh dalam tong besar
berisi sisa buangan disuruh membunuh diri selepas majikannya enggan
membayar yuran perubatannya.
Xinhua melaporkan, Yuan Longhua, 38, jatuh ke dalam tong berkenaan
pada 1 Ogos lalu selepas bekerja selama 13 jam tanpa rehat di kilang
milik majikannya, CQC Group.
Sejak itu, Yuan menjalani lima pembedahan graf kulit selain kaki kanannya terpaksa dipotong.
Awal Oktober lalu, CQC mula melewatkan bayaran perubatannya selain
cuba memujuk abangnya, Longyun untuk menghentikan rawatan supaya mangsa
meninggal dunia dan syarikat akan membayar pampasan kepada keluarganya.
Wakil syarikat dilaporkan menghantar pesanan ringkas kepada Longyun, berkata: “Kami mencadangkan anggota keluarga menyuruh hospital menghentikan rawatan. Selepas dia mati kami akan membayar pampasan.”
Longyun kemudian menjawab: “Maksud kamu, kami patut melakukan eutanasia? Kamu tidak akan menyediakan rawatan untuknya?”
Namun, katanya, dia tidak menerima jawapan kepada soalan itu.
“Sejak kemalangan adik saya, majikannya tidak pernah sekalipun datang melawat.
“Kami tidak mempunyai nombor telefon dan hanya mampu menghubunginya melalui wakil syarikat,” kata Longyun.
Katanya, sejak CQC mengelak bayaran, keluarganya berjaya mengumpulkan
30,000 yuan (RM19,000) untuk meneruskan rawatan. Malangnya, adiknya
masih berhutang 90,000 yuan (RM5,800) untuk yuran perubatannya.
CQC kini mencari cara untuk membayar rawatan Longhua, namun seorang
doktor yang mengendalikan kes itu berkata, syarikat itu tidak bijak
menangani isu berkenaan.
“CQC tidak sepatutnya menangguhkan pembayaran. Jika bayaran dibuat
secepat mungkin, mangsa juga mendapat rawatan sepatutnya dengan segera
seterusnya tidak memerlukan wang lagi untuk rawatan susulan,” katanya. –
Agensi/myMetro Online
No comments:
Post a Comment