BACHOK: Seorang pemuda berusia 20 tahun cedera pada kedua
belah kaki dipercayai akibat ditembak dua individu di Kampung Pauh Sembilan,
Tawang di sini awal pagi Khamis.
Ketua Polis Daerah Bachok DSP Abdul Hamid Che Ahmad berkata kejadian itu
berlaku kira-kira 1.45 pagi ketika mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah
abangnya yang berdekatan kawasan kejadian selepas menonton perlawanan bola
sepak menerusi televisyen di sebuah kedai makan.
"Setelah sampai di simpang tiga berdekatan rumah abangnya itu, mangsa
didatangi dua lelaki berpakaian gelap, memakai helmet dan menunggang sebuah
motoikal dari arah belakang mangsa sebelum seorang suspek melepaskan tembakan.
"Mangsa yang terkejut dengan kejadian itu melarikan diri ke rumah
abangnya sebelum mendapati kedua-dua kakinya berdarah akibat tembakan
tersebut," katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini, Khamis.
Beliau berkata mangsa kemudiannya dikejarkan ke Hospital Universiti Sains
Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk mendapatkan rawatan lanjut oleh abangnya.
Mengulas lanjut, Abdul Hamid berkata siasatan awal mendapati mangsa tidak
mengetahui motif dia ditembak dan semakan terhadap rekod mendapati mangsa tidak
pernah terlibat dengan sebarang kesalahan jenayah.
"Bagaimanapun menurut keterangan abangnya, mangsa pernah memberi
keterangan di sebuah mahkamah berhubung satu kes dadah.
"Kita akan menjalankan gerakan memburu kedua-dua suspek dan kes
berkenaan disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan
membunuh," katanya.
Sementara itu, seorang abang mangsa yang enggan dikenali berkata mangsa
keluar rumah pada pukul 9 malam untuk bertemu dengan sepupu mereka sambil
menonton perlawanan bola sepak.
"Saya terkejut apabila mendapat panggilan telefon daripada emak yang
memberitahu adik saya kemalangan dan saya bergegas membawanya ke HUSM Kubang
Kerian untuk mendapatkan rawatan," katanya.
sumber : mstar.com.my/