
Yokohama: Kenderaan elektrik (EV)
dan pemanduan autonomous iaitu kereta tanpa kawalan pemandu bakal menjadi
gabungan terbaik untuk teknologi masa depan yang kini mula diperkenalkan kepada
dunia.
Sebagai antara pelopor penciptaan
kenderaan EV melalui model Nissan Leaf, kereta sedan elektrik itu sudah terjual
195,000 unit di seluruh dunia, sekali gus membuktikan teknologi itu semakin
diterima ramai dan menjadi pilihan sebagai kenderaan berulang-alik ke tempat
kerja atau perjalanan dalam bandar.
Presiden Nissan Motor Asia Pasifik
dan Timbalan Presiden Korporat Nissan Motor, Toru Hasegawa berkata, kenderaan
elektrik adalah satu opsyen terbaik dalam menggantikan sumber bahan api sedia
ada, malah menjimatkan serta tiada pengeluaran asap manakala pemanduan
autonomous adalah gabungan yang ideal untuk setiap kereta konsep yang akan dihasilkan
nanti.
“Nissan Leaf boleh dipandu sejauh
280 kilometer dengan sekali caj dan kami sedang meluaskan teknologi ini kepada
model kenderaan Nissan lain secara berperingkat untuk memberi lebih banyak
pilihan kepada pengguna.
“Walaupun ia lebih banyak terjual di
Jepun, Eropah dan Amerika Syarikat, kami tetap memberi tumpuan terhadap pasaran
Asia Tenggara termasuk Malaysia yang kini semakin berkembang pesat dengan
peningkatan jualan kenderaan Nissan,” katanya kepada rombongan media yang
mengikuti program Nissan 360 di ibu pejabat Global Nissan di Yokohama, Jepun,
semalam.
Beliau berkata, pihak pengedar
Nissan di Malaysia iaitu Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM) misalnya,
sentiasa melakukan kajian dan aktiviti pemasaran terbaik untuk setiap rangkaian
model termasuk Leaf yang kini sudah dijual sebanyak 24 unit dengan lebih 35
stesen mengecaj di seluruh negara sejak diperkenalkan 2013.
sumber : hmetro.com.my/
No comments:
Post a Comment