Thursday, 3 December 2015

Keluarga Tak Perasan, Ibu Dan Anak Lelaki Mati Dalam Bilik

Mayat salah seorang daripada dua beranak dibawa keluar dari rumah mereka di Taman Emas hari ini. - Foto BERNAMA

BUTTERWORTH – Mayat ibu dan anaknya ditemui di rumah mereka di Taman Emas, Perai pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, ACP Rusli Mohd Noor berkata mayat wanita berusia 75 tahun itu ditemui terbaring atas katil di sebuah bilik di tingkat bawah manakala mayat anak lelakinya yang berumur 45 tahun ditemui tergantung di bilik tingkat atas rumah dua tingkat berkenaan. 

“Penemuan mayat dua beranak itu disedari selepas jiran ternampak seorang lelaki tergantung di tingkat atas rumah berkenaan sebelum mereka menghubungi polis,” katanya.

Beliau berkata rumah itu turut didiami lima anggota keluarga berkenaan yang langsung tidak menyedari kejadian terbabit. 

Mangsa dipercayai mati antara pukul 1 pagi hingga 8.30 pagi tadi.

“Siasatan setakat ini mendapati tiada unsur jenayah, bagaimanapun polis akan menjalankan siasatan lanjut,” kata Rusli. 

Mayat kedua-duanya dihantar ke Hospital Seberang Jaya.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu agar menghubungi pihak polis bagi membantu siasatan. 

Seorang jiran mangsa yang enggan dikenali berkata, beberapa jiran terdengar bunyi bising dari rumah mangsa kira-kira pukul 1.30 pagi.

“Ada yang dengar bunyi bising dari rumah mereka tapi kami tidak ambil kisah kerana kadang-kadang mereka buka muzik dengan kuat dan adakan majlis,” katanya. – BERNAMA

sumber : mynewshub.cc/

No comments: