Saturday, 25 July 2015

Sebanyak 7,835 kes bernilai RM324.4 juta Berjaya di Selesaikan



Kuala Lumpur: Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) berjaya menyelesaikan sebanyak 7,835 kes pemohon yang mendapatkan nasihat pengurusan melalui Program Pengurusan Kredit (PPK) dengan jumlah keseluruhan bernilai RM324.4 juta setakat 31 Mei 2015. 

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Azaddin Ngah Tasir berkata, pihaknya menerima sebanyak 131,196 permohonan untuk mendapatkan nasihat pengurusan kredit melalui PPK.

Beliau berkata, lebih 342,842 pengguna menerima sesi kaunseling AKPK sehingga 31 Mei 2015 dan pelanggan yang mendapatkan perkhidmatan AKPK tergolong daripada pelbagai lapisan masyarakat. 

“Dalam kebanyakannya kes, faktor yang menyumbang kepada masalah hutang dan ketidakupayaan membayar balik pinjaman disebabkan pengurusan kewangan lemah iaitu 22.4 peratus, diikuti kegagalan atau perniagaan yang lembap (16.6 peratus), isu perbelanjaan perubatan tinggi (14.8 peratus) dan gagal mengawal penggunaan kad kredit (11 peratus).

“Kehilangan pekerjaan dan komitmen kewangan luar jangka juga menjadi penyebab pengguna hadir mendapatkan kaunseling dan memohon mendapatkan nasihat menerusi PPK,” katanya kepada Bisnes Metro di sini. 

Menurutnya, tahun lalu AKPK menerima 309,663 sesi kaunseling dan 121,495 daripadanya memohon untuk PPK.

Azaddin berkata, statistik menunjukkan berlaku peningkatan dari semasa ke semasa dan masyarakat mesti berusaha memantapkan kemahiran dalam menguruskan aliran kewangan. 

Beliau berkata, masyarakat juga perlu bijak dan berhemah dalam pengurusan kewangan dan mengawal hutang, malah menerusi AKPK program serta kaunseling yang dijalankan adalah percuma.

sumber ://www.hmetro.com.my


Friday, 24 July 2015

Awas Kini Gores dan Menang di Tukar Kepada Teka Silang Kata



Zuraidah menunjukkan bukti mendakwa dia menang hadiah utama berupa wang tunai RM150,000.

TELUK INTAN - Hasrat seorang suri rumah mahu berbelanja sempena Syawal dengan hadiah wang yang dikatakan menang terbantut apabila mendakwa ditipu syarikat berkenaan selain tidak menerima wang tersebut.

Sebaliknya, wanita tersebut, Zuraidah Hasim, 31, rugi kira-kira RM500 apabila syarikat tersebut memintanya untuk membeli pelbagai barangan sebagai syarat untuk mendapatkan wang tunai RM150,000.
Menurutnya, pada mulanya dia memasuki peraduan silang kata dianjurkan oleh syarikat itu yang tersiar di dalam sebuah majalah secara suka-suka dan turut menghantar penyertaan itu.

"Tidak lama kemudian, dia mendapat surat daripada syarikat yang sama dan mendakwa dia memenangi hadiah wang tunai RM150,000. Namun begitu, syarikat itu menetapkan syarat sekiranya saya mahu mengambil hadiah utama berupa wang tunai berjumlah RM150,000, saya perlu membeli barang perkakas dapur.

“Pada mulanya saya ragu-ragu lalu saya menghubungi syarikat tersebut dan mereka mengesahkan saya menang hadiah utama dan memujuk saya untuk membeli barangan sebagai syarat saya mendapat hadiah tersebut,” katanya ketika ditemui di Kampung Lubuk Keli, semalam.

Zuraidah berkata, dia juga mendapat surat mengatakan dia perlu hadir untuk menerima hadiah tersebut, namun disebabkan kekangan masa dan wang dia tidak dapat hadir bagi menerima wang tersebut serta meminta pihak syarikat untuk memasukan wang tersebut ke dalam akaun bank.

"Setelah beberapa minggu kemudian, barang perkakas dapur diterima namun begitu, hadiah utama yang dikatakan oleh syarikat itu sehingga kini masih belum terima.

"Saya juga turut bertanyakan hal tersebut kepada syarikat itu, namun pelbagai alasan diberikan setiap kali diutarakan kepada wakil syarikat itu," katanya.

Katanya, dia berhasrat mahu membelanjakan ahli keluarga sempena Syawal selain membaiki rumah pusaka arwah ibu mertua sekiranya memenangi wang itu.

“Laporan polis akan dibuat tidak lama lagi selain membuat aduan kepada tribunal pengguna atas tindakan syarikat tersebut,” katanya.



Thursday, 23 July 2015

Ada otak tak ada akal.....tak guna

Gambar Sekadar Haisan

ABD Razak adalah antara contoh yang sangat sesuai dengan perumpamaan ‘Don’t read the book by its cover’ (Jangan nilai seseorang daripada luaran). Dia sudah berusia 72 tahun dan biasanya kelihatan dengan kemeja-T putih tanpa kolar.

Dia menjual barang-barang antik daripada tembaga, besi dan kayu. Turut dijual adalah jam berjenama.

Kecuali ada urusan penting, anda akan dapat temuinya di Lorong Kulit di belakang stadium Jalan Perak, Pulau Pinang, setiap hari.

Ruang perniagaannya terletak di sudut kawasan seluas kira-kira sebuah padang bola itu yang mempunyai hampir 200 ruang perniagaan. Kawasan itu terkenal kepada ramai penduduk Pulau Pinang yang berminat membeli barang-barang lama dan murah, daripada kain baju hingga alat-alat ganti motosikal.

Kawasan yang terletak dekat Dhoby Ghaut dekat penjara dan Hospital Pulau Pinang itu dikenali dengan nama Rope Walk, mengambil nama Rope Walk sebenar yang masih ada di sebelah Prangin Road di pusat bandaraya.

Abd Razak seorang daripada peniaga terawal di kawasan Rope Walk yang beroperasi lebih 20 tahun lalu.

Kawasan itu sebelum ini diguna untuk meletak bas-bas yang berkhidmat di pulau itu. Di sebelahnya ada sebuah kawasan lapang seluas tidak kurang daripada tiga hektar, yang hingga tahun 70-an menjadi tapak pesta yang menarik beribu-ribu peminat dengan boria dan persembahan pelakon, pelawak dan penyanyi lama. Yang paling diminati adalah seniman P Ramlee, Saloma, S M Salim, A R Tompel, R Azmi, Aman Belon dan ramai lagi.

Banyak lagi yang boleh saya cerita tentang tapak pesta dan Lorong Kulit, tetapi cetusan kali ini untuk memberi penghargaan kepada Abd Razak yang patut menjadi teladan kepada ramai.

Perjalanan hidup Abd Razak adalah sebuah kisah yang memenuhi ungkapan ‘Di mana ada kemahuan, di situ ada kejayaan’.

Dia dilahirkan di kawasan Simpang Enam yang kini terletak di seberang jalan berdepan Komtar. Ayahnya terkenal sebagai penjual bubur.

Kerja Abd Razak macam-macam; cuci pinggan mangkuk, angkat barang di pelabuhan, cuci kenderaan, uruskan bilik sewa dan berniaga sayur dan ikan di pasar, antara lain.

“Saya belajaq sampai SM II saja dan tak reti cakap orang putih,” ceritanya.

Setelah agak berjaya dan dapat kumpulkan wang yang agak banyak, Abd Razak cuba nasib, labur dalam urusan jual beli lembu.

Pengalaman yang dilaluinya pastinya agak pahit. Dia enggan cerita panjang perkara berkaitan jual beli lembu itu.

“Nasib saya tak baik, lingkop habeh,” katanya ringkas.

Tapi ketabahan dan keazamannya membuat dia terus mencari peluang baharu, menimba hasil bukan sahaja dari segi kebendaan, malah ilmu.

Saya kira orang sepertinya adalah aset sangat berharga dalam sektor pelancongan, perniagaan antarabangsa, juga polis cawangan khas.

Bermula dari situ dia menanam azam yang kuat.

Hari ini Abd Razak bukan sahaja bercakap bahasa Inggeris; dia juga boleh bertutur fasih dalam bahasa Tionghua, Tamil, Thai, Urdu dan Arab.

“Orang putih ajak saya kerja di hotel (lebih 30 tahun lalu). Lepaih tu dia ajak saya pi Eropah, tapi tak jadi sebab saya tak reti cakap orang putih,” katanya.

Berapa pendapatannya setiap bulan? Abd Razak tidak menjawab; merendah diri, saya kira.

Dia ada lima orang anak dan dua menantu lelakinya tinggal di Thailand.Tetapi Abd Razak lebih berminat meneruskan perniagaan barang-barang antiknya.

“Depa (mereka) yang uruskan hantaran barang antik kepada saya.

“Kalau anak menantu saya bagi RM3,000 pada saya dan RM2,000 pada isteri saya, saya nak serahkan semua bisnes saya pada depa.

“Saya nak terus mengaji, tambah ilmu. Banyak lagi kena belajaq,” katanya.

Azamnya tinggi sebab dia tahu banyak faedahnya apabila tahu banyak bahasa, apa lagi bahasa Arab, bahasa al-Quran.

Mereka yang biasa dengan Abd Razak tahu sangat caranya; cakapnya selalu berfalsafah, banyak merujuk kepada ajaran agama.

Sekarang pun dia masih sambung belajar bahasa Arab dengan seorang guru.

“Belajaq ni tak ada noktah. Kita kena belajaq dari kecik sampai ke liang lahad.

“Hidup berjaya kalau kita guna akai (akal). Tak guna kalau ada otak tapi tak guna akai,” ujarnya.

sumber : http://www.sinarharian.com.my/ Farush Khan 22 Julai 2015

Wednesday, 22 July 2015

Cinta RM70,000

oleh Fardy Bungga


Kuala Lumpur: Nyawa tinggal 40 hari lagi untuk hidup. Itu antara helah tagih simpati digunakan seorang ‘kasanova online’ untuk menipu puluhan gadis atau wanita tempatan.

Suspek yang mendakwa menghidap kaser tahap empat itu berjaya meyakinkan mangsa dengan hanya berbekalkan cerita sedih digarap umpama novel air mata. 

Taktik kisah sedih palsu itu bukan hanya membuatkan wanita sanggup menghabiskan ribuan ringgit malah ada antaranya hampir membunuh diri apabila menyedari ditipu.

Seorang mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Yi, 32, berkata, dia sudah berhabis kira-kira RM70,000 untuk suspek mendakwa berasal dari Taiwan yang dikenali menerusi laman sosial di Internet sejak Januari lalu. 

Katanya, selain bijak menggunakan ayat-ayat cinta sehingga ‘mencairkan’ hatinya, suspek turut menggunakan alasan kononnya sedang bertarung nyawa melawan penyakit maut dihidapi.

sumber : http://www.hmetro.com.my


Tuesday, 21 July 2015

Sengsara kerana hutang



Wartawan Sinar Harian
13 Julai 2015

Gambar sekadar hiasan.

SITI (bukan nama sebenar), berusia pertengahan 30-an mempunyai kerjaya dengan gaji hampir RM4,000 sebulan. 

Dia membuat pinjaman peribadi tanpa berfikir panjang selepas disaran rakan pejabat pada awal kerjayanya. 

Pihak bank juga menawarkan kad kredit yang pada mulanya hanya digunakan petrol dan kecemasan sahaja. 

Oleh kerana amat mudah untuk meminjam tanpa perlu ke bank, Siti membuat beberapa pinjaman peribadi dan turut diberi kad kredit lagi. Semuanya untuk memenuhi nafsunya berbelanja. 

Akhirnya, tanpa disedari potongan untuk hutang melebihi 97 peratus daripada gajinya dan berbaki hanya RM100 sahaja. Siti langsung tidak mempunyai baki gaji jika ditolak bayaran satu lagi pinjaman peribadi yang mana ianya dibayar secara terus dengan bank berkenaan serta kad-kad kredit yang dimiliki. 

Pinjaman peribadinya mencecah RM350,000 tidak termasuk hutang kad kredit dan pinjaman perumahan. 

Tambahan, suaminya tidak mempunyai pendapatan tetap dan segala perbelanjaan bergantung pada pinjaman yang dibuat sebelum ini. 

Siti amat malu dengan ketuanya di pejabat, malah rakan sekerja dan pekerja bawahannya apabila bank mula menghubungi pejabat bagi menuntut bayaran. 

Siti dipanggil ketuanya dalam kes ini dan diberitahu boleh dikenakan tindakan tatatertib sebagai kakitangan awam. Hal dikejar bank sudah diketahui rakan pejabatnya.

Pinjaman mempunyai baik dan buruk. 

Jika disalahgunakan untuk memenuhi kehendak seperti melancong dan suka membeli barangan yang tidak perlu menyebabkan diri kita sendiri ‘cedera'. 

Oleh itu, kita tidak boleh salahkan orang lain tetapi perlu menyalahkan diri sendiri kerana tidak berhati-hati dalam menggunakannya. 

Hidup ini melibatkan pilihan. Kita boleh memilih sama ada untuk buat duit dengan hutang atau ‘buang’ duit dengan hutang. 

Sebaik-baiknya pilihlah pilihan yang pertama. 

Jika berhutang, pastikan hutang tersebut tidak melebihi 40 peratus dari pendapatan. 

 Jika pendapatan RM4,000 sebulan, maka peruntukkan untuk bayar semua hutang ialah RM1,600 sahaja.

http://www.sinarharian.com.my