Kuala Lumpur: Agensi Kaunseling dan
Pengurusan Kredit (AKPK) berjaya menyelesaikan sebanyak 7,835 kes pemohon yang
mendapatkan nasihat pengurusan melalui Program Pengurusan Kredit (PPK) dengan jumlah
keseluruhan bernilai RM324.4 juta setakat 31 Mei 2015.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Azaddin
Ngah Tasir berkata, pihaknya menerima sebanyak 131,196 permohonan untuk
mendapatkan nasihat pengurusan kredit melalui PPK.
Beliau berkata, lebih 342,842 pengguna
menerima sesi kaunseling AKPK sehingga 31 Mei 2015 dan pelanggan yang
mendapatkan perkhidmatan AKPK tergolong daripada pelbagai lapisan masyarakat.
“Dalam kebanyakannya kes, faktor
yang menyumbang kepada masalah hutang dan ketidakupayaan membayar balik pinjaman
disebabkan pengurusan kewangan lemah iaitu 22.4 peratus, diikuti kegagalan atau
perniagaan yang lembap (16.6 peratus), isu perbelanjaan perubatan tinggi (14.8
peratus) dan gagal mengawal penggunaan kad kredit (11 peratus).
“Kehilangan pekerjaan dan komitmen
kewangan luar jangka juga menjadi penyebab pengguna hadir mendapatkan
kaunseling dan memohon mendapatkan nasihat menerusi PPK,” katanya kepada Bisnes
Metro di sini.
Menurutnya, tahun lalu AKPK menerima
309,663 sesi kaunseling dan 121,495 daripadanya memohon untuk PPK.
Azaddin berkata, statistik
menunjukkan berlaku peningkatan dari semasa ke semasa dan masyarakat mesti
berusaha memantapkan kemahiran dalam menguruskan aliran kewangan.
Beliau berkata, masyarakat juga
perlu bijak dan berhemah dalam pengurusan kewangan dan mengawal hutang, malah
menerusi AKPK program serta kaunseling yang dijalankan adalah percuma.
sumber ://www.hmetro.com.my
No comments:
Post a Comment