Wednesday, 19 August 2015

Beberapa Telaga Minyak Petronas Ditutup


PETALING JAYA: Walaupun beberapa eksplorasi telaga minyak milik Petronas akan dibiarkan beku buat seketika ekoran harga minyak di pasaran dunia yang tidak menentu tetapi ini sama sekali tidak akan menjejaskan pengeluaran minyak negara, demikian menurut para penganalisa gas dan minyak.

Pada Isnin, sisipan StarBiz akhbar The Star melaporkan hanya 14 daripada 39 telaga minyak milik Petronas akan beroperasi sehingga hujung tahun ini berbanding tahun lalu kerana pasaran minyak dunia yang tidak menentu.

Sebahagian besar telaga minyak yang akan dibiarkan tanpa operasi itu adalah terdiri daripada telaga yang berada pada peringkat eksplorasi lagi.

Harga pasaran minyak mentah Brent dunia sekarang ialah AS$55 setong.

Awal tahun ini Petronas telah pun mengumumkan yang mereka memotong modal kerja (capex) sebanyak 10 peratus pada tahun lalu diikuti 15 peratus untuk tahun ini dan tahun depan.

Seorang pemerhati pasaran berkata, telaga minyak yang hendak ditutup operasi oleh Petronas itu kebanyakannya adalah telaga yang masih berada di peringkat eksplorasi bukan yang sudah aktif menghasilkan minyak mentah.

Berdasarkan unjuran penggal kedua Petronas sendiri, minyak mentah yang dihasilkan dalam enam bulan pertama tahun ini adalah sekitar 2,327 tong sehari berbanding 2,234 untuk tempoh yang sama tahun lalu.

Ini menunjukkan dari segi jumlah keluaran ia tidak banyak berbeza sama ada terdapat telaga minyak yang ditutup atau dibekukan.

sumber : mystar.com.my

No comments: